Bab 11
"Yang kamu suka sangat makan benda huruf M ni dah kenapa? Apa yang sedapnya?" soal tok ayah sambil dok belek bekas kertas berisi kentang goreng itu berkali-kali.
"Tok ayah nak tahu kenapa? Sebab dia huruf M. Bunyinya pula macam ni... Emmm... Sedapnya! Cer tok ayah tukarkan huruf M kepada N. Ennn... Tak sedap bunyinya, kan? Haaa... Sebab itulah," balas Zack, tertawa besar sambil menyuap kentang goreng ke dalam mulutnya. Berubah wajah tua tok ayah seketika.
"Kamu mengenakan aku, ya Zack. Mentang-mentanglah aku jarang makan benda M ni." Nada suara tok ayah dah ada gaya merajuk. Langsung bekas kentang goreng yang disua, ditolak dengan gelengan.
"McDonald's la, tok ayah. McDonald's. Benda M, benda M..." ejek Zack sambil sambung ketawa.
"Mek nonoi?"
"Mek apa pula ni, tok ayah? McDonald's... McDonald's... Sebut betul-betul..." Zack ketawa lagi.
"Hah, gelaklah. Nanti, bila aku dah tak ada, benda M inilah yang akan buat kamu teringat kat aku. Percayalah..."
"Tok ayah!" panggil Zack perlahan. Air matanya mengalir lagi untuk kesekian kali sambil mulutnya mengunyah perlahan kentang goreng yang baru saja tiba di depan pintu bilik hotelnya tadi. Dahinya diurut perlahan. Tangannya kemudian menyelak rambut yang menutupi muka.
Kusut! Rasa kusut sangat-sangat. Perancangan hidupnya rasa sedikit goyah dengan ketiadaan tok ayah secara tiba-tiba. Selama ni Zack belajar rajin-rajin sebab nak dapat kerja bagus-bagus. Nanti senang Zack nak bawa tok ayah pergi umrah, tapi... Lamunan Zack terhenti.
Kepalanya dipaling pantas ke arah pintu apabila loceng di luar pintu biliknya berbunyi. Ah, Siapa pula yang datang ni? Housekeeping? Pelik amatlah pula housekeeping datang malam-malam macam ni. Ah! Abaikan sajalah, Zack! Silap bilik kut.
Zack sambung menyuap beberapa ketika, tapi bunyi di hadapan pintu biliknya masih tak berhenti dari tadi. Sungguh tak faham bahasa gerangan yang mengetuk pintu ni. Kalau tak dibuka pintunya, dah tentulah orangnya tak ada ke, dah tidur ke. Takkan itu pun tak boleh fikir kut! bebel Zack dalam hati.
Tapi dek kerana loceng ditekan berterusan tanpa henti, Zack terpaksa mengalah. Lambat-lambat Zack melangkah sebelum tombol pintu ditarik.
"Assalamualaikum..."
Langsung tak jadi nak jawab salam yang diberi. Sebaliknya, mata Zack langsung membuntang. Laaa haih... Dia lagi? Tak ada muka lain ke? Tangan dah bersedia nak tutup pintu, tapi belum sempat dia buat apa-apa tindakan, si gadis dah menyusup masuk ke dalam sambil tayang wajah tak bersalah.
"Eh, keluarlah. Ini bilik orang bujang. Kau tak malu ke?"
"Awak bukan bujang lagi, Zack."
"Whatever but please... Leave now!"
"Saya tak nak balik," balas Pehah bersahaja sambil henyakkan punggung di hujung katil. Tangannya beberapa kali tepuk tilam empuk itu sambil terangguk-angguk.
"Best tilam ni. Empuk. Mesti best tidur, kan? Eh, tutuplah pintu tu. Kan saya dah cakap, saya tak nak balik. Bermakna, saya tak akan tinggalkan bilik ini tanpa awak," sambungnya lagi dengan senyum selebar mungkin. Tangan ditarik lalu berpeluk tubuh. Mata ligat memerhati gelagat Zack yang masih nampak terkejut dengan kehadirannya.
Zack mendengus kasar sambil mata hitamnya tajam memandang ke arah Pehah yang dah siap-siap bertukar uniform daripada berbaju kurung sopan siang tadi ke baju T lengan panjang ketat yang menampakkan susuk tubuhnya yang tak berapa nak ada isi itu dengan berseluar jean lusuh. Tudung? Entah. Dah terbang agaknya dalam perjalanan dia ke sini tadi.
"Sebenarnya apa tujuan kau datang ke sini?" soal Zack serius.
Makin lebar senyuman Pehah lemparkan kepada Zack. Beg kertas yang dibawa sama diangkat tinggi-tinggi sambil tangan sebelah lagi dikibai-kibai mengajak sama. Berkerut dahi Zack seketika. Buang tabiat ke apa minah ni? Tiba-tiba pula berlagak macam mesra sangat.
"Kau ingat, kau cantik sangatlah buat macam tu? Dahlah, pergi balik. Dah lewat malam ni," pinta Zack, sebaik mungkin. Tangan dah siap sedia menunjuk arah keluar bilik seperti gaya pelayan. Jenuh dah bercakap kasar-kasar, sikit pun tak terkesan dek perempuan ni. Sekarang dicubanya pula cara baik. Mana tahu kut boleh lembut hati dia!
"Kan saya dah cakap tadi, saya tak nak balik. Ini, saya datang bawa makanan untuk awak." Pehah masih tak nak beralah.
Zack senyum mengejek.
"Makanan? Apa kau ingat ini asrama ke apa? Ada waktu melawat bagai sambil bawa makanan. Ini hotel, tahu tak? Hotel. Angkat aje gagang telefon, cakap sepatah dua terus datang orang hantar makanan."
"Taulah."
"So?"
Senyuman masih kekal di bibir Pehah apabila melihat tindak balas Zack yang dah mula boleh berlembut dengannya berbanding dua tahun yang lalu. Kalau dulu jangankan bercakap baik, pandang pun acuh tak acuh saja. Mungkin ada betulnya kata arwah tok ayah suatu ketika dulu, Zack ni keras-keras kerak nasi aje. Kalau dok siram dengan air, lembut juga akhirnya.
Pehah jeling sekilas ke arah meja solek di hadapannya. Perlahan-lahan Pehah bangkit lalu beg kertas diletakkan perlahan di atas meja solek berhampiran dengan bungkusan McDonald's yang berisi burger Big Mac yang masih belum terusik lagi.
"Duduk sana makan benda alah ni, balik sini pun makan ini juga. Awak tak jemu ke, Zack?"
Zack kerling sekilas sebelum bibir dicebir. Dah bila masa pula aku dok mentakedarah benda M ni dekat sana? Tak halal kut! balas Zack dalam hati.
"Hari ni kan, raya pertama. Patutnya makanlah rendang ke, nasi impit ke. Ini tidak, burger dengan fries juga yang awak makan. Ni, saya bawakan bekal untuk awak! Saya tahu, awak tak sempat lagi jamah apa-apa sejak awak sampai sini. Emmm, makanan ni jangan makanlah, ya? Bukannya elok untuk kesihatan pun," bebel Pehah lagi.
Laju aje tangannya masukkan bekas kentang goreng yang dah separuh kosong, diiringi Big Mac yang tak berusik lagi ke dalam beg plastiknya semula, sebelum dibaling ke dalam tong sampah. Terbeliak besar mata Zack melihatkan aksi selamba tetamu tak diundangnya itu.
"Amboi, suka hati kau aje nak baling makanan aku dalam tong sampah, ya. Kau ingat aku beli semua ni tadi pakai daun? Aku belum habis makan lagilah, sengal!" bentak Zack. Hilang terus rentak nak berlembut. Beg plastik dalam tong sampah cepat saja ditarik keluar kasar, sebelum ditiup berkali-kali. Mujurlah tong sampah masih kosong tak berisi. Kalau tidak, rugi!
"Degillah awak ni! Mana ada orang makan McD waktu raya!"
"Perut ni, perut aku. Suka hati akulah nak makan apa. Bukannya susahkan kau pun."
"Tapi awak suami saya! Makan pakai awak adalah tanggungjawab saya untuk diuruskan," jelas Pehah pula.
Hek eleh dia ni! balas Zack dalam hati.
Zack terdiam. Lama. Tak ada butir bicara yang terluah, hanya renungan tajam mata sepetnya saja yang merenung wajah bersahaja di hadapannya itu. Bibirnya bergetar perlahan, menahan rasa nak memuntahkan amarah dek gelagat tak reti bahasa tahap dewa kepada isterinya yang 'tercinta' itu. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum keluhan panjang dilepaskan. Perlahan-lahan pintu yang separuh terbuka itu ditutup dan dikunci. Langkah diatur lambat-lambat menuju ke arah meja solek dengan mata tak lepas memandang.
"Errr... Awak nak buat apa ni, Zack?" soal Pehah takut-takut apabila terasa pandangan Zack nampak berbeza daripada tadi. Pandangannya saling tak tumpah seperti petang tadi. Lagaknya juga seakan-akan mencurigakan. Bukan macam Zack yang dia kenal.
"Nak buat apa, ya?" soal Zack dengan sengihan nakal. Tubuh kecil Pehah kemudiannya ditarik kasar dan ditolak ke dinding berhampiran meja solek. Tangannya kemudian dilekap ke dinding, menghalang gadis itu daripada bergerak ke mana-mana.
"Selain makan pakai, ada apa lagi tanggungjawab kau kepada aku? Ha, cuba kau beritahu aku?" soalnya, serius. Terkerdip-kerdip mata Pehah memandang ke arah Zack, sebelum akhirnya pandangannya dibuang ke lantai. Dadanya berombak kencang. Rasa takut diapa-apakan mula menerpa. Aku silap cakap ke tadi? Tak ada, kan? bisik Pehah dalam hati.
"Aku tahu, itu tujuan asal kau cari aku sampai ke sini. Kan? Ya, aku faham. Dekat rumah tu, ramai sangat orang. Dekat sini privasi sikit. Betul tak?" asak Zack lagi. Makin bergetar jantung Pehah dibuatnya apabila tangan Zack dah mula menggenggam tangannya.
"Errr... Awak! Takkan awak nak... Errr... Takkan awak..." Tergugup-gugup Pehah menyoal. Pipinya yang licin itu langsung memerah apabila mata kecil Zack tak putus merenungnya tambahan pula dengan jarak antara mereka yang sedekat itu.
Zack dah tarik senyum sampai ketelinga.
"Aku apa?"
"Takkanlah awak dengan saya errr nak..." Pehah dah pejam mata rapat-rapat. Tak mahu membayangkan tindakan Zack yang seterusnya. Habislah kau, Pehah! Habislah kau! ujar Pehah dalam hati.
"Takkan aku bodoh sangat, ya! Tak nak minta bukan-bukan daripada kau? Hesy, tolonglah! Aku belum cukup gila nak merosakkan anak dara orang. Lagi pula yang bukan taste aku macam kau ni," balas Zack sambil tertawa besar. Cepat-cepat Pehah buka mata. Bibirnya diketap geram. Dia mainkan aku rupa-rupanya! marah Pehah dalam hati.
"Awak ni kan!"
"Kenapa? Kecewa? Bengang sebab apa yang kau fikirkan, tak menjadi?" soal Zack sambil sambung tertawa.
"Apa maksud awak yang saya bukan taste awak?" soal Pehah, bengang.
"Laaa, kau ingat aku suka kat kau ke? Come on. Wake up, girl! Dah dua tahun aku tinggalkan kau. Bukan setakat rupa, hatta nama kau sekali pun aku tak pernah ingat. Itu tak cukup jelas lagi ke yang kau bukan taste aku? Jadi, apa lagi yang kau harapkan daripada aku?"
"Tolonglah, tolong jangan jadi bodoh. Just move on. Bumi Allah ni luas. Ramai lagi lelaki kat luar sana yang boleh senangkan hati kau. Tapi bukan aku orangnya," sambung Zack diiringi tawa mengejek. Bekas berisi kentang goreng dicapai dari dalam bungkusan plastik, sambil sambung menyuap ke dalam mulut usai punggungnya dilabuh di hujung katil.
"Bodoh ke saya untuk bagi peluang dan ruang kepada suami saya untuk kejar cita-citanya? Dan bodoh ke saya untuk setia kepada suami yang sah menikahi saya?" soal Pehah sedikit kecewa.
Zack berhenti mengunyah. Wajah diangkat, memandang ke arah wajah Pehah yang tampak muram sebelum sengihnya ditayang diiringi tawa kecil.
"Kenapa awak tertawa? Apa yang kelakarnya?" soal Pehah, tak puas hati.
"Kaulah! Setia konon. Pigidah. Setia kepada yang tak sudi itu bodoh namanya. Macam kes kau ni la!"
Dia kata aku bodoh? Sampainya hati dia! lirih Pehah dalam hati. Wajah Zack yang seakan-akan rasa tak bersalah langsung membodohkannya tadi dibalas pandang dengan mata berkaca.
"Zack, awak..."
"Apa lagi? Nak makan pun tak senang!" balas Zack acuh tak acuh.
"Selama dua tahun kita kahwin ni, tak pernah ke terdetik walau sesaat pun dalam hati awak untuk terima saya? Sukakan saya?" soal Pehah lambat-lambat.
Zack sengih lagi. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Tak faham lagi rupa-rupanya perempuan ni. Puas kena kutuk, kena marah tapi masih nak mengharap. Dia tak terasa ke? Hati batu bata ke apa? tanya Zack dalam hati.
"Kau ingat aku ni senget ke nak sukakan kau? Understood? Kita kahwin bukan sebab suka ke, cinta ke, tapi sebab kena perangkap! Kau perangkap aku. Kau lupa? Ke kau dah hilang ingatan?" ujar Zack, sinis.
"Tapi..."
"Tapi apa lagi? Aku dah pesan dari dulu, kan? Jangan harapkan apa-apa daripada aku, sebab aku..."
"Tapi awak suami saya, Zack. Tempat saya bergantung dan berharap," balas Pehah dengan air mata yang bergenang. Entah kenapa hati yang cuba dikeraskan seboleh mungkin sebelum melangkah masuk ke dalam bilik itu seakan-akan mencair dan lemah sedikit demi sedikit dengan sikap Zack yang secara terang-terangan membencinya. Bukan setakat kata-kata, lenggok gaya dan muka memang jelas tunjuk tak suka.
"Well, secara teorinya, betul. Itu tugas suami kepada isteri. Sayangnya aku tak pernah anggap kau sebagai isteri aku dan selalunya, aku lupa yang aku ada isteri. So, macam mana tu, ya?" balas Zack selamba. Matanya tepat merenung ke arah anak mata Pehah yang masih mengalirkan air mata sambil bibir kecilnya diketap rapat.
"Jadi, sebab itu awak pasang satu lagi? Siap bawa balik Malaysia nak tayang dekat saya, kan? Awak tak malu ke Zack? Awak bawa dia balik waktu keadaan genting macam ni? Kalaulah tok ayah ada..."
"Eh, kau jangan berani-berani nak panggil nama tok ayah dengan mulut jahat kau tu, ya! Sebab mulut kau tu la, yang memfitnah aku sampai aku terjebak kena kahwin dengan kau. Dan sebab mulut kau tu juga, aku terpisah dengan tok ayah sebelum ni, sampaikan aku tak sempat nak minta maaf kepada tok ayah sebelum dia meninggal dunia."
"Ini semua sebab kau. Sebab kau! Sebab itu juga, aku bencikan kau. Benci sangat-sangat sampai aku berdoa supaya takkan dengar nama kau atau jumpa kau lagi, kau tahu?
"Dan FYI, aku tak perlu nak upah sesiapa nak jadi patung untuk buat kau rasa cemburu, sebab rasa cemburu kau tu tak bermakna untuk aku," bidas Zack yang dah berdiri tegak dengan jari telunjuk terarah tepat ke wajah Pehah yang melopong, setelah mendengar luahan hati Zack yang tersimpan kemas selama ini.
Pehah diam. Lama. Nafas dihela panjang sambil hujung lengan bajunya dijadikan kain lap untuk air matanya yang tak henti mengalir sejak tadi. Dia kata dia benci aku? Dia tak mahu jumpa aku? Tak! Tak! Jangan dengar, Pehah! Jangan ambil hati. Kau kena kuat, Pehah! Kena kuat! Jangan cepat lemah, kata Pehah dalam hati.
Langsung bibirnya ditarik sekuat mungkin untuk mengukir senyuman biarpun hati masih rasa tersentap dengan kata-kata Zack tadi. Kau boleh Pehah. Dia suami kau. Bukan orang lain.
"Awak tak makan lagi, kan? Awak makan dulu, ya. Lepas tu kita sambung berbincang..."
"Jangan sentuh aku!" tempelak Zack apabila lengannya dipaut.
"Okey, okey. Saya tak sentuh awak dah. Tapi Zack, janganlah macam ni. Awak tak sayangkan saya tak apa. Tapi saya sayangkan awak. Jadi sekarang, awak kena makan sebab kalau awak sakit, saya juga yang susah hati nanti."
"Arghhh!!! Siotlah!!!" Sekuat yang mungkin Zack menjerit melepaskan rasa dalam hati. Gila tak fahamnya dia dengan perempuan ni. Macam langau! Lagi kita halau, makin dia datang mendekat. Lemas Zack dibuatnya.
"Zack... Errr... Awak okey tak ni?"
"Tak. Tak okey. Sangat tak okey. Ginilah... Emmm... Siapa nama kau? Leha? Piah?"
Pehah menganga besar. Nama aku pun dia tak ingat? Kesiannya aku! keluh Pehah dalam hati.
"Pehah..." beritahunya perlahan.
"Haaa... Pehah, aku rasa sebelum aku naik syeh, baik kau balik. Dengan jet lagnya, tambah pula dengan drama swasta kau buat siang tadi, aku memang tak ada mood nak berbincang sekarang. Jadi, baik kau balik. Balik, ya. Jom, aku temankan kau." Zack dah melangkah ke arah muka pintu, tapi baru beberapa tapak melangkah, pinggangnya dipeluk erat dari belakang.
"Saya sayangkan awak, Zack. Saya tak nak balik!"
"Ya Allah, kau ni kan." Sedaya upaya Zack meleraikan pelukan di pinggangnya, sebelum sekali lagi tubuh kecil itu ditolak menjauhinya. Zack mundar-mandir di hadapan pintu sambil rambut yang elok tersisir tadi diusai berkali-kali. Apa aku nak buat ni, Ya Allah? Apa lagi cara yang ada nak bagi dia ni faham? Tolonglah aku, Ya Allah.
"Zack..."
Zack dah hilang kosa kata hendak melarang. Hanya tapak tangannya saja ditunjuk kepada gadis itu sebagai tanda tak mahu diganggu sambil pandangannya dibuang ke arah lain.
"Aku dah tak tahu nak cakap macam mana dan nak buat apa dah dengan kau ni. Kau ni memang spesies tegar tak mendengar kata. Mana hilangnya malu kau sebagai perempuan, hah? Kau tak malu ke kejar lelaki yang bencikan kau?"
"Kenapa nak malu? Awak kan suami saya," balas Pehah, selamba.
Alasan yang sama lagi! Balik-balik awak suami saya. Awak suami saya. Dah macam Astro dah gayanya. Ulanglah sampai muntah.
"Okey sekarang ni, aku nak kau cuba fahamkan aku. Betulkan aku kalau aku salah, boleh?"
Pehah angguk laju.
"Kau sayangkan aku sebab aku ni suami kau, kan? Sebab itu juga kau sanggup tunggu aku selama ni. Betul?"
Pehah angguk laju sekali lagi. Ada garis senyuman di bibirnya.
"So, from now on. I'll stop being your husband."
"Ha?" balas Pehah terpinga-pinga.
"Kenapa? Kau tak faham apa yang aku cakap tadi? Okey. Kata mudahnya..."
"Apa yang mudahnya?" soal Pehah lambat-lambat.
"Kata mudahnya, aku ceraikan kau dengan talak satu."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro