Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Prolog

Bob tarik nafas dalam-dalam. Kelopak mata yang tak berapa nak besar itu lantas dibuka sebelum biji mata hitamnya dibiar menerawang ke seluruh pelusuk bangunan itu. Tidaklah besar mana pun masjid itu, tapi cukup besar untuk menjamu matanya melihat dekorasi masjid itu buat sekian kalinya.

Seketika, Bob berpaling ke arah sisinya. Peod yang berbaju Melayu merah hati hari ini, tengah tunduk khusyuk sambil pejam mata. Mulut Peod pula kelihatan terkumat-kamit seolah-olah sedang melafazkan sesuatu dan badannya pula terhinggut-hinggut ke depan dan ke belakang. Melihat perilaku sahabatnya itu, Bob tergelak kecil. Sudah terlelap ke apa budak ni? fikir Bob sendiri.

"Hoi... Apa kau buat hah?" bisik Bob perlahan. Betul-betul di tepi cuping telinga Peod yang sedikit capang itu.

"Zikir." Pendek sahaja balasan Peod dengan mata masih terpejam. Terconget tinggi kening Bob ketika mendengar jawapan daripada Peod yang disangkakannya sudah tertidur. Zikir katanya? Pandai ke dia berzikir? tanya Bob dalam hati.

"Kau zikir apa? Bukan ke Asmaul Husna pun kau tak lepas lagi? Sampai nama yang keempat puluh lima, kau dah terus lupa," usik Bob apabila melihat mata Peod yang masih terpejam itu.

Kali ini mata Peod terbuka. Lambat-lambat baru dia berpaling sambil tayang sengih.

"Hehe. Aku sebut Allah, Allah aje. Zikir juga tu, kan?"

"Ceh! Kalau setakat sebut nama Allah kau kata zikir, aku pun reti!" tempelak Bob sambil memperkemaskan kakinya yang sedang bersila. Matanya dikejap rapat. Mulutnya pula dah mula menyebut kalimah Allah berkali-kali. Apabila memikirkan dari tak buat apa-apa, baik diikutkan aje zikir versi Peod. Dapat juga pahala sebarang dua.

"Bob..." bisik Atai.

"Hmmm... Jangan kacaulah! Aku tengah zikir ni," balas Bob yang tidak mahu diganggu.

"Bob..."

"Apa?" marah Bob. Wajah Atai yang memuncung ke arah dinding masjid itu dipandangnya tepat.

"Sekarang ni jam baru pukul satulah. Zohor masuk satu setengah Sampai bila kau nak zikir ni?" soal Atai polos. Bob tepuk dahi. La, ya ke? Lama lagi. Setengah jam kut. Boleh kebas bibir dibuatnya ni sementara menunggu waktu zohor masuk, ujar Bob dalam hati.

Langsung Bob menjeling ke arah Zack di saf depan yang baru sahaja menunduk sujud. Entah solat apa, Bob pun tak pernah nak tanya. Tapi, tiap kali Bob sampai masjid dan selesai berwuduk, Zack dah angkat takbir.

Heh! Semua budak ni punya pasal. Beria-ia sungguh nak datang awal kononnya nak dapat berkat. Walhal, macamlah Bob tak tahu yang Zack dah berkenan dengan anak dara salah seorang jemaah masjid ni. Tapi, masih nak coverline supaya tok ayah tak syak apa-apa. Habis Peod dan Atai diheret sama. Apabila disoal yang mana orangnya, mati hidup semula pun Zack tak mengaku. Padahal jelas dan nyata kut, Zack ada agenda tersembunyi!

"Habis tu, kita nak buat apa sementara tunggu masuk waktu ni? Nak pergi kedai Abu, makan aiskrim? Ke kau nak pergi panjat pokok rambutan Mak Cik Esah? Aku dengar mak cik becok tu tak ada, sebab mak cik tu pergi rumah anak dia. Lama juga dengarnya dia ke sana. Dekat tiga bulan sebab temankan anaknya tengah pantang bersalin. Peluang baik kita ni, Bob. Hari tu kita minta baik-baik setangkai dua, dia tak bagi, kan? Ek sangat, kan? Kita ambil satu pokok, kita jual! Dua ikat seringgit. Amacam? Ada bran? Hahaha!" ujar Atai berseloroh.

"Bapak murah kau menjual, Tai! Kalau dua ikat seringgit, bila kita nak kaya?" sampuk Peod yang entah bila terhenti zikirnya.

Bob geleng kepala. Setakat jual rambutan berapa ikat itu pun boleh buat jadi kaya ke? Tak pernah lagi Bob dengar pasal itu.

"Tak naklah, Tai. Zack mesti tak nak punya. Kau pun tau dia macam mana, kan? Dah masuk masjid ni, mana dia nak keluar selagi semua orang tak balik. Macam kau tak kenal tok ayah tu siapa kepada dia," jelas Bob yakin.

Gelak Atai mati. Hancur harapan dia nak pekena rambutan masak setangkai dua. Baru ingat nak tuntut bela kepada Mak Cik Esah yang suka buat kecoh dekat kampung tu, sekali dah kena caras!

"Dah tu?" sampuk Peod tiba-tiba.

Bob dengan Atai tiba-tiba diam seketika. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Otak ligat memikir sebelum Bob tersengih sendiri. Laju aje tangannya tarik telinga Atai dan Peod serentak sambil berbisik sesuatu.

"Kau orang tunggu dekat luar. Kejap lagi aku datang!" sempat juga Bob tekup mulut yang dah rasa nak ketawa besar apabila memikirkan perancangannya sendiri.

"La ni lagu mana, tok ayah? Lagi beberapa minit waktu zohor dah nak masuk. Nak kena bang dah. Puas dah saya cari. Tak jumpa-jumpa juga!" adu Kamil selaku bilal kedua.

"Hang dah cari dalam almari?" soal tok ayah tak puas hati. Takkanlah benda itu pun nak diambil orang?

"Sudah, tok ayah. Habis semua almari yang ada dalam masjid ni saya pi geledah. Almari telekung Muslimat pun saya tengok sekali. Almari kasut pun saya tengok tapi tak ada juga!" jelas Kamil penuh yakin.

"Bukan ka benda tu ada dua? Satu yang biasa kita guna, satu lagi spare?" soal Hasnan selaku AJK kuat masjid. Dia yang selalu cek inventori masjid dan rasanya memang benda tu ada dua setakat ni dan tak pernah hilang sejak dia pegang jawatan itu.

"Memang pun sebelum ni dok ada dua. Tapi dua-dua pun dah tak ada!" tegas Kamil lelah. Otaknya ligat memikir cara yang lain untuk melaungkan azan. Pakai pembesar suara? Rumah depan, belakang, kiri dan kanan masjid ni bolehlah dengar.

"Ah sudah! Gawat ni, tok ayah! Gawat! Budak-budak ni dah tukaq modus operandi gamaknya. Asal benda diperbuat daripada besi aje, depa kebas habis!" keluh Hasnan pula.

Suasana kecoh tadi senyap tiba-tiba. Masing-masing cuba memikirkan misteri kehilangan aset berharga milik masjid yang tiba-tiba lenyap. Kalau duit derma masjid, memang dah biasa tabung itu dibawa lari tak kira besar mana pun rantai besi itu digunakan. Tapi, takkan mikrofon itu pun nak dicuri juga? Jual dekat Ah Meng tukang besi pun belum tentu laku!

"Errr... Tok ayah, tu!"

Tok ayah kalih ke sisi dinding kiri masjid. Terbit senyumnya melihat kelibat budak lelaki berbaju Melayu hijau tebu itu terlentok elok tanpa suara. Sampai tertidur Zack menanti waktu zohor masuk. Alhamdulillah syukurlah. Kalau dari kecil lagi Zack dah mahu berjinak-jinak berjemaah di masjid. Tapi yang tak seronoknya, kalau Zack ada sama dah tentu...

"Ehhh, tok ayah. Cuba tok ayah dengaq tu..."

Kening tok ayah kembali berkerut. Sayup-sayup suara itu kedengaran dari belakang stor masjid. Aku dah agak dah! Bukan kerja orang lain, mesti kerja budak-budak tu! Laju saja langkah tok ayah diatur sambil lengan jubahnya disingsing sehingga ke siku.

"Firdausi! Faizal! Daud!" laung tok ayah kuat.

Lantas Bob, Atai dan Peod yang sedang bersemangat melagukan Asmaul Husna dengan menggunakan mikrofon kini mulut masing-masing dah ternganga besar.

"Sakit ooo kena libas," adu Peod. Telapak tangannya disua. Ternganga Bob, Zack dan Atai dibuatnya.

"Aku kena dekat sini," sahut Atai pula sambil singsing lengan baju T miliknya.

"Wahhh... Koperal!" sakat Zack sambil gelak mengekek.

"Gelak ya! Gelak! Ini hanglah punya pasal. Beria-ia sangat ajak kami berjemaah, padahal hang nak usyar awek, kan?" balas Bob tak puas hati.

"Mana adalah! Awek apanya, tahun depan baru nak bersunat. Eh Bob, kau tak kena apa-apa ke? Steady aje gayanya!" balas Zack pula.

Bob juih bibir.

"Nak tengok juga ke?" tanya Bob tanda nada.

"Eh, mestilah! Tunjuk! Tunjuk! Tunjuk!" sahut Zack, Atai dan Peod serentak.

"Kejap. Aku bukak seluar."

"Wowww... Wowww... Apa ni?" Peod gelak besar.

"Dah aku kena libas dekat punggung, kenalah bukak seluar!"

"Bingai!" komen Zack sambil tergeleng-geleng. Itulah! Songlap mikrofon masjid. Kan dah kena! Ada sajalah idea budak-budak ni.

"Aku nak kena balik dah," jelas Zack tiba-tiba sambil kutip batu atas tanah lalu dibaling ke dalam parit. Berkocak jadinya air dalam parit yang tak berapa nak jernih itu.

"Laaa... Ya ke? Satnya hang balik kali ni, Zack!" komen Peod yang dah tayang wajah sememeh. Hingus yang meleleh laju saja dilap dengan hujung jari.

"Cuti sekolah kali ni kan sat ja. Nak buat lagu mana. Nanti kalau cuti lagi, aku mailah. Hangpa tak payahlah nak risau. Kitakan geng kulaan watun," pujuk Zack. Coklat biji-biji bentuk cermin mata tu diagih sorang satu kepada Bob, Atai dan Peod.

"Kulaan watun? Hahaha. Suka hati hang aje kan bagi nama tu Zack," balas Atai dengan sengihan.

"Eh, salah ke? Kulaan itu kan saudara. Watun tu tembok. Kitakan selalu jumpa dekat tembok ni. Maka jadilah kulaan watun iaitu saudara tembok," Bersungguh-sungguh Zack menerangkan.

"Hahaha! Teruknya bahasa Banjar hang, Zack. Tapi tak apa. Aku suka bunyi tu. Kulaan watun," komen Peod pula sambil terangguk-angguk mengiakan.

"Best ka sekolah bandar tu?" soal Bob. Langsung lari daripada topik kulaan watun. Semua coklat bulat dah siap sedia dicungkil keluar. Segenggam coklat disuap masuk dalam mulut sebelum dikunyah. Tak feel makan sebiji-sebiji. Rasa tak sampai.

"Sama ja dengan sekolah sini. Tak ada beza pun," balas Zack yang kebosanan apabila teringatkan tentang sesi persekolahan yang bakal bermula.

"Kalau sama, hang pindahlah mai sini. Senang kita nak pi ligan ayam sama-sama," cadang Atai.

Zack pandang Atai lama sambil memikirkan cadangan yang diberi.

"Nanti aku minta tok ayah pujuk abah. Kalau tak dapat, tiap kali cuti aku akan mai sini. Aku janji!" putus Zack.

"Janji, ya?" Atai menagih kata janji daripada Zack lagi.

"Janji!" jawab Zack dengan begitu yakin.

"Janji, ya? Lagi sekali hang balik sini, hang bagi tahu kami siapa awek yang hang dok usyar selama ni!"

"Never!" putus Zack yang enggan mendedahkan identiti orang yang diusyar di masjid itu.

Dan-dan itu juga Zack jadi mangsa cubitan Bob, Atai dan Peod.


Bab 1

Dari kejauhan Zack sudah menarik senyum. Nasib baik timing kali ini kena! Selepas isyak, dekat simpang jalan masuk ke Parit Haji Napis. Memang di situlah tempat lepak biasa Abang Bob and the gang yang Zack kenal sejak dia berumur enam tahun. Dan bermula dari itulah, tembok di tepi tali air itu jadi port utama yang dituju setiap kali Zack menjejakkan kaki di rumah tok ayah.

Dan belum sempat lagi tongkat motosikal Honda Cub lama milik tok ayah diturunkan, pantas saja jarinya mematikan enjin dan tarik keluar kunci. Asal boleh saja, tongkat motosikal itu disepak sebelum motosikal itu ditinggalkan di kaki jalan.

"Adios Abang Bob! Ni hao ma?" jerit Zack dari jauh. Terpampang taring 'cari makan' Abang Bob apabila dia buka mulut untuk sengih.

"Ni hao, ni hao. Gua taulah muka lu acuan K-pop, J-pop tapi tak payahlah berbahasa dengan gua, kan! Bukan gua faham pun. Ni, bila lu balik, bro? Helo apapun tak ada, tiba-tiba muncul tepi tembok. Apa kes? Rindu gua ke?" tanya Abang Bob yang hairan dengan kemunculan Zack di situ.

Zack ketawa mengekek usai penumbuknya dan penumbuk Abang Bob bertemu. K-pop la sangat. Setakat pelipis mata tak berapa nak tebal pun kira K-pop juga ke? Pigidah! Mengarut semua tu!

"Rindu tok ayahlah apa lagi. Lagipun, gua nak daftar masuk matrikulasi dekat Ipoh hujung bulan ni. Alang-alang gua balik sini dululah, melawat lu orang. Eh, Atai... Bak sebatang!" jelas Zack acuh tak acuh sambil Atai yang duduk bertinggung di sisi tembok itu disikunya.

Zack menyeringai apabila sebatang rokok siap dihidupkan api oleh Atai lalu diberikan kepadanya. Perghhh, serius macam di syurga. Duduk dengan ibu dan abahnya, jangan haraplah nak merasa asap. Asap kereta bolehlah!

"Matrikulasi tu apa, bro? Gua tak sekolah tinggi macam lu, manalah gua tahu. Paling tinggi gua panjat bumbung sekolah aje time awek gua kena caras dengan ketua pengawas hari tu," ujar Abang Bob bersungguh-sungguh.

Panjat bumbung sekolah? Sedihnya! Zack ketawa lepas tak sorok-sorok.

"Huk aloh. Panjat bumbung segala. Feeling sengallah lu ni, Abang Bob. Matrikulasi tu..." Belum sempat Zack menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba Peod pula bersuara.

"Matrikulasi tu ala-ala filem The Matrix la, bai. Itu pun lu tak tau ke Bob? Mamat ni kan ada rupa. Confirm dia nak jadi pelakon punya. Jadi dia daftarlah sekolah berlakon. Kan? Kan? Gua taulah. Gua dulu pernah cuba nak masuk matrikulasi tu. Tapi tak dapat sebab tak cukup tinggi!" sampuk Peod yang baru lepas memetik gitar dekat di tali air itu sambil layan perasaan sendiri.

Bersungguh-sungguh Peod menerangkan siap angkat tangan tinggi-tinggi. Dan Si Abang Bob dan Atai boleh pula angguk sungguh-sungguh mengiakan.

"Bongoklah kau ni, Od! Ada ke sekolah berlakon," bidas Zack sambil ketawa besar. Sesekali rokok dicelah jari disedut sebelum asapnya dihembus ke wajah Peod yang dah mula masam mencuka apabila dibongokkan.

"Matrikulasi tu..." Batang rokok disedut sekali lagi.

"Matrikulasi tu, ala-ala persediaan untuk masuk universitilah, Od!"

"Ooo... Universiti!" Abang Bob dengan Atai serentak menyahut.

"Kau nak masuk universiti ke, Zack?" tanya Atai tiba-tiba.

Wajah berkerut Atai dikerling Zack sekilas.

"Apa pasal? Tak boleh ke? Lu orang kalau tiba-tiba menang loteri first prize pun boleh masuk universiti maaa! Zaman sekarang ni, ada duit segalanya mungkin. Tapi gua ni tak berapa nak ada duit, jadi gua masuk universiti kerajaan sudah. Tapi sebelum tu kena masuk matrikulasilah dulu gitu," jelas Zack panjang lebar.

Dari dahi yang berkerut, Atai tunduk wajah. Abang Bob pula dah buang pandangan ke arah kereta yang lalu-lalang berhampiran mereka. Hanya Peod yang nampak macam masih setia mendengar.

"Weh, ni apa hal pula ni? Sejak bila pula lu orang ada sindrom datang bulan? Ala, relakslah! Ipoh dengan batu 6 ni bukan jauh manapun. Gua pecut Honda Cub tok ayah ni paling tidak empat jam dah sampai. Tak pun, lu orang datanglah lawat gua kat sana. Kan? Apa ada hal?" balas Zack sambil ketawa kecil. Pelik heh mamat-mamat ni. Masing-masing dah tayang muka tak nak kawan. Sengal!

"Zack, lu tak faham!" Akhirnya Atai bersuara.

"Amendanya ni? Sejak bila kita kena saling memahami ni?" Zack sambung tawa. Tiba-tiba masing-masing tangkap feelinglah pula malam ni.

"Lu kena tau, Zack. Kami ni bukan siapa-siapa dekat sini. Sekolah tak tinggi. Kerja pun setakat buat kerja bendang aje. Malam? Hah, dekat tembok tali air inilah kami melepaskan penat siang bekerja. Tapi sebab kami ni kawan dengan lu, cucu tok ayah yakni imam masjid batu 6, ni terus kedudukan kami naik satu level di mata orang kampung. Lu tau tak?" ujar Atai penuh serius.

"So? Moral of the story?" Zack pula bertanya kepada Atai.

Atai tarik nafas panjang sebelum kalih pandang Abang Bob yang bantai hisap dua batang rokok serentak. Memang otai gila Abang Bob ni! Bibir pun dah tak nampak warna merahnya.

"Kalau lu dah masuk universiti nanti, mesti lu tak nak kawan dengan kita orang lagi. Yalah, kan... Kami ni orang kampung. Lu nanti jadi budak U. Kerja mesti dekat bangunan bertingkat-tingkat nanti," balas Atai yang seakan-akan merajuk.

"Hek eleh!" jerit Zack sambil ketawa terbahak-bahak.

"Lu orang ni kan, apa bendalah nak sedih-sedih bagai ni? Relakslah! Gua masuk universiti ke, kerja tinggi sampai ke bulan pun. Lu, Abang Bob dan Peod tetap member gua dunia akhirat!" jelas Zack dengan penuh yakin.

Abang Bob juih bibir sambil tayang muka sumpah tak percaya.

"Ala, sekarang bolehlah borak. Esok-esok, did I know you last summer?" balas Peod dengan tiba-tiba.

"Did I know you last summer? Weh, Od! Malaysia ni khatulistiwalah, bai! Mana ada summer!" sanggah Zack dengan tawa menggila.

"Tengok bob, belum masuk U lagi ni. Tengok dia gelakkan gua bob," adu Peod.

"Ala, lu ni Od. Gua gurau sikit dah nak sentap. Kalau tak boleh gurau, pergi lepak Kuala Kurau la! Ikan banyak. Hahaha... Lu orang jangan risau la. Gua janji tak akan lupa diri, lupa lu orang. Dulu, kini dan selamanya hidup kulaan watun!" sahut Zack sambil sambung ketawa tapi apabila melihat wajah Abang Bob yang masih cemberut, bahu Peod langsung disikunya.

"Od, mainlah lagu! Bosanlah macam ni. Selalu tu lu main juga lagu sebarang dua bila gua balik, kan?" pinta Zack. Saja nak ubah topik. Nak ubah atmosfera yang tegang tiba-tiba.

"Hmmm... Lagu apa nak?" tanya Peod.

"Jangan diucap selamat tinggal..."

"Hampeh mamat ni!" marah Atai. Kepala Zack yang gelak mengekek jadi mangsa sekehannya.

"Lagi gua diam, lagi menjadi budak ni kan! Bantai dia, Tai!" sahut Abang Bob sambil sangkut tangan ditengkuk Zack yang masih galak ketawa.

"Weh, tercekiklah weh! Macam mana nak daftar dekat Matrix Reloaded nanti ni!" jerit Zack dengan tawa mengekek.

"Eh, kejap. Ada orang call. Syhhh, diam-diam! Mak gua call kut! Helo mak! Hmmm... Ala, hang ka? Awatnya?" sambut Abang Bob seraya berdiri.

"Hang nak apa? Apa? Ala tak dak orang lain ka? Pak hang? Kak hang? Hah, tengoklah macam mana sat ni. Bye."

"Siapa?" tanya Peod.

"Hmmm, Pehah," balas Abang Bob dengan wajah mencuka.

"Pehah?" soal Zack kehairanan.

"Ooo adik lu tu. Apa hal?" tanya Atai pula.

Adik? Zack pandang muka Abang Bob tak lepas. Setahunya, Abang Bob anak tunggal. Mana datangnya adik perempuan tu? fikir Zack sendiri.

Kali ni soalan Atai tak berjawab. Lepas saja buang pandangan ke arah jalan dan sesekali ke arah kegelapan lorong tali air yang langsung tak diterangi lampu jalan itu, wajah Zack ditenungnya.

"Zack, lu tolong gua boleh?" pinta Atai.

"Hmmm... Apa? Lu nak gua belanja Char Kuetiau? Okey aje!" balas Zack sambil pijak puntung rokok kedua yang dah kontot di atas batu kerikil.

"Bukan... Lu bagi aje duit, gua suruh Od rempit beli kejap."

"Apa hal gua pula?" sungut Peod.

"Bertindak mengikut arahan! Zack, bagi duit dekat Od!" tegas Abang Bob selaku ketua atau dalam erti kata lain selaku yang paling tua antara mereka.

Lambat-lambat baru Peod angguk. Itu pun muka langsung tak ikhlas. Wang yang dihulur oleh Zack pun terhegeh-hegeh disambut.

"Habis tu, gua nak tolong apa ni?" tanya Zack pula.

"Tengokkan Si Pehah tu kejap," jawab Abang Bob tanpa nada.

"Hah?" Tegak Zack berdiri.

"Lu gila ke bro? Pehah yang mana pun gua tak kenal. Dia adik lu kan, lu la pergi tengok dia," balas Zack sambil mundar-mandir tak tentu hala.

"Dia bukan adik gualah! Adik angkat aje," terang Abang Bob.

"Hah, yang berangkat-angkat ni lagilah gua seriau nak dengar. Nanti kalau terangkat, gua juga yang susah. Matrix ke mana, universiti ke mana. Hoiii, mintak simpang!" seloroh Zack sambil menggeleng.

Atai dengan Peod dah bantai gelak. Tapi apabila renungan maut mata Abang Bob dah tala ke wajah mereka langsung menikus masing-masing dibuatnya.

"Gua bukan nak suruh lu angkat dia. Nak mintak tolong lu betulkan mentol bawah rumah dia aje. Apa yang susahnya?" jelas Abang Bob lagi.

"Laaa senang aje tu! Bukan lu tak boleh buat," ujar Zack.

"Memanglah gua boleh buat tapi gua malas. Pehah tu bukan boleh nampak gua. Mulalah nak ajak gua pergi Pekan Rabulah, pergi bandarlah. Gua malaslah nak layan budak hingus macam tu," keluh Abang Bob.

Laaa gitu pula ceritanya. Dia malas nak layan budak hingus, dia pass dekat aku. Bertuah punya Abang Bob! gerutu Zack dalam hati.

"Tapi dia tak kenal gualah! Nanti kalau gua datang, dia ingat gua nak mencuri pula," terang Zack beria-ia.

"Tak kenal lagi bagus. Tak adalah minah tu cakap banyak. Tapi lu tak payah risaulah. Muka lu tak ada tokoh muka pencuri. Lu ambil duit ni pergi kedai beli mentol. Lepas tu lu pergi umah dia, ganti senyap-senyap. Dah siap, lu datang balik sini kita buat kenduri Char Kuetiau! Amacam?" cadang Abang Bob.

Zack mengeluh perlahan. Wajah Atai dan Peod langsung tak tayang riak kesian dekat dia, tambah buat hatinya rasa makin menggerutu. Tak guna punya member. Ini buli namanya! Mentang-mentang aku sekali-sekala aje balik sini, rungut Zack dalam hati.

"Relakslah, Zack! Kata tadi kawan dulu, kini selamanya. Mentol aje kut!" Atai cuba memprovokasi Zack. Mendidih aje hati Zack apabila melihat wajah tak semenggah Atai yang dikerlingnya. Ikutkan hati, nak saja Zack sumbat batu kerikil atas jalan ni ke dalam mulut yang memuncung itu.

"Yalah, yalah. Rumah dia dekat mana?" soal Zack tanpa nada.

"Tak jauh pun, depan sekolah kebangsaan tu aje," sahut Peod dengan sengihan.

"Okey! Gua pergi dulu. Jangan kebas pulak Char Kuetiau gua!" bebel Zack lagi.

"Yalah, pergilah cepat!"

Dengan langkah yang longlai, enjin motosikal Honda Cub milik tok ayah dihidupkan sebelum roda motosikal itu dihala ke arah pekan.

"Assalamualaikum! Ooo assalamualaikum!" panggil Zack.

Diam. Ucapan salam Zack tidak bersahut. Ah, sudah tentulah. Bukan ada orang pun dekat rumah ni rasanya. Kalau ada orang, dah tentu tuan rumahnya ganti mentol itu, kan? fikir Zack sendiri.

Dalam kegelapan malam dan hanya disinari lampu dari telefon bimbitnya, Zack berjalan menghampiri tangga belakang rumah lama ala-ala iklan Adabi itu. Gelapnya bawah rumah ni! Ini bukan satu mentol aje kena hidupkan ni. Bermentol-mentol! Tak guna punya Abang Bob! Dia kenakan aku rupa-rupanya! Ini tak lain mesti kes nak kebas Char Kuetiau aku! rungut Zack dalam hati.

Dalam marah, Zack tercari-cari sebarang objek yang boleh dilihat di ruang tingkat bawah rumah itu. Kosong. Kawasan yang biasa jadi tempat letak kereta atau motosikal di bawah rumah ini pun kosong. Ini bermakna betullah tekaannya bahawa tak ada orang di rumah. Dah tu, dari mana pula adik terangkat Abang Bob call tadi? desis Zack dalam hati.

Ah, abaikanlah Zack! Yang penting buat apa yang disuruh. Dia suruh tukar satu mentol aje, kan? Cukup satu mentol, blahlah. Apa lagi? Kesah apa ruang bawah rumah ni gelap-gelita atau tidak. Bukan rumah kau pun! bebel Zack dalam hati.

Dan akhirnya, selepas bersungguh-sungguh mencari port mentol di atas kepala dengan hanya bercahayakan lampu telefon bimbit, Zack terus tersengih. Hah, dekat sini pun jadilah. Depan tangga okeylah ni, kata Zack dalam hatinya lagi.

Terjengket-jengket Zack dibuatnya. Mana nak pegang telefon bimbit, nak bubuh mentol lagi. Ah, kalau tadi heret Atai datang sama pun tak apa. Boleh juga Atai tolong suluhkan. Agak kurang bijak juga kau ni rupa-rupanya Zack! kata Zack dalam hati.

Tak apa, cuba lagi sekali. Zack mula membilang dalam hatinya. Satu... Dua...

"Arghhh!!!" Zack terjerit kecil apabila tiba-tiba batang tubuhnya ditarik dari belakang. Mentol di tangan kiri langsung terlepas dan jatuh di atas lantai. Telefon bimbitnya juga entah terlepas ke mana.

"Weh! Weh, apa ni weh?! Main kasar ni! Lu orang kenakan gua, ya?!" jerit Zack dalam kegelapan. Bersungguh-sungguh Zack meraba dalam kegelapan. Tapi apabila diketuk objek keras di tangannya, kuat sungguh bunyi yang kedengaran. Bunyi macam zink. Ah, sudah! Dekat mana ni? Dalam stor ke? tanya Zack dalam hati.

"Wehhh, lu orang kunci gua ke? Ala, janganlah macam ni, geng. Gua taulah lu orang tak suka gua masuk U, tapi janganlah macam ni. Weh... Geng!" jerit Zack lagi. Namun, tiada sahutan yang kedengaran.

Zack mendengus kasar sambil meraup wajahnya perlahan. Otak dah buntu tak tahu nak buat apa. Kalau ditendang pintu zink ni dan dibuatnya pecah, tak pasal-pasal pula tok ayah kena bayar ganti rugi rumah orang. Dah tu, takkan nak tidur sampai ke subuh kut? Dah sah-sah rumah ni tak berpenghuni. Nak call tok ayah pun, telefon bimbitnya dah terlepas entah ke mana tadi. Aduhai!

Nasihat tok ayah kembali menerjah ke dalam minda.

"Zack, jangan dok rapat sangat dengan Bob tu. Tok ayah tak suka. Depa tu bukan boleh dibuat kawan. Depa kawan dengan Zack pun, sebab Zack cucu tok ayah. Itu saja!" nasihat tok ayah.

"Ala, tok ayah ni... Janganlah macam tu. Bob and the gang aje yang nak kawan dengan Zack, tok ayah. Orang lain dekat kampung ni pandang Zack macam nampak makhluk asing aje. Lagipun, depa bukan buat jahat. Setakat lepak tepi tali air. Itu aje." Zack cuba mempertahankan kawan-kawannya.

"Haah. Lepak sambil hisap rokok kacau anak dara orang. Itu Zack kata baik? Dari Zack ikut depa dok situ, baik Zack ikut tok ayah pi masjid," cadang tok ayah.

Tok ayah! Gumam Zack sendirian. Rasa menyesal mula menyerbu dirinya sebab ambil mudah nasihat versi ulang tayang tok ayah setiap kali dia balik ke sini. Ikutkan sangat hati tu, sayang kawan sangat. Hah! Ambil kau Zack!

"Abang..." tegur satu suara dengan tiba-tiba.

Langsung tegak bulu roma Zack apabila ada suara halus menyapanya. Tambahan pula apabila terasa bagai ada tangan halus melingkar di pinggangnya.

"Auzubillahiminashaitannirrajim..." ucap Zack dengan rasa takut yang mula mencengkam.

Kali ini tawa halus pula yang kedengaran. Dakapan di pinggang pula makin kuat terasa. Isy, dia bantai gelak pula! ujar Zack dalam hati.

"Allahuakbar! Allahuakbar! Lari kau dari sini wahai syaitan!" jerit Zack sekuat hati.

"Abang!" Tawa halus tadi makin menggalak. Tubuh Zack pula sudah menggeletar laju. Peluh jantan juga sudah mula terbit di wajahnya. Degil sungguh heh! Apa aku nak buat ni? soal Zack dalam hatinya lagi.

Sedang Zack ligat memikir, tiba-tiba ada satu cahaya terhala ke arah mereka berserta bunyi enjin. Ada orang datang! Alhamdulillah! ucap Zack dalam hati.

"Tolong! Tolong saya!" laung Zack tiba-tiba.

"Abang! Syhhh!!!" arah suara itu.

Zack tergamam apabila kali ini mulutnya pula ditekup sebelum tubuhnya dipalingkan.

"Abang, jangan bising! Walid dah balik kut," bisik suara halus itu lagi.

Walid? Siapa dia ni? Dia bukan hantu ke? Atau dia panggil kaum kerabat dia datang sini sekali? Rombongan Cik Kiah versi hantu? Tapi takkan naik kereta kut! tanya Zack kepada hatinya sendiri sambil mengerutkan dahi.

Belum sempat Zack menjerit, tiba-tiba pintu zink itu terbuka. Terkedu Zack dibuatnya apabila terlihat seorang gadis genit yang hanya berkemban tiba-tiba meluru keluar dari tempat yang sama dia terperangkap tadi.

Zack melopong apabila wajah-wajah di hadapan bilik itu membulat ke arahnya yang baru saja keluar sambil gosok mata. Teranglah pula bawah rumah ni. Ada lampu rupa-rupanya.

"Walid! Tolong Pehah, Lid! Tadi Pehah baru masuk bilik ayaq nak mandi, tiba-tiba dia... dia..." Gadis itu tidak dapat menghabiskan kata-katanya.

Tolong? Pehah? Ooo jadi dia inilah Pehah! Tapi, macam mana dia... fikiran Zack terus terhenti apabila dia disapa oleh seorang lelaki yang kelihatan gayanya seperti seorang bapa itu.

"Hang? Hang bukan ka cucu tok ayah?" tanya lelaki tua itu.

"Ya, saya," balas Zack dengan polos.

"Apa yang hang dah buat dekat anak aku hah?!" tengking lelaki tua yang berusia awal 50-an itu.

Mata Zack membulat sebelum terarah kepada gadis yang sudah menyorok di belakang wanita seusia dengan lelaki yang menyergahnya tadi. Apa aku dah buat dekat anak dia? Aku tak buat apa-apa pun! tegas Zack dalam hatinya lagi.

"Saya... Saya cuma tolong tukar mentol," jelas Zack bersungguh-sungguh.

"Tukaq mentol, ya? Hang tau dak bilik ayaq tu memang tak pernah ada mentol pun. Hang jangan nak pedaah (menipu) aku! Macam aku tak tau perangai orang bandar macam hang bila mai kampung!"

"Miah, hang pi naik ataih telefon tok ayah la ni juga! Sebelum orang kampung dok bercerita pasai depa berdua, baik kita selesaikan diam-diam. Pehah, pi naik atas! Pakai baju elok sikit. Hang pula, jangan cuba nak lari! Mai ikut aku naik ikut anjung! Muhak saja harat. Ulahan I ilah binatang! (muka saja yang kacak, tapi perangai mengalahkan binatang!)" sindir Pak Cik Fadzil muka saja yang kacak, tapi perangai mengalahkan binatang.

Gulppp! Zack telan liur. Pak cik ni cakap apa tadi? Dia carut aku ke? Dia panggil aku binatang? fikir Zack sendiri.

"Pak cik, saya tak salah, pak cik. Saya datang nak tukar mentol aje, pak cik. Sungguh! Saya tak tipu pak cik! Kalau pak cik tak percaya, pak cik tanya anak pak cik ni. Dia yang call..."

"Dah. Tak yah nak ceghita banyak. Sat lagi tok ayah hang mai, hang cerita. Mai ikut aku!" arah Pak Cik Fadzil.

Dalam keterpaksaan, Zack mula melangkah tanpa kerelaannya. Ketika itu Zack merasakan hari esok untuk dia seperti sudah tiada makna apabila cara penyelesaian yang akan diambil macam dah dapat diagak pengakhirannya. Gelap dan kelam masa depannya! Selamat tinggal matrikulasi, selamat tinggal universiti. Jaga kau Abang Bob! Ini semua kau punya pasal! tutur Zack dalam hati yang tidak berpuas hati dengan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: