VIII : Idea Cengkerik
"TUAN KOMANDER mahu buat apa dengan cengkerik itu?" Madam Ælicia bertanyakan mengenai rancangan Komander Æzarnoush.
"Apa pendapat Puan Æylen jikalau kita jadikan cengkerik tu sebagai diet harian koloni Cakerawala ni. Sekurang-kurangnya, cengkerik kaya dengan protein yang membolehkan keseluruhan koloni kekal hidup buat masa ini. Cara penjagaan cengkerik pun takdelah susah sangat." tiba-tiba Komander Æzarnoush memberikan satu idea yang cukup gila.
Bilik mesyuarat yang pada awalnya sunyi dan sepi terus bertukar menjadi hingar-bingar dengan bunyi bising dan kedengaran seperti orang yang mahu termuntah dapat didengari disini dan sana. Ada yang tidak mampu berkata apa-apa, ada yang langsung tidak bersetuju dengan cadangan gila terbabit.
"Uwekk.... Uwek..." kedengaran ramai yang tidak dapat menerima cadangan berkenaan.
"Tuan Komander, memang benar cengkerik mempunyai kandungan protein yang tinggi, tapi, macam mana koloni kita ni nak makan serangga tu jikalau bentuk asal cengkerik tu masih wujud jikalau digoreng ataupun dimasak bening. Mestilah akan ada yang perasan dan mereka tidak akan memakannya." Puan Æylen cuba menyangah cadangan yang dikemukakan oleh Komander Æzarnoush itu.
"Janganlah kita masak terang-terangan sehingga rupa asal cengkerik tu muncul. Mungkin boleh kita jadikan dia sebagai tepung ataupun apa sahaja bentuk, yang boleh menggantikan makanan ruji kita sehingga menunggu musim tuaian yang seterusnya." Komander Æzarnoush tetap dengan cadangannya untuk memastikan perkara itu dapat direalisasikan.
"Tapi Komander.... Adakah halal jika dimakan hidangan cengkerik berkenaan?" Puan Æylen mempersoalkan kewajaran idea menghidangkan hidupan cengkerik berkenaan.
"Kan kita sekarang dalam fasa darurat di angkasaraya, jadi saya tidak kira! Saya mahu perkara ini menjadi alternatif kepada makanan ruji kita nanti. Buatkan dalam bentuk seperti coklat ataupun apa-apa bentuk sekalipun!" Komander Æzarnoush tetap berkeras dengan cadangannya itu.
"Dan saya nak pesan, jikalau sampai perkara ini ke pengetahuan masyarakat koloni di luar sana, tahulah saya siapa yang akan dicari untuk menerima hukuman yang setimpal. Perlu diingatkan disini bahawa apa yang dibincangkan di dalam bilik mesyuarat ini adalah sulit dan penuh dengan kerahsiaan. Sebab itulah pentadbiran stesen angkasa ini melantik anda semua sebagai orang yang boleh dipercayai dan sebagai pemegang amanah. Faham semua?" Komander Æzarnoush memberi kata dua kepada mereka yang hadir di dalam mesyuarat agung itu.
"Faham." kesemua yang berada di dalam bilik berkenaan hanya menunduk sahaja.
"Gulp!" aku yang sedang khusyuk menonton visual dan mendengar isi mesyuarat itu tiba-tiba tersentak seketika dengan kata-kata Komander Æzarnoush itu. Namun, aku teruskan juga hasrat untuk terus mengikuti segala butiran mengenai isu yang dibangkitkan sepanjang mesyuarat itu berlangsung.
"Kita teruskan dengan bahagian yang seterusnya, yakni bahagian teknologi siber dan pencerapan jarak jauh, saudara Æng. Silakan." Komander Æzarnoush bergerak ke bahagian yang seterusnya, yakni bahagian teknologi.
"Baiklah, Komander Æzarnoush. Salam sejahtera semua. Hari ini, saya ingin membentangkan maklumat berkenaan bahagian teknologi siber dan pencerapan jarak jauh." Æng memulakan bicaranya dengan kedengaran sedikit loghat cina.
"Setakat hari ini, tidak ada lagi sebarang petanda mengenai ancaman serangan siber mahupun penggodam yang datangnya daripada bahagian dalam stesen angkasa ini. Untuk penggodam luar angkasa pula, disebabkan kebanyakan stesen angkasa milik negara lain sudah lama meninggalkan orbit bumi, jadi, sensor luar stesen angkasa ini tidak dapat mengesan sebarang tindak balas dan juga denyut peranti yang berdekatan kecuali di stesen angkasa ini." Æng menerangkan dengan jelas dan tuntas.
"Bagaimana pula dengan tanda-tanda bacaan radiasi di permukaan bumi? Masih belum dapat menemui apa-apa jawapan lagi?" Komander Æzarnoush masih menaruh harapan yang cukup tinggi kepada keadaan permukaan bumi.
"Untuk setakat hari ini Tuan Komander, kami di bahagian teknologi siber masih belum menerima apa-apa kadar bacaan melalui meter tentukur mahupun maklumat jelas secara hitam putih yang datangnya dari permukaan bumi. Kemungkinan, kesemua alatan teknologi yang ada dahulunya telahpun musnah dibadai oleh proses pembelahan ataupun pelakuran tenaga nuklear yang dilepaskan oleh sinaran radiasi ketika episod 'letupan besar' dahulu. Namun, menurut laporan pencerapan kasar daripada stesen angkasa ini, kita dapat melihat perubahan daripada segi fizikal dan warna bumi. Planet bumi kelihatan lebih biru di bahagian lautan, lebih hijau di bahagian daratan dan ada kalanya kecoklatan di bahagian tengah benua." lapor Æng lagi.
"Maksudnya?" Komander Æzarnoush menanyakan kembali kepada Æng.
"Kemungkinan, planet bumi sudah boleh didiami oleh manusia jikalau dilihat dari segi fizikal dan luaran, namun untuk menafsir kadar bacaan radiasi, saya masih belum berani untuk membuat sebarang keputusan disebabkan kita tiada data mengenai hal itu. Ini kerana sinaran radiasi adalah sesuatu yang mustahil untuk dilihat melalui mata kasar dan hanya boleh diukur melalui alat tentukur tertentu." jelas Æng lagi.
"Dari segi pemerhatian saudara Æng pada waktu malam dibumi, pernah tak ternampak cahaya lampu atau kepulan asap yang dicetuskan oleh manusia dibawah sana?" Madam Ælicia mencelah pula.
"Pada pemerhatian kami pada waktu malam, hanya cahaya yang terhasil daripada letusan gunung berapi yang meluap-luap di sekitar rantaian api pasifik dan di gunung berapi aktif yang lain sahaja yang dapat dicerap cahayanya. Cahaya buatan manusia ataupun kepulan asap yang dihasilkan daripada bahagian permukaan setakat ini tidak dapat dilihat. Perlu diingatkan adalah mustahil untuk melihat kepulan asap kecil dari permukaan sekiranya ada manusia yang hidup kerana jarak antara permukaan dengan stesen angkasa ini yang terlalu jauh." Æng menjawab persoalan yang dilontarkan oleh Madam Ælicia itu.
"Takkanlah... Menurut laporan dalam buku laporan 'Misi Cakerawala LXX' ini, terdapat ramai manusia lagi yang berlindung di dalam bunker yang tertanam jauh dibawah perut bumi. Sepatutnya selepas tempoh tujuh puluh tahun, mereka sudah kembali ke permukaan dan membina peradaban kembali." Madam Ælicia mengangkat satu buku laporan berwarna merah magenta kelam yang tertulis perkataan 'Misi Cakerawala LXX' setebal lima ratus lima puluh lima muka surat dan di tampal plaster dibahagian kulit buku dengan perkataan 'Sulit'.
"Banyak kemungkinan yang boleh berlaku di permukaan bumi ketika berlakunya 'Letupan Besar' dahulu. Kemungkinan sinaran radiasi telah membunuh kesemua yang berlindung di dalam bunker akibat kebocoran dinding plumbum itu, ataupun kemungkinan mereka tidak dapat naik ke permukaan atas sebab-sebab tertentu. Senario terburuk, mereka berjaya kekal hidup di bawah sana, namun, bahagian permukaan bumi masih tercemar teruk dengan sisa radiasi dan mereka sudah kehabisan bekalan makanan dibawah tanah." ujar Komander Æzarnoush lagi.
"Namun tuan Komander, semua itu hanyalah spekulasi semata-mata. Kita tidak boleh menggunakan spekulasi sebagai inferens sains sehinggalah semuanya dibuktikan dengan kaedah saintifik yang betul dan lebih maju." Ædib, ketua bahagian sains dan makmal mencelah pula.
"Baiklah. Kamu ada cadangan yang lebih bernas, untuk kita selesaikan segala kemelut yang sedang melanda ini pada sudut pandangan sains, Ædib?" Komander Æzarnoush memberikan ruang kepada Ædib, ketua bahagian makmal pula untuk mempersembahkan ideanya.
"Ada, tuan." ujar Ædib sinis sambil tersenyum.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro