Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Teaser 3


FIRHAN pulang ke rumah dengan kesan lebam di muka. Bibirnya pecah berdarah. Maya yang leka melayan Tia terkejut. Cepat-cepat Maya bingkas bangun mendapatkan Firhan. Lelaki itu kelihatan sangat marah hingga membuatkan Maya terpinga dengan tingkahnya.

“Kenapa ni?” tanya Maya kehairanan.

“Abang yang patut tanya Maya. Kenapa Azman tu masuk campur dalam urusan rumah tangga kita? Apa masalah dia dengan abang, hah? Dia bukan abang kandung Maya pun kan? Kenapa dia nak jadi hero pulak?”

Terperanjat Maya mendengar kata-kata Firhan. Azman betul-betul mengotakan kata-katanya tempoh hari. Bibir Firhan memang pecah berdarah. Dada Maya diusap perlahan.

“Maya ada apa dengan Azman? Bagitahu abang! Maya jumpa dia diam-diam belakang abang ya? Cerita semua hal rumah tangga kita. Apa yang Maya nak sebenarnya, hah? Abang dah cuba nak betulkan semuanya. Maya tak boleh sabar sikit ke?” tengking Firhan dengan mata yang membulat memandang Maya.

“Abang! Maya tak buat macam tu. Kenapa abang tuduh Maya macam tu?” nafi Maya membela diri.

“Maya jangan ingat abang tak tahu Azman tu sukakan Maya. Dia nak ambil kesempatan dalam rumah tangga kita sekarang. Jangan ingat abang akan biarkan!” Firhan menatap tajam wajah Maya. Tersirap darahnya dengan nafas yang bergerak turun naik.

“Maya tak ada apa-apa dengan dia, abang. Mak yang suruh dia datang jenguk Maya. Itu je,” akui Maya.

“Oh ya? Jenguk Maya? Dia tu siapa? Kenapa tak suruh Abang Lan yang datang? Ara pun boleh, kan? Kenapa suruh dia? Saja nak bagi abang marah?” balas Firhan kali ini tidak mahu menerima alasan Maya.

“Abang kenapa ni? Maya minta maaf kalau Maya yang salah.” Maya mengurut dada.

“Ingat ya! Lepas ni jangan pandai-pandai nak ajak dia datang rumah. Jangan jumpa dia lagi. Faham?” bentak Firhan dengan jari telunjuknya menuju ke arah Maya.

Tersentak wanita itu dengan ugutan Firhan. Dia tidak menyangka Firhan akan marah sampai begitu sekali. Kali ini sudah pasti Firhan tidak akan balik untuk beberapa hari ke rumahnya. Firhan akan banyak menghabiskan masa di rumah Syakilla. Maya mengurut dadanya.

Firhan meluru naik ke bilik di tingkat atas dan menghempas pintu sekuatnya. Maya bergegas ke bilik. Sebaik sahaja pintu dikuak, kelihatan Firhan sedang duduk di atas katil. Dia mengesat darah yang hampir kering di tepi bibir dengan tangannya.

Perlahan Maya datang menghampiri Firhan. Setelah mengambil tuala kecil dan membasahkannya, Maya ingin mengelap luka di mulut Firhan. Namun Firhan menepis tangan Maya. Tercengang wanita itu saat diherdik Firhan.

“Tak payah!”

“Abang... Maya minta maaf. Maya tak pernah buat macam yang abang cakapkan tu. Abang pun tahu kan Maya macam mana?”

“Kalau dia berani lagi masuk campur urusan rumah tangga kita, abang tak teragak-agak nak tumbuk dia balik. Ingat ya Maya. Abang tak suka dia jumpa Maya.”

Maya tertunduk memandang lantai. Kemarahan Firhan tidak dapat dileraikan. Dia tak mahukan penjelasan daripada Maya. Maya dikira bersalah kerana berjumpa dengan Azman. Maya menerima kemarahan Firhan. Mungin benar dia bersalah membenarkan Azman bertemu dengannya.


arenayidin
27 Januari 2021

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro