Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

"Kamu ni memang dah gilalah, Zack! Waktu malam raya kedua, kamu ceraikan dia? Tak ada waktu lain ke? Tak pernah dibuat orang!" Zainura menghamburkan amarah sebaik saja dia melangkah masuk ke tempat duduk sebelah pemandu Nissan Teana milik ibunya itu.

Melihatkan reaksi Zainura yang selalunya jadi pom pom girl dia selama ini, Zack hanya diam membisu. Tak ada maknanya nak menjawab. Melayan provokasi daripada Zainura yang sememangnya dah jadi kerja rutinnya membela nasib orang yang dirasakannya teraniaya, bukanlah satu idea yang baik. Idea paling tak bijak namanya tu.

Tapi dalam hal ini, bukan ke dia yang lebih teraniaya berbanding perempuan tu? Muda-muda belia dah kena sandang title suami. Tak cukup teraniaya ke tu? Nasib baik dah habis sekolah. Kalau SPM pun belum dijawab? Lagi naya! Ah, Kak Nura ni! Suka hati dia aje nak tembak orang. Bukan orang lain pula tu, adik sendiri!

"Akak tahu, kamu tak sukakan dia. Kamu rasa susah nak terima dia. Tapi apa yang kamu buat tu zalim, Zack. Zalim! Kut ya pun, berbincang dulu baik-baik. Kalau tak mampu nak berbincang berdua, ajak akak dengan Abang Zahim sekali. Kalau tak boleh juga, baru ajak abah dengan ibu berbincang. Bukan aci senang gitu aje kamu nak ceraikan dia," luah Zainura panjang lebar.

Kali ini nada suara Zainura menurun sedikit berbanding tadi. Terkejut besar sungguh dia dibuatnya apabila berita itu disampaikan tengah malam tadi. Ingatkan Si Zack ni ada sama sampai ke habis majlis, rupa-rupanya dia dah lari siap-siap! Kalau lari saja tak mengapa, ini diceraikan pula si isteri yang dengan rela hati membawa makanan untuknya. Sungguhlah adiknya yang seorang ni 'bertuah' bak kata arwah tok ayah.

"Zalim tu bila kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Tapi Zack..."

"Menjawab! Menjawab!" marah Zainura, tak puas hati. Matanya yang bulat, ikut belah abah dibuntang besar ke arah Zack.

"Yang akak ni angin tak tentu pasal dah kenapa? Sekarang ni siapa adik akak? Zack ke perempuan tu?" tempelak Zack sebelum pandangannya dibuang kasar ke arah luar tingkap sambil berpeluk tubuh. Dadanya berombak. Nafasnya jadi laju, seperti susah nak dikawal. Pagi-pagi buta dah kena sembur. Bukan dengan orang lain pula tu, dengan penyokong tegarnya selain arwah tok ayah. Dan bila teringatkan arwah, wajah bengang Zack langsung berubah mendung secara tiba-tiba. Bibirnya diketap perlahan apabila matanya mula rasa bertakung dek air mata.

"Sudahlah tu, Nura. Benda dah jadi, awak bising-bising pun tak ada gunanya juga. Lagipun, Zack dah cukup besar nak buat keputusan tentang hidup dia. Dia lagi tahu apa yang terbaik untuk dia. Kita doakan aje yang terbaik untuk Zack dan bekas isterinya. Mungkin jodoh mereka sampai di sini saja. Siapa kita nak menidakkan ketentuan Tuhan." Abang Zahim yang selama ini lebih gemar berdiam diri setiap kali isu rumah tangga Zack jadi topik bualan tiba-tiba saja bersuara.

Yes! Takbir! Allahuakbar!

Ada garis senyum di bibir Zack. Allah Maha Adil. Dia tarik tok Ayah, kemudiannya Dia hantarkan Abang Zahim. Zack tarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan. Fikirannya kosong waktu itu. Dada pun rasa tenang dan lapang sejak keputusan malam tadi dibuat. Kalaulah dari dulu dia ambil keputusan sebegitu, tak payahlah dia nak lari jauh-jauh sampai ke Australia membawa diri.

"Zack..."

Zack kalih ke sisi sambil tarik senyum separuh paksa kepada Abang Zahim.

"Zack okey tak ni? Semalamkan Zack baru sampai, tapi hari ni dah nak balik semula ke sana. Zack tak mahu tunggu esok lusa ke baru balik? Lagipun, alang-alang Zack dah sampai Malaysia, bolehlah beraya lama sikit di sini."

Zack geleng perlahan.

"Tak apalah, bang. Lama-lama Zack dok sini pun makin bertambah masalah yang Zack timbulkan nanti. Lagipun, ambil masa jugakan nak selesaikan kes cerai Zack ni. Biarlah Zack balik sana dulu, settlekan exam yang masih berbaki. Kalau perlu balik nanti, Zack balik semula ke sini."

"Kamu tak takut menyesal ke Zack?" sahut Zainura tiba-tiba.

"Nak menyesal pasal apanya, kak?" soal Zack malas-malas.

"Menyesallah sebab buat keputusan terburu-buru. Kamu langsung tak bagi peluang kepada diri kamu dan diri Pehah untuk kenal satu sama lain," sambung Zainura sambil curi-curi pandang ke arah suaminya yang tenang memandu masuk ke ruang parkir pejabat agama.

"Tak ada apa yang nak disesalkan, kak. Zack lagi menyesal besar sebab tak ikut tok ayah ke masjid dua tahun yang lalu. Kalau Zack pergi, dah tentu Zack tak terjebak dengan semua ni, kak. Tak perlu kahwin, tak perlu lari jauh-jauh dan tak perlu dalam usia muda macam ni jadi duda."

"Jadi duda tu pilihan kamu. Tak ada siapa yang paksa. Akak tengok, Pehah tu macam betul-betul sayangkan kamu. Beria-ia dia menangis waktu call akak semalam. Mana nak cari perempuan setia macam dia, Zack? Mungkin dulu dia silap, sebab perangkap kamu cara begitu, tapi semua orang pernah buat salah, kan? Dan salah kamu sekarang sebab tak mahu mencuba dan beri peluang kepada kamu dan dia."

Zack dah tepuk dahi. Dah aku pula yang salah? Macamlah aku yang rancang kes tangkap basah dulu tu. Arghhh!!! Bencilah. Kak Nura ni dah kena manderem dengan perempuan tu agaknya.

"Abang, ibu dengan abah tahu ke pasal ni?" soal Zack lambat-lambat. Abang Zahim menggeleng. Zack tarik nafas lega. Nasib baik! Kalau sempat dia berlepas balik baru mereka tahu, bagus juga. Kurang sikit impak marah yang terpaksa diterimanya.

"Kalau Zack tanya pendapat abang, Zack patutnya terus terang dulu kepada ibu dengan abah dan bukannya melarikan diri sampai mereka tahu daripada mulut orang lain. Kita ni lelaki, Zack. Hal serius macam ni patut diselesaikan baik-baik, lebih-lebih lagi kalau berkait rapat dengan orang. Kalau dah selesai, barulah tenang hati Zack nak jawab exam nanti. Ketenangan tu kan datang daripada keredaan mak dan ayah kita."

Keredaan mak dan ayah?

Gulp. Liur di rengkung Zack dah rasa susah nak telan. Aih, Abang Zahim ni pun tiba-tiba aje tukar side pula, biar betul. Zack berdehem perlahan. Masih tercari-cari ayat yang sesuai untuk membela diri sendiri.

"Zack tahu tu, bang. Tapi nama nak berterus terang pasal hal cerai tu, Zack tak sanggup, bang. Serius, tak sanggup. Sejak Zack balik semalam jangankan bercakap, pandang muka Zack pun abah tak mahu. Abang boleh bayangkan kalau Zack buka cerita pula pasal kes malam tadi? entah-entah sampai bila-bila pun abah tak nak jumpa Zack lagi."

Zainura angguk, mengiakan. Kali ini dia bersetuju dengan kata-kata Zack. Dia cukup kenal dengan perangai abahnya. Dua kali lima aje dengan fiil Si Zack ni. Degil. Keras kepala. Sebab itulah mereka berdua tak pernah sebulu dalam banyak hal dan setiap kali bertekak atau bertegang leher, tok ayahlah yang jadi penyelamat Zack apabila pembela utamanya, ibu tak mampu nak buat apa-apa.

"Hmmm... Macam inilah, kita masuk dulu ke dalam, berbicang dan uruskan mana yang perlu diselesaikan dulu. Lepas tu, kami hantar Zack ke airport. Pasal abah, biar akak jelaskan kepada dia."

Zack tarik senyum kepada Zainura. Dia tahu, Zainura memang sayangkannya dan seboleh mungkin akan cuba membantu. Dan dengan langkah longlai, Zack yang ditemani Zainura itu menapak malas-malas memasuki ruang pejabat agama.

"Aku ceraikan kau dengan talak satu!"

"Sampainya hati dia!" lirih Pehah perlahan. Tisu yang terjulur keluar dari kotaknya ditarik kasar sebelum dilap ke pipinya yang tak kering dibasahi air mata sejak malam tadi apabila kata-kata itu kembali terngiang-ngiang di telinganya. Dah macam mimpi ngeri yang mengejarnya sampaikan Pehah nak tidur pun tak boleh. Kuat sungguh penangan kalimah keramat itu.

Cerai. Dia dah ceraikan kau, Pehah. Setelah dua tahun kau setia menunggu. Sampainya hati dia! Sungguh sampai hati! luah Pehah dalam hati.

"Pehah..."

Pehah kaku seketika. Kening dah berkerut memikir cara nak coverline daripada abang long. Nak jawab apa kalau ditanya nanti? Dah tentu-tentu longgokan tisu yang bersepah di atas lantai dan di atas katil tak sempat disorok di mana-mana.

"Laaa... Banyaknya tisu atas lantai ni. Hang menangis ka, Pehah?" soal abang long yang dah duduk sama di tepi katil menghadap ke arah tingkap bilik itu sambil hujung jari kaki dok kuis tisu jauh-jauh. Laju Pehah menggeleng.

"Eh, mana adalah abang long ni. Pehah... Errr... Pehah selesema. Haaa, selesema!" dalihnya. Sehelai tisu lagi ditarik keluar sebelum ditenyeh di hidungnya. Cover selagi boleh.

"Selesema?" Tangan abang long dah melekap di dahinya.

"Pehah selesema aje. Bukannya demam," balasnya seraya tersenyum.

"Ke hang sakit mata?" kali ni tangan kasar abang long dah melekap pada matanya yang memerah dan sedikit bengkak.

"Hah?" Pehah dah melopong. Abang long tahu ke dia menangis eh?

"Isy, apa abang long ni dok cucuk mata orang. Sakitlah!" marah Pehah sambil tepis tangan abang long. Mengekek abang long tertawa sebelum bangkit berdiri dan buka tingkap yang masih tertutup walaupun jam dah tunjuk angka 11 pagi.

"Hmmm, hang dah mandi ka belum, dik?"

Pehah geleng. Tak ada mood nak mandi ke, pakai baju raya ke. Malas! Raya pun dah tak ada maknanya kalau tak boleh beraya dengan suami sendiri. Suami? Hurmmm... Kau dah tak ada suamilah, Pehah! Dan menyedari hakikat itu, langsung wajahnya berubah muram apabila teringatkan peristiwa malam tadi.

"Laaa, orang tanya pasal mandi pun nak cebik? Hesy, hang ni macam-macamlah Pehah! Dah tu, pi bersiap. Ada orang mai tu."

Pehah tarik muncung. Orang datang beraya, dia pula yang nak kena mandi. Apa hal? Bantal yang sejak tadi dalam pelukannya diletakkan di tepi sebelum dia berbaring semula di atas katil, bermalas-malasan.

"Eh budak ni kan, orang kata ada orang mai lagi dia dok baring pula."

"Pehah tak ada moodlah, bang," balas Pehah selamba. Mata dah dipejam rapat. Semalaman tak boleh tidur, kepala pun dah jadi weng.

"Pergilah mandi dan bersiap dulu. Lepas ni mesti hang ada mood. Abang berani jamin punyalah," pujuk abang long bersungguh-sungguh. Pehah cebir bibir. Wajah abang long yang melebar senyumnya dipandang dengan penuh tanda tanya.

"Tu, ada tetamu tunggu hang kat bawah."

Tetamu? Siapa? Takkan Zack kut!

"Siapa, bang?"

"Pergilah mandi dulu kut ya pun."

"Yalah. Pehah taulah. Sat lagi Pehah pi la mandi. Abang habaq la dulu, siapa yang mai?"

"Lelaki dengan perempuan," balas abang long lambat-lambat dengan sengihan.

Lelaki dengan perempuan? Zack dengan Kak Nura ke? teka Pehah sendirian dalam hati. Isy, takkan kut. Sangkaannya cuba dihalau jauh-jauh. Mahu terbalik dunia ni kalau Zack yang datang.

"Tu, dok menung lagi. Pi siap cepat! Hang tak mau beraya rumah mentua hang ka? Orang dah mai datang ambil sini pun dah cukup baik tau." Abang long dah mula nak membebel.

Mentua? Pehah bingkas bangun sambil tayang wajah tak percaya.

"Zack mai ke bang? Betui ni?"

"Zack? Siapa Zack?"

"Sss..." Tak jadi nak menyebut. Masih suami ke dia? Bukan ke malam tadi? Pehah dah garu kepala sendiri.

"Ooo... Nama laki hang tu Zack, ka? Manalah abang tau. Bukannya pernah jumpa pun. Dah, pi siap cepat! Tak baik buat orang tunggu."

"Yalah... Yalah," balas Pehah perlahan sambil atur langkah ke bilik air dengan hati yang berbunga-bunga. Macam tak percaya aje Zack datang semula hari ni!

"Abah kecewa dengan kamu, Nura," tutur abah perlahan. Mata abah tajam memandang tepat ke wajah Zainura yang tayang wajah kental tak berperasaan. Abang Zahim di sebelahnya hanya mampu mengeluh perlahan. Ibu pula hanya mendiamkan diri, tapi tangan masih melekap elok di bahu menantu perempuannya yang tak berhenti menitiskan air mata sejak tiba tadi.

"Sepatutnya sebagai kakak, kamu halang dia daripada buat benda bodoh macam ni. Pujuk dia, nasihat dia supaya berbincang dulu. Ini tidak, kamu menyokong pula. Diam-diam kamu hantar dia balik sana, tinggalkan masalah lagi untuk kita kat sini. Kalau kamu di tempat Pehah, apa perasaan kamu kalau Zahim buat hal yang sama, hah?" marah abah berapi-rapi sambil mundar-mandir.

Zainura tarik nafas panjang. Sesekali wajah Abang Zahim di sisinya dikerling, buat ubat kuatkan semangat yang seakan-akan goyah kali ini dalam nak mempertahankan adik bertuahnya itu. Memanglah kali ni Zack betul-betul buat hal.

"Nura tak menyokong. Membantah pun tidak, sebab Nura rasa Zack dah cukup besar nak tentukan hidup dia sendiri, abah. Dia bukan budak kecil lagi, abah. Dia dah besar. Dah dua puluh tahun! Takkanlah Nura nak paksa dia sukakan Pehah? Hal hati ni, bukan boleh dipaksa-paksa."

"Suka dan sayang tu semua boleh dipupuk, Nura. Ibu dengan abah pun tak kenal antara satu sama lain waktu kami menikah dulu. Tapi, alhamdulillah... Selepas tu, kami boleh terima antara satu sama lain. Tapi kamu, apa yang kamu dah buat? Bukan nak bagi peluang mereka kenal sesama sendiri, kamu siap bawa Zack lari jauh-jauh lagi kononnya untuk sambung belajar. Tapi hasilnya? Makin menjadi-jadi perangai tak bertanggungjawab dia tu. Pandai buat masalah, lepas tu lari."

Lari sebab nak sambung belajar pun salah ke? Bukannya lari sebab nak kahwin, getus Zainura dalam hati.

"Okeylah. Kita semua tahu Zack ni akal panjang, nakal sikit. Tapi abah pun tahu kan, Zack tak pernah timbulkan masalah sebelum ni. Dia nakal gitu-gitu aje. Cuma pasal kahwin tu..." Kata-kata Zainura terhenti di situ sambil dia menjeling sekilas ke arah Pehah yang menunduk sejak perbalahan antara dia dengan abah bermula.

"Cepat atau lambat dia akan kahwin juga."

"Ya, cakap abah tu betul. Tak ada yang salahnya. Masalahnya kat sini, dia kahwin dengan orang yang dia..." kata-kata Zainura terhenti lagi. Tergigit lidah nak meneruskan bicara apabila orangnya ada sama di situ. Ah, susahlah macam ni! Nak backing adik sendiri tapi...

"Sudahlah, Nura. Kamu tak habis-habis nak cakap pasal suka, pasal sayang. Dalam hal ni kamu pun bersalah sebab ikutkan saja bila dia ambil keputusan nak ceraikan isteri dia."

Aku juga yang salah lagi? Zainura dah tekup kepala sendiri. Pening pula rasanya apabila bercakap dengan abah ni. Suka cakap konar-konar. Last-last point yang sama juga. Salah dia!

"Tapi abah, Nura tak ada waktu semua tu berlaku. Hal tu hanya antara Zack dengan Pehah. Kalau Nura ada..."

"Ahhh, macamlah abah tak kenal dengan kamu. Suka sangat backing Zack tu. Sebab itulah dia jadi macam tu. Dimanjakan sangat! Ada masalah sikit, lari. Ada masalah sikit, lari macam pengecut. Dulu lepas kahwin, lari. Dah elok balik sini, dia buat hal lagi. Lepas diceraikan Pehah, lari semula. Dia ingat hal nikah kahwin ni main-main agaknya."

"Siapa kata Zack lari?"

Dan suara yang datang dari muka pintu itu benar-benar buat semua yang ada ternganga.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: