Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

X : Bar Coklat Cengkerik

MENDENGARKAN sahaja jeritan Komander Æzarnoush yang sedang mencari dalang di sebalik bunyi gema itu tadi membuatkan aku terfikir adakah aku patut mengapungkan diriku sendiri untuk mengelakkan daripada terkantoi? Oh, tidak. Adalah berdosa besar jikalau kita sengaja membunuh diri. Oleh itu, aku membuat sandaran ataupun back-up ke dalam servis pengkomputeran awan ataupun cloud segala hasil rakaman video yang telah dirakam sebenar tadi. Kemudian, aku terus keluar daripada bilikku untuk ke kompartmen pelajaran walaupun ketika itu sudah agak lewat.

     Dengan keadaan tergesa-gesa, aku menyusup masuk daripada pintu belakang kelas sambil menggedong beg sekolah. Kemudian, perlahan-lahan aku menuju ke tempat duduk dengan cara mengesot dan meniarap. Mujur sahaja bangku dan meja sekolahku ini berada paling hampir dengan pintu keluar bahagian belakang. Waktu menunjukkan pukul 10.15 pagi. Pada ketika itu, Cikgu Æzack sedang mengajarkan subjek Sains. Aku yang sedang mencangkung itu sekali-sekala meninjau keberadaan Cikgu Æzack yang ketika itu sedang menulis sesuatu di papan hitam. Dengan cermat, aku bangun dan duduk di bangku sambil mencapai buku teks mata pelajaran sains.

Dengan bersahaja, aku mengerling ke arah rakan sekelas di sebelahku yakni Æyni yang kelihatan sedang khusyuk menulis sesuatu di dalam buku latihannya. Nampaknya, mereka semua sedang mencatat apa yang ditulis oleh Cikgu Æzack itu. Æyni terperasankan aku sedang melunjurkan leherku padanya. Dia menunjukkan isyarat tangan dengan nombor 'dua puluh tiga' yang menandakan mereka sedang berada di muka surat dua puluh tiga sambil menggelengkan kepalanya. Aku pun terus menyelak ke muka surat yang dinyatakan oleh Æyni itu.

Mungkin Cikgu Æzack telah terperasankan keberadaanku di dalam kelas itu membuatkan namaku dipanggil untuk berdiri.

"Ædrian! Tolong berdiri dan baca kuat-kuat perenggan yang kedua dalam buku teks tu!" Cikgu Æzack tiba-tiba menyeru namaku dengan suara yang lantang dan kuat.

     "Err... Habitat.... Err... Habitat..." lidahku kelu ketika membacakan perenggan berkenaan.

     "Apa habitat-habitat?!"  suara Cikgu Æzack tiba-tiba mengherdik dengan nada yang cukup bersahaja namun tegas.

     Seluruh kelas berkenaan yang pada mulanya sedang fokus belajar dan senyap sunyi tiba-tiba sahaja tergelak dan ketawa besar dek kerana keggagapanku dalam membacakan teks itu tadi.

     Aku berdehem sambil memulakan pembacaan teks yang tertulis itu. "Ehem... Ehem... Habitat manusia di angkasa lepas ataupun disebut sebagai 'Penerokaan Angkasa' adalah sebuah pelan pembangunan tempat tinggal tetap bagi manusia di luar orbit bumi. Ahli fizik terkemuka dunia, Stephen Hawkins telah mengatakan bahawa manusia tidak akan bertahan selama seribu tahun lagi di planet bumi dan sekitarnya. Manusia perlu menyebar ke angkasaraya."

     Aku menyambung aktiviti pembacaan teks berkenaan.

"Para ilmuwan NASA telah merancang beberapa pelan penerokaan angkasa. Namun, untuk koloni manusia dapat hidup di luar angkasaraya kelak memerlukan habitat tersebut mempunyai persamaan dengan keadaan bumi. Habitat perlu mengandungi spesies bukan manusia seperti mikroorganisma, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Manusia pula merupakan spesies yang dominan di muka bumi ini." ujarku sambil menghabiskan ayat-ayat terakhir untuk edisi pembacaan kali ini.

"Bagus. Sila duduk, Ædrian. Lain kali, jangan lambat masuk ke kelas lagi. Saya akan laporkan kepada pengetua jikalau perbuatan ini berulang kembali. Jangan ingat cikgu tak perasan..." Cikgu Æzack memberi amaran kepadaku.

"Cikgu, saya ada satu soalan." tiba-tiba perasaan ingin tahuku membuak-buak dengan frasa yang aku bacakan sebentar tadi.

"Soalan apa tu? Jangan tanya soalan yang pelik-pelik pula." tegah Cikgu Æzack yang sedang mengemas mejanya itu.

"Baiklah. Jikalau manusia merupakan spesies yang dominan di bumi, pernahkah haiwan-haiwan ini bersatu dan bangkit untuk melawan spesies yang selalu membuat kerosakan di muka bumi?" aku mula melontarkan soalan yang agak aneh kepada Cikgu Æzack

"Ædrian, walaupun haiwan diberikan otak, namun haiwan tidak mempunyai akal. Dan dalam pengetahuan sejarah manusia, haiwan tidak pernah bersatu untuk bangkit melawan manusia." ujar Cikgu Æzack mengakhiri sesi kelas pagi itu.

     Bunyi loceng kedengaran yang menandakan telah masuknya waktu rehat. Maka, berpusu-pusulah para pelajar menuju ke destinasi kegembiraan iaitu dewan makan bagi mengambil makanan masing-masing. Aku hanya mengambil beberapa bungkus roti dan air kotak lalu duduk di meja yang kebiasaannya kami jadikan tempat melepak kami. Namun, aku takkan menceritakan apa-apa pun maklumat berkaitan dengan perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat agung tahunan sebentar tadi. Tiba-tiba, Æezzul yang sedang menatang dulang terisi makanan dan minuman di atasnya tersengih-sengih lalu duduk di sampingku.

     "Kau tahu tak Ædrian, ada menu baru." kata Æezzul sambil tersengih-sengih. Kelihatan Æezzul gembira nampaknya dengan menu baru berkenaan.

     "Menu baru? Menu apa?" aku yang leka mengunyah hidangan roti itu nyata agak terkejut apalagi tidak ada apa-apa pengumuman sebelum ini yang menyatakan akan ada menu baru di dewan makan kelak.

     "Inilah menu baru tu. Bentuk macam bar coklat tapi takdelah nampak macam coklat sangat. Macam pelik, tapi kena cuba ni. Kau cuba lah rasa." Æezzul menunjukkan kepadaku sebuah bar coklat yang warnanya agak kecoklatan lusuh dan tidak seperti bar coklat.

     Aku baru teringat akan cadangan Ædib pada mesyuarat agung sebentar tadi yang mahu memperkenalkan bar coklat cengkerik secepat mungkin dalam diet harian seluruh warga koloni. Namun, aku tidak menyangka bahawa idea itu akan di gunapakai sepantas ini. Aku mula memandang sekeliling dewan makan terbabit. Di kiri dan kanan, kelihatan pelajar-pelajar sedang makan bar coklat berkenaan dengan penuh kegembiraan. Di satu sudut, aku dapat melihat Ædib sedang memerhatikan pelajar-pelajar menikmati bar coklat berkenaan sambil membuat mimik muka yang amat menjengkelkan.

"Pelik. Selalunya bar coklat hanya akan diberikan ketika hari kanak-kanak sedunia. Itu pun hanya sehari dua sahaja, lepas tu, dah tak ada bar coklat lagi dah." ujarku dengan perasaan ingin tahu.

"Ala, relax laa Ædrian. Mungkin bekalan bar coklat dah banyak, so, dieorang masukkan lah dalam diet kanak-kanak koloni ni." Æezzul yang sedari tadi sedang menikmati makanan bar coklat itu langsung tidak mengesyaki apa-apa yang pelik.

"Cuma, rasa dia pelik sikit. Tak macam coklat. Rasa dia macam payau-payau masam, tak berlemak sangat. Bau dia pun pelik, tak macam bau coklat." Æezzul menceritakan perihal rasa dan bau bar coklat berkenaan.

"Kejap, aku rasa aku ada idea yang lebih baik. Kau, Æezzul tunggu sini dan perhatikan." Aku bangkit lalu menuju ke arah bahagian kantin.

Sambil berjalan perlahan-lahan, aku mengambil dua peket bar coklat berkenaan lalu menuju ke arah Ædib. Sesampai sahaja berdekatan dengan tempat Ædib berdiri, aku berlakon seolah-olah telah memakan bar coklat berkenaan.

"Encik Ædib, saya rasa saya sakit perut lah lepas makan bar coklat ni. Encik Ædib boleh cuba rasa tak kenapa tiba-tiba saya sakit perut ni? Encik Ædib kan penjaga kualiti di stesen angkasa ini?" sambil berlakon acah-acah seperti seseorang yang sedang dalam kesakitan.

"Tak perlu lah suruh saya rasa. Kalau kamu mengalami simptom sakit perut ataupun tidak sihat, pergilah ke kompartmen perubatan sana." ujar Ædib dengan intonasi yang agak kasar sedikit dan berlalu pergi.

Aku terus menuju ke arah Æezzul sambil mengenyit mata. Æezzul yang sedari tadi sedang menikmati makanan bar coklat itu hanya tersengih-sengih sahaja.

"Dah... Dah... Tak payah lah kau nak makan bar coklat ni lagi. Nanti aku cerita apa isi kandungannya. Tapi rahsia ni untuk kita-kita aje. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut." ujarku sambil tersenyum sinis.

"Jom kita lepak kat kompartmen Pertanian. Aku ceritakan kat sana." kataku sambil berlalu pergi.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro