| 21 |
ELEMENTAL SLAYER
-------------------------
"Bagi Duri, kamu juga benda berharga buat dia ."
.
.
.
SETITIS demi setitis darah mula membasahi lantai yang mengalir daripada tangan sosok itu. Walaupun pada hakikatnya Gentar tahu di hadapannya merupakan syaitan berbahaya, badannya tetap terkaku tanpa suara. Dengan berhati-hati Gentar menggerakkan matanya ke atas dan mendapati sebuah tangan cuba menggapai wajahnya!
Cepat-cepat Gentar menepis tangan itu sehingga datang tumbukan yang lain ke dadanya. Bunyi 'gedebuk' yang kuat kedengaran apabila belakang Gentar berlaga dengan tong sampah besar itu, sekaligus menarik tiga budak-budak itu tadi.
"Abang, abang okey ke?"
"Ke, ada anjing?"
Jangan datang! Peti suaranya seperti dicabut daripada melarang mereka. Melihat sosok itu cuba pergi ke arah mereka, Gentar segera mencapai sebotol tin kosong lalu membaling tepat terkena mata syaitan itu. Kemudian apa lagi? Larilah selamatkan diri!
Tercungap-cungap Gentar berlari melalui koridor yang seakan-akan tiada penghujung. Beberapa kali dia toleh ke belakang, ah, sosok itu langsung tidak kelihatan termengah! Gayanya seperti harimau berjalan mengejar mangsanya yang sedang panik ketakutan.
"Takkan tak ada lorong kosong dekat sini?" Gentar menoleh ke kiri dan ke kanan. Aduh, yang ada cumalah van besar yang menghalang laluan jalan! Jantungnya berdegup melebihi kapasiti, memaksa Gentar memperlahankan sedikit lariannya.
Gentar berpaling ke belakang sekali lagi. "Eh, tak ada?" Dan ke hadapan semula.
"ERGH!" Gentar mencakar-cakar bahagian lehernya yang dipegang seseorang. Simbahan cahaya bulan dari belakangnya, berjaya menonjolkan sifat-sifat syaitan itu. Bertelinga pacak, rambut putih dan langsung tiada hidung.
Cengkaman pada lehernya menyebabkan lehernya terasa ingin pecah. Ini ke raja syaitan? Ini ke Retak'ka? Auranya berbeza betul dengan syaitan-syaitan lain yang pernah dia temui sebelum ini. Malangnya, semakin dia meronta, semakin dia terasa beberapa kuku-kuku tajam mula membenam masuk ke dalam kulitnya.
Dalam sesak dia mengambil nafas, Gentar mulai panik saat perutnya terasa dicucuk seseorang. Lekas pedang di pinggangnya dicapai dan ditikam tepat pada lengan si Retak'ka itu, mengakibatkan pegangan Retak'ka padanya langsung longgar.
"Uhuk! Uhuk!" Tekaknya kembali sejuk setelah oksigen berlumba-lumba memasuki ruang udaranya. Tangkas dia merangkak lantas membangunkan diri. Tekaknya yang berdarah diraut sambil dia tergopoh-gapah menyusun langkah.
Cahaya kalimatang membuka laluan untuk Gentar, membelok bagi menyelamatkan diri.
Keluar sahaja disambut kekeliruan beberapa orang ramai, Gentar jatuh rebah ke tanah. Pantas dadanya dicengkam, mengharapkan nafasnya yang kencang akan reda, sampailah dia mendapati leher bajunya berdarah dari luka lehernya.
Dia.... hampir mati tadi.
"Jang, engko baik, dak?'
"Leher dia berdarah!"
Bulu romanya meremang.
Gentar perlahan memaling ke belakang. Matanya membulat melihat tubuh Retak'ka yang lebih besar daripadanya, kini duduk bagaikan orang tua yang lemah di atas kerusi roda. Ekor matanya mengekori seorang gadis muda merapati Retak'ka.
"Atuk, atuk okey ke? Puas saya cari atuk! Sarung pernafasan tu masih baik ke?" Gadis itu membetulkan sarung pernafasan Retak'ka. Memandangkan 'atuk'nya tidak memiliki saluran pernafasan yang sepatutnya, terpaksalah bergantung pada alat perubatan ini semata-mata.
Dada Gentar membara amarah menonton sandiwara yang dimainkan di hadapannya. Si raja syaitan itu tengah cuba memenangi anugerah lakonan ke apa? Kalau betul, memang tidak menjadilah! Tanpa berfikir panjang, Gentar terus mara ke hadapan!
"Dia... dia cuba bunuh saya tadi!" Tuduhan Gentar menimbulkan kekecohan di kalangan khalayak ramai. "Jangan nak cuba menyamarlah, raja syaitan!"
Gadis itu segera menarik kerusi roda, menjauhkan diri daripada Gentar. "Apa maksud tuan hamba? Gila ke apa? Mana mungkin datuk hamba yang sakit ini menyakiti tuan hamba?"
"Ni bukan datuk kau! Dia ni raja syaitan yang cuba bu..." Ayat Gentar sepantas kilat dihalang raungan kasar yang datang daripada lorong yang dilaluinya tadi. Secara mendadak, Vijay bersama iris merah meluru ke arahnya.
"Dik?" Gentar memegang bahu Vijay, menjarakkan diri daripada Vijay yang cuba menggigitnya. Rontaan Vijay berjaya mendedahkan tebukan seperti kuku pada sisi lehernya. Sama macam mayat wanita tadi!
"Jangan-jangan..." Gentar mengangkat wajahnya. Si raja syaitan tu dah mula pergi! "Tunggu! Hoi, tunggu! Jangan larilah, pengecut!"
Ketika Gentar bingkas bangun, jaraknya antara Vijay kian mendekat. Tolakan kuat Vijay menyebabkan Gentar terjatuh ke bawah. Salakan datang dari Vijay umpama anjing ganas yang menakutkan orang ramai dari menghampiri mereka. Menerusi celah kankang Vijay, Gentar dapat melihat dua kawan Vijay tersengut-sengut menangis.
"Panggilkan askar diraja! Panggilkan askar diraja!"
"Nanti! Jangan!" Gentar sedaya-upaya menghalang tetapi tingkah Vijay mendesaknya menendang Vijay lantas mengunci tangan anak itu. Keriuhan orang ramai bertambah kalut ketika Vijay yang sekarang saling tidak tumpah seperti haiwan liar.
"Dia bertukar jadi syaitan? Tapi macam mana? Takkan aku nak penggal budak ni? Keris aku pun dah hilang. Apa aku nak buat... apa aku nak buat..." Gentar berdesis perlahan. Pergelangannya sudah pedih terkena cakaran daripada Vijay. Tak akan mahu lepaskan Vijay begitu sahaja?
Flap! Flap! Flap!
Iris matanya terpaku bilamana seekor rama-rama biru melintas di hadapan matanya. Bukan seekor rama-rama, malah datangnya beberapa ekor lagi. Gentar dan Vijay dikelilingi pusaran rama-rama biru. Setiap rama-rama yang berpusing di sekitarnya melupakan Gentar akan situasinya kini.
"Tenanglah..."
Gentar pantas mengarah ke hadapan semula. Seorang wanita berselendang biru dan pemuda bertopi merah berdiri di hadapannya. Wanita itu seterusnya membelai-belai rambut Vijay sehingga anak itu tenang dan mula melelapkan mata. Pengaruh dadah ke apa?
"Saya salah seorang doktor di sini. Nama saya, Kuputeri. Jangan risau, saya boleh rawat dia." Wanita itu mengintroduksikan dirinya tatkala pemuda di sebelahnya mengangkat Vijay yang sudah ketiduran. Wanita itu merenung Gentar yang masih terpaku. "Kamu okey?"
"Vijay! Syukurlah kamu okey!" Tanpa disedari, seorang wanita memakai sari mendorong diri mendekati mereka bertiga. Ah... mesti kawan-kawan Vijay yang pergi panggilkan mak Vijay.
Kejap, Duri! Ochobot!
"Hei, nanti dulu!" Halangan itu diendahkan oleh Gentar. Pemuda itu hanya menghantar Gentar pergi melalui pandangan mata. Sudah kenapa dia berlari panik sebegitu?
"Jangan risau, Maripos. Biarkan dia sekejap."
Nafasnya hampir hilang apabila tubuhnya dikerahkan untuk berlari lagi. Sudahlah rasa yang mencucuk-cucuk pada lehernya masih belum hilang. Walaupun begitu, di dalam fikiran Gentar cumalah keselamatan Duri dan Ochobot.
Kalau raja syaitan ada dekat sini... mesti, ah, tak. Macam mana kalau dia berjumpa dengan Duri? Sedangkan budak kecil yang tak bersalah pun dikerjakan Retak'ka, apatah lagi Duri dan Ochobot! Lama-kelamaan, Gentar terpaksa membongkok, mengambil nafasnya yang hilang sebentar tadi.
"Gentar! Gentar!" Sayup-sayup kendengaran suara seseorang menghampirinya. Beberapa saat seketika, Ochobot datang menemuinya diikuti raut wajah yang cemas.
"Ochobot! Kenapa ni Ochobot?" Gentar menunduk, mendapatkan Ochobot.
"Duri... Duri dalam bahaya!"
Bayangan Duri berligar-ligar di dalam kepalanya bagaikan kaset rosak. Rentak cemas diorakkan melalui kakinya, menyamai dengan rentak paniknya yang semakin memuncak. Macam mana nasib Duri kalau berada di tangan Retak'ka sekarang? Memikirkan hal itu, Gentar mencepatkan lariannya sehingga tidak mampu dicapai oleh Ochobot.
"Gentar, nanti dulu!"
Sesampai sahaja beberapa meter di hadapan kedai, dada Gentar semakin sesak sampai sukar dia untuk bernafas. Termengah-mengah dia mengganti nafas yang hilang tadi. Pantas dia mengangkat mukanya. "Duri!"
"Aduh... adik. Mana boleh ambil barang tapi tak bayar. Haih... macam mana bisnes pak cik tak maju-ma..." Bebelan panjang Pak Mat membuatkan Duri bermain-main jari telunjuknya. Salah hari dia orang cuba ganggu pak cik ini.
"Kan aku dah kata... Duri dalam bahaya." Ochobot memberitahu sekilas lantas menarik nafas dalam-dalam. Gentar merenung Ochobot dalam-dalam sebelum diakhiri dengan senyuman. Terus dipukul-pukul belakang kucing itu.
"AH, SAKITLAH! PENDERA KUCING!" Ochobot melarikan diri saat Gentar mengejarnya bersama tangan di atas. Tidak fasal-fasal tercetus pergaduhan antara kucing dan tikus pula. Masalahnya si kucing yang dikejar.
Pertengkaran mereka membuatkan sesi ceramah Pak Mat terhenti serta-merta. Pak Mat mengais kepalanya yang botak tepi. "Dah kenapa pula dia orang ni?"
Dipendek cerita, Gentar terpaksa mengosongkan poketnya demi 'menyelamatkan' Duri dan juga burger yang dipegang kanak-kanak itu. Tidak mengapalah, asalkan dapat mengalas perut... itu pun sudah cukup. Laju dia membuka lipatan surat khabar pada burger itu sementara bungkusan satu lagi dipegang tanpa rela oleh Duri.
Gentar merasmikan gigitan pertama pada burger ini. Sekali lagi, Gentar mengamalkan adab makanan yang makhruh, iaitu makan sambil berjalan. "Okeylah... kita pergi tengok bunga api sekarang."
"Dahlah pergi tak beritahu..." Ochobot mendongak memberi Gentar eksperesi menyampah sebelum pandangannya membeku. "Gentar, leher kau berdarah! Kau pergi mana tadi?"
"Oh, ni..." Gentar menyentuh bekas lukanya. Cecair merah pekat melekat pada jarinya, mencemaskan Duri dan Ochobot. Habis bising kedua-dua makhluk itu. Nasib sudah kurang orang di persekitaran mereka.
"Hmm..." Duri merengek kerisauan. Lehernya didongakkan memandang leher Gentar yang berdarah-darah. Terburu-buru Gentar menunduk menyamai ketinggian Duri saat melihat mata Duri sudah bergenang air mata.
"Ah, Duri. Janganlah risau. Sikit je ni."
"Sikit bendanya? Leher kau dah biru-biru sekali dengan darah dah! Kita... kita kena pergi hospital sekarang!" Ochobot sudah berpusing lalu mengambil langkah ke menjauhi mereka. Entah hospital mana yang hendak dicarinya.
"Eh, Ochobot! Tunggulah!" Gentar cepat-cepat bangun, ingin mengekang larian Ochobot. Namun, pergerakkannya terjeda kala seekor rama-rama mengepakkan sayapnya di hadapan matanya. Tidak lama kemudian, beberapa ekor rama-rama menari dalam pusaran warna biru mengelilingi mereka.
"Huh... huh..." Tergesa-gesa Ochobot yang berlari kembali pada mereka berdua. Sepertinya dia tumpang takut melihat kewujudan serangga itu mengempung mereka. "Dah kenapa ada banyak rama-rama pula ni?"
"Aku rasa rama-rama ni rama-rama tadi," teka Gentar sendiri.
"Rama-rama tadi?" Berkerut-kerut dahi Ochobot mendengarnya.
Setiap rama-rama itu berdansa mengikut pergerakan angin membentuk pusaran angin yang menghampiri mereka. Gentar memegang telongkoknya yang hampir berterbangan manakala Duri dan Ochobot sudah berpaut pada kaki Gentar. Duri takut-takut ingin menyentuh rama-rama itu sehinggalah seekor rama-rama biru menghinggap di hidungnya.
Dan sekelip mata, mereka ditempatkan di tempat yang lain.
Dekat mana dia orang ini? Mata Gentar tegang disertai samar-samar kebimbangan. Sepertinya mereka berada di kawasan padi, berdekatan dengan festival tahun baharu tadi. Tetapi... macam mana dia orang boleh sampai sini kembali?
"ZUUP!"
"Hmmmph!" Tongkat yang dibaling ke Gentar terus terbelah begitu sahaja apabila dicakar oleh kuku tajam Duri. Rangka tongkat itu kemudiannya kembali terbang pada tangan pemiliknya.
"Kau..." Gentar melemparkan pandangan tidak puas hati kepada lelaki bertopi merah itu. "Kau yang dengan perempuan tadi tu kan? Siapa kau ni, ha? Kenapa tiba-tiba serang kita orang?"
"Perempuan kau panggil tuanku Kuputeri?" Timbul urat-urat kemarahan di sebalik senyuman manis lelaki itu.
"Lah... takkan dia laki pula." Ayat Gentar lekas dipintas oleh Ochobot. Nanti jadi gaduh besar pula. "Kau ni siapa? Kenapa bawa kita orang sampai sini?"
"Oh, maafkan aku yang tak beradab ini." Lelaki itu menghayunkan tangannya ke dada, lembut. "Namaku Maripos, sedia untuk berkhidmat."
Hrm... mata dia berwarna ungu. Dan iris dia tak sama macam manusia. Syaitan ke ini. Patutlah perangai macam itu pun, fikir si Gentar.
"Oh, ya. Kau tertinggal benda ni." Gentar pantas menyambut keris yang dilambungkan oleh Maripos. Kejap, ini keris yang dia guna untuk tikam Retak'ka tadi! Urgh... darah syaitan itu masih melekat dekat keris dia.
"Mari ikut aku. Tuanku Kuputeri ingin bertemu kau orang semua." Maripos berjalan terlebih dahulu mendahului mereka. Meskipun begitu, Gentar enggan berganjak. "Dah kenapa kita orang nak ikut kau pula?"
Maripos melepaskan helaan berat. "Budak pelik itu syaitan, bukan? Aku dan tuanku Kuputeri juga syaitan. Tuanku hendak berbincang sesuatu berkenaan kondisi adik kau."
"Huh... pelik?" Nada Gentar berubah tegang. Kalau ikutkan, mahu sahaja dia berikan Maripos minuman 'air lumpur' secara percuma dekat kawasan padi ini. Tapi, mendengarkan tawaran Maripos, dia terpaksa menangguhkan niatnya.
"Kalau setuju, mari ikut aku." Maripos menggunakan lorong kecil di antara kawasan padi, yang membawa mereka ke dalam kawasan perkampungan kecil yang berderetan.
Maripos mencuri-curi pandang ke belakang. 'Jadi betullah aku nampak syaitan pelik ini dekat festival tadi.' Tersentak si Maripos apabila menerima jelingan tajam daripada dua beradik itu. Segera dia berpaling ke hadapan semula.
Yang besar pula kelihatan ingin meletup akibat kemarahan melampau sedangkan yang kecil itu pula sudah mengeluarkan kukunya yang tajam kerana cuba mencederakan Gentar. Haih... mengapalah dia perlu terjebak menguruskan orang seperti ini?
"Kita masuk sini." Maripos menghalakan tangannya ke arah salah satu lorong tersorok. Di hujungnya hanya terdapat kawasan pembinaan rumah yang telah lama ditinggalkan.
"Huh, kenapa kita kena pergi sini pula? Kau nak ajak kita orang bina rumah ke? Adeh!" Gentar menggosok kepalanya yang terkena tongkat Maripos.
"Banyak cakaplah kau ni." Salah satu rama-rama biru membawa kembali tongkat Maripos ke tangan lelaki itu semula. Maripos menggenggam tongkat itu lalu membelah angin, mengoyakkan dinding ilusi yang memisahkan tempat itu. "Masuk."
"Ada rumah tersembunyi?" Ochobot terlebih dahulu melompat masuk ke dalam celah yang dibuka oleh Maripos tadi. Tidak lama kemudian, Gentar dan Duri turut ikut masuk sekali, mendedahkan mereka pada sebuah rumah banglo yang berdiri megah di hadapan mereka.
"Dinding ini hanya boleh dibuka oleh aku dan tuanku Maripos. Jadi tempat ini selamat daripada sebarang manusia atau syaitan yang lain." Sekali lagi, tongkat itu dihayunkan pada bukaan rahsia itu. Bagaikan zip beg, bukaan rahsia itu terjahit semua.
"Kalau ada syaitan yang boleh buka macam mana?" Perasaan ingin tahu Gentar tidak dilayan langsung oleh Maripos. Tengoklah, boleh pula si Mariposmen itu selamba badak berjalan macam itu sahaja! Gentar memegang kerisnya tetapi cepat-cepat dihalang Ochobot.
"Hoi, hoi dah gila ke?"
Maripos berura-ura memulas tombol pintu terhenti apabila menyedari tiga makhluk Tuhan itu masih bertengkar mulut dari tempat yang sama. Jarinya lantas dipetik. Sekedip mata, pusaran rama rama biru membawa mereka betul-betul di sisi Maripos.
"Aku bawa kau untuk jumpa tuanku. Bukannya jadi pemandu pelancong." Maripos memutarkan bola matanya 360 darjah seraya membuka pintu. Bunyi pintu terbuka itu menyebabkan Kuputeri yang sedang ralit membuka peti kecemasan terus menoleh ke arah muka pintu.
Wajah Kuputeri yang sedia manis terus tertarik senyum apabila melihat tetamu yang sudah ditunggunya. "Oh, kamu semua sudah sampai. Silakanlah masuk."
Maripos terlebih dahulu berjalan masuk dituruti Gentar. Akan tetapi, entah di mana silapnya, kakinya tersandung sesuatu sehingga Gentar terjatuh seperti nangka busuk. Cepat-cepat Duri memegang lengan Gentar, membantu remaja itu berdiri kembali. Serentak itu, gelakan kecil bernyanyi sumbang di telinganya.
Gentar menjeling tajam ke arah Maripos yang menyembunyikan tawanya. Dasar, mesti dia yang sengaja hulurkan kaki dia! Tunggulah...
"Hentikan semua ini, Maripos." Teguran Kuputeri bukan sahaja membuatkan Maripos terdiam, bahkan menghentikan hajat Gentar untuk menghentak kaki Maripos.
Tatkala bunyi kipas siling sahaja yang berlegar, Kuputeri mengambil kesempatan untuk bersuara. "Salam perkenalan, nama saya Kuputeri. Namun, Maripos mesti sudah memberitahu nama saya pada kamu semua. Oh iya, apa nama kamu?"
"Nama saya, Gentar. Ini... adik saya, Duri dan kawan saya, Ochobot. Dia ni power sphera." Gentar membelai-belai Ochobot, membuatkan Ochobot bangga dikenali sebegitu. Nampak sangat gila bayang.
"Err... kenapa tu... uh, cik Kuputeri nak jumpa saya?" Pada mulanya Gentar ingin memanggil Kuputeri dengan panggilan Maripos gunakan, sebaliknya bila difikirkan... panggil 'cik' sahajalah supaya tidak janggal.
"Macam Maripos ada katakan pada kamu, saya ada hal untuk berbincang dengan kamu." Kuputeri memberi isyarat mata kepada Maripos. Maripos mengangguk menurut dan menghampiri kotak kit alat kecemasan. Kuputeri menyambung. "Kamu berjumpa dengan Retak'ka, bukan?"
Ochobot mencelah. "Kejap, kejap, kejap. Retak'ka? Yang raja syaitan yang Tok Sah cerita sebelum ni? Kau jumpa dia? Bila?"
"Sabarlah... biar aku cerita dulu! Eh, apa ni?" Gentar menjauhkan diri apabila Maripos cuba mendekatinya. Maripos berdecit. "Nak rawat luka dekat leher kaulah."
"Jangan-jangan luka kau tu sebab Retak'ka tu ke?" Ochobot cuba mengagak sendiri disambut reaksi Duri yang terkedu. Riak Gentar menahan pedih dirawat memenuhi penglihatan Duri, membuat kanak-kanak itu tertunduk.
"Biarlah aku cerita duluuuuu..."
Gentar menghirup nafas dalam-dalam, maka bermulalah perkongsian cerita yang tidak ditulis secara panjang lebar. Yalah, hendak jimat patah perkataan. Gila ke karang sampai 4000 patah perkataan.
Daripada macam mana pertemuan dia dengan Retak'ka setelahnya berubah topik bagaimana dia berjumpa Duri dalam hutanan Wisteria. Sepanjang penceritaannya, Gentar betul-betul menghayati setiap watak dengan penuh emosi! Bermula dengan memainkan watak Retak'ka yang mencekik seseorang, buat-buat diikat pada tiang, menjadi pemain bola sepak tidak berbayar termasuklah watak-watak bapa menasihati anaknya.
Kalau menjadi jururawat sebenar, pasti Maripos sudah mengarang surat berhenti kerja. Tidak mahu dia merawat pesakit yang banyak bergerak macam si Gentar ini.
"Jadi macam itulah ceritanya." Gentar menunduk beberapa kali, serupa pelakon yang bersedia ingin melabuhkan tirainya. Akhirnya dia boleh juga duduk setelah bergiat menjadi pelakon tidak berbayar. "Ah, saya lupa! Budak tu macam mana?"
"Budak itu dah dirawat oleh Tuanku Puteri. Dia dah pulang dengan keluarga dia semula." Maripos menerangkan bagi pihak Kuputeri yang sudah termenung jauh. Mungkin perlu ambil masa untuk memproses drama percuma tadi.
"Syukurlah. Aduh." Leher Gentar terasa mencucuk ketika ubat antibiotik itu dibenam pada kulitnya. Direlakan sahaja Maripos membalut lehernya menggunakan kain kasa.
"Kamu kata... yang kamu dengan Duri ini sama-sama hilang ingatan?" Kuputeri meminta keabsahan daripada drama novela Gentar tadi.
"Ya... ah, tapi sebab saya dengan Duri hilang ingatan... saya tak tahu macam mana Duri hilang ingatan. Tapi mungkin ada sesuatu yang terjadi sampai kita orang berdua hilang ingatan." Gentar cuba membuat teori sendiri.
Ochobot menambah. "Kan ada mak cik Kantin kata... yang ada peristiwa pokok Wisteria berlubang dekat kampung Tok Sah tu. Jadi aku rasa, masa banyak-banyak syaitan keluar dari penjara Wisteria tu, Duri masuk dalam hutan tu."
"Untuk dapatkan kuasa seni syaitan macam Duri, setiap syaitan perlu memakan lebih banyak manusia. Tapi saya rasa... Duri tak pernah makan manusia," jelas Kuputeri, tergantung. Matanya memandang Duri yang mengelak bertentang mata dengannya.
"Maksudnya?"
"Saya rasa selama ni Duri makan syaitan dan dagingnya sendiri untuk terus hidup."
Ochobot : Hai semua, okeylah! Untuk rahsia Elemental Slayer kali ni...
Nooroo : Tak boleh!
Ochobot : Huh, kenapa pula?
Nooroo : Nanti kalau sembang dekat sini, makin panjang patah perkataan jadi. Ah, dah 2851 patah perkataan dah!
Ochobot : Lah, pastu skrip ni?
Nooroo : Ah 2862 patah perkataan. Tak ada, tak ada. Sambung bab seterusnya! Risau dia orang bosan panjang-panjang
⚡⚡⚡
Syok-syok menulis macam nilah. Sedar-sedar dah nak dekat 3000 patah perkataan lebih 😔
Dan hari ni aku cuba main kalimba. Bapak sakit ibu jari aku 😭 Rasa kebas sampai.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro