Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Zack masih duduk melengung di gazebo. Dengan tubuh disandar senget di tiang gazebo itu, tangan dipeluk erat ke tubuh. Matanya yang sudah membengkak, kesan daripada tangisan yang tak sudah-sudah mengalir sudah ditutupi dengan cermin mata hitam yang tak lekang berada di matanya sejak tiba di Malaysia tengah hari tadi.

Mata sepetnya masih tertumpu ke arah pintu pagar rumah yang sudah hampir setengah jam lalu van jenazah beredar ke tanah perkuburan berdekatan. Perasaannya ketika itu memang terasa kosong seolah-olah dirinya dibawa sama sekali. Pemergian tok ayah tanpa dia sempat memohon maaf atas kesilapan yang dia lakukan sungguh meninggalkan kesan besar kepadanya. Sampai mati pun dia takkan maafkan dirinya sendiri. Takkan dapat maafkan!

"Kamu janganlah risau. Tok ayah dah lama maafkan kamu, Zack. Kalau tidak, takkanlah tiap kali kami balik, tok ayah suruh abang cerita pasal kamu kepada dia. Pasal pelajaran kamu, sikap kamu. Sihat ke tidak kamu. Siapa kawan-kawan kamu. Katanya dia risau, kalau kamu berkawan dengan orang yang bukan-bukan di sana. Tok ayah pun banyak kali ulang, dia rasa bersalah sebab berkeras paksa kamu kahwin dulu. Kalau tidak, mesti kamu tak tinggalkan dia dan bawa diri jauh-jauh. Tok ayah betul-betul sayangkan kamu, Zack," bisik Abang Zahim, sebelum berangkat sama mengiringi jenazah apabila ajakannya supaya Zack turut sama ditolak dengan gelengan tanpa alasan kukuh.

"Setahu akak, tok ayah pernah cakap kalau dia dah tak ada nanti, dia nak dikebumikan di kampung dekat sebelah kubur Nek Pah. Tapi, beberapa hari sebelum dia pergi, dia cakap yang sebaliknya kepada abah. Katanya, kalau dia dah tak ada, tak payah susah-susah bawa balik jenazahnya ke kampung. Tanam saja di sini. Nanti senang bila Zack balik, boleh Zack ziarah dia selalu."

Zainura pula menokok, lagi menambah rasa bersalah dalam hatinya.

Tapi entah kenapa, hatinya terlalu berat untuk turut serta ke tanah perkuburan. Layakkah dia untuk turut serta sedangkan dia cucu yang tak mendengar kata. Cucu yang memalukan arwah tok ayah! Wajarkah dia untuk ada sama?

Air mata Zack mengalir lagi untuk kesekian kalinya, tapi dibiarkan saja membasahi pipi, tak mahu diseka. Biar apa orang nak kata, lantaklah. Dah tak tertahan dia nak menahan rasa sedih dan bersalah yang bercampur aduk. Kalaulah egonya itu dibuang lebih awal, pastinya dua tahun kebelakangan yang lalu dia dapat bahagiakan tok ayah, temankan tok ayah. Maafkan Zack, tok ayah! Zack bukan cucu yang baik, rintih Zack perlahan dalam hati.

"Jangan fikirkan kalaulah itu, kalaulah ini. Tak baik. Allah tak suka. Setiap yang hidup, pasti akan mati. Cuma masanya saja kita tak tahu. Cepat atau lambat," ujar satu suara tiba-tiba.

Tanpa menoleh, cepat-cepat air matanya diseka. Rasa macam tak lelakilah pula kalau menangis depan perempuan, kan? Ahhh, perempuan ni pun satu hal juga. Waktu inilah nak menyibuk pun. Duduk elok-elok dalam rumah tu, tolong basuh pinggan yang berlambak tu tak boleh ke? Nak juga menempel dekat sini.

"Kau buat apa kat sini? Tak manislah orang tengok," tuturnya perlahan sambil picit hidung yang dah terasa sesak untuk bernafas. Mata masih terarah ke pintu pagar.

"Awak tu pula buat apa kat sini? Bukan sepatutnya awak ikut ahli keluarga yang lain ke tanah perkuburan ke? Ini tidak, dok layan air mata bagai..."

Zack tarik nafas dalam-dalam sebelum keluhan dilepaskan kasar. Ini yang naik angin ni, bila kita cakap elok-elok dijawab dengan provokasi. Tambah pula yang memprovokasi tu, perempuan. Jadi angin kuasa dualah jadinya.

Matanya yang bengkak dan memerah dah mengerling tajam kepada Idayu yang duduk beberapa inci jaraknya daripada dia. Seketika, kepalanya digeleng berkali-kali seakan-akan menyesali sesuatu. Serius, Zack. Kenapalah subuh tadi kau ikutkan saja idea Kak Nura untuk bawa dia sekali terbang ke Malaysia sebagai teman? Dah tak pasal-pasal anak dara orang dibawa balik ke rumah. Mujurlah sanak-saudara dan jiran tetangga masing-masing sibuk nak meng'engah'kan (menghairankan) gadis misteri yang ikut sama dia balik pagi tadi. Kalau tidak, memanglah jadi lain cerita pula nanti.

"Dahlah tu. Tak payahlah kau nak bercakap macam kau kenal aku sangat. Jangan disebabkan aku ni ala-ala terhutang budi bila kau temankan aku balik sini, habis satu body aku kau tau. Cakap banyak pula..."

"Eee... Awak ni kan!"

"Aku apa? Tak suka cakap dengan aku? Blahlah. Aku pun tak minat nak cakap dengan kau. Orang dah berapi ni, lagi nak ditambah diesel pula," balas Zack bersahaja. Puas hatinya dapat menyakitkan hati gadis di sebelahnya. Waktu macam ni pula dia nak tunjuk macam bagus. Memang tunggu kena bahan sajalah!

Lengan baju Melayu hitamnya dah dilipat laju-laju sampai ke siku. Lengan baju sebelah kanan pula disingsing terus sampai ke lengan gaya samseng dengan dada berombak menahan rasa meluat yang meluap-luap. Dah kenapalah perempuan yang wujud dalam hidup dia selain Zainura dan ibu, semuanya sama spesies! Penyibuk dan macam bagus! Dia ingat dengan sekali pandang kat muka aku, semua pasal aku dia tahu? Pigidah! bebel Zack dalam hati.

"Awak ni cakap tak reti bertapis. Ego pula tu. Sebab ego awak inilah, awak sanggup tak balik beraya bertahun, kan? Selfish!"

Zack kalih ke sisi. Wajah yang mencuka memandang ke arahnya itu dipandang lama dengan 1001 rasa. Tak sudah-sudah lagi dia ni! Kalau ikutkan hati, memang teruk dibahasakan tapi, ah! Abaikanlah, Zack. She's nothing. Worthless, priceless nak melayan provokasi dia sampai sakit hati segala.

"Hahaha... Funny. Suka hati kaulah nak cakap apa. Selfish ke, selfie ke. Kau ingat aku hairan?" bidas Zack sebelum angkat punggung mahu beredar. Tak kuasa nak melayan perempuan meroyan ni. Kak Nura pun relaks aje bila tiap kali diajak pulang ke Malaysia, ditolaknya. Ibu pun tak pernah cakap apa, dia pula yang melebih. Tapi, baru beberapa tapak kaki melangkah, langkahnya terhenti apabila lengannya dipaut dari sisi.

"Saya pantang betul dengan orang macam awak ni, Zack. Jangan pergi macam tu aje bila orang tengah bercakap. Tak ada adab namanya!" tegas Idayu dengan wajah tegang. Tangan masih erat memaut lengan Zack, tak mahu lepas.

"Dan aku paling pantang bila perempuan suka-suki pegang lengan aku, macam aku ni laki dia walaupun berlapik. Kau bini aku ke? Bila kita nikah? Hah? Lepaslah!"

"Zack!"

Zack dan Idayu serentak berpaling dari arah datang suara. Terkocoh-kocoh gadis berbaju kurung serba hitam itu berjalan laju menuju ke arah mereka sambil jinjit beg pakaian.

"Zack, dia ni siapa?" soalnya sambil mata tak lepas memandang ke sisi Zack. Zack pula dengan dahi berkerut memandang pelik ke arah gadis yang hanya tinggi paras dadanya itu. Rasa macam kenal, tapi...

"Yang kau ni pula, siapa? Datang rumah orang dengan tak bagi salam, tup-tup main serang aje. Hailah! Kenapalah dengan aku hari ni? Kenapalah perempuan yang aku jumpa akhir-akhir ni semua spesies samseng?" rungut Zack sambil rentap lenganmya yang masih kejap dipegang Idayu. Menyesal besar tak ikut jemaah ke tanah perkuburan tadi. Memang menyesal sangat-sangat. Dah tak pasal-pasal terlibat dalam drama swasta tak bertajuk macam ni.

"Saya? Awak tanya saya siapa? Awak tak kenal saya ke, Zack?" Mendayu aje suara itu bertanya dengan muka penuh mengharap.

Zack mengeluh perlahan seraya menggeleng. Serius dia tak ingat wajah di hadapannya milik siapa, sementelah dia dengan perempuan bukannya sinonim mana. Bahkan pelakon perempuan Malaysia pun dia kenal macam-macam tu aje, inikan pula orang biasa. Lagilah dia tak kenal.

"Awak tak jawab lagi soalan saya, Zack. Perempuan ni, siapa? Makwe awak? Patutlah selama ni, friend request saya awak tak pernah approve. Bila saya mesej tak berbalas. Call pun tak diangkat. Lepas itu, awak siap tukar nombor lain lagi. Rupa-rupanya awak dah ada orang lain, ya?"

Mata kecil Zack membulat. Tak berkerdip dia memandang sambil akal diperah semahunya cuba memikirkan gerangan di hadapannya. Siapa dia ni? Takkan dia ni? Zack tarik keluar cermin mata lalu memandang dari atas ke bawah berkali-kali. Ya Allah! Memang dialah! Macam mana dia boleh tak perasan tadi?

"Kau?" soal Zack, tak percaya.

"Kalau saya ni makwe dia, kenapa? Ada masalah ke? Kalau orang dah tak suka tu, faham-faham sajalah. Janganlah bagi malu kaum perempuan, ya cik..." celah Idayu tiba-tiba. Laju aje Zack berpaling ke sisi. Melopong memandang ke arah Idayu yang dah tayang wajah ek.

Minah ni kenapa pula cakap macam tu? Naik syeh pula gaya macam laki dia kena kebas. Memang spesies over the board punya perempuan rupa-rupanya Si Idayu ni. Lebih sudu daripada kuah!

"Jadi betullah dia ni makwe awak, ya Zack?"

Zack tepuk dahi. Pula dah! Ni apa ni?

"Haah. Awak ada masalah ke dengan tu? Kalau saya ni bukan sesiapa dengan Zack, takkanlah dari jauh dia bawa saya datang ke sini. Kan? Betul tak, Zack?" balas Idayu dengan senyum senget.

What? Zack dah jatuh rahang memandang respons Idayu yang tak terduga. Bila masa pula ni? soal Zack dalam hati.

"Zack, betul ke ni?" tanya Pehah, inginkan kepastian.

Zack kalih pula ke depan memandang.

"Apa pula tak betulnya? Betullah! Kami dah bercinta sejak Zack sampai ke Aussie lagi. Kan Zack, kan?" jelas Idayu sesuka hati.

"Zack? Betul ke ni?" desah Pehah.

"Eee... Kau orang berdua ni kusutlah. Boleh tak pergi gaduh dekat tempat lain? Tolong bukan depan aku dan bukan sekarang..."

"Tapi, saya nakkan kepastian, Zack. Saya ni kan..."

Laju saja mulut kecil si gadis ditekup dengan tangannya sebelum lengan kecil itu ditarik untuk beredar dari situ menuju ke arah kolam ikan kesayangan abahnya.

"Zack!" panggil Idayu yang mahu turut serta.

"Kau jangan bergerak. Kau duduk situ sampai aku datang. Faham?" arah Zack, tegas. Terangguk-angguk Idayu yang dah labuh punggung semula di gazebo sambil tayang wajah cemberut.

"Kenapa? Kenapa tutup mulut saya? Awak takut saya beritahu hal sebenar yang saya ni isteri awak, kan?"

"Syhhh... Diamlah! Kau nak semua orang tahu yang aku ni dah kahwin? Waktu gawat macam ni? Logiklah, weh! Cubalah sensitif sikit dengan keadaan."

"Ooo... Saya ni kena sensitif dengan keadaan. Awak dengan perempuan tadi tu..."

"Look, aku sebenarnya betul-betul tak ada mood sekarang! Kau pun tahu, kan? tok ayah baru saja meninggal dunia, jadi aku minta jasa baik kau sangat-sangat. Tolong jangan buat hal. Boleh?" pinta Zack, jujur. Kalau yang seorang tu memang tak boleh faham bahasa, entah kenapa dia mengharapkan yang ada di hadapannya ini boleh toleransi walau sedikit. Ah, dah gaya macam beristeri dualah pula kau ni, Zack! bebel Zack dalam hati.

"Masalahnya perempuan tadi tu siapa, Zack?" soal Pehah lagi. Lengan Zack yang sejak tadi berpeluk tubuh dipegang erat dan digoncang perlahan berkali-kali dengan mata berkaca. Luluh hatinya apabila melihatkan ada perempuan lain di sisi Zack. Siap peluk lengan lagi tu!

"Dia bukan siapa-siapa. Aku tak kenal pun dia. Mungkin, dia kawan Kak Nura kut," balas Zack perlahan, sedikit kendur nadanya. Tak seperti tadi.

"Kalau tak kenal, kenapa dia mengaku macam tu? Kenapa pula dia senang-senang aje pegang awak?" bentak Pehah tiba-tiba. Tak kenal, tapi gaya macam dah kenal lama. Nampak sangat pedaahnya (menipu)!

"Ehhh... Kurang-kurang dia pegang aje. Kau tu dulu! Kau lupa apa kau buat kepada aku?"

Pehah terdiam. Langsung kepalanya ditunduk. Mulut terkumat-kamit berkata sesuatu tanpa butir bicara.

"Macam inilah. Sebelum aku buat kerja gila dengan maki kau yang bukan-bukan, baik kau hentikan saja sesi soal siasat ala polis pencen macam tadi tu. Lagipun pada aku, kau tak ada hak nak tanya soalan macam tu."

"Tapi, saya isteri awak, Zack. Saya sayangkan awak. Dua tahun Zack, saya tunggu awak. Boleh pula awak balik bawa perempuan lain? Sampai hati awak, kan," lirih Pehah. Air mata dah bercucuran jatuh mengalir di pipi. Bibir pula diketap rapat menahan rasa sedih. 1001 fikiran jahat dah mula menerjah ke dalam benaknya. Mungkin betul apa kata perempuan tu, tapi Zack sengaja menafikan. Entah-entah Zack sengaja bawa perempuan tu balik untuk diperkenalkan kepada keluarga mentuanya. Ah! Tak mungkin! Tak mungkin!

"Ehhh, Zack. Apa ni?" soal Pehah takut-takut. Matanya terbeliak besar apabila tubuh genitnya dah tersandar rapat ke dinding apabila ditolak perlahan dek Zack sebentar tadi.

Dia bungkam apabila wajah Zack seakan-akan makin mendekat ke wajahnya sedikit demi sedikit dengan pandangan yang berbeza. Bukan marah, bukan benci. Tapi, ahhh! Pandangannya langsung dibuang ke tepi apabila jarak antara wajah mereka hanya beberapa inci sambil mata meliar memerhati gerangan yang lalu berdekatan. Bimbang kalau perlakuan Zack tadi diperhati dan disalah erti.

"Kenapa mengelak? Bukan itu yang kau tunggu, yang kau nak tagih bila aku balik sini? Hah?" soal Zack, kasar diiringi senyum mengejek.

Pehah ketap bibir. Geram. Tambah geram apabila melihat senyuman mengejek tadi sudah bertukar kepada tawa kecil yang bunyinya menyakitkan hati.

"Saya ni isteri awak, Zack. Bukan perempuan murah yang boleh diapa-apakan di tepi jalan!" marahnya.

"Pergi mampuslah dengan title isteri kau tu. Bajet suci konon. Eh, aku tak pernah lupalah pasal malam tu! Tak pernah! Luka tu tak pernah sembuh dan selagi kau masih dengan tak tahu malunya mengejar aku, selagi tu pedihnya terasa. Ehhh, dahlah! Aku malas nak cakap dengan orang tak faham bahasa macam kau ni. Buat semak otak ajelah. Hesy..." balas Zack sambil berlalu masuk ke dalam rumah terus menuju ke biliknya.

Pintu bilik pantas saja dikunci dari dalam sebelum dia terduduk di hujung katil. Kakinya ditarik rapat ke lutut sambil kepalanya disembam ke arah bantal kecil yang sempat dicapai tadi. Mata dipejam rapat. Kepalanya pula cuba dikosongkan daripada memikirkan apa-apa sehinggalah akhirnya dia terlelap keletihan.

Dan malam itu selepas selesai saja majlis doa selamat, Zack langsung capai bag pack miliknya dan keluar dari rumah ikut pintu belakang waktu semua tetamu sedang sibuk menjamu selera. Entah kenapa dia hilang selera untuk makan. Tambahan pula apabila terperasankan jelingan dan pandangan Pehah yang tak pernah lekang memerhatikannya. Mujur jugalah Si Idayu tu dah balik ke rumah kakaknya sebelum maghrib tadi, lepas isu siang tadi diceritakan kepada Zainura. Laju saja Zainura bertindak jadi penyelamat sebelum status Pehah jadi bahan bualan dek mulut Si Idayu yang tak henti-henti menyoal.

Kesudahannya, teksi yang ditahan di depan rumah lalu disuruh menuju ke hotel berhampiran apabila Zack tahu untuk bermalam dengan aman di rumah itu bukanlah satu idea yang baik, kerana perempuan itu turut ada sama. Hailah Pehah. Kau betul-betul buat hidup aku jadi huru-haralah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: