Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Selesai makan malam ala-ala happy family itu, dengan separuh rela Zack hidupkan enjin Nissan Teana milik ibunya. Ibu boleh pula melengahkan masa yang ada dengan 1001 nasihat yang tak tahu bila agaknya perempuan ni nak guna buat panduan hidup dia. Untuk kehidupan seharian, ya mungkin juga nasihat ibu tadi boleh dipakai. Tapi untuk hidup berumah tangga? Pehah kena kahwin sekali lagilah nampaknya. Yang penting, bukan kahwin dengan Zack. No way! Nahi! Nope!

Suasana di dalam kereta waktu ini dah gaya macam di dalam dewan peperiksaan. Senyap. Sunyi. Agaknya kalau kentut pun dah sah-sah boleh dengar biar pun nak cover cara apa pun. Dahlah kereta ni pun bergerak dengan kelajuan kura-kura aje. Meter pun tak berganjak dari angka enam puluh sejak tadi walau sesekali pedal minyak cuba ditekan lebih dalam. Dah lama tak drive di Malaysia, Zack jadi kekok sedikit dengan keadaan jalan yang sibuk biar pun dah malam.

"Ehem..."

Diam.

"Ehem... Ehem..."

Diam lagi.

"Ehem... Ehem... Ehem..."

Masih diam lagi. Tiada respons yang diberi dan kali ini Zack curi-curi menjeling dari hujung mata. Heh, hidup dan bernafas lagi gayanya tapi entah kenapa Pehah masih keras duduk di sebelahnya tanpa berkutik sedikit pun. Tak dengar ke dia? Puaslah Zack berdeham sekuat mungkin, tapi Pehah boleh buat tak tahu macam tu aje. Takkan tunjuk protes sebab usul menikah semula ditolak kut? Nak solat berjemaah pun tak dapat.

"Kau ada nak beli apa-apa tak ni?" soal Zack perlahan. Mata dah tertumpu semula ke arah jalan raya. Lama-lama menjeling pun, ada juga yang terus masuk ke dalam hati ni. Bahaya!

Dan seperti tadi, masih tiada respons atas setiap soalan atau pun tindakannya. Zack dah jadi mati kutu. Sesekali dia kalih ke sisi dengan kening berkerut. Eh, biar benar minah ni. Nak kata tidur, mata terbuka luas. Pengsan? Ada ke orang pengsan dengan mata terbuka?

"Kalau kau buat macam ni sebab nak protes, hentikanlah. Walaupun abah beria-ia nak suruh kita nikah semula semata-mata atas alasan aku patut bertanggungjawab tentang insiden dua tahun dulu, mati hidup semula pun aku tak akan ikut. Aku dengan kau memang tak..."

"Saya tau. Tak payah ingatkan saya berkali-kali."

Zack kalih sebelum senyum senget. Boleh pula menjawab, Ingatkan sampai ke sudah nak jadi patung.

"Memang dari awal sememangnya kita ni tak ada jodoh. Dan..."

"Dan menafikan takdir Allah itu berdosa hukumnya!"

Laju aje Zack mengerling lagi ke sisi. Menafikan takdir Allah? Bila masanya pula dia menafikan? Amboi, hujah! Ala-ala ustazah ekspres! Tapi tudungnya entah ke mana terbangnya. Ke minah ni memang sejak azali tak bertudung?

"Angin nampak? Tak puas hati ke?" tanya Zack tiba-tiba.

Kali ini Pehah tak menjawab. Hanya jelingan matanya yang sedikit berkaca memandang tepat ke wajah Zack yang sekali-sekala curi pandang ke arahnya sebagai balasan soalan provokasi tadi.

"Kalau kau rasa nak lepaskan geram. Silakan. Memang salah aku, tinggalkan kau bertahun-tahun tanpa berita. Tapi, kau pun tahu kenapa, kan? Jadi, kalau kau rasa nak tumbuk ke, cubit ke, silakan. Tapi tolong buat semua tu dalam keadaan berlapik eh. Aku dengan kau..."

Buuukkk!!!

Satu tumbukan padu dilepaskan ke bahu kiri Zack. Mujur pegangan di stereng kereta masih kejap. Kalau tidak, hailah! Boleh tahan kuat juga perempuan ni rupa-rupanya. Urat dawai tulang besi ke apa?

"Sakit dohhh!" komen Zack sambil usap perlahan bahu yang terasa berdenyut.

"Adoiii!!!" Tak cukup dengan tumbukan, sekuat mungkin lengan yang tak berapa nak ada isi itu dicubitnya. Tapi tak lama kemudian, Pehah tarik tangannya lalu ditekup ke wajahnya sebelum dia menangis semahu-mahunya.

Zack terpempan. Blur dia jadinya. Menangis lagi! Bukan patut dia ke yang menangis lepas kena tumbukan padu bercampur dengan cubitan ala-ala nak tertanggal daging daripada tulang dibuatnya tadi. Tapi...

Zack kalih lagi ke sisi. Nak buat apa pun dia tak reti apabila tengok Pehah beria-ia menangis tanpa segan silu. Siap terhinggut-hinggut bahunya menahan suara.

Ahhh, gawat! Nak buat macam mana ni? Call Kak Nura? Eh, nak buat apa pula call dia? Nanti dia fikir bukan-bukanlah pula. Ada juga yang kena nikah lagi sekali ni nanti. Dahlah tadi kena tangkap dalam bilik. Sekarang? Isy! Lupakan sajalah niat kau tu, Zack, kata Zack dalam hati.

"Weh, kau ni kenapa?" soal Zack perlahan.

"Weh, kau dengar tak aku tanya ni? Kau okey tak ni? Sakit ke tangan tu tumbuk aku tadi? Kalau sakit, aku bawa pergi klinik dulu."

"Wehhh..."

Dan panggilannya yang ketiga akhirnya dijawab juga, tapi dengan jawapan yang buat dia tergamam lama sehingga sampai depan pintu pagar rumah teres dua tingkat itu apabila Pehah angkat muka dan jawab.

"Saya ada nama, Zack. Walau sebenci mana pun awak dekat saya, sampai awak tak mahu ambil tahu nama penuh saya sekalipun, sekurang-kurangnya panggillah saya dengan nama. Pehah. Panggil saya Pehah."

Dan Zack rasa macam pipinya ditampar berkali-kali.

"Pehah..."

Langkah Pehah terhenti sebelum sempat pintu pagar rumah abang long dibuka. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dia berpaling lalu memandang tepat ke wajah Zack yang sedang merenungnya sambil dia bersandar di pintu kereta dengan berpeluk tubuh.

"Kenapa aku?" soal Zack perlahan.

Kenapa aku? Kening Pehah terangkat sebelah.

"Kenapa aku? Kenapa bukan Abang Bob yang kau puja dari dulu? Kenapa kau bertegas nak menikah juga dengan aku walaupun kau tahu yang datang tu bukan orang yang kau harapkan?" soal Zack lagi. Wajahnya serius. Anak matanya tepat memandang ke wajah Pehah, minta penjelasan yang patutnya dijelaskan dua tahun yang lalu.

Tapi, ahh! Better late than never! Lepas ni, entah jumpa ke tidak dia dengan minah ni lagi.

"Jawapan tu dah lama ada. Jawapan tu dah berulang kali saya cakap, tapi awak tak perasan. Dan saya rasa, tak perlulah saya ulang lagi sebab antara kita pun dah tak ada apa-apa, kan?"

Zack cebir bibir. Amboi jawapan. Kekwatnya! Jawapan dah ada? Tapi apanya?

"Maksud kau?"

Pehah tarik senyum hambar. Langkah kemudian diatur mendekati Zack sebelum sama-sama bersandar di pintu kereta. Tangannya kemudian dikibai-kibai cuba mengukur ketinggiannya dengan Zack yang berdiri di sisinya.

"Kita ni memang tak padan rupa-rupanya, kan? Berdiri dah tak sama tinggi. Kalau duduk pun, mesti tak sama rendah. Kenapalah saya tak pernah perasan semua ni?" balas Pehah perlahan.

Huk aloh! Zack dah rasa nak gelak besar. Kero agaknya mata minah ni. Tak payah nak beria-ia mengukur segala, tengok pun dah tau yang dia tinggi lampai dan orang di sebelahnya ini kemetot aje.

"Tak payah nak konar-konar. Straight to the point ajelah," balas Zack malas-malas sambil buang pandangan ke arah lain. Sunyilah pula taman ni walhal baru pukul sembilan lebih, ujar Zack dalam hati.

"Tak apalah. Suatu hari nanti, bila kita jumpa semula mungkin waktu itu awak akan dapat jawapannya," sahut Pehah dengan senyuman melebar.

Gelak Zack pecah tiba-tiba. Adegan ukur tinggi tadi pun dah cukup lawak. Ini pula nak Jumpa semula? In your dream la weh.

"Pehah, pehah. Dunia ni bulat tau tak. Bulat. Tapi bulat macam mana pun, tak bermakna pusing-pusing aku akan jumpa kau juga. Ada ramai lagi perempuan dalam dunia ni yang aku boleh jumpa. Kau kasilah peluang dekat aku jumpa yang ala-ala Siti Nurhaliza ke, Izara Aishah ke. Ini tidak. Kau nak juga aku jumpa kau lagi. Memang bad luck la aku kalau begitu ceritanya. Aduhaiii!"

Senyuman Pehah mati tiba-tiba. Wajahnya muram sebelum langkah diatur semula ke arah pintu pagar rumah. Terkocoh-kocoh kunci dibuka sambil mulutnya terkumat-kamit menyumpah.

"Pehah..."

Omelan tanpa suara Pehah terhenti apabila bahunya tiba-tiba disentuh dari tepi. Lambat-lambat baru dia kalih dan dongakkan kepalanya memandang.

"Aku maafkan kau atas segala apa yang dah berlaku. Dan aku harap, kau maafkan aku juga. Aku doakan kau bahagia dan berjaya pada masa akan datang," tutur Zack perlahan.

"Dan saya harap walau sejauh mana pun awak pergi, suatu hari nanti awak tetap akan cari dan kembali kepada saya. Itu doa saya!" balas Pehah sambil melangkah laju masuk ke dalam rumah, tanpa menoleh.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: