Bab 2
Tahun baru...
THAQIF menyarung kopiah ke kepala. Sejadah dihamparkan menghadap kiblat. Kemudian, dia melangkah ke arah katil. Si isteri masih nyenyak tidur. Padahal dia dah banyak kali kejutkan si isteri. Sejak beberapa bulan ini, dia perasan Nayla susah sangat nak bangun subuh. Selama ini, isterinya yang selalu kejutkan dia bangun subuh. Sekarang, sudah terbalik pula.
“Bangun Qaseh. Dah nak subuh ni.”
Masih tiada respons.
“Sayang... bangunlah.”
Ada pergerakan. Namun, kembali senyap. Thaqif hembus nafas berat.
“Qaseh sayang bangun!” Thaqif goyang sedikit bahu si isteri bersama suara yang sedikit tinggi. Barulah tubuh Nayla bergerak sekaligus membuka mata.
“Bangun pun.”
“Dah subuh ke?”
“Ya. Cepat bangun. Pergi mandi. Lepas tu, ambil wuduk. Abang tunggu.”
Lantas, Nayla bangun dari perbaringan dan turun katil. Langkah dihayun ke bilik air sambil merapikan rambut.
“Tuala tak ambil sayang,” tegur Thaqif.
“Abang tolong ambilkan. Malas nak jalan ke sana,” kata Nayla.
Thaqif tak banyak bunyi, terus capai kain tuala dan melangkah ke arah si isteri. Kain tuala tersebut dihulurkan kepada si isteri. Nayla sambut huluran itu. Baru nak melangkah masuk ke dalam bilik air, Nayla memandang Thaqif semula.
“Abang kejap.”
“Apa lagi sayang?”
Nayla mendekati Thaqif bersama sengihan jahat. Laju sahaja dia menarik leher si suami dan menghadiahkan kucupan singkat di pipi Thaqif. Thaqif tersentak.
“Qaseh Nayla! Wuduk abang...”
“Salam subuh abang. Sila ambil wuduk balik.”
Nayla terus berlari masuk ke dalam bilik air. Meninggalkan Thaqif yang tercengang. Namun, tidak lama dia ketawa sarkastik.
“Ya Tuhan! Nakal betul isteri aku ni.”
“ABANG ada nampak kotak kerongsang Qaseh?”
“Tak nampak. Bukan selalunya ada dekat atas meja solek tu ke?”
“Kalau ada, Qaseh tak tanya abang.” Nayla mencebik bibir.
Thaqif garu kening. Sudah kenapa dengan isterinya ini? Tiba-tiba, nak marah.
“Qaseh cari merata tempat. Tak ada pun. Macam mana nak pakai tudung, kalau kerongsang tak ada.” Nayla merengus geram.
“Tak ada kerongsang simpanan lain ke?” soal Thaqif. Dia garu kening. Dalam masa yang sama, dia juga takut melihat Nayla yang macam nak jadi singa betina.
“Tak ada. Qaseh simpan semuanya dalam kotak tu. Kotak tu ada kaki kut. Itu yang tak ada dekat atas ni,” ujar Nayla dengan nada tidak puas hati.
Thaqif kemam bibir, tahan gelak. Pagi-pagi dah terhibur dengan kerenah si isteri.
“Isy! Qaseh tak nak pergilah. Abang pergi sorang.” Nayla henyak punggung di atas kerusi lalu menyerabutkan tudung di atas kepalanya. Habis berkedut tudung bawal tersebut. Sebal punya fasal.
Thaqif menggeleng kepala seraya menghampiri si isteri di meja solek.
“Mana boleh macam tu. Kesianlah dekat ibu dengan ayah. Dia orang mesti nak Qaseh ada untuk raikan hari bahagia mereka,” pujuk Thaqif.
“Cuba bawa mengucap Qaseh. Tak pernah abang tengok Qaseh marah-marah macam ni.”
Air muka yang Nayla yang tegang itu terus mengendur. Dia beristighfar sambil menghembus nafas. Baru sedar yang dia jadi marah-marah apabila barang yang dicarinya tidak dijumpai.
‘Kenapa dengan aku?’
“Dah, Qaseh duduk sini diam-diam. Biar abang cari.”
Thaqif terus melangkah ke arah beg tangan si isteri. Seingatnya, semalam Nayla ada memasukkan sesuatu ke dalam beg tangan ini. Mungkin sesuatu yang dia nampak itu adalah kotak kerongsang si isteri. Segera dia menyelongkar beg tangan Nayla. Si isteri hanya memandang sahaja kegiatan si suami.
Namun, air mukanya terus berubah. Seakan teringat sesuatu.
“Hah! Qaseh dah ingat. Qaseh letak dalam beg semalam.”
Selepas dia kata begitu, Thaqif mengeluarkan kotak bercorak bunga dan menayangkan kepada Nayla.
“Qaseh okey ke tak ni? Tak pernah Qaseh nak melenting tak tentu fasal kalau cari barang tak jumpa.” Risau Thaqif jadinya. Nayla tak pernah tunjuk perangai macam tu.
“Entahlah abang. Qaseh pun tak tahu kenapa dengan Qaseh,” balas Nayla. Dia sendiri pun tak faham dengan diri sendiri.
“Nah. Cepat siap. Kesian dia orang tunggu kita.”
“Tapi tudung Qaseh dah berkedut.”
Terus Thaqif kepit manja hidung Nayla.
“Itulah... marah-marah lagi. Kesian tudung tu jadi mangsa amukan Qaseh Nayla.”
Thaqif ambil tudung bawal tersebut untuk diseterika semula. Gerak-geri si suami diperhati Nayla tanpa lepas. Tubuh tinggi itu tampan dengan memakai baju kurta berwarna biru laut. Sedondon dengan warna baju kurungnya.
Nayla ukir senyuman manis. Tak tahulah berapa kali dia jatuh cinta dengan suami sendiri.
Tidak lama kemudian, Thaqif menghampirinya.
“Mari abang siapkan Qaseh.”
Nayla tak banyak bunyi. Hanya membiarkan sahaja Thaqif memakaikan tudung untuknya. Lilit sana dan lilit sini, akhirnya siap juga. Sempat juga Thaqif betulkan awning tudung sebelum mengoyak senyuman manis.
“Dah siap. Cantik isteri abang ni.”
“Terima kasih abang.” Melebar senyuman Nayla apabila dipuji oleh suami tercinta.
“Sama-sama kasih. Upah tak ada ke?” Thaqif sengih nakal. Nayla mencebik bibir.
“Tak ikhlas!”
Terus pecah tawa Thaqif.
“Abang gurau ajelah. Dah jom.”
Thaqif melangkah ke arah pintu, namun langkahnya terhenti apabila lengannya ditahan. Tak sempat nak bertanya, terasa ada benda melekap dekat bibirnya. Cukup pantas sampaikan dia tak mampu nak mencerna maklumat. Terkebil-kebil mata memandang Nayla yang sudah menayangkan sengihan nakal.
“Itu upah untuk abang. Sayang abang.”
Terus Nayla berlari keluar dari bilik. Thaqif kebingungan di situ untuk berapa saat sebelum menghambur tawa. Telinga dan pipinya sudah naik merah.
“Qaseh Nayla.... Kenapa buat abang macam ni?”
Thaqif tekap tangan dekat dada kiri. Jelas terasa degupan jantung yang berdetak kencang. Kelakuan si isteri sebentar tadi berulang tayang di minda. Makin melebar senyuman Thaqif.
“Ya Tuhan, aku tak kuat nak hadap Qaseh Nayla yang nakal ini.”
Bersambung...
01 Julai 2024
Nasyanur
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro