Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

| 3 |

ELEMENTAL SLAYER
-------------------------

"Kuasa kau bukan terletak pada senjata kau, tapi ia terletak pada keberanian kau dan rasa tanggungjawab."

.
.
.

BEBERAPA HARI SEBELUM...

                                        CENGKERIK-CENGKERIK memainkan muzik mereka, menemani malam yang sunyi. Tidak terlupa juga pada bunyi kepak nyamuk yang tidak dapat didengari oleh telinga manusia. Namun, jika nyamuk itu duduk sebelah telinga, mahu tidak rasa jengkel mendengarnya!
 
   Pada waktu malam inilah waktu tepat untuk makhluk seperti aku mencari rezeki. Apa? Ingat syaitan Elemental itu sajakah yang cari manusia malam-malam? Aku pun dua kali lima seperti mereka. Cuma dia orang makan daging manusia sementara aku sukakan darah sesiapa.

   Dari A, B, AB hinggalah ke O. Mujur tidak ada darah C sampai Z, kalau tidak pasti aku tak keruan untuk makan yang mana satu! Ha, dah jumpa dah seorang!
 
  Nyamuk itu menurunkkan badannya menuju ke arah lelaki itu. Rambutnya yang perang itu menarik perhatian nyamuk itu. Ah, tengoklah kulit tangan itu. Betapa banyaknya salur darah yang terkumpul di sebalik kulit.

   'Okeylah, aku nak makan du...'
 
   PAP!
 
   Nyamuk itu terus menjadi arwah ketika tubuh kecilnya digenggam begitu sahaja oleh lelaki itu. RamenMan mendengus kecil melihat tapak tangannya yang berdarah dengan darah nyamuk.
 
  "Haih, aku rasa aku dah tutup kot pintu, tingkap, apa semua. Ada lagi makhluk ni." RamenMan mengelap tangannya pada baju. Begitu sahaja riwayat nyamuk itu. Dileset baju dan terus jatuh ke lantai.

  Bau harum yang semerbak dari dapur menghilangkan kedutan pada dahi RamenMan. Tidak perlu tunggu beberapa lama, Gentar sudah membawa lauk itu. Mangkuk kecil berisi sambal serta pinggan berisi ulam-ulaman diletakkan pada hamparan surat khabar.

  Gelas yang diisikan air kemudian diletakkan menjadi pemberat  surat-surat khabar yang hampir berterbangan. RamenMan yang menyedok nasi cuma memerhati tindakan Gentar. Hrm... macam ini rupanya rasanya dapat orang gaji. Selepas ini mahu terus gunakan Gentarlah. RamenMan tertawa jahat di dalam hati.

   Lagipun, dia tidak suruh pun Gentar berketung-ketang di dapur. Si Gentar itu yang tidak sanggup makan lauk kegemarannya setiap hari.

    "Banyaknya ramen! Satu almari penuh dengan ramen. Ramen sama pula tu! Patutlah nama RamenMan!"

  "Kenapa nak kait dengan nama aku pula? Lagi satu, setiap ramen tu berbeza! Itu Samyang Spicy Ramen, itu pula Samyang Kabonara..."

  "Takkanlah nak makan lauk macam tu hari-hari!"

  "Kau masak sendirilah!"

   Oleh sebab itulah, mereka menjamah nasi ulam pada malam ini. RamenMan pun ego tidak mahu mengakui bahawa ulam-ulam yang dimasak Gentar memang sedap hingga menjilat jari. Meskipun duitnya dikebas sedikit bagi membeli sambal.
 
  "Nah, ni pula ikan kau!" Gentar memberikan sepinggan nasi dan cebisan-cebisan ikan pada Ochobot.

  "Wah, terima kasih Gentar!"

  RamenMan membiarkan Gentar membaca doa makan sebagai tanda menghormati. Digenggam ulam-ulam itu lalu dicampurkan bersama nasi. Tidak terlupa juga akan cik sambal. Ia turut ditambah sebagai penambah rasa.

  "Kau dapat mana bahan-bahan ni semua?"

  "Oh, safa gi... " Gentar menelan nasi-nasi itu sekaligus. Terbatuk-batuk kawan hingga cemas RamenMan menghulurkan air. Anak muda itu meneguk-neguk air, menghilangkan rasa pedih di leher.

  "Kau ni. Makan janganlah gelojoh! Nanti tak fasal fasal aku tanam jenazah kau esok hari.."

  "Ma... maaflah encik RamenMan. Fasal tu, saya ada bersiar-siar dengan pak cik Deep tadi. Sapa-sapa mak cik, dapatlah lauk percuma."

   Cerita Gentar mewujudkan rasa sangsi dalam RamenMan. Eh, baik betul si Deep itu jadi pemandu pelancong? Suruh masak ramen pun sudah tarik muka. Hendak bertanya, orangnya sudah balik ke kampung halaman.

  " Oh?"

  Lah, sepatah sahaja dia beri.

    "Jadi bila cik RamenMan nak bagi latihan dekat saya?" Gentar sudah teruja. Tangannya laju menguis-nguis nasi.

  "Kau kemaruk sangat ke nak lawan syaitan? Tengok perangai kau ni, baik kau lawan dengan cermin je." Timbul urat-urat pada dahi Gentar. Eh, encik RamenMan ini. Silap haribulan, nama itu bukan sekadar nama dah.

  "Gurau je." Muka macam tidak bergurau langsung! "Syaitan Elemental bukan sebarang musuh, mereka ada kuasa sendiri. Semakin tinggi tingkat mereka, semakin bahaya mereka."

  "Dia orang tinggal dekat pangsapuri tinggi-tinggi ke?" Gentar cuba meneka.

  "Eh, bukanlah! Kau ni. Ada tiga jenis syaitan Elemental." RamenMan menunjukkan tiga jarinya sebelum dua jari diturunkan. "Pertama, syaitan yang kau lawan semalam. Syaitan itu yang paling lemah."

  Gentar menyuap nasi ke dalam mulut. Keningnya bercantum. Paling lemah? Padahal mahu bertarung nyawa dia hendak melemahkan syaitan tersebut!

  "Syaitan kedua ialah Elemental Bintang Bawah. Yang paling kuat pula ialah Elemental Bintang Atas. Jarang sebenarnya dapat jumpa kedua jenis syaitan ini."

  "Mestilah, dia tak nak jumpa orang biasa-biasa macam encik." Gentar menayangkan muka tidak bersalah.

  "Aku campak kau dekat luar tingkap kang."

  Ochobot mencelah. "Jadi macam mana nak kalahkan syaitan-syaitan tu?" Pinggannya yang tersisa tulang ikan ditolak ke hadapan.

  "Selain tunggu matahari muncul, kau kena penggal kepala dia orang. Tapi, bukan sekadar pedang, tapi pedang khas yang dibuat oleh pembuat pedang Elemental. Macam Deep itu!" Kedua-dua pendengar membentuk bentuk 'O' pada mulut mereka. Macam dengar orang orang zaman dahulu bercerita pula.

   "Dan! Tunggu kejap!" Lah, nak tunggu dia makan rupanya. Yalah, berbuih mulut bercakap sampai tiada peluang untuk merasa nasi.

   "Manusia pun ada keistimewaan juga. Selain wujud syaitan yang hayatnya panjang, ada wujud makhluk serupa di sekeliling manusia."

  "Makhluk apa?" tanya Ochobot.

  "Yang lawaknya, makhluk itu ialah kau." Ochobot tercengang. Melihat reaksi Ochobot, RamenMan lekas menyambung. "Power sphera yang menjelmakan diri mereka sebagai kucing. Aku tak tahu dari mana mereka datang, tapi aku jarang jumpa kucing bercakap macam kau."

  "Oh, patutlah pak cik culik saya sebenarnya? Pak cik nak Ochobot rupanya! Lari, Ochobot!" Gentar sudah membuka langkah ke pintu utama sebaliknya Ochobot masih kekal di tempatnya.

  "Eh, bagi aku habis cakap dulu. Dan aku suruh kau jangan panggil aku pak cik, kan? Duduk dulu!" RamenMan mengurut kepala sambil makan. Haih... mahu sakit kepala dia melayan Gentar.

  Gentar melabuhkan punggung bersama gaya yang terpaksa. Macam anak dara yang tidak dapat berkahwin lelaki idamannya! Gedik sangat kelakuan!

    "Okey. Power sphera peranan mereka biasanya ialah membantu manusia untuk melawan syaitan. Macam beri kuasa pada manusia. Dengan itu, ia dapat memudahkan pertarungan mereka," jelas RamenMan. Sekali sekala ada makanan yang masuk di dalam ruang mulut itu.

  "Aku sendiri perlukan banyak latihan kerana tiada power sphera. Tetapi mungkin tanpa sedar, mungkin ada kuasa Ochobot salurkan pada kau. Dan itu dapat membantu kau dalam melawan syaitan nanti."

  "Jadi, kau ikut aku sebab nak bantu akulah?" Gentar menutup mulutnya dengan sebelah tangan, terharu.

  "Mana adalah. Aku ikut kau sebab aku risau." Ochobot menafikan. "Lagi satu, aku pun tak tahu aku power sphera. Kuasa pun tak ada."

  "Lah..."

    RamenMan mencerlung ke arah Ochobot. "Kejap, maknanya kau tak ada kuasalah?" Ochobot mengangguk. Terus RamenMan meraup mukanya. "Mungkin kuasa kau dah diambil orang dan kau tak ingat. Jadi maknanya..."

   "...Gentar ni tak bergunalah."

  "Wah, encik RamenMan pun tak ada kuasa juga kan?" Gentar sudah bangun dari duduknya. "Dahlah kata saya tak ada kawan. Ingat saya tak ingat ke? Kang saya tak halalkan lauk..."

  "Gaji..."

  "Okey, okey." Cepat benar Gentar menurut satu perkataan dari RamenMan. Terus duduk balik. Yalah, demi kelangsungan hidup, terpaksalah dia berkorban.

  Gentar mengerling ke arah Ochobot yang berdiam diri. Dia langsung mengubah subjek. "Ada ke kawan RamenMan yang ada power sphera?"

  "Ada. Tak silap, dia ada kuasa tenaga dari kucing dia."

  Hrm... jadi Probe pun kira power sphera ke?

  RamenMan merenung pada kedua tetamunya. Gentar beberapa kali menoleh pada kucingnya, risau. Ochobot pula sudah melenggong bersama krisis identiti yang baru sahaja diterimanya. Siapa sahaja dapat terima dia yang kucing bukan seekor kucing?

  "Dah, dah, makan. Sejuk nanti tak sedap pula. Nanti pinggan basuh sendiri. Pinggan aku sekali." RamenMan meredakan keadaan. Tidak reda sangat pun sebenarnya. Ada ke pinggan dia suruh orang cucikan? Memang betul-betul dia nak gunakan Gentar ini.

  "Jadi..." Gentar meletakkan pinggan-mangkuk di sebelah ruangan singki yang kosong. "Macam mana dengan latihan saya?"

  "Memandangkan kau pun tak ada kuasa, jadi esok, kita akan jumpa tok guru aku."

  Gentar jadi tidak senang duduk.

   Sepasang selipar jepun disarungkan pada kaki. Gentar laju mengalih kepala ke muka pintu, di mana bunyi geseran lantai kayu itu datang. Raut wajahnya berubah ketika Ochobot merangkak lemah keluar dari pintu.
 
  "Kau okey ke, Ochobot? Ke kau keracunan makanan?" Gentar segera mendukung Ochobot, memeriksa sebarang kelainan pada kucingnya. Mana tahu ikan yang dibeli RamenMan semalam ikan cetak rompak ke. Eh, apa benda dia mengarutkan ini?

  "Tak adalah. Kau tak rasa terkejut ke? Atau rasa aku tak berguna? Yalah, kalau betul kata RamenMan yang aku ni power sphera, aku boleh je bagi kuasa nak bantu kau." Nada Ochobot mengendur. "Tapi aku tak ada apa-apa pun."

  "Siapa kata? Kau ada aku!" Gentar tersenyum menampakkan giginya yang tersusun. "Cukup kau ada dengan aku, aku dah rasa bersyukur dah."

   "Gentar..."
 
  "Apa drama kau orang buat ni? Cepat sikit! Kedai mamak tu bukannya dekat!" RamenMan masuk campur drama antara mereka. Hakikatnya, dia berusaha menyorokkan air matanya yang hampir jatuh. Aduh, drama dia orang terlalu mengusik jiwalah!

  "Eh, kita orang tunggu encik ke?"

  "Dah, dah, jom pergi."

  Perjalanan mereka dari rumah ke warung makan itu memakan masa sepuluh minit. Kata RamenMan, jarak warung itu dengan rumahnya cumalah sekangkang kera sahaja.
 
  Sepanjang perjalanan itu, mereka melewati panaroma bendang yang terisi padi menguning  di seberang mereka. Ramai penduduk Kampung mula keluar rumah ketika cahaya mentari Subuh sudah menyimbah bumi. Tingkap-tingkap yang tertutup rapat pada waktu malam juga dibuka kembali, memberi peluang udara-udara menyejukkan seisi rumah.

   "Panjangnya penerangan cik RamenMan." Gentar menegur kelakuan RamenMan yang dari tadi sibuk bercerita fasal keindahan alam.
 
  "Eh, cuba kau buat sendiri!" cabar RamenMan.

  "Ala, boleh je!" Gentar menyahut cabaran itu. "Di hari yang indah ini, bunga bernyanyi. Burung-burung berkembang harum. Eh... hrm..."

  "Burung-burung berkembang? Itu puisi kau? Kalau bentang dekat satu kampung, satu kampung tergelak!" RamenMan tergelak terbahak-bahak. Tadi bukan main sorok rasa sedih, kali ini siap tergelak macam tengok Maharaja Lawak pula!

  "Eh, diamlah! Tu baru pemula kata!"

  "Teruknya pemula kata tu!"

  Jauh dari kedudukan mereka, seorang pelayan memerhati tingkah mereka. Dulang membawa secawan kopi dan dua roti dituju ke arah sebuah meja. Kopi itu diletakkan di hadapan lelaki tua yang sedang membelek surat khabar.
 
   "Tok, itu bukan anak murid tok ke?"

  Lelaki tua itu berpaling ke arah yang ditunding pelayan itu. Dia menjatuhkan kepala, penuh pasrah. Budak ini datang lagi.

  "Dah, dahlah tu, Gentar!" Ochobot mengigit hujung seluar Gentar, menariknya jauh dari RamenMan. Sesaat kemudian dia melepaskan. "Eh, kejap, tu bukan kedai mamak yang RamenMan kata tu ke?"

  "Eh, yakah?" Perhatian Gentar tertumpu kepada gerai mamak tersebut. Kebanyakkan meja sudah dipenuhi oleh orang-orang Melayu yang ingin bersarapan.

  "Dah, dah. Jom." RamenMan mengheret leher baju Gentar menuju pada meja diduduki tok gurunya. Sampai sahaja, dia pantas melepaskan pegangannya pada Gentar yang tidak berhenti meronta-ronta.

  "Jangan! Jangan!"

  "Hoi, aku dah lepaskan kaulah!"

  "Oh, ya kah? Hehehe..."

  Lelaki tua itu mencicip sedikit kopi. "Anak siapa pula yang kau bawa kali ini, R..."

  "Jangan sebut nama sebenar saya, tok! Sebelum itu, saya perkenalkan. Ini Gentar dan kucingnya, Ochobot." RamenMan menunjukkan ke arah kedua anak kutipnya. Sampai ke kucing pun diperkenalkan diri.

  "Assalamualaikum, tok." Gentar memberi salam. Salam itu dibalas kembali.

  RamenMan menempatkan dirinya di belakang tok gurunya. "Ini tok guru aku, pendekar silat yang terhandal dekat kampung ni. Nama beliau..."

  Lelaki tua itu mengangkat tangan, menyampuk bicara RamenMan. "Panggil sahaja Tok Sah."

  Senyuman muncul pada wajah Gentar. Matanya sekilas menoleh pada Ochobot di bawah. Ketika itu, Gentar tidak sedar... dia akan menghadapi latihan yang penuh cabaran.








Gentar : Hai, semua!

Ochobot : Gentar, apa kita buat dekat sini?

Gentar : Kita buat sini sebab nak bercakap dengan pembacalah. Ya! Hari ini rahsia Elemental buat kau orang semua!

Gentar : Tahu tak? Kalau tak nak tahu pun, mari aku cerita juga. RamenMan ni seorang pengumpul ramen tegar. Sampai dia pernah bertekak dengan budak-budak semata-mata nak beli semua ramen yang ada!

Ochobot : Mana kau tahu tu?

Gentar : Oh, pak cik Deep yang bagitahu!

Suara RamenMan : Gentar! Ochobot! Cepatlah! Buat apa lagi dekat situ!

Gentar : Okeylah, aku nak pergi latihan ni. Jumpa kau orang di bab akan datang!

Ochobot : *tengok Gentar pergi*

Nooroo : *datang* Dia... dia tak tahu kan sekmen ni tak ada gaji?




✨✨✨

Sebenarnya, dinamik antara RamenMan dan Gentar nilah paling tak disangka-sangka sebenarnya 😔✨

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro