Bab 3
Mata Zack yang separuh sepet itu masih tajam melirik ke arah gadis yang tak habis lagi mengekek mentertawakannya. Bersungguh-sungguh yang amat gadis itu ketawa apabila mendapat tahu kelakuan Zack yang tersalah sasaran ketika membaling bantal, itulah perkara paling lawak yang dia pernah tengok seumur hidup.
Apa kelakar sangat ke adegan baling bantal dekat muka mak mentua? Cheese cake betullah! Serius tak kelakar. Kau pun satu hallah, Zack. Kenapalah tak tengok dulu siapa yang datang sebelum buat serangan hendap, bebel Zack dalam hati.
Tawa sumbang tanpa henti yang kedengaran di sisi buat hatinya makin menggerutu menahan geram. Yang dia ni pun, tak sudah-sudah lagi ke? Kena sawan tawa ke apa?
"Hoi, diamlah!" marah Zack sambil mendengus perlahan.
Tawa si gadis mula berhenti apabila disergah lalu mata mereka berdua mula bertentangan lantas cepat-cepat mulutnya ditekup dengan tangan lagak gadis Melayu terakhir.
What the... Zack dah tayang muka menyampah. Pigidah! Gadis Melayu terakhir apanya? Gadis Melayu terakhir yang aku nak kahwin kalau tak ada perempuan lain dalam dunia ni. Macam tu? Lupakanlah, Zack. Kau dah kahwin dengan dia pun! Dia dah jadi yang pertama pun.
"Sorry..." ucapnya perlahan sebelum bingkas bangun menuju ke arah dinding papan bilik itu dengan tangannya dah pegang hujung kain tudung.
"Eh, kau nak buat apa tu?" sergah Zack tiba-tiba.Kaget apabila memikirkan apa yang cuba dibuat oleh gadis itu.
"Ha?" Gadis itu terpanar.
"Aku tanya, kau nak buat apa tu?" tanya Zack lagi.
"Aaa... Buka tudunglah," jawabnya perlahan.
Buka tudung? Zack garu kepala laju-laju selaju akalnya ligat berfikir kala itu.
"Tak payah bukak tudung!" arah Zack tiba-tiba.
"Ha?" Kening si gadis berkerut panjang.
"Ha... Ha... Meh, duduk sini kejap. Aku nak cakap sikit dengan kau," tutur Zack tegas.
"Saya?" soalnya polos sambil jari telunjuk diarah ke tubuhnya sendiri.
Zack dah cebik bibir sambil tangan cekak ke pinggang. Zack memandang gadis genit di hadapannya itu dari atas ke bawah. Hailah, kalau ikutkan hati yang membara ni, ada juga yang dapat penampar sulung malam-malam buta ni karang. Loyar buruk terlebih dos sungguh pulak minah ni!
"Habis, kau nak suruh aku cakap dekat dinding dan lantai?"
"Eheee..." Gadis itu tersengih tiba-tiba.
Zack dah tayang muka selenga. Sumpah kau sengih tak lawalah perempuan! kutuk hati Zack.
"Awak nak cakap apa?" soalnya usai punggung dilabuh rapat di hujung katil.
"Jauh sikitlah! Heh, kau dekat-dekat dengan aku ni dah kenapa? Tak puas peluk aku lagi?" soal Zack berang. Sesekali dia mendengus kasar sambil kolar baju Melayu yang tersarung di tubuhnya sejak tadi dikibas berkali-kali. Dahlah hati panas, bilik ni pun panas. Tengok gelagat minah ni lagi tambah panas dibuatnya.
"Dah jauh dah ni, awak nak cakap apa? Cakaplah," tutur gadis itu yang mula membuka bicara.
Zack angkat muka sebelum matanya membulat besar apabila terpandang ke arah suara yang datang. Oh, mak ai!
"Kau ni bingai ke apa? Yang kau pergi duduk hujung katil tu dah kenapa? Kau nak suruh aku jerit, biar satu rumah ni dengar apa aku nak cakap?" ugut Zack dengan tiba-tiba.
"Yalah, yalah. Buat itu tak kena, buat ini tak kena," bebel gadis itu sambil beralih tempat mendekati Zack.
"Apa yang kau dah buat ni lagi tak kena, kau tahu tak? Eh, budak. Umur kau berapa ha? Kau sedar tak aku ni muda lagi? Kau tahu tak umur aku ni berapa?" tanya Zack tegas dan bertubi-tubi kepada gadis itu.
"Ha?" balas gadis itu seperti tidak faham dengan soalan yang ditanya oleh Zack.
Zack buang keluhan berat. Ha, dari tadi dok buat muka blur. Tadi, waktu dok elok peluk aku jelas pula fikiran dia tu kan! ujar Zack dalam hati.
"Kau tak payah buat muka blurlah. Sumpah tak lawa langsung!" cemuh Zack. Si gadis langsung tertunduk. Jari-jemarinya kemudian dimainkan.
"Buat pengetahuan kau, aku baru aje habis SPM. Universiti pun aku belum pernah masuk dan ini bermakna aku ni tak bekerja. Sekarang kau dah kahwin dengan aku, kau ada fikir tak lepas ni kau nak makan apa kalau kerja pun aku tak ada? Ada kau fikir? Ke kau fikir nak syok aje? Kau fikir kahwin ni semata-mata untuk itu?"
"Sorrylah weh, aku ni budak lepasan sekolah agama. Aku tak layanlah perempuan-perempuan stok macam kau ni. Kalau aku nak cari calon isteri pun, aku akan cari yang bertudung dan yang kuat agama dan berbudi bahasa. Bukan macam kau yang yang senang-senang aje nak peluk lelaki yang kau sendiri tak kenal. Kau faham ke tak ni?"
Si gadis masih lagi berjeda sambil menunduk memainkan jari-jemari sendiri seperti tadi.
"Eh, aku pantanglah kalau aku cakap orang tak pandang muka ni. Tak ada adab tahu tak? Kau tak belajar ke dekat sekolah? Atau kau ni sekolah setakat..." Tidak sempat Zack menghabiskan kata-kata kerana tiba-tiba gadis itu memotong percakapannya.
"Saya dah habis sekolahlah!" bidas si gadis usai wajahnya diangkat. Matanya memerah dan sedikit berkaca seperti gaya sedang menahan tangis.
Ada senyum senget di hujung bibir Zack. Terubat sedikit sakit hatinya apabila melihat mata bundar itu sedemikian rupa. Kalau kau nangis pun, belum tentu dapat padamkan marah dalam hati akulah! jerit Zack dalam hati.
"Ooo jadi kau fikir bila dah habis aje sekolah, kau terus dapat lesen besar nak kahwin eh? What a typical village girl attitude. Eh budak, kalau kau kemaruk sangat nak kahwin dengan lelaki bandar pun, kau cari orang lainlah. Bukan aku. Faham?!" tegas Zack.
"Nak buat macam mana, dah jodoh kita," balas gadis itu dengan selamba.
Nak buat macam mana? Senyum senget Zack langsung mati. Macam ada kayu api aje bawah katil itu yang membuatkan tubuhnya rasa mendidih semula apabila mendengar jawapan bersahaja daripada gadis itu tadi. Pantas saja tangan kanannya memegang kejap tangan kirinya yang dah menggeletar mahu melayangkan penampar. Kalau tak fikirkan tok ayah, memang dah lama kena budak perempuan ni. Dia yang perangkap kita, boleh pula jodoh yang disalahkan?
Mata Zack melilau memandang ke sekeliling bilik itu. Mencari sesuatu agar rasa amarah yang dah sampai takat didih melampau itu dapat diredakan. Langsung saja selimut di atas bantal di sisinya itu dicapai sebelum dibaling ke wajah itu.
"Apa awak ni?!" marah si gadis.
"Kau jangan tarik selimut tu!" bentak Zack.
"Lemas! Awak tau tak? Awak nak saya mati ke?" tempelak si gadis yang sedikit berang.
"Kalau boleh!" balas Zack kasar.
Si gadis dah mendengus kasar sambil berpeluk tubuh dengan selimut masih terletak elok di atas kepala dan menutupi wajahnya.
"Aku nak tidur. Kau jangan berani-berani tutup lampu bilik ni. Kalau aku celik mata tengok bilik ni gelap, kau tahulah apa nasib kau. Satu lagi, aku nak kau tidur bertudung dengan selimut untuk kekalkan muka kau yang bertutup tu. Macam sekarang! Faham? Kalau hal semudah itu pun kau tak boleh buat, aku akan suruh kau tidur tutup muka dengan bantal!" bentak Zack sambil melepaskan keluhan.
Walaupun kelihatan seperti bersungut tanpa suara, si gadis nampaknya masih mahu menurut. Dengan berhati-hati dia bangun sambil meraba-raba segala apa yang ada di sekitarnya menuju ke arah sebelah katil. Tersengih-sengih Zack melihat gelagatnya sebelum bantal di sisi dialihkan dan diletakkan di tengah-tengah katil itu untuk dijadikan kubu pertahanan. Tubuhnya kemudian direbahkan di atas tilam tak berapa nak empuk itu dengan hanya berbantalkan lengan.
Dan tak sampai lima minit, Zack sudah berdengkur lena seolah-olah tiada apa yang berlaku pada malam itu.
"Awak, bangun!"
Zack geleng laju-laju sambil tangan yang sudah menyentuh bahunya ditepis perlahan. Tubuhnya yang rasa dingin dipeluknya rapat sambil mulut membebel sendiri tanpa butir bicara.
"Awak, bangun solat!" kejut gadis itu.
"Ala, tok ayah, lima minit... Lima minit." balas Zack separuh sedar.
"Awak!" panggil gadis itu sedikit kuat.
"Sakitlah! Tok ayah ni main kasarlah!" jerit Zack apabila terasa hujung ibu jari kakinya dipicit kuat. Malas-malas dia bangun sambil genyeh mata yang terasa berat sungguh nak dibuka. Ini semua tok ayah punya pasallah! Sudahlah duduk rumah kampung, dia pergi bubuh pendingin hawa pula. Terus sejuknya jadi dua kali ganda!
"Tok ayah, tok ayah... Dah besar panjang pun nak manja dengan atuk lagi!" bebel gadis itu.
Mendengarkan suara itu, langsung kelopak mata yang berat tadi terasa ringan. Berkerut dahinya seketika melihat tubuh yang berdiri tegak di sisi katil dengan wajah yang mencebik. Zack baru tersedar di mana dia berada waktu itu.
"Ala, kau memang tahu kan aku ni manja dengan tok ayah, tapi kau nak juga kahwin dengan aku kan sebab aku ni cucu tunggal lelaki tok ayah. Jadi suka atau tidak, harta tok ayah tu akan diwarisi oleh aku juga. Itu yang kau nak kan sangat sampai sanggup buat cerekarama versi sendiri malam tadi? Betul tak? Itu yang kau dengan Bob nak sangat, kan? Harta tok ayah!" tempelak Zack.
Entah dari mana plot sepanjang itu sempat singgah dalam benaknya seawal pagi itu. Ini mesti kes tak puas hati sampai membawa ke tidur. Sebab itu pagi-pagi dah rasa nak menyembur orang.
Si gadis selak rambut yang dibiarkan bebas tanpa berikat itu daripada menutupi wajahnya. Baru jelas penglihatannya yang sedang direnungi Zack sedari tadi. Zack yang masih memadang tajam ke arah si gadis kelihatan bibirnya diketap menahan geram.
"Awak ni kan, tak ada langsung gaya macam cucu yang tok ayah banggakan sangat selama ni. Yang kononnya sekolah agama berasrama sejak tingkatan satu tu. Mulut masya-Allah. Lagi kita diam, makin ligat menyembur orang. Eh, awak ingat saya ni mata duitan ke? Awak jangan pandang rendah kepada orang kampung macam saya, ya!" bicara gadis itu dengan tiba-tiba.
Zack jelir lidah. Kedua-dua belah tangannya diletakkan di atas bahu. Matanya pula dijulingkan ke atas. Euwww... Takutnya! Mencebik si gadis apabila melihat respons Zack tadi.
"Habis tu kalau bukan sebab duit, sebab apa? Untuk apa kau perangkap aku malam tadi? Saja suka-suka? Saja nak cuba-cuba? Atau sebab kau dah tengok dalam drama, seronoknya kahwin muda ni! Jadi kau pun nak cuba. Lepas tu kau baca pula dalam surat khabar, ramai yang kahwin muda dan kau pun nak ikut juga. Macam tu?" Zack cuba meneka sambil memandang serius gadis di hadapannya itu.
"Bukanlah! Errr... Saya... Sebenarnya saya..." Gadis itu tidak dapat menghabiskan kata-kata kerana ayahnya sudah datang menjengah.
"Zack, Zack dah siap nak solat ke?" tegur Pak Cik Fadzil tiba-tiba.
Dan pada waktu subuh itu sekali lagi budak perempuan itu diselamatkan, tapi kali ini oleh ayahnya pula. Arghhh! Seriously, keluarga dia orang ni ada psikik ke apa? Ada aje yang come to the rescue setiap kali Zack nak ambush. Zack menggumam sendirian sebelum memaksa dirinya untuk turun ke bawah rumah untuk mengambil wuduk.
"Eh, awatnya Zack pakai baju semalam? Pehah tak bagi baju buat tukaq ke?" soal Pak Cik Fadzil ketika mereka sedang bersarapan di dapur. Sesekali Zack menarik seluar paras lutut yang dipakainya kerana tersingkap ketika dia mahu menunduk untuk mengambil lauk.
"Pehah dah..." Kata-kata gadis itu terus dipotong oleh Zack.
"Tak apa, pak cik. Sat lagi Zack nak balik rumah tok ayah," jawab Zack pantas.
"Pak cik apa lagi ni? Panggil walid ja dah cukup. Zack kan dah jadi menantu sulung kami," tegur Pak Cik Fadzil.
Menantu sulung? Erkkk! Terbatuk-batuk Zack dibuatnya apabila nasi lemak yang dikunyah tadi tiba-tiba saja tertelan terus. Menantu sulung tu! Gaya macam berat aje title tu nak disandang ketika umur yang belum cukup dua puluh tahun ni. Aku baru 18 tahun kut, dah jadi menantu sulung? Zack rasa macam nak hantuk kepala dekat alang di sebelahnya berkali-kali.
"Pehah, bagi ayaq kat laki hang ni," arah Pak Cik Fadzil.
"Nah." Gadis itu menghulur segelas air suam kepada Zack.
"Hmmm..." Pantas saja air suam itu diteguk sebelum lehernya diurut perlahan. Mujur tak mati tercekik!
"Walid ada dua orang lagi anak ataih Si Pehah ni. Tapi dua-dua belum kahwin lagi. Abang long Pehah, tahun akhir dekat universiti. Kak ngah dia pula, tahun dua dekat universiti. Pehah ni anak nombor tiga. Anak hak bongsu. Tapi itulah. Jodoh dia mai awai kan. Walid terima ajelah dengan hati terbuka. Mesti ada hikmah atas apa yang dah berlaku kepada hangpa berdua malam tadi," jelas Pak Cik Fadzil dengan panjang lebar.
Terangguk-angguk Zack mendengar. Bijak-bijak anak Pak Cik Fadzil ni rupa-rupanya. Masing-masing dah masuk universiti tapi kenapalah agaknya anak yang seorang ni tak ikut langkah bijak abang dan kakak dia? Yang bijaknya dia pasang perangkap untuk orang yang bercita-cita nak masuk universiti macam aku ni. Arghhh! Sadisnya apabila difikirkan tentang hal itu. Dah kahwin ni boleh ke nak masuk universiti lagi? tanya Zack dalam hati.
"Tapi pak cik... Errr... Walid. Malam tadi, Zack tak buat apa-apa pun dekat dia. Sungguh! Zack tak tipu. Zack datang sini sebab kawan minta tolong gantikan mentol lampu bawah rumah ni. Itu aje. Dia yang call kawan Zack tu. Kan? Betul, kan?" soal Zack bersungguh-sungguh sambil sikunya ditolak ke tubuh gadis yang menunduk elok menjamah sarapan.
Kening Pak Cik Fadzil dah terangkat tinggi ke arah anak bongsunya.
"Pehah, betui ke apa yang Zack habaq ni?" tanya Pak Cik Fadzil inginkan kepastian.
Pehah masih tekun menunduk dan mengunyah. Tak ada gaya nak buat penjelasan lebih lanjut.
"Pehah..." panggil Pak Cik Fadzil.
Apabila dah diseru namanya buat kali kedua, lambat-lambat baru Pehah angkat muka sebelum geleng perlahan dan menunduk semula. Langsung membulat mata Zack dibuatnya. Dia tak nak mengaku? Tak guna punya perempuan! marah Zack dalam hati.
"Tak apa, walid. Zack boleh call kawan Zack. Walid tunggu sekejap, ya," sampuk Zack sambil seluk poket seluarnya sebelum nombor Abang Bob didail. Tak lama kemudian dia berdecit perlahan. Tak ada dalam perkhidmatan? Tapi bukan ke baru semalam?
Tangannya laju pula mendail nombor Peod. Langsung tak bersambung. Masuk Voicemail. Didail pula nombor Atai, juga respons yang sama seperti Peod tadi dia terima. Mana pula pergi budak-budak ni? Takkan masing-masing dah mati kekenyangan melantak Char Kuetiau kut, sumpah Zack dalam hati.
Zack mendegus perlahan sambil wajahnya menunduk menahan geram. Memang kau dah kena main Zack! Serius, kau dah kena main dengan budak-budak ni. Memang ini semua kerja dia orang supaya kau tak boleh masuk matrikulasi dan boleh terus melepak macam sebelum-sebelum ni. Itu agenda mereka sebenarnya.
Tak guna punya member! Penumbuknya digenggam erat sambil matanya sudah berkaca menahan seribu satu rasa.
Apa salah aku, Ya Allah sampai seberat ini dugaan-Mu kepada aku? Aku tak pernah kacau mana-mana perempuan, jauh sekali memainkan hati perempuan, tapi kau duga juga aku dengan... Lamunan Zack terus terhenti.
"Zack..." tegur Pak Cik Fadzil perlahan.
"Ya, walid..." sahut Zack sambil mengesat perlahan titisan air mata yang dah berkumpul di tubir matanya.
"Ada hikmah di sebalik semuanya ini. Terimalah dengan reda. Insya-Allah, Hati Zack akan jadi lebih tenang. Dah, jangan sedih-sedih lagi. Makanlah, ya!" ujar Pak Cik Fadzil dengan lembut seolah-olah memahami isi hati Zack.
Zack mengangguk perlahan sambil memaksa diri menghadiahkan senyuman separa ikhlasnya. Terima dengan reda? Mampu ke dia? Mestilah tak!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro