BAB 5
Berlari-lari aku balik ke rumah. Kesannya, tak pasal-pasal aku sesak nafas sebaik saja tiba di depan pintu rumah. Baru aku nak pegang tombol, pintu itu dikuak dari dalam. Umi.
"Kenapa dengan kakak ni? Baru lepas kena kejar hantu ke?" soal umi sambil mengerutkan keningnya. Kemudian kerling ke belakang aku kalau-kalau memang betul aku kena kejar dengan hantu.
Sempat aku sengih.
"Haah, umi. Baru aje lepas main lumba lari dengan puntianak," jawabku. Loyar buruk macam biasa. Sejak bila puntianak lari pakai kaki pun aku tak tahu. Haha.
"Haaa... Cakaplah macam tu. Ketuk tingkap kakak malam ni, baru tahu."
"Tak nak!" Cepat-cepat aku geleng kepala. Serius meremang bulu roma selepas umi cakap macam tu. Aku ni boleh tahan penakut juga.
"Tahu takut," cebik umi. Seronok betul dia sebab dia dah berjaya takut-takutkan aku. Teringin juga nak tanya, kalau keluar depan umi, umi tak takut ke? Tapi... Memandangkan potensi aku dibebel panjang oleh umi tu besar, aku batalkan ajelah niatku itu.
"Dah bagi karipap pada Lyn?" soal umi. Risau betul dia kalau-kalau aku termakan karipap dia tengah-tengah jalan tadi. Haha.
"Dah. Tapi tadi anak dia yang ambil. Dia cakap Mak Cik Lyn kurang sihat."
"Hilman?"
Aku angguk.
"Umi... Tak pernah nampak pun Hilman sebelum ni?" Buat-buat tanya.
"Si Man tu baru balik dari overseas. Baru lepas habis PhD katanya. Dia anak Lyn dengan bekas suami dia dulu. Ada ramai lagi."
"Kakak tak pernah tahu pun?"
"Rumah tangga orang, jangan nak sibuk! Jangan nak jaga tepi kain orang. Lyn pun bukannya suka sangat bercerita pasal sejarah lama dia." Tak pasal-pasal umi membebel padaku.
"Habis mana anak-anak dia yang lain? Kata ramai? Tak pernah nampak pun?" korekku lagi walaupun dah kena bebel.
Umi mengeluh.
"Entahlah, kakak. Umi tak tahu. Umi pun kenal dengan Man aje. Itu pun baru jumpa beberapa minggu yang lepas. Macam yang umi cakap tadi, itu pun sebab dia baru balik dari overseas," terang umi pula.
Diam.
"Baik budak Hilman tu."
Ting... Ting... Sesi puji-memuji telah pun bermula!
Rasa macam anak tekak kena jolok. Nak muntah hijau bila umi puji Dr. Hilman tu baik. Tang mana baiknya, malas pula nak ambil tahu.
"Handsome Si Hilman tu. Budi pekerti pun baik. Selalu juga tengok dia tolong mummy dia di dapur kalau dia balik. Nampak tak kekok. Husband material."
Otot muka... Sekarang bukan masanya untuk berkerut seribu, okey? Naik kejang segala otot bila dengar umi puji mamat tu berbakul-bakul. Pekakkan telinga sajalah.
"Kalau umi ada anak perempuan lain, memang dah pinang dah buat menantu. Nasib baik kakak dah bertunang, tahu?"
Okey... Itu seram! Dan nasib baik aku dah bertunang. Kalau dah sampai tahap nak pinang anak teruna orang ni, serius umi ni dah berkenan sangat nak jadikan Hilman tu menantu dia. Umi pun dah terkena virus T.I!
Tapi... Apa nak pelik kalau mak cik-mak cik jatuh hati dengan Dr. Hilman. Aura alpha male ni memang lain macam. Mampu menarik perhatian perempuan tak kira lapisan umur. Apa yang dia lakukan pasti nampak menarik di mata semua orang. Bahaya... Bahaya...
"Umi ni... Baru beberapa minggu kenal kut. Entah-entah kat luar Abang Long Hilman." Akibat mengutuk anak kawan baik umi, bahu aku makan penampar sedas. Aku mengaduh kesakitan. Sampai hati umi pukul aku sebab Dr. Hilman.
Sempat sengih bila umi jeling tajam.
"Tak baik cakap macam tu tahu. Fitnah," bela umi. Dalam hati aku mencebik. Kalau betul-betul mencebik depan umi, silap-silap bibir kena sepit ketam umi. Tak pasal-pasal terjuih, jadi Hazelina Jolie la aku.
"Umi tadi nak keluar pergi mana?" Aku cepat-cepat ubah topik. Rimas bercakap pasal Dr. Hilman. Seru banyak kali, silap-silap terpacak dia di depan rumah aku nanti.
"Oh, baru teringat! Umi sebenarnya cari kakak la. Sebenarnya tadi umi lupa nak suruh kakak tolong ambilkan kain yang umi kirimkan pada Lyn. Untuk baju raya nanti. Kain dari Kemboja," kata umi. Baru teringat.
"Ala... Petang nanti la, umi. Kakak penat la berlari-berkejaran-seindah-bunga-di-taman tadi. Tak lalu dah nak patah balik ke rumah Mak Cik Lyn." Aku enggan. Beralasan penat padahal aku malas nak menghadap Dr. Alpha Male itu.
Akhirnya umi cuma akur.
Jam menunjukkan pukul lima setengah petang. Cuma aku dan umi yang berada di rumah. Abi ke rumah kawan dia. Adik aku pula masih belum pulang. Seronok betul keluar berjoli budak tu. Lepas bagi makan segala binatang peliharaan adikku, akhirnya aku cari Baby.
"Baby... Baby..." panggilku.
Mana pula kucing tu menghilang? Pagi tadi ada di dalam bilik adikku. Seronok betul dia bersleeping cutie di atas katil adik aku. Malas nak kacau, akhirnya aku cuma biarkan saja. Dan sekarang, mana kucing tu menyorok?
Takkan keluar rumah kut? Risau juga aku kalau kucing itu keluar rumah. Pertama, itu kucing orang. Kedua, kalau keluar, sah kucing tu kena culik. Kepala sempat ditutup dengan selendang sebelum kaki menghala ke luar rumah.
"Baby... Meowww... Baby." Terbongkok-bongkok aku mencari. Manalah tahu tengah menyorok di celah-celah pokok bunga umi.
"Baby... Bab..." Terhenti suaraku apabila melihat sepasang kasut berdiri betul-betul di depanku.
Aku angkat kepala. Seluar jean biru. Angkat lagi, baju T belang-belang. Angkat lagi... Aku terus telan liur. Dr. Hilman. Baby si kucing yang aku seru, kenapa Baby lain pula yang muncul? Macam tak percaya dia ada di depan mata. Jelmaan hantukah?
"Assalamualaikum." Suara dia bagi salam. Sah Homo sapiens!
"Errr... Waalaikumussalam." Cepat-cepat aku berdiri. Kaku aku sengih kepada Dr. Hilman. Segala rasa kecanggungan mula menular di udara. Apa dia buat kat sini?! Ini mesti sebab dah seru dia banyak kali pagi tadi. Kan betul apa aku cakap. Terpacak dia di depan rumah aku.
"Awak ni... Semua benda nak dibabykan ke?" Itu pula yang ditanyanya. Bibir bagaikan sedang menahan sesuatu yang lucu. Muka aku tiba-tiba rasa panas.
"Mana ada, Baby... Eh, Dr.!" Aloha... Boleh tersasul pula dah! Tiba-tiba confuse dengan perkataan baby ni. Kalau si darling hari tu dengar aku babykan Baby dia, mahu pekak aku kena lempang.
"Saya cari kucing. Kucing tu nama Baby," kataku lagi sambil cuba mengawal malu.
Bila nampak mulut dia senget nak membidas, terus aku menambah.
"Tu kucing mummy Dr., jangan tanya saya kenapa nama dia Baby," kataku seakan-akan tahu apa yang sedang bermain dalam fikirannya.
Dan aku juga tahu, inilah orang yang bertanggungjawab menjadi punca Baby dianaktirikan tuan sendiri. Tak pasal-pasal makhluk Tuhan paling comel itu dihalau rumah gara-gara Dr. Hilman.
"Errr... Dr. datang sini nak cari siapa?" soalku. Baru teringat mahu bertanyakan niat sebenarnya yang tiba-tiba boleh terpacak di depan rumah aku pada petang yang hening ini. Mengganggu ketenteraman hidup aku betullah!
"Oh... Lupa! Mak Cik Hajar ada?" Dia cari umi. Aku perasan ada satu beg kertas dalam genggamannya.
Belum sempat aku menjawab, kedengaran suara umi mencelah dari dalam rumah. Bertanyakan gerangan tetamu yang sudi jejak kaki ke rumah ini.
"Eh, Hilman? Apa hajatnya datang bertandang ke rumah mak cik ini?" Amboi... Umi! Gaya bertanya macam zaman P. Ramlee dulu. Klasik. Nasib baik tak berpantun dua kerat dengan Dr. Hilman.
Dr. Hilman senyum manis. Sesiapa yang tengok sumpah cair meleleh. Rasa macam itu kali pertama aku melihat dia senyum manis dan ikhlas seperti itu.
"Mummy suruh bagi kain ni kepada mak cik," jawab Dr. Hilman pula dengan penuh sopan. Dihulurkan beg kertas berwarna putih itu kepada umi. Umi semestinya menyambutnya dengan senyuman paling lebar.
"Terima kasih, Hilman. Buat susah-susah aje datang hantar. Mak cik baru aje cadang nak ke rumah Man sebentar lagi," balas umi sambil mencuri lihat sedikit isi beg kertas itu. Kain baju raya umi.
Ramah mereka berdua berbual. Aku yang berada tengah-tengah ni rasa macam berada di dunia lain. Rasa macam perlahan-lahan nak mengengsot masuk rumah. Belum sempat aku nak bergerak, umi bersuara.
"Duduklah dulu, Hilman. Boleh berbual-bual. Hilangkan penat kejap," pelawa umi sambil menunjukkan ke arah kerusi batu yang berada di halaman rumah.
Aku angkat muka. Seakan-akan berjanji, mata berlaga dengan mata coklat tua itu. Di dalam kepala aku macam-macam doa aku baca supaya Dr. Hilman tak setuju. Ketidaksenangan aku memang jelas terpancar di mukaku.
Cukup aku tengok senyum lawa tapi sinis yang cantik terukir di bibir merah dia sekarang ini, aku dah tahu apa di dalam kepala dia.
"Boleh juga."
Cis!
Umi senyum setelah mendengar jawapan Dr. Hilman.
"Kakak layanlah Man ni dulu. Tanya dia nak minum apa. Umi pergi simpan kain ni dulu." Umi keluarkan arahan sebelum melangkah masuk. Mentang-mentang dah dapat kain baju raya dia, tak pandang kiri dan kanan dah umi aku. Lebar saja sengihnya.
Aduh... Umi ni! Dia tinggalkan aku main kelip-kelip mata berdua dengan Dr. Hilman pula dah. Suruh aku mintak oder bagai! Sejak bila pula aku jadi waitress hot ni?
Aku mengeluh dalam diam. Nak tak nak, aku menghadap Dr. Hilman. Tetamu wajib dilayan. Layanan kelas satu. Itu prinsip umi.
"Dr. nak minum air apa?" soalku lembut. Betullah aku ni ada gaya waitress hot!
Dia tak terus menjawab. Tenung wajah aku dengan pandangan yang aku sendiri tak dapat tafsirkan. Buatkan aku mula berfikir. Ada bulu hidung terlebih panjang ke? Atau ada tahi cicak melekat di tudungku?
Aku mula gelisah. Bila tengok aku dah mula pusing-pusing hujung selendang, dia mula senyum senget. Tanda-tanda dia terhibur dengan apa yang sedang terjadi sekarang. Sakit betul hati aku. Aku rasa dia ni memang suka buat aku tak senang duduk. Seronok apabila melihat aku macam anak kera tengah tahan kencing di depan dia.
"Espresso ada?" soalnya balik.
Espresso atas dahi kau! Amboi... Ada dia nampak peti surat rumah aku ni tertulis Hajar Kopitiam ke?
"Espresso is my favourite." Automatik terangkat sebelah keningku.
Ya? Tak tanya pun.
Motif bagi tahu aku?
"Saja nak kongsi. Espresso is my addiction. I'm easily melted with espresso." Relaks aje dia memberitahuku. Sekarang aku musykil. Espresso tu... Kopi ke orang?
Hari ini aku tahu dua fakta tentang Dr. Hilman. Dia tak suka kucing. Dia penagih espresso. Patutlah perangai kelat macam espresso.
"Ooo... Ya ke? Tapi maaflah Dr., Kat rumah ni espresso tak ada. Kopi O ada," jawabku. Kira adik-beradik la, kan?
"O aje? Tapi tekak hari ni macam nak kopi S."
Kopi S? Aku pula yang blur. Kopi ais ke?
"Kopi susu la." Dia bersuara lagi bila aku senyap.
"Okey. Dr. duduklah dulu. Saya masuk buatkan kopi S Dr. tu, ya?"
Aku berlalu. Huh... Kopi O, kopi S aje dah nak dekat sepuluh minit! Membazir masa aku betul. Mana la perginya umi ni?
Aku tatang dulang bersama satu teko kopi S yang dipinta Dr. Hilman ke luar rumah. Dari jauh lagi aku dengar suara umi bergelak ketawa. Amboi... Umi. Bukan main melayan anak kawan baik dia itu.
Tawa umi masih bersisa ketika aku tiba. Dengan lagak perempuan Melayu terakhir, aku tuang kopi ke dalam dua cawan sebelum diletakkan di depan Dr. Hilman dan umi.
"Minumlah, Man. Ni... Ada sikit kek gulung dan karipap. Karipap ni mak cik buat sendiri. Samalah yang mak cik bagi mummy Man pagi tadi. Tak tahu la sedap ke tak," pelawa umi.
"Eh, sedap, mak cik! Saya dah cuba. Terima kasih." Dr. Hilman berbahasa.
Tiap kali nampak dia berbudi-bahasa-budaya-kita dengan orang lain, tiap kali tu jugalah aku tak percaya dengan pertemuan pertama kami dulu. Buat aku tertanya-tanya. Dia ni ada bipolar disorder ke? Ke dah masuk sekolah tatatertib lepas dia langgar aku dulu?
Mungkin sebenarnya mood Dr. Hilman hari tu memang tengah buruk. Siapa tahu dia tengah cirit-birit masa tu, kan? Dan nasib aku la kalau dah jadi tempat dia melampiaskan amarahnya dulu.
"Haaa... Kakak pula kenapa tercegat kat situ? Duduklah," kata umi.
Duduk? Atas kerusi sebelah Dr. Hilman tu ke? Terima kasih aje la. Jadi komander di depan tangga ni lagi bagus kut.
Aku geleng kepala.
"Dia segan dengan saya la tu, Mak Cik Hajar." Dr. Hilman bersuara. Serius aku rasa nak cekik dia. Apatah lagi, tengok dia macam tengah senyum sinis.
"Alah... Apa nak segan? Umi tahulah kakak tak berapa kenal Man ni. Tapi kita ni hidup berjiran, kenalah saling bertegur sapa. Bukan orang lain. Anak Mak Cik Lyn juga."
Tak berapa kenal Man ni? Umi tak tahu yang aku ni, tiap-tiap Khamis menghadap Si Man tu. Oh, baru aku perasan! Umi tak pernah tahu yang Dr. Hilman itu pensyarah aku. Okey... Minta-minta la kekal menjadi rahsia.
"Saya ni sebenarnya lecturer Hazel, mak cik."
Ya... Ya... Seharusnya kita ada Dr. Hilman yang mulutnya memang gatal berbunyi. Cis!
"Ya ke?" Wajah umi jelas-jelas terkejut. Kemudian pandang aku.
"Kakak tak pernah cakap pun?" Umi macam tak puas hati.
Tersekat-sekat liur ditelan. Umi macam nak menuduh yang aku sengaja berahsia dengan dia. Walaupun itu semua memang betul.
"Tak ada cakap, eh? Laaa... Ingatkan umi dah tahu. Umi kan selalu lepak rumah Mak Cik Lyn. Umi tak tahu ke?" autaku.
"Umi memang tahu Man ni baru jadi lecturer. Tapi tak pernah tahu pula mengajar di U kakak," jawab umi.
"Dr. Hilman ajar kakak Research and Statistics, umi," beritahu aku lagi.
"Dr.?" Umi pandang aku dan Dr. Hilman.
Buatkan aku turut berpandangan dengan Dr. Hilman. Sama macam aku, mukanya penuh persoalan.
"Yalah. Dr. la. Kalau dah habis PhD, takkan orang panggil Sarjan kut?" kataku berbaur gurauan.
"Apa doktor-doktor ni? Ni bukan kampus." Tinggi suara umi. Sekali lagi pandang aku dan Dr. Hilman.
Muka aku dah berubah seram. Aku rasa aku faham apa cuba umi sampaikan.
"Kita ni kan berjiran. Kat sini dah tak ada status pensyarah-student. Kenapa nak berdoktor-doktor?" kata umi lagi.
Bagaikan berjanji, sekali lagi aku berpandangan dengan Dr. Hilman. Habis aku nak panggil apa? Seakan-akan dapat membaca fikiranku, umi bersuara lagi.
"Panggil Hilman ni Abang Man. Dia kan lebih tua daripada kakak."
Muka aku terus berkerepot lepas dengar benda tu. Abang Man? Yuck! Mahu lancar mogok segala organ dalaman aku. Sebelum keluar abang, aku rasa lidah aku dah terputus dua. Nehi. Never!
"Eee... Tak naklah! Gelilah!" Tak sempat nak jalani siri penapisan, mulutku laju menjawab. Buatkan umi terus bulat mata mendengar jawapanku. Berbeza pula dengan Dr. Hilman. Sumpah aku nampak dia senyum walaupun tak sampai sesaat, sebelum dia tayang muka selamba.
Aku gigit bibir bawah sebelum bagi senyuman paling manis kepada umi. Matilah aku kena bebel dengan umi lepas ni!
"Errr... Hazel masuk rumah dulu la. Nak cari Baby." Sengih, lepas tu angkat kaki masuk rumah. Meneruskan pencarian yang tergendala gara-gara kedatangan Dr. Hilman tadi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro