Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 1

Tarikan nafasnya sekejap ada sekejap tersangkut di rongga hidung.

Bak patung cendana, remaja lelaki itu statik daripada menggerakkan seinchi pun anggota badan. Hari yang tak pernah sanggup untuk dilayarkan ke skrin kehidupan menjengah bagai sebuah mimpi ngeri tak berkesudahan. Diri itu sudah cukup terseksa pada suratan takdir sebelum ini. Ditambah pula 'bala' baharu ini.

'Kenapa Tuhan benci aku?'

Fahim Luth mula melinangkan air mata tanpa esakan.

Dia cuma seorang remaja lelaki biasa yang terkapai-kapai dalam lautan kehidupan. Badai tsunami telah menghentam hati itu berkali-kali dengan kejam hingga berkecai.

Terlalu serik diuji dengan perkara yang sama.

Bukan tak mahu menerima takdirNya, tetapi belum sempat dia mengerti perkasihanNya.

Kelopak mata diturunkan lama.

Selama yang mampu, dengan pengharapan agar lekas dia bangkit dari 'jenaka' ini.

"Adik."

Fahim berdegil untuk kekal menutup  mata. Liang romanya menegak kesemuanya sejak mendengar khabar berita daripada mulut lelaki di sebelah itu. Khabaran yang terlalu berat tak tertanggung.

"Fahim Luth." Suara yang sama mula memanggil nama penuhnya.

Kesal tidak disahut, lelaki itu menggenggam pula lengan Fahim erat. "Adik, buka mata."

Fahim menggeleng lemah. Dua ulas bibirnya diketap rapat tanpa sedikit pun rongga tersisa. Kotak suara telah terkunci. Anak kuncinya ditelan jauh ke sisa dasar hati.

Makin lama makin butir mutiara jernih berlinangan dengan galak. Fahim tak mampu menyekat kantung air mata daripada terus merembeskan kesaratan hati. Tiba-tiba, terasa tubuh kecilnya yang terbaring ditarik masuk ke dalam sebuah dakapan hangat.

Fahim mengangkat wajah, begitu merah mata abang sulungnya melihat keadaannya yang sebegini.

"Along minta maaf... Tapi abi dan ummi memang dah tak ada..." kata Fakhri. Nadanya terketar-ketar untuk khabarkan kepada Fahim yang baru mencelikkan mata setelah dua hari terlantar seperti orang mati.

'Lebih baik aku mati je daripada jadi satu-satunya yang terselamat dalam kemalangan kereta.'

'Aku patut mati.' Getus Fahim berkali-kali.

"Baby pun dah tak ada..." sambung Fakhri.

Andai mampu, dia mahu membuang telinganya sekarang. Realiti yang disumbat terlalu menyakitkan.

Allahuakbar...

"Along dah kebumikan abi, ummi dan baby semalam. Waktu adik tak sedarkan diri..."

Esakan remaja lelaki berkenaan makin kuat. Raungannya yang tidak bersuara menggeletarkan seluruh tubuh.

Fahim mencuri nafas yang menyempit di dada.  Di kala air mata membanjiri wajah dengan hebat, Fakhri membawa adik kandungnya lebih erat ke dalam dakapan.

Di sini, di ward serba putih ini.

Tangisan Fahim Luth berpanjangan selama satu jam. Tiada apa yang terzahir melainkan tangisan seorang anak yang baru sahaja kehilangan kedua-dua orang tua.

'Adik bongsu aku.'

'Baby.'

'Pun dah mati? Dia baru umur enam tahun.'

Rasa bengang mula membaluti jiwa. Lantas tubuh Fakhri ditolak menjauh. Fahim cuba menstabilkan nafas yang tercungap-cungap dengan helaan singkat. Kembang kempis dadanya di sebalik sepersalinan hospital.

"Fahim, istighfar banyak-banyak..." tegur Fakhri. Tak betah pada perubahan emosi remaja lelaki itu.

"Istighfar apa?" soal Fahim kembali. "Semua nak tinggalkan adik! Along pergilah berambus sekali."

Abang sulungnya pula yang menjadi mangsa untuk dilepaskan geram.

"Pergilah!" bengang Fahim. Dalam masa yang sama, air matanya berlinangan membasahi sisa yang telah dihapuskan tadi. Tidak henti-henti, sampaikan kekura tangannya kepenatan. Lalu kain selimut digenggam erat.

Fakhri benar-benar akur pada permintaan adiknya. Fahim dibiarkan berseorangan di ruangan itu. Bunyi daun pintu terkatup menjadi permulaan pada kesepiannya.

Bertubi-tubi suara hati menghantui. Terlalu banyak untuk diproses satu per satu.

'Aku benci hidup aku.'

Hidup malang yang asyik diterjah kematian ahli keluarga.

Bayangan wajah adik-beradik silih berganti pada kaca mata Fahim. Raut terakhir yang menjengah ialah abi dan ummi.

'Aku cuma nak berada di samping keluarga aku macam waktu dulu-dulu.'

'Melampau sangat ke permintaan aku ni?'

Kain selimut ditarik perlahan.

'Ada umi, abi, along, kak ngah, achik, aku dan baby.'

'Sekarang, semua dah mati! Kecuali along dan aku.'

Gigi geraham atas dan bawah bertemu sesama sendiri di dalam rongga mulut yang berpasir. Fahim menghentakkan buku lima kiri pada peha kegeraman.

Terus rasa sakit seperti disiat-siat menjalar menembusi lapisan isi kulit peha. Dia meraung kesakitan. Segenap ruang bilik itu dipenuhi ringisan. Jantung pun berdegup laju. Ditahan rasa sakit itu sedaya upaya.

Selang beberapa minit setelah sedikit kuat, selimut yang menutupi kedua-dua batang kaki dicampak Fahim ke lantai. Dia menarik nafas dalam.

Baru tersedar bahawa kaki kirinya tidak dapat digerakkan langsung. Berkali-kali mencuba untuk membengkokkannya. Malah rasa nyeri menyucuk tulang peha pula.

Fahim mencari kekuantan untuk sedikit bangkit. Barulah pandangannya dapat menceritakan keadaan kaki sendiri yang sedang diampuh pengaduh di bahagian buku lali. Katil hospital itu telah dilengkapi semacam tiang besi. Kemudian, ada suatu wayar besi menembusi sisi tempurung lutut kiri. Segalanya tegang. Pergerakan Fahim terkunci rapi.

'Mungkin aku memang ditakdirkan hidup bernasib malang.'

Bebola mata Fahim bergenang dengan tangisan sekali lagi. Sudahlah sedih perihal kematian keluarga mencengkam jiwa.

Vermillionnya mengoyak senyuman hambar.

Kaki kesayangannya sedang tergantung sepi.

Yang pasti, dia bukan lagi normal seperti Fahim Luth yang dahulu. Hidupnya akan mula serba serbi terbatas.

***

Lelaki 30an yang bergelar along itu sentiasa ada di samping Fahim. Tak kira pagi atau petang, dia kekal menjaga satu-satunya adik-beradik yang berbaki.

Perlahan-lahan Fahim mula mengerti apa sebenarnya yang terjadi pada minggu lalu.

Perjalanan ke majlis akhir tahun tadika adik bongsunya bertukar menjadi sebuah tragedi hitam. Kereta yang dinaiki mereka berempat dirempuh oleh sebuah pacuan 4x4 sehingga remuk. Deraian cermin tingkap adalah perkara terakhir yang terulang di memori Fahim berkali-kali hingga ke saat ini. Sudah bagaikan pita filem tersekat. Tidak banyak ingatan yang berjaya dia kembalikan ke kotak memori.

Waktu itu siang terang benderang. Matahari hampir naik tepat di atas kepala. Tali pinggang keledar dipakai kejap oleh semua penumpang.

"Makan?" Abang sulungnya melabuhkan punggung di sisi katil.

Fahim menggeleng lemah. Seharian berlalu tanpa sebutir nasi pun mengisi kantung perut. Tenaga yang tersalur hanya bergantung penuh pada air garam melalui kateter intravena. Rasa sakit tusukan branula seolah-olah sudah lali baginya kerana rasa sakit di hati lebih parah nak dibandingkan tusukan jarum yang hanya menembusi vena kekura tangan.

Mulut juga terkunci daripada mengeluarkan sebarang suara.

"Adik nak along beli cendol?" Fakri mengumpan Fahim dengan makanan kegemarannya.

Fahim menggeleng.

"Kalau adik tak makan... Adik akan lambat sembuh," katanya. Dia sedang merisaukan keadaan peha Fahim yang patah teruk hasil hentakan kemalangan di tempat duduk penumpang.

Hakikatnya tiada rasa lapar di saat ini.

"Fahim Luth."

Fahim yang bagaikan patung cendana di atas katil memekakkan telinga. Sengaja dipandang ke arah bertentangan.

"Along ada dengan adik. Along ada dekat sini..." katanya.

"Along ambil emergency leave sebulan untuk adik. Kalau adik rasa tak cukup, along boleh ambil lagi beberapa bulan. Tak mudah untuk along tengok ahli keluarga along sendiri mati..."

"Along faham keadaan sekarang ni berat sangat."

Ayatnya berlalu sepi. Lagak lelaki 30an itu menunjukkan rasa simpati hanya mendatangkan jijik di hati. Fahim dan abang sulungnya mempunyai jurang usia yang agak ketara.

Along, Fakhri. 33 tahun.

Kak ngah , Fatimah. Jika dia masih hidup pada waktu ini, usianya 30 tahun.

Achik, Farhan. Abang kesayangan Fahim yang berusia 26 tahun. Tahun lepas adalah tahun terakhir dia menemani Fahim sebelum dijemput Ilahi. 

Fahim Luth. 15 tahun.

Baby, Fasha. Seorang kanak-kanak tadika.

Remaja lelaki itu berdecit. "Kenapa tiba-tiba nak acah jadi abang mithali?"

Wajah Fakhri agak terkejut menerima serangan bersifat peribadi.

"Along busy dengan kerja... Along tak pernah ada dengan adik." Serak suara Fahim menempiaskan rasa tidak puas hati.

"I'm here already."

"Semaklah! Pergilah dekat isteri along tu. Itu je kan family along? Along tak pernah kisahkan adik, baby, ummi dan abi. Bila dah jadi macam ni baru nak terhegeh-hegeh ada dengan adik."

"Kenapa kata macam tu?"

"Along tak pernah ada masa dengan kami semua. Achik jauh lagi better dari alonglah. Tapi achik dah mati..." Hujung ayatnya kendur. Tidak setegang serangan pertama. Getaran di dada menyentak rasa.

Tak dinafikan, rasa rindu pada abang kedua memuncak di saat genting begini. Sangat merindui Farhan yang setia hingga ke nafas terakhirnya.

Fahim menitiskan air mata.

"Along minta maaf, okay?"

Nafas hangat menyelubungi wajah. Suhu bilik itu boleh tahan menyucuk. Pendingin hawanya menghembuskan angin sejuk ke segenap atmosfera.

"Cuma tinggal kita berdua. Kalau adik nak salahkan along atas semua ni, silakan. Tapi tu tak mengubah apa-apa. Semuanya dah meninggal kecuali kita berdua. "

"Adik patut mati juga."

"Berhenti merepek! Bersyukurlah adik hidup. Dua hari tau adik koma tak sedarkan diri. Along yang jaga adik 24 jam."

"Along kan doktor pakar? Memanglah kena jaga pesakit. Rajin sangat jaga pesakit sampaikan keluarga sendiri pun tak jenguk. Bila dah jadi macam ni... Bila adik dah terlantar macam orang lumpuh, baru along nak terhegeh-hegeh. Semua orang dah mati, isteri along mesti suka kan sebab semua masa along boleh luangkan pada dia. Dah tak payah dengar permintaan abi umi supaya beraya dekat rumah kita!"

Fakhri tersentak kali ini. Mulut lancang Fahim benar-benar meremukkan hatinya. Lihatlah matanya yang bergenang. Tak pasti apa di fikirannya pada saat adik lelaki sendiri menolak diri itu.

"Along minta maaf, adik."

"Pergi dari sini," bisik Fahim. Selimut digenggam kemas lalu ditarik menutupi tubuh hingga separas bahu. Dia menoleh ke kanan, mengabaikan keberadaan Fakhri di hujung katil.

Lambat laun Fakhri akur pada ego adiknya. Langkah diatur pergi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro