Bab 2
Wajah tua tok ayah nampak tenang dari luaran tapi matanya tajam menikam ke arah Zack. Peluh jantan pula sudah mengalir buat kali kedua di tubuh Zack. Langsung padam aura marah yang berapi dalam hatinya sementara menunggu ketibaan tok ayah tadi. Tidak mahu dirinya nampak bersalah, pantas saja peluh dikesat dengan hujung tangannya.
Nafas ditarik dalam sebelum dilepaskan berat. Tok ayah ni kan! Aduhai, ada juga yang jadi buta nanti dek panahan mata tok ayah tu. Takut pula daripada Zack mengaku tak buat apa-apa, terus mengaku bersalah!
Ah, Zack! Bertahan! Jangan mengalah! Bercakap benar kan senang. Apa nak ditakutkan? Bukan kau buat apa-apa yang salah pun tadi, ujar Zack dalam hati.
"Tok ayah..." panggil Zack perlahan sambil tangan tua itu ditarik dan dikucup berkali-kali, mohon pengertian. Wajahnya sayu, nada suara mendayu minta simpati.
"Tok ayah kena percaya dengan Zack. Kalau bukan tok ayah, siapa lagi? Zack berani jamin, semua orang yang ada dekat sini sekarang ni semua tuduh Zack yang salah. Tapi sebenarnya tak. Sungguh, tok ayah! Zack tak buat apa-apa pun! Abang Bob yang minta Zack datang sini pasangkan mentol. Tup-tup tengah Zack nak pasang mentol, Zack kena tarik masuk dalam bilik air tu."
"Nak buka pintu pun Zack tak tahu yang mana satu pintu, sebab keadaan gelap sangat tadi. Lepaih tu, bila pintu terbuka boleh pula ada perempuan keluar sama. Zack pun terkejut, tok ayah. Seumur hidup, Zack tak pernah kenal perempuan tu siapa," jelas Zack dengan panjang lebar.
Tok ayah tarik nafas dalam-dalam. Sesekali tangannya menepuk gigitan manja nyamuk yang dah mula menyerang kakinya yang sedikit terdedah.
"Kalau dia minta tolong pun, yang hang pi lurus bendul ikut tu awatnya?" Tok ayah mula mempersoalkan tindakan Zack yang cepat percaya terhadap orang lain itu.
Errrkkk!!! Zack dah rasa liurnya tersekat di rengkung. Tangan tua tok ayah dilepaskan apabila akalnya tadi bagai tak mengena. Tak ada gaya pun macam tok ayah terkesan dengan tindakannya. Tak cukup sadis ke muka yang aku tayang tadi? tanya Zack dalam hati.
"Yalah, orang minta tolong, apa salahnya Zack tolong. Sekali-sekala aje pun depa mintak tolong Zack sebab itu Zack tolong. Lagipun, tok ayah kan selalu pesan kepada Zack..." Zack mula mengeluarkan hujah untuk menegakkan kebenaran di pihaknya.
"Yang aku dok pesan kat hang, jangan dok kawan dengan kacang hantu tu, hang tak mahu dengaq. Tapi tang tolong anak dara orang, hang ikut pula," bidas tok ayah. Suaranya sudah naik satu paras volume. Lambat-lambat Zack telan liur sebelum sambung ayat nak mempertahankan diri.
"Zack ingat tak ada orang dalam rumah ni sebab nampak gelap aje. Jadi, Zack teruskan sajalah niat suci murni Zack yang nak menolong tu. Ala, tok ayah! Tolonglah Zack. Tadi pak cik tu cakap, nak tak nak Zack kena kahwin juga dengan anak dia. Zack tak nak kahwinlah, tok ayah. Umur Zack baru nak masuk 18 tahun. Zack nak masuk U dulu, lepas tu boleh dapat kerja. Ada duit banyak, nak hantar tok ayah pergi haji lagi..." jelas Zack, ibarat cuba menegakkan benang yang basah.
"Aku dah pi haji dah," sampuk tok ayah sambil berpeluk tubuh. Sesekali matanya melilau ke arah dalam rumah yang kelihatan kelam-kabut di ruang anjung untuk memberi tempat kepada tetamu yang bakal tiba sebentar lagi.
"Haji kali kedua? Haaa... Boleh, kan? Zack janji, nanti kita pergi berdua. Tapi sebelum tu tok ayah, tolonglah Zack. Zack sumpah, tok ayah! Zack tak sentuh pun budak perempuan tu. Dia yang sentuh Zack. Dia peluk Zack dalam gelap. Tok ayah percayalah, ya! Zack berani sumpah sate tiga cucuk!" jelas Zack sungguh-sungguh. Sampai senget bahu baju Melayu tok ayah ditariknya.
"Dah kenapa pula sate yang hang sumpahkan?"
"Ha?" Zack garu kepala. Haah, kan. Dah kenapa pula dengan sate? Arghhh!!! Kalau waktu macam inilah dihulur sate, sebatang sate pun belum tentu dapat ditelan. Ini semua samdol-samdol tu punya pasallah! Tolong konon. Kawan konon. Pigidah!
"Tok ayah..." tegur gadis itu dengan tiba-tiba.
Laju saja Zack paling ke belakang menghala ke arah gadis genit yang tercongok elok depan pintu sambil tayang muka innocent bajet comel. Serta-merta naik balik angin satu badan! Tangan pun rasa laju aje nak tarik tudung yang tersarung di atas kepalanya. Elok pun bertudung, tapi perangai tak semenggah!
"Kau nak apa? Nak peluk aku lagi? Ha? Tak puas lagi nak peluk badan sekeping aku ni?" sergahnya diiringi jelingan tajam. Langsung menunduk si gadis itu dibuatnya.
"Zack, awat hang cakap lagu tu dekat orang? Tak baik. Tok tak pernah ajaq hang cakap kasar lagu tu lagi-lagi dengan perempuan," tegur tok ayah seraya berdiri dari duduk di anak tangga.
"Itu dah cukup baik dah, tok ayah. Kalau ikut hati Zack ni, Zack nyanyi lagu lagi hebat dari tadi. Siap Zack nak tangan-tangankan perempuan gatal ni! Dasar perempuan... Adoiii!" Belakang badan Zack yang jadi mangsa lepukan tok ayah diusap perlahan. Berbisa kut! Urat dawai tulang besi ke tangan tok ayah ni?
"Hang mainkan aku, ya Zack. Aku cakap, hang buat modal lawak. Hmmm ada apa, Pehah?"
"Errr... Walid suruh dia tukaq baju. Ada baju Melayu abang long yang muat rasanya dengan dia," balas si gadis sepatah-sepatah. Mukanya takut-takut apabila bertentang mata dengan jelingan mata Zack yang tajam itu.
"Apa hal pula nak tukar baju segala? Bukannya aku tak pakai baju sekarang ni," balas Zack sambil tayang wajah menyampah. Sudahlah katik, gelap pula tu! Ada hati nak kahwin dengan aku? Pfft!
"Habis takkan hang nak nikah pakai seluaq paras lutut tu?" tanya tok ayah.
"Nikah?" soal Zack tak percaya. Tak mungkinlah. Takkan tok ayah serius nak biarkan dia menikah dengan budak perempuan ni? Ketika umur macam ni?
Dari kepala, tangan dan bahunya pula jadi mangsa garu. Tubuh yang agak tenang sejak kehadiran tok ayah sebentar tadi sudah mula rasa getarnya apabila hal nikah disebut-sebut. Ditambah pula dari kejauhan, ruang hadapan rumah itu sudah disinari dengan lampu motosikal yang baru memasuki laman rumah. Itu mesti tok kadi tu! Dia dah datang dah!
"Aaa... Tok ayah, Zack nak pergi bilik air!" dalihnya sambil bingkas bangun.
"Zafran Aldrin Kamarulzaman!" panggil tok ayah, tegas.
Langkah Zack di anak tangga terakhir ruang hadapan anjung itu terhenti seketika. Ahhh, tidak! Kalau dah penuh nama IC disebutnya, maka tak ada ampun namanya tu Zack, oiii! Berserah ajelah sebelum kau kena perambat keliling bendang, fikir Zack sendiri.
Tapi aku tak salah! rintih Zack dalam hati. Lambat-lambat baru Zack menoleh ke arah pergelangan tangannya yang dah dipegang kuat oleh tok ayah.
"Zack tak tahan nak terkucil ni, tok ayah!" Zack masih mencuba.
"Hang jangan nak auta aku. Dulu-dulu waktu hang nak kena sunat pun, alasan ni juga hang dok bagi kat aku. Jadi lelaki, Zack. Hang dah buat salah, hang kena betuikan. Jangan nak buat malu keturunan aku!" bentak tok ayah.
"Tapi Zack tak salah! Budak perempuan tu yang cuba perangkap Zack!" tegas Zack untuk kesekian kalinya sambil jari telunjuknya tegak ke arah si gadis yang langsung tunduk tak nampak muka. Arghhh! Serius! Budak perempuan ni memang dah terdesak agaknya. Langsung dia tak menolak apabila disuruh nikah dengan aku. Entah-entah dia ni dah kena tebuk tupai agaknya? Tupai bernama Bob?
"Zack, siapa salah siapa betui dah tak penting la ni. Lagipun, saksi dan bukti yang ada dah cukup nak sabitkan hang dengan perkara paling tok mintak sangat anak cucu keturunan tok dijauhkan daripada terlibat sama. Tapi apa nak buat, benda dah nak jadi. Yang penting sekarang, hang kena bertanggungjawab," pujuk tok ayah. Nada suara tok ayah sedikit sayu. Cukup kuat untuk buat hati degil Zack rasa sentap. Matanya mula berkaca memandang tok ayah.
"Tapi Zack tak salah, tok ayah! Zack tak salah! Zack tak salah! Cuba tok ayah bagi kepercayaan dekat Zack. Zack ni cucu tok ayah. Takkanlah cucu lelaki tunggal tok ayah ni sanggup buat perkara tak senonoh macam tu. Tok ayah cuba tengok muka suci Zack ni. Cuba tok ayah tengok. Zack tak hairanlah dekat perempuan, tok ayah. Lagi-lagi kalau muka macam perempuan ni, gaya tak siap aje!" perli Zack untuk meyakinkan lagi kata-katanya kepada tok ayah.
"Habis tu hang minat kaum sejenis, macam Bob tu?" Nada suara tok ayah berubah seiring dengan wajah tenangnya yang dah mula berkerut masam.
"Haaa? Apa hal pula?" Zack mula mempersoalkan tuduhan tok ayahnya itu.
Automatik saja kepalanya dipaling ke arah pintu. Cisss! Apabila dengar saja nama Abang Bob disebut, boleh pula budak perempuan tu angkat muka. Adik angkat dengan abang angkat, dua-dua sama tak guna! Perosak masa depan aku aje! rungut Zack dalam hati.
"Jadi, kalau hang bukan tergolong dalam kumpulan yang dilaknat Allah tu, hang jangan cuba nak lari. Pergi naik atas sekarang, tukaq baju. Tu tok kadi pun dah mai. Lekas sikit!"
"Tapi tok ayah..." Zack masih cuba berlengah.
"Se... ka... rang!" arah tok ayah.
Tok ayah dah habis kata. Memang bulat sungguh gayanya tok ayah nak bercucu menantukan budak perempuan katik ni. Longlai saja langkah diatur mendaki tangga sebelum langkahnya terhenti di hadapan muka pintu.
"Mana baju?!" soal Zack dengan nada yang cukup kasar.
"Meh, saya tunjuk," balas si gadis itu.
"Tunjuk pakai mulut aje. Bukan pakai tangan!" sergah Zack. Terhenti tangan si gadis daripada cuba menarik lengan baju T yang dipakai oleh Zack.
Dan tok ayah pula hanya mampu menggeleng sebelum buang keluhan panjang. Jauh di sudut hati, tok ayah masih berkira-kira cara terbaik untuk memberitahu berita tergempar ini kepada anak lelaki tunggalnya yang berada di kota.
Dengan empat kali lafaz, Zack kini sah bergelar seorang suami kepada perempuan yang langsung tak pernah dia kenali, ketika usia di mana sepatutnya awek pun dia belum ada lagi. Sadis sungguh bunyinya. Tapi... Arghhh! Sungguh berat dugaan Tuhan untuknya kali ini. Kalaulah diberi pilihan, Zack lebih rela permohonannya ditolak untuk masuk ke matrikulasi daripada kena kahwin koboi macam ni. Kena tolak boleh mohon lagi, tapi kalau dah nikah? Zack sendiri tak ada jawapan untuk itu. Buat beberapa saat, Zack rasa dunianya gelap-gelita tiba-tiba.
"Haaa, hang nak ke mana pula ni, Zack?" tegur tok ayah yang baru nak menuruni tangga.
"Nak baliklah, tok ayah. Dah lewat malam ni," jawab Zack tanpa rasa bersalah.
"Nak balik awatnya? Inikan rumah hang juga," balas tok ayah.
"Hah?" Zack melopong. Laju saja matanya menyoroti beberapa orang tetamu yang masing-masing baru nak beransur balik setelah majlis selesai. Apabila pandangannya bertembung dengan pandangan Pak Cik Fadzil, Zack langsung tersengih sambil sua tangan untuk bersalaman.
"Errr... Pak cik, saya balik dulu, ya. Kesian tok ayah sorang-sorang dekat rumah. Nanti senang-senang, saya datang lawat pak cik eh!" ujar Zack tiba-tiba.
"Banyaklah hang punya senang-senang," marah tok ayah sebelum 'ketam kecil' mengepit pinggangnya.
"Ala, tok ayah... Esok Zack datanglah sini. Malam ni Zack teman tok ayah eh! Takkan tok ayah nak tidur sorang-sorang malam ni? Betul tak pak cik?" Zack memandang ke arah Pak Cik Fadzil yang berdiri di hadapannya.
Pak Cik Fadzil hanya tersenyum sebelum menggeleng perlahan melihat tingkah laku Zack yang nampak seperti cacing kepanasan sahaja.
"Pak cik, pak cik. Panggil walid! Hang tak payah nak heboh pasai aku. Aku tak ada hallah. Selalu tu aku tidoq sorang-sorang juga. Hang tidoq sini malam ni!" Nada suara tok ayah dah beralun ala-ala arahan.
"Tapi, Zack tak ada baju..." tutur Zack lagi.
"Nanti-nanti pun boleh. Esok aku bawa mai baju hang..." balas tok ayah yang tidak mahu Zack mengikutnya pulang.
Tok ayah ni kan! Zack dah beria-ia cari akal supaya boleh turut sama balik malam ni, boleh pula dicaras hidup-hidup oleh tok ayah macam tu.
Zack dah ketap bibir. Macam tak boleh nak lari aje. Sungguh-sungguh tok ayah nak aku bermalam kat sini. Tapi, kalau nak bermalam bermakna, aku kena tidur sekatil dan sebilik dengan perempuan katik itulah, kan? Tidakkk!!! jerit Zack dalam hati.
"Zack..." tegur Pak Cik Fadzil.
"Errr... Ya, pak cik. Eh, tok ayah mana?" soal Zack sambil pandang sekeliling. Mana pula pergi orang tua ni? Tak sampai lima minit Zack berangan, tok ayah dah hilang? Zack cakap dengan siapa sebenarnya tadi?
"Tok ayah hang dah balik. Hmmm dahlah tu. Masuklah. Dah lewat ni. Bilik hang yang tengah-tengah tu. Hang pi masuk dulu, rehatkan badan. Nanti walid suruh Pehah carikan baju Anas, kut ada yang muat dengan hang. Hang ni kuruih betui. Gedoboih baju Melayu Anas ni hang pakai," balas Pak Cik Fadzil diiringi ilai tawa.
Laju saja Zack menunduk pandang tubuh sendiri yang sememangnya up sikit aje daripada orang yang hukum wajib kena minum weight gain. Lambat-lambat baru Zack join ketawa sekali. Nampak sempoilah pula pak cik ni. Tak ada nampak gaya nak marah, nak maki aku pun macam tadi. Ke dia suka aku jadi menantu terjun dia? Ahhh, bencilah! Kalau anak dia cun, sejuklah juga hati nak memikir. Ini tidak! Ah, reda ajelah, Zack. Siapa kau nak mempertikaikan ketentuan Allah? desis Zack dalam hati.
Usai punggung dilabuh di atas tilam tak berapa nak empuk itu, mata Zack dah menerawang ke seluruh bilik. Tak adalah luas mana pun bilik ni. Tapi aturannya kemas. Cuma ada katil bersaiz queen, almari baju jenis lama yang berpara-para tu dan juga cermin yang digantung di dinding. Sebelah tingkap ada meja tulis yang penuh dengan deretan novel. Heh, hantu novel rupa-rupanya budak ni. Itu yang sibuk sangat nak kahwin awal kut!
Bunyi papan lantai dipijak yang kedengaran sudah mendekati pintu bilik lantas membuatkan lamunan Zack terhenti. Heh, itu tak lainlah tu mesti budak perempuan tu datang bawa baju abang dia. Zack dah tersengih sendiri apabila akal jahatnya sudah mari. Siap kau perempuan!
Dan usai saja pintu gelongsor kayu itu ditolak ke tepi, langsung bantal di sisinya dibaling sekuat hati ke arah wajah yang tersembul di muka pintu sebelum dia sendiri terjerit apabila yang menjadi mangsanya bukan budak katik, tapi, mak dia!
Masak kau Zack!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro