Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

"Ada Lutfi contact kau?" Farah bertanya sambil tangannya sibuk menggerakkan tetikus. Dia menoleh kepada Aria di sebelah. Sejenak sahaja. Kemudian, matanya fokus kepada skrin komputer semula.

"Tak ada," jawab Aria tanpa menoleh kepada Farah. Malam tadi, tiada sesiapa yang telefon. Setelah puas membelek dirinya di cermin, akhirnya dia tertidur juga.

"Hmph! Dah kena tipulah tu. Tentu Si Lutfi tu dah lari," sampuk Faiz.

"Eh, Faiz! Mulut jangan celopar sangat boleh tak? Suka sangat menyampuk, kan? Kau buat aje kerja kau tu. Jangan masuk campur hal oranglah." Farah sudah mula cari gaduh dengan Faiz. Dia merenung Faiz yang sedang membuat muka mengejek.

"Eleh! Bila nak minta tolong lelaki, cari aku. Tapi bila nak berborak hal lelaki, mesti aku kena sisih. Kan?" Faiz sensitif. Dia sedar dia lelaki lembut. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak mahu diiktiraf sebagai lelaki.

"Ala, kau orang berdua ni. Kalau tak bertekak, tak sah agaknya hidup kau orang. Kau orang berdua tak pernah dengar orang kata, kalau benci sangat, suatu hari nanti jadi suka? Banyak terjadi kat dalam novel yang kita print, kan?" Aria cuba mengusik. Dia memandang Faiz yang sedang menjelirkan lidah kepada Farah. Aria menggeleng.

"Isy, kalau dengan perempuan ni, tak hingin aku!" Faiz menuding ke arah Farah dengan jari telunjuk yang lentik. Dia membuat muka mencemik dan kemudian menggoyang-goyangkan jari telunjuknya ke arah Farah.

"Aku lagilah tak hingin!" Farah mendengus kuat. Dia menjeling Faiz dan kemudian menarik lirikan matanya dengan gaya menyampah.

"Sudah! Sudah! Jom buat kerja. Dibuatnya Encik Shahdan datang, nanti kita kena marah lagi. Dia tahan pula gaji kita. Aku nak gaji aku, weih!" Aida yang kebetulan lalu di situ menegur. Tangannya penuh dengan surat-surat untuk Encik Shahdan.

Aria menyambung kerja. Dia buat-buat tidak nampak Farah dan Faiz buat muka hodoh terhadap satu sama lain. Setelah agak lama mereka berdua 'perang muka', Faiz bangun untuk ke tandas. Peluang itulah yang diambil Aria untuk berborak dengan Farah.

"Apa aku nak buat kalau Lutfi tak contact aku?" Aria menyuarakan kerisauannya. Esok, ibu dan bapanya akan berangkat untuk menunaikan ibadat haji. Sekiranya Lutfi melarikan diri daripada tanggungjawab, kepada siapa dia mahu minta tolong?

"Kau telefonlah dia. Kau ada nombor dia, kan?" Farah mempamerkan wajah prihatin terhadap permasalahan sahabat karibnya itu.

"Tak apa ke?" tanya Aria. Dia serba salah dengan situasi ini. Kawan berhutang pun dia tidak sampai hati untuk tuntut, inikan pula minta duit daripada orang yang dia tidak kenal.

"Kau ada hak, Aria. Dia langgar kereta kau. Dia janji nak bayar. Dia tak bolehlah senyap saja. Perkara ni kena selesaikan cepat."

Aria mengangguk. Betul juga kata Farah. Kalau Lutfi sudah janji untuk membayar kos kerosakan itu, dia harus lakukan sebelum 14 hari. Kerana sekiranya selepas 14 hari, haknya untuk membuat laporan polis pula tamat.

Ketika itu satu mesej masuk ke dalam telefon bimbit Aria. Dia membuka dan terlihat ada notification pada nama Lutfi. Lelaki itu seperti ada kuasa telepati pula. Baru sahaja mereka petik namanya, dia sudah telefon. Aria membaca mesej Lutfi.

Boleh kita jumpa?

"Hah! Speaking of the devil. Lutfi ajak jumpa. Apa aku nak jawab ni?" Aria meminta pandangan Farah.

"Jumpa ajelah." Farah memandang Aria sambil mengerutkan dahi.

"Tak boleh ke kalau tak jumpa? Bincang dalam phone aje dah cukup, kan?" Aria bermain-main dengan telefon bimbitnya.

"Aria, lambat-laun kereta kau kena hantar ke bengkel juga. Kau dan kereta kau kena juga jumpa dengan orang yang langgar tu. Kereta kau tu tak boleh hantar guna WhatsApp, kau faham tak?"

Aria menyengih mendengar sindiran Farah. Dia sudah biasa dengan mulut becok Farah. Dia menanti sambungan bebelan Farah.

"Dia dah ajak jumpa tu satu petanda baiklah tu. Sambil-sambil kau bincang pasal kereta, kau cubalah berkenalan dengan dia. Mana tahu, kot-kot dia jodoh kau." Farah mengusik Aria.

Bukannya dia tidak tahu masalah yang dihadapi oleh sahabat baiknya itu. Aria tidak ada keyakinan diri. Selain itu, dia rasa kaum lelaki semuanya buta kerana tidak perasan kehadiran gadis cantik seperti Aria.

"Kau jangan bagi dia bluetick lama sangat, Aria. Jawab mesej dia tu cepat," tambah Farah apabila dia lihat Aria masih teragak-agak.

"Yalah! Yalah!" Aria menaip mesej.

Boleh.

Where & when?

Sebaik sahaja dua baris mesej itu dihantar, Aria lihat 'Lutfi is typing...' pada garis notification.

Malam esok, boleh?

I pick you up.

Aria teringat yang malam esok, ibu dan bapanya akan bertolak ke tanah suci. Sudah tentu dia perlu menghantar mereka ke KLIA. Siangnya pula dia cuti untuk meluangkan saat-saat akhir bersama mereka.

Malam esok tak boleh.

Malam ini?

"Dia ajak keluar malam ini." Aria memandang Farah.

"Keluarlah. Lagi cepat settle, lagi bagus."

"Kau pun tahu parents aku belum bertolak lagi malam ni. Mereka ada di rumah. Apa aku nak cakap pada mereka bila Lutfi tercongok depan rumah? Tak sanggup aku cakap, aku dating dengan Lutfi. Mahunya mereka tak jadi bertolak esok." Aria mengerutkan dahi mengenangkan ibu bapanya yang tidak setuju dengan budaya berpacaran.

"Bukan datinglah. Bincang pasal kereta aje pun. Susah sangat, suruh dia jumpa parents kaulah." Farah menggeleng laju. Hilang sabarnya melayan perangai kalut sahabat baiknya ini.

Kalau malam ni, awak datang rumah saya. Bincang dengan my parents terus. Boleh?

Alamak! Setelah menekan butang hantar, baru dia terperasan yang mesejnya berbunyi seperti dia mengajak Lutfi datang meminang pula. Aria mahu memadamkan mesej itu, tetapi Lutfi sudah membacanya. Dia panik apabila terlihat 'Lutfi is typing...' Aria menaip dengan laju agar Lutfi tidak sempat membalas.

Sorry, silap hantar. Actually, malam ini pun tak boleh.

Aria melihat 'Lutfi is typing...' yang agak lama. Mungkin Lutfi memadam mesej yang tidak sempat dihantarnya tadi dan menaip mesej baru.

Habis tu, bila boleh jumpa?

Ada nada kurang sabar pada mesej itu. Aria tidak tahu apa mahu jawab. Dia perlu berfikir dengan pantas. Urusan keretanya perlu disegerakan. Lusa seperti lambat sangat. Dia menaip jawapan.

Lunch hari ini?

Aria lega apabila Lutfi menyatakan persetujuan. Dia memberikan lokasi restoran yang dia rasa selesa untuk bertemu dengan Lutfi. Itu juga dipersetujui oleh Lutfi. Dia berikan waktu yang tepat untuk mereka bertemu di restoran itu. Dengan pantas, dipersetujui oleh Lutfi. Lelaki itu senang setuju, fikir Aria.

Aria meletakkan telefonnya ke atas meja. Dia memandang Farah sambil menyatakan kerisauannya.

"Aku akan jumpa Lutfi tengah hari nanti di restoran hujung tu. Cuaknya. Aku tak pernah dating sebelum ni."

"Kau orang makan tengah hari aje pun. Bukan dating." Farah mencebik dengan definisi dating Aria.

"Makan tengah hari atau makan malam, apa bezanya? Kalau dah berdua, itu dating bagi aku."

Farah hanya menggeleng dengan pemikiran Aria yang dia anggap kolot. Dia meneruskan kerjanya menghadap komputer.

"Apa aku nak borakkan dengan Lutfi nanti? Kau tahulah aku, kan? Aku tak reti bercakap dengan lelaki. Sama ada aku senyap atau aku cakap banyak." Sementara Faiz belum muncul lagi, Aria mengambil peluang itu untuk mendapatkan nasihat daripada Farah.

"Kau tak payah cakap banyak. Biar dia bercakap. Dia yang langgar kau. Minta dia bayar. Habis cerita."

"Lepas tu, takkan senyap saja?"

"Kau tanya soalan. Lelaki suka berlagak pandai. Biarkan. Lagipun, perempuan pendiam nampak misteri. Kalau kau cakap banyak, nanti kelemahan kau terserlah. Kalau kau dengar saja dia bercakap, dia akan rasa hebat. You feed his ego. Dan dia akan ketagih dengan kau." Farah bercakap dengan laju dan lancar.

"What! I'm not a drug. Sampai boleh buat orang ketagih." Aria menjegilkan mata dan kemudian menggeleng tidak setuju dengan perumpamaan Farah.

"Bukan macam ketagih dadah. Tapi dia akan suka berada di samping kau. Sebab dia ada seorang pendengar yang sudi mendengar 'kehebatan' dia." Farah bercakap dengan gaya seorang pakar motivasi.

"Ya Allah! I don't believe I'm doing this!" Aria menekup kepalanya dengan tangan. Sudah rupa seperti orang bingung lagaknya.

"Chillax, beb. Kau setuju jumpa dia kerana nak bincang tentang kereta kau yang kemik tu. Itu saja. Tak payahlah panik macam kau nak minta dia pinang kau." Farah ketawa.

"Habis tu, kenapa kau bagi aku nasihat macam nak suruh dia pinang aku?" Aria menjegilkan mata.

"Aku baca dari buku ni." Farah menunjukkan skrin yang memaparkan manuskrip buku Anekdot Pikat Cara Pukal. Patutlah nasihat Farah lancar dan teratur saja bunyinya.

"Hantulah kau ni!" Aria menggumpal sekeping kertas dan membalingnya ke arah Farah. Terkena bahu Farah. Farah ketawa terkekek-kekek.

Sebelum makan tengah hari itu, Farah menasihati Aria lagi. Katanya, biarlah Aria tiba lambat sikit supaya tidak nampak Aria yang gelojoh. Menurut Farah lagi, tidak apa sekiranya lelaki yang menunggu. Pesan Farah, kalau Lutfi tidak ada ketika Aria sampai di restoran itu, batalkan pertemuan. Pantang seorang perempuan yang menanti lelaki.

Nasihat Farah itu, Aria ikut. Dia meninggalkan pejabat tepat jam satu. Dia sudah buat perkiraan. Restoran yang dijanjikan berada di hujung jalan sahaja. Dia boleh berjalan kaki ke sana. Lima minit sudah sampai. Jadi, Lutfi akan hanya menunggunya selama 5 minit.

Sampai di restoran, dia tercari-carikan Lutfi. Restoran penuh kerana itu waktu makan tengah hari. Dia tidak pasti sama ada dia boleh mengecam muka Lutfi dalam kalangan pengunjung yang ramai itu. Matanya melilau lagi. Mujurlah ada seorang lelaki yang mengangkat tangan dan melambai-lambai ke arahnya.

Aria berjalan menghampiri meja itu. Dia memberi salam. Dijawab dengan mesra oleh Lutfi.

"Dah lama tunggu?" Aria teringatkan pesan Farah agar bertanyakan soalan. Apa-apa sahaja soalan.

"Tak lama. Dalam lima minit saja."

Aria mengangguk dan mengambil tempat duduk bersilang dari Lutfi.

"Oderlah dulu. Sambil tu, kita boleh bincang pasal kereta." Lutfi mempelawa Aria apabila pelayan restoran menghulurkan buku menu. Aria meneliti menu yang tersusun itu. Macam-macam ada. Tetapi dia tidak ada selera untuk makan. Perutnya terasa seperti ada kupu-kupu yang sedang berterbangan.

"Takkan cukup dengan three layer tea dan fries sahaja?" Lutfi menegur apabila Aria selesai membuat pesanan.

"Pagi tadi breakfast heavy." Aria beralasan.

"Tak apalah. Kalau sedang borak nanti awak rasa lapar, awak boleh oder lagi."

Aria mengangguk.

"Pasal kereta saya tu, macam mana?" Aria teringatkan pesan Farah lagi. Terus tanyakan soalan tentang kereta.

"Ah! Saya dah tanya kawan saya. Dia kata dalam enam minggu juga baru siap."

"Enam minggu? Saya tak boleh tak ada kereta enam minggu." Aria terasa seperti mahu menangis. Enam minggu menaiki kenderaan awam akan buat poketnya berlubang besar.

"Itu dari kerosakan yang saya gambarkan pada dia. Kalau tak teruk sangat, mungkin boleh lebih cepat lagi katanya." Lutfi memandang wajah risau Aria. Dia faham Aria memerlukan kereta untuk pergi dan balik kerja.

Aria menggeleng laju. Matanya terasa panas. Mujurlah pelayan datang menghantar minuman. Dia tidak jadi menangis.

"Beginilah, Aria. Saya tahu saya dah susahkan awak. Disebabkan salah saya, enam minggu awak tak ada kereta. Saya pernah tawarkan untuk jemput dan hantar awak pergi kerja. Atau ke mana sahaja yang awak mahu. The offer still stands." Lutfi bertutur lembut. Dia memandang Aria dengan perasaan kasihan.

Aria bagai menelan gumpalan di kerongkongnya. Dengan pantas dia menyedut minuman.

"Terus terang, saya belum dapat gaji. Offer awak itu memang menarik. Tapi saya tak nak susahkan awak. Apa kata kalau saya bayar awak ikut rate Grab bila saya dapat gaji kelak?"

"We'll discuss that when the time comes." Lutfi memandang Aria. Apabila Aria membuka mulut seperti mahu membantah, Lutfi membetulkan ayatnya dengan pantas.

"I'll send you the bill when the time comes. Jadi, awak setuju dengan offer saya?"

Kali ini, Aria senyum dan mengangguk. Lega hatinya. Dia tidak mahu terhutang budi dengan Lutfi. Sekiranya Lutfi setuju menerima bayaran, kuranglah sikit rasa bersalahnya. Aria memandang pelayan yang meletakkan makanan mereka di atas meja. Lutfi telah memesan mi goreng basah. Menyesal pula Aria memesan kentang goreng sahaja.

"Bila saya boleh datang ambil kereta awak untuk repair?"

"Saya perlu ikut sekali ke?" tanya Aria. Dia memandang Lutfi menyuap makanan. Lelaki itu ada gaya orang kaya-kaya. Gaya makan pun ada kelas.

"Tak perlu. Saya uruskan semuanya. Awak tunggu saja kereta awak siap. Like brand new."

"Kalau macam itu, bila-bila selepas lusa." Mengikut perancangan Aria, lusa adalah waktu yang paling sesuai. Ibu dan bapanya sudah berangkat. Sambil itu, Aria melihat Lutfi memegang tisu dan mengelap bibir. Memang bergaya.

"Awak kerja apa?" Aria teringatkan pesan Farah lagi.

"Saya peniaga online."

Aria membekukan muka agar perasaan terkejutnya tidak ternampak ketara. Dia tidak pernah terfikir yang penjual online mampu menggunakan kereta mewah. Dia tidak pernah membayangkan penjual online boleh menjadi kaya raya seperti Lutfi.

"Awak jual apa?" tanya Aria lagi.

"Apa saja." Lutfi senyum. Ternampak ada lesung pipi.

Susahlah kalau begini, fikir Aria. Dia tanya satu ayat, Lutfi jawab satu ayat. Dia perlu tanya soalan yang Lutfi boleh jawab dengan banyak patah perkataan. Kerana lambat-laun, Aria akan kehabisan soalan.

"Contoh?"

"Barang-barang yang biasa orang nak beli."

"Awak ada jual barang rare?" Aria menebak. Kalau barang-barang biasa, tidak mungkin boleh jadi kaya. Mungkin Lutfi menjual barang-barang yang susah didapati. Barang-barang seperti itu boleh mencapai harga tinggi.

"Awak pun tahu tentang barang rare? Barang hard to get? Biasa shopping online ke?" tanya Lutfi. Dia senyum lagi. Lesung pipitnya makin dalam.

"Biasa tu taklah. Sesekali, beli juga barang online."

"Barang apa yang awak selalu beli?"

"Handbag, aksesori wanita, baju. Tengoklah apa yang berkenan."

"Saya jual ini." Lutfi membuka telefon bimbitnya. Dia membuat carian. Kemudian, dia menghulurkan telefon bimbitnya kepada Aria. Terpapar gambar beg tangan berjenama LV.

Aria melihat harga. Dia menelan liur. Dengan gajinya sebagai kerani akaun di kilang pencetakan itu, memang tidak mampu dia membeli barangan seperti itu.

"Wow! Ini cantik. Tapi saya takkan mampu." Lebih baik berterus terang daripada berpura-pura tidak suka untuk menutup hakikat yang dia tidak mampu.

"Awak suka?"

Aria angguk sahaja. Aria memujuk diri sendiri. Kalau dia ada beg tangan itu sekalipun, bila masa dia akan guna? Dia bukannya selalu pergi ke majlis keramaian yang memerlukan dia memakai barangan mahal seperti itu. Pergi majlis kahwin kawan-kawan pun, memadai dengan beg tangan RM40 yang boleh dibeli di tepi jalan. Kalau pakai beg tangan mahal, nak bawa masuk tandas pun tak sampai hati. Maka, terkemut-kemutlah sehingga balik rumah. Pujuk hati Aria.

"Barang rare apa yang awak jual?" Aria menyembunyikan rasa terkilannya.

"Barang-barang yang boleh dapat harga tinggi. Tapi itu jarang-jarang berlaku. Ada sekali saya dapat jual baseball cards kepada pembeli luar negara. Pelik betul. Baseball cards pun sanggup beli dengan harga mahal. Tapi adat jual beli. Asalkan penjual dan pembeli setuju dengan harga, transaksi sudah dikira sah." Lutfi menerangkan salah satu barangan yang dia jual. Kad besbol itu memaparkan gambar-gambar pemain besbol yang sudah menjadi 'lejen'. Memang patut pun mendapat harga tinggi daripada kaki kumpul.

Aria melihat jam di tangan. Sudah pukul 2 petang. Dia perlu pulang ke pejabat. Dia menghabiskan minumannya dan meminta diri.

"Aria, saya hantar awak balik hari ini?" tanya Lutfi setelah selesai membayar harga makanan. Ketika itu, mereka sedang berdiri di hadapan restoran.

"Errr... Hari ni kawan office hantar saya balik. Dah janji. Lusa?" Lusa, ketika ibu bapanya sudah tiada di rumah. Itu lebih selamat, fikir Aria.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro