Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

Sambil Aria mencuci pinggan mangkuk yang digunakan untuk makan malam, ibunya mengemas meja. Sesekali, mata Puan Najihah menatap belakang tubuh anak sulungnya itu. Kadang-kadang timbul rasa kasihan kerana Aria masih belum berpunya.

Kadang-kadang hatinya terasa berat untuk melepaskan anak sulungnya itu. Susah juga dia, kalau Aria tiada. Walaupun kadang-kadang kedegilan Aria menjengkelkan, anak gadisnya itu rajin membantu di dapur. Setakat membasuh pinggan yang penuh singki, tidak menjadi masalah.

Puan Najihah menarik nafas dalam. Aria sudah cukup umur untuk berumah tangga. Malahan terlebih beberapa tahun kalau mengikut standard orang dulu-dulu. Mungkin pada zaman sekarang, anak gadis yang berkahwin pada usia tiga puluhan sudah dikira normal. Aria belum pun capai tiga puluhan. Puan Najihah beralasan bagi menyedapkan hati sendiri.

"Dah besar cucu-cucu Rose tu," kata Puan Najihah, teringatkan perangai Aria petang tadi. Bukan main Aria merungut tentang barang-barang yang sudah beralih tempat dek diusik oleh cucu-cucu Mak Cik Rose. Padahal, bukannya sampai ke tahap rosak atau pecah. Tapi bisingnya mulut Aria sehinggakan dia rasa seperti mahu tampal plaster ke mulut anaknya itu.

Aria mengesat tangannya yang basah. Dia memandang ibunya yang sedang memasukkan lebihan lauk yang sudah diasingkan ke dalam bekas lain ke dalam peti ais. Dia dapat mengagak ke mana arah tuju perbincangan ini.

"Entah bilalah mama dapat merasa ada cucu, kan?" Puan Najihah menutup pintu peti sejuk dan menoleh memandang Aria.

"Susah-susah, Aria ambil anak angkat sajalah. Tapi mama jaga? Boleh?" Aria menyengih. Sengaja mengusik ibunya. Dengan ketiadaan adik kembarnya yang dua orang itu, bolehlah Aria berlagak seolah-olah anak tunggal. Malahan kalau mahu perasan dirinya sebagai anak manja pun boleh.

"Tapi mama nak juga ada menantu."

Aria memuncungkan mulut. Kenapalah setiap kali mereka berbincang, ibunya asyik timbulkan hal cucu, anak, kahwin dan menantu? Dia tidak suka topik ini. Kerana lambat-laun ia akan menjurus kepada jodohnya yang dikatakan lambat.

"Mama, sebelum mama dapat cucu, anak mama kena kahwin dulu. Aria tak ada calon menantu untuk mama pun lagi. Buat apa fikir jauh sangat, mama? Take one day at a time."

"Hmmph! One day at a time kamulah. Every day umur kamu meningkat one day at a time. One day, jangan tiba-tiba tersedar diri kamu dah tua." Puan Najihah menelan liur. Dia tahu kisah cinta Aria. Dua hubungan Aria pernah terkandas di tengah jalan. Mungkin itu yang membuatkan Aria seolah-olah serik dengan lelaki sehingga merajuk tidak mahu kahwin.

"Ramai orang tua yang tak kahwin, mama. Aria tengok mereka semua berjaya."

"Orang yang dah kahwin lebih takut buat maksiat. Kerana bila dia nak buat maksiat, dia akan fikirkan pasangan dia, anak-anak dia. Orang dah kahwin ni, hatinya lebih tenang. Kerana ada tempat dia mengadu, ada tempat dia berlindung, ada tempat dia menangis bersama, ketawa bersama."

Aria memalingkan wajahnya menghadap rak pinggan supaya ibunya tidak nampak yang dia sedang menahan diri daripada ketawa.

Kata-kata ibunya buat dia mahu menyanyi lagu yang ada lirik 'menangis bersama, ketawa bersama'. Sambil itu dia memikirkan hujah untuk mematahkan kata-kata ibunya.

"Orang kalau nak buat maksiat, sama saja, mama. Tak kira sama ada dah kahwin atau belum. Tak payah pergi jauh-jauh. Jiran kita pun ramai yang bercerai dan ada masalah rumah tangga. Tengok Julia. Dia bercerai sebab suaminya kaki pukul. Fira bercerai sebab suaminya ada perempuan lain. Zana dekat nak bercerai sebab suaminya dera anak."

Aria pandang kiri dan kanan seolah-olah menunjuk ke arah rumah jiran-jiran yang bermasalah itu. Ibu Aria menggeleng.

"Mereka mungkin kurang iman. Islam mengatakan perkahwinan ini melengkapkan separuh daripada agama. Separuh lagi iman. Itulah sebabnya, kita mesti berdoa agar Allah beri kita jodoh dalam kalangan orang yang baik-baik dan beriman."

"Kalau macam itu, mama doakan saja Aria dapat jodoh dalam kalangan orang yang baik-baik dan beriman. Doa seorang ibu senang makbul. Mana tahu, bila mama balik, Aria dah terjumpa calon." Aria melipat kain lap tangan yang sudah lembap. Tanpa berfikir panjang, dia membuka lipatan kain itu dan kemudian melipatnya semula.

"Memang mama selalu doakan yang itu." Puan Najihah hanya memerhati tingkah laku anaknya yang tidak henti melipat dan membuka lipatan kain lap tangan itu. Dia tahu sangat, anaknya sedang stres dengan topik itu.

"Dah terlanjur mama nak doakan jodoh untuk Aria, doakan sekali jodoh Aria lelaki yang handsome, kaya dan romantik." Aria menyidai kain lap tangan itu di hujung meja kabinet agar boleh kering dengan sendirinya.

"Orang cari suami yang bertanggungjawab, yang boleh bimbing dan lindungi isteri dan keluarga. Yang boleh pimpin keluarga ke jannah." Puan Najihah menjegilkan mata kepada Aria. Boleh tahan juga berangannya si gadis ini. Tidak padan dengan usia, masih berangan seperti gadis remaja.

"Itu termasuk dalam pakejlah, mama." Aria tergelak-gelak sambil menghimpit ibunya. Dia melingkarkan tangan pada lengan Puan Najihah.

"Wah! Syoknya kalau dapat lelaki macam itu kan, mama? Indah dan bahagia hidup." Aria melentokkan kepala di atas bahu ibunya. Sambil itu kepala didongak sedikit seolah-olah sedang membayangkan hidupnya dengan lelaki idaman itu.

"Hmmph! Berangan tak sudah. Pergi masak air. Buatkan ayah kopi," arah Puan Najihah. Dia menolak Aria dengan lembut. Sambil itu dia menggeleng dan tergelak kecil. Asyik melayan Aria berbual di dapur, sehingga terlupa yang suaminya suka minum secawan kopi selepas makan.

Malam itu, Aria tidak dapat tidur. Perbualan dengan ibunya sebentar tadi membuat kepalanya ligat berfikir. Topik jodoh memang akan buat dia stres. Dia akui kebenaran kata-kata ibunya. Umurnya semakin meningkat. Dia tidak mahu digelar andartu. Buruk benar label itu.

Dia teringatkan kisah silamnya. Bahagian 1, bersama Rozaidi, anak Mak Cik Rose. Ya, Mak Cik Rose yang datang siang tadi bersama cucu yang menyelerakkan perhiasan itulah. Cucu Mak Cik Rose ialah anak Rozaidi.

Dia bercinta dengan Zaidi sejak sekolah rendah. Mula-mula cinta monyet. Kemudian, berlarutan sehingga ke sekolah menengah. Dia sangkakan hubungan mereka akan berkekalan hingga ke jenjang pelamin. Tapi seperti tajuk lagu Pelamin Anganku Musnah, begitu jugalah hubungan Aria dengan Zaidi. Lebih mengharukan, Zaidi pilih teman karib mereka sebagai pengganti Aria.

"Setelah bercinta dari zaman sekolah, baru sekarang kau kata aku bukan taste kau?" tanya Aria ketika dia bersemuka dengan Zaidi. Aria menggulung-gulung slip keputusan SPM yang baru sahaja dia ambil di sekolah.

"Ala, Aria. Masa zaman sekolah, kau comel. Lagipun dulu, hormon aku tak tentu arah."

Aria menatap wajah Zaidi yang sudah licin. Seingatnya, sebelum SPM, muka Zaidi penuh jerawat. Apa yang dibuatnya Zaidi semasa bercuti menunggu keputusan SPM sehingga hilang semua jerawat di muka? Makan suplemen kecantikankah?

"Jadi sekarang hormon kau dah stabil, baru kau sedar yang aku bukan taste? Aku tak cantik sangat ke kat mata kau?"

"Kau cantik, Aria. Tapi kau bukan taste aku lagi. Taste orang kan berubah-ubah. Mungkin suatu hari nanti kau akan jadi taste lelaki lain."

"So lame, Zaidi." Aria mencemuh alasan lemah Zaidi. Boleh pula kecantikan disamakan dengan selera. Mengarut!

Tapi sedikit sebanyak, Aria termakan dengan kata-kata Zaidi. Dahulu dia comel, sekarang dia tak cantik. Itulah maksud Zaidi. Keyakinan dirinya memudar.

"Tak payah nak gaduh-gaduhlah, Aria. Anggap saja kita tak ada jodoh."

"Amboi! Senangnya cakap. Tak ada jodoh. Lepas tu kau buang aku macam tu saja?" Suara Aria naik satu oktaf.

"Aku tak buang kau. Kita masih boleh jadi kawan," pujuk Zaidi.

Aria dapat membayangkan sakit hatinya nanti setiap kali dia melihat Zaidi berdampingan dengan Ainul. Dia dapat mengagak bagaimana dia akan rasa cemburu melihat keluarga bahagia Zaidi dengan anak-anak mereka. Demi menjaga hatinya sendiri, lebih baik mereka tidak berhubung lagi.

"Aku tak nak kawan dengan kau. Kalau nak putus, buat cara nak putus. Betullah kata orang. Kalau rapat sangat nanti jadi renggang serenggang-renggangnya. Let's have a clean break. I don't want to have anything to do with you anymore."

"Janganlah macam ni, Aria. Aku masih nak kita berkawan. Lagipun, aku rasa Ainul pun masih nak berkawan dengan kau."

"Sorry, kepala lorry. Aku tak nak kawan dengan kau. Juga Ainul. Jangan kacau aku lagi."

Tapi Zaidi seorang yang degil. Dia tetap mengintai Aria. Setiap hantaran Aria di media sosial, dia komen. Setiap gambar Aria, dia like. Sehingga Aria merasa rimas dengan perangai stalker Zaidi. Satu hari, Aria block Zaidi.

Apabila Zaidi mendapati dia kena block, dia mula menyindir Aria di media sosial. Ada pula tukang screenshot yang menyemarakkan lagi api kemarahan Aria. Apabila Zaidi mula menyindir ibu dan bapa Aria, Aria tidak tahan. Dia bersemuka dengan Zaidi sekali lagi.

"Eh! Kau ni betul-betul seperti lelaki yang kurang kasih sayang, kan? Lelaki yang dahagakan perhatian." Terkepal-kepal tangan Aria seperti mahu menumbuk Zaidi.

"Aku masih anggap kau kawan. Kau yang anggap aku musuh." Zaidi berpura-pura suci. Langsung tiada riak bersalah pada wajahnya.

"Oh! Jadi nak tarik perhatian aku, kau perli mama dan ayah aku. Kau lupa ke, mak kau dan mama aku tu kenal? Kawan satu taman perumahan. Yang kau babitkan mereka, siapa suruh?"

"Mak aku tak layan medsos. Mama kau pun tak ada akaun, kan? So?"

"Walaupun dia orang tak baca Facebook, tapi kalau ada orang biadab dengan mama aku, aku anggap orang itu dah biadab dengan aku." Aria membentak. Kecik besar sahaja dia memandang anak Mak Cik Rose ini.

"Small matter la, Aria. Nanti aku delete la status tu." Zaidi menjongketkan bahu. Dia senyum sinis.

"Damage has been done. Unrepairable damage."

Aria rasa mahu meletup. Zaidi biadab. Lelaki itu masih belum sedar yang dia biadab. Malahan tidak ada rasa bersalah pun atas sikap kurang ajarnya itu.

"Dengar sini baik-baik, Zaidi. I want you out of my life. Kau jangan terhegeh-hegeh nak cuba ambil hati aku lagi. Where I am concerned, you are nobody! Faham tak!"

Aria berlalu pergi. Dia panas hati. Menyesal pula kerana tidak beri Zaidi penampar sedas. Kata-kata ustaz tentang memutuskan silaturahim terngiang-ngiang.

Ah! Aku bukan putuskan silaturahim. Aku jaga ikhtilat. Dia nak buat perangai meroyan ke, gila talak ke, pergi jahanamlah dengan dia. Aku nak move on.

Masuk kolej, bermulalah bahagian kedua kisah cinta Aria. Dia minat kepada Hasrudi. Berbagai-bagai cara dia buat agar lelaki itu perasan akan dirinya. Sehinggalah pada suatu hari, dia mendapat keberanian untuk berterus terang dengan Rudi. Itupun setelah dicabar oleh sahabatnya, Farah.

Ya, Farah yang kerja satu pejabat dengan dia sekarang. Dari dahulu lagi, Farah memang suka memberi kata nasihat dan tip tentang hubungan dan cinta. Padahal, dia juga sama seperti Aria. Masih belum berpunya.

"Lelaki sekarang lembik. Mereka harapkan perempuan yang mulakan dulu."

Berbekalkan kata semangat dan dorongan Farah itu, Aria meluahkan perasaannya kepada Rudi. Kejadian berlaku semasa waktu rehat di antara kelas. Bertempat di kafe kolej.

"Aku suka pada kau, Rudi."

"Woah, Aria. Aku tak sangka kau seberani ini." Terkebil-kebil mata Rudi mendengar pengakuan Aria. Tiba-tiba dia pandang semacam kepada Aria yang selama ini dia anggap 'teman tapi mesra' itu.

"Bukan lelaki suka perempuan yang berani ke?" Aria tidak sangka akan mendapat respons sebegitu. Dia dapat rasakan daripada cara mata Rudi terkelip-kelip, itu adalah satu petanda yang tidak baik.

"Ya. Tapi taklah sedirect ini."

"Aku memang jenis direct." Aria tahu peluangnya dengan Rudi sudah hampir terlepas dari genggaman. Tetapi, dia cuba juga untuk menyelamatkan harga dirinya.

"Okey, kalau kau nak direct, aku bagi direct. Sebenarnya, aku dah ada awek. Tapi kalau kau nak pada aku sangat, kau tunggu jadi nombor dua." Rudi tersengih-sengih. Tak sangka Aria minat padanya. Terasa seperti sahamnya naik harga.

Kali ini, Aria tidak mahu merayu-rayu dan mempertahankan perasaannya. Peristiwa dengan Zaidi tidak akan berulang. Kalau Rudi tidak mahu, sudah!

"Nombor satu pun belum tentu, sudah fikirkan nombor dua. Pergi jalanlah!" Aria menghentak kaki dan berlalu pergi.

Kerana kedua-dua pengalaman itulah yang menimbulkan trauma dalam hidup Aria. Dia hilang keyakinan diri apabila berhadapan dengan lelaki. Harga dirinya jatuh merudum. Sehinggakan dia tidak tahu apa yang dia mahu. Apabila diasak oleh ibunya tentang jodoh, dia kata mahu. Tetapi apabila dia teringatkan penolakan itu, dia serik.

Aria menghentikan lamunannya. Dia bangun dan berdiri menghadap cermin. Dia memerhati setiap inci wajahnya. Tiada apa yang kurang.


"Aku ni tak cantik sangat ke?" Aria bertanyakan kepada biasan dirinya. Matanya berair. Dengan pantas dia mengerdip-ngerdipkan kelopak mata agar air mata itu tidak jatuh.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro