Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"Macam mana kau dengan Lutfi tadi? Aku tak sempat tanya," tanya Farah semasa dalam perjalanan menghantar Aria pulang ke rumah. Sekembalinya Aria dari makan tengah hari, Encik Shahdan tidak keluar dari pejabat. Bos mereka itu asyik memantau kerja mereka. Sehinggakan Farah tidak ada peluang untuk berborak dengan Aria.

"He's nice." Aria terkenangkan perbualannya dengan Lutfi. Lelaki itu memang budiman.

"Kau suka dia?"

"Entahlah. Baru satu kali jumpa kut?" Aria mengerutkan hidung. Terlalu awal untuk dia mengatakan yang dia suka Lutfi.

"Kau serik dengan Rudi, kan?" Farah menukar arah perbualan.

"Kenapa petik nama dia pula ni? Kita sedang cakap tentang Lutfi, bukan Rudi." Aria meninggikan suara. Menyampah mendengar nama Rudi.

"Dengar dulu apa aku nak cakap, Aria. Masa kat kolej, aku kenal kau sebagai seseorang yang sangat yakin dan berani."

"Yalah tu. Yakin sangat sampai memalukan diri sendiri." Pantas Aria memotong cakap Farah.

"Apa nak malunya? Kau yakin kau suka Rudi. Kau berani approach dia. Dia yang bodoh reject kau. Tapi sekarang, dia dah kahwin dan kau masih single sebab serik. Sebenarnya, siapa yang bodoh?"

"Jadi, kau nak kata yang aku ni bodohlah, ya?" Aria menarik muka masam. Suaranya naik satu oktaf lagi.

"Bukan, Aria. Aku hanya nak kau sedar, jangan lepaskan peluang ini. Dua lelaki terus. Lutfi dan abang polis. Cepat-cepat grab sebelum terlepas."

Aria menggeleng. Memang Farah jenis cakap lepas. Kadang-kadang dia kecil hati dengan kata-kata Farah. Tapi Farah juga sahabat baiknya. Farah tahu semua kisah cintanya. Aria menarik nafas. Memadamkan rasa jengkelnya.

"Yang mana satu?"

"Okey, now we're talking. Let's see. Kau dah tahu serba sedikit tentang Lutfi. Dan dia pun nampaknya seperti seorang gentleman. Abang polis? Nama dia pun kau tak tahu. Jadi, apa kata kalau kau go deep dengan dia pula?" Farah menoleh ke arah Aria sejenak, sebelum membelok.

"How to go deep? Nama dia pun aku tak tahu!" Aria mencebik dengan kesilapan itu. Dia sepatutnya tanyakan nama ketika ada peluang. Ketika di pondok pengawal itu.

"Itulah kau. Buat jual mahal lagi." Farah membuat suara orang menuduh. Dia memicing mata memandang Aria.

"Mana ada jual mahal? Aku tak sempat tanya. Aku kalut, okey!" Aria mencubit paha Farah.

Farah menggosok-gosok paha yang perit dek cubitan Aria.

"Okey, relaks... Relaks... Lelaki zaman sekarang, kalau dia rasa perempuan itu jual mahal, dia takkan pursue. Ramai lagi perempuan lain kat luar sana yang dia boleh pilih. Buat apa buang masa kejar pada yang jual mahal?"

"Mana kau dapat teori ni?"

"Dari buku Anekdot Pikat Cara Pukallah."

"Kau masih baca buku tu, Farah?" Aria membeliakkan mata.

"Aku baca yang dah printed version, okey?" Farah mengatup bibir seolah-olah tidak suka dengan tuduhan Aria. Aria ketawa melihat muka Farah.

"Okey. Next. Apa aku nak buat?"

"Kau mesej dia. Ajak dia borak. Dan ingat tip number one. Ask questions. Tanya nama dia. Asal dari mana? Berapa orang adik-beradik? Mak bapak kerja apa? Merokok ke tidak. Solat 5 waktu ada tinggal tak? Solat Jumaat datang awal atau sipi-sipi. Zakat dah bayar ke? You know, the usual stuff."

"Usual stuff kepala lutut kau! Itu soalan macam nak interview calon menantu." Aria menepuk lutut Farah. Mujur ketika itu, mereka sudah sampai di hadapan rumah Aria.

Farah memarkir kereta sambil ketawa. Dia turut keluar kereta untuk bertemu dengan ibu bapa Aria serta mengucapkan selamat jalan kepada mereka.

Aria memandang kepada kedua-dua adik kembarnya. Memang tidak syak lagi. Mereka memang suka mengambil barang-barangnya tanpa kebenaran. Dari dulu lagi kalau barang-barangnya hilang, memang bukan orang lain, kecuali merekalah yang hilangkan.

Ketika usia Aria 10 tahun, dia pernah terfikir yang dia akan menjadi anak tunggal selama-lamanya. Dia mendapat sepenuh perhatian daripada ibu dan bapanya. Ketika rakan-rakan yang lain bergaduh dan berebut permainan dengan adik-beradik masing-masing, dia seronok bermain seorang diri. Semua alat permainan hak dia seorang.

Apabila adik kembarnya lahir, dialah orang yang paling gembira. Dia bangga bercerita kepada rakan-rakan yang dia telah mendapat dua orang adik sekaligus. Tetapi kegembiraannya tidak kekal lama. Apabila adik kembarnya sudah besar, mereka mula merampas permainannya. Mereka mula merosakkan barang-barang kepunyaan dia. Sebagai anak sulung, dia diminta mengalah.

"Dah ambil barang akak, kenapa tak pulangkan balik ke tempat asal?" Aria memarahi Arlin dan Arni. Dia memandang mereka silih berganti.

Arlin dan Arni menyengih sahaja. Mereka sudah mangli dengan perangai cengil Aria. Sewaktu mereka kecil, memang mereka selalu bergaduh dengan Aria. Kalau ibu mereka tidak nampak, kadang-kadang Aria mencubit mereka. Tapi sekarang tidak lagi sebab mereka sudah dewasa. Mereka sudah pandai menjawab dan mempertahankan diri. Cuma mereka perlu tadah telinga mendengar bebelan Aria sahajalah.

"Ala, kak. Kami pinjam saja shawl akak tu. Bukannya kami hilangkan macam selalu. Kali ini kami letak balik. Cuma tak letak kat tempat asal. Tapi ada kat situ." Arlin memuncungkan mulut gaya menunjuk ke arah almari pakaian Aria.

Aria merengus. Masalah adiknya meminjam tudung dan pakaiannya bermagnitud dua kali ganda masalah biasa. Kerana mereka berdua.

"Lain kali beli shawl sendiri."

"Kami mana ada duit, kak. Harapkan duit biasiswa tu saja. Mama dan ayah mana nak suka-suka bagi kami duit. Bukan macam kakak. Kereta pun ayah belikan," sindir Arlin. Dalam marah-marah Aria, mereka tahu kakak mereka sayangkan mereka. Cuma kadang-kadang angin Aria tidak betul. Kata kawan-kawan sebaya mereka, perempuan kalau melepasi umur 25 tahun tak kahwin lagi, memang ada kecenderungan 'meroyan selalu'.

Arni ketawa dan kemudian menukar topik.

"Kak, akak kerja print novel, kan? Selalu orang cakap plot dalam novel, hero dan heroin berlanggar kereta. Mula-mula gaduh, lepas tu asyik terserempak. Lama-lama jatuh cinta. Yang langgar akak tu handsome tak?" Arni cuba mengambil hati kakaknya.

"Bolehlah tahan." Aria senyum. Emosinya mula stabil.

"Wow! Akak gaduh-gaduh tak dengan dia?"

"Kau orang berdua ni sama saja dengan kawan-kawan kilang akak. Ingat ini cerita novel ke? Cuaca panaslah masa tu. Tak kuasa akak nak bergaduh tepi jalan tengah hari rembang macam itu. Lagipun, dia sanggup bayarkan kos repair. Lantak dialah. Siapa suruh langgar buntut akak." Aria teringatkan Lutfi. Dia tidak mahu menceritakan yang dia sudah keluar dengan Lutfi kepada adik kembarnya. Nanti mereka kecoh dan mengadu kepada ibu dan bapanya.

Arlin dan Arni ketawa terbahak-bahak mendengarkan kata-kata Aria.

"Macam mana dia langgar buntut akak?" Arni mencuit punggung Aria.

"Haish, budak ni! Langgar buntut kereta akaklah." Termelatah Aria.

Arlin dan Arni ketawa lagi. Suka menyakat kakaknya.

"Jadi, akak tak buat report polislah?"

"Akak buat report polis pasal scam call tu aje." Aria menerangkan buat kesekian kalinya kisah panggilan palsu itu. Seronok sangat rasanya kerana dapat block pemanggil palsu itu.

"Masa akak kat balai, akak tak jumpa polis handsome ke?" tanya Arni apabila kakaknya menamatkan celoteh pada babak Aria membuat laporan polis.

"Ada!" Mata Aria bersinar.

Kedua-dua gadis kembar itu membiarkan sahaja Aria meneruskan cerita. Cerita tentang anggota polis mengayat kakak mereka.

"Baguslah tu. Atuk dulu pun polis juga. Menantu pun polis. Berapa paku dia ada?" tanya Arlin apabila Aria menamatkan babak kedua itu.

"Paku? Kau ingat dia puntianak ke? Main paku-paku?" sampuk Arni.

"Paku tu butang pangkatlah. Atau langsung tak ada paku?" jawab Arlin. Kemudian dia memandang Aria.

"Tak perasan pula berapa paku." Baru Aria tersedar banyak lagi perkara yang dia tidak perasan tentang polis yang mengayatnya itu. Tidak tahu nama. Pangkat pun tidak tahu.

"Berapa umurnya, kak?"

"Dalam tiga puluhan."

Tercebik-cebik bibir Arlin dan Arni. Mereka saling memandang. Kemudian, masing-masing menjongketkan kening beberapa kali.

"Eloklah tu, kak. Kami tak mau langkah bendul. Kalau akak lambat sangat nak kahwin, kami tak boleh tunggu. Kami kahwin dulu, akak jangan marah, tau!"

Malangnya Aria menganggap gurauan itu terlalu kasar. Perasaan Aria tersentap. Gurauan adik-beradik berubah menjadi sesuatu yang menyakitkan hati. Angin yang tenang, tiba-tiba bertukar menjadi ribut.

"Hei! Mulut tu jaga sikit, eh?"

"Kak, terimalah hakikat. Umur akak dah dekat three-series. Pastinya kami tak boleh kahwin selagi kakak tak kahwin lagi. Cepat-cepatlah cari boyfriend dan kahwin, kak. Kami tak nak jadi andartu macam kakak." Arni yang tidak faham angin kakaknya sudah berubah haluan, masih mahu menyakat kakaknya.

"Get out! Keluar dari bilik akak! Dan jangan nak pinjam barang-barang akak lagi. Dan selama mama dan ayah tak ada, kau orang jangan balik rumah ni. Akak tak mahu jaga kau orang. Kau orang boleh tinggal kat kampus sampai mama dan ayah balik. Faham!"

Dengan kasar, Aria menghalau adik kembarnya keluar dari bilik. Dia menghempas pintu.

"Apa bising-bising tu?" Aria terdengar suara ibunya bertanya.

"Entahlah, mama. Kak Aria meroyan lagi."

Suara Arlin menjawab membuatkan Aria bertambah marah. Dia menghenyak dirinya di atas katil. Mulutnya muncung sebatu.

Sensitif. Teramat sensitif bila terasa diri ini tidak ada orang yang mahu. Seperti orang tak laku. Air mata Aria bertakung. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro