Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Aria memarkirkan keretanya pada petak yang agak jauh dari pejabatnya. Memandangkan dia tiba lewat, tempat parkir telah penuh. Yang ada hanyalah satu petak bersebelahan dengan tong sampah.

Memang hari ini hari yang tidak baik. Malam tidak cukup tidur, siang kereta kena langgar pula. Sekarang, keretanya jadi peneman tong sampah. Kalau letak di situ sampai petang, memang bau sampah akan meresap masuklah jawabnya.

Dia mencapai beg tangan dan menapak menghala ke pejabatnya. Dia melihat jam di tangan. Lewat 1 jam. Dia berdoa janganlah bosnya nampak dia pulang lewat. Baru sahaja dia mahu menapak menaiki tangga ke pejabat, dia ditegur oleh Aida.

"Hai, Aria. Lambat benar balik? Kau buat report polis atau kau makan tengah hari terus dengan abang polis?" tanya kawan baik Aria. Dia tersengih-sengih.

Aria terkedu sekejap. Seingatnya, tidak ada polis yang mengajaknya makan tengah hari. Lutfi yang ada mengajak. Tapi dia tolak. Dan polis di pondok pengawal itu mengajaknya menjadi teman wanita. Dia tidak ajak makan tengah hari pun.

Tiba-tiba Aria terperasankan sesuatu. Dia tidak tahu apa nama polis muda itu. Dalam kekalutan dan terkejut mendapat pelawaan menjadi teman wanita, Aria terlupa untuk melihat tag nama polis muda itu. Dan dia juga lupa untuk bertanya.

"Kereta aku accident la!"

"Allah! Macam mana boleh accident?"

"Orang langgar belakang. Dekat traffic light. Hangin aku satu badan," rungut Aria dengan muka yang masam mencuka.

"Oh! Eh! Jomlah naik ofis. Nanti bos tangkap kau. Aku, tak apalah. Aku turun nak hantar order customer ke kilang. Engkau yang lewat."

Bergegas Aria dan Aida memanjat tangga. Sampai di mejanya, Aria mengeluarkan telefon bimbit. Beg tangan disimpan di bawah meja.

"Eh, Aria. Lambat kau balik. Ramai orang kat balai ke?" tanya Farah secara berbisik-bisik. Sebenarnya, satu ofis sudah tahu yang Aria akan membuat laporan polis tentang panggilan palsu itu. Masakan tidak, kecoh satu ofis ketika dia meminta pendapat apa yang harus dilakukan tentang scammer itu.

Sebelum dia menjawab soalan Farah, Aria memeriksa telefon bimbitnya. Dia membuka aplikasi log. Nombor yang pertama tertera dengan tanda missed call tentulah daripada polis muda itu. Sambil mulutnya becok bercerita tentang peristiwa tengah hari tadi, mindanya tidak ada ruang untuk berfikir. Secara automatik, jarinya menekan butang 'simpan' dan melabel nombor polis muda itu sebagai Abang Polis.

"Muda tak yang langgar kau tu? Macam mana rupa dia?"

Aria terdengar soalan Farah sebaik sahaja dia siap menyimpan nombor Hadid. Nantilah bila-bila abang polis itu menelefonnya, dia akan tanyakan nama sebenar polis muda itu, fikir Aria.

"Taklah muda sangat. Dalam 30-an gitu. Kulit cerah. Tinggi. Ada lesung pipit."

"Wow! Bujang ke?" Bersinar-sinar mata Farah.

"Haish! Apalah kau ni. Aku tak tanya pula sama ada dia bujang atau dah kahwin, atau duda. Tapi gaya macam bujang kut." Aria senyum senget.

"Double wow! Dah macam dalam novel yang kita print pula!" kata Farah sambil menjongket-jongketkan keningnya.

"Eh! Kami tak buat apa-apa cerita lagilah. Apalah kau ni? Tak habis-habis berangan." Aria menjeling Farah. Kemudian, dia memperlahankan suaranya sehingga berbisik-bisik nadanya.

"Tapi, kan... Masa kat balai, ada polis ajak aku jadi awek dia."

"Hah! Polis pula enter-frame. Ini dah ada plot twist. Lain daripada yang lain, beb." Farah pula yang teruja. Melebihi Aria.

"Lah! Merepek lagi. Malaslah nak layan kau ni."

"Kejap! Kejap! Polis tu handsome tak?"

"Handsome." Aria teringat muka Hadid.

"Tinggi?"

"Tinggi." Aria teringatkan ketika Hadid berdiri bersebelahan dengan polis berumur itu. Memang Hadid lebih tinggi.

"Kulit dia?"

"Kulit orang Melayu." Aria membandingkan Hadid dengan Lutfi yang berkulit cerah.

"Wow! Mr. TDH!" teriak Farah.

"Mr. TDH?" Berkerut kening Aria. Dia hairan juga. Kot-kotlah TDH itu singkatan untuk nama anggota polis itu. Mungkin Farah mengenali Mr. TDH ini. Mungkin TDH itu singkatan untuk Tengku Danial Hilman, contohnya.

"Mr. tall, dark and handsome." Farah ketawa. Aria turut ketawa. Dia teringatkan Hadid. Ya, sesuai sangat dengan gelaran itu.

"Betullah tu. Mr. TDH." Aria berkira-kira mahu menukarkan 'Abang Polis' kepada 'Mr. TDH' dalam senarai kontaknya. Sesaat kemudian, dia menukar fikiran. Biarlah dengan 'Abang Polis' sahaja. Letak 'Mr. TDH' nanti ada orang perasan pula bila dapat tahu.

"Jadi, mana satu berkenan dekat hati?" tanya Farah.

"Sudahlah. Aku nak buat kerja. Dahlah balik lambat, berborak dengan kau pula. Mahunya aku kena potong gaji. Gaji dah masuk ke belum?" Aria malas mahu melayan soalan-soalan merapu Farah.

"Gaji belum masuk lagi. Tapi kita boleh borak sambil buat kerja," kata Farah dengan tangannya terawang-awang menunjuk kepada tempat duduk mereka berdua yang sebelah-menyebelah saja.

Aria tidak jadi buat kerja. Dia mengerling sahaja buku kira-kira yang terbuka luas di hadapannya.

"Eee... Geram betullah dengan Encik Shahdan ni. Kereta aku dahlah kena masuk workshop. Dia guna duit syarikat untuk tujuan peribadi kut. Kalau bercerita pasal motor besar, bukan main lagi. Beli aksesori motor saja dah beribu-ribu ringgit. Semata-mata nak bagi ekzos motor dia bunyi preng-preng-preng, tapi gaji kita lambat bayar. Macam cirit pret-pret-pret angin saja yang keluar."

Aria hilang mood untuk bekerja mendengarkan gaji akan lewat bulan ini. Dia perlukan wang lebih sementara keretanya masuk bengkel. Menyesal pula dia tidak terima tawaran Lutfi untuk tanggung tambangnya tadi. Kalau dia terima, sudah selesai sebahagian daripada masalahnya.

"Tak apalah, Aria. Nanti insurans bayarlah kos repair kereta kau tu," kata Farah sambil tangannya sibuk bermain dengan tetikus manakala matanya terhala kepada skrin komputer di hadapannya.

"Aku tak buat police report pun. Macam mana nak claim insurance?" tanya Aria. Dia mengerling kepada Farah yang sedang membetulkan susun letak manuskrip. Dengan pantas, Farah mengangkat muka dan menoleh kepada Aria.

"Kenapa kau tak buat police report? Dah terlanjur memang kau ke balai untuk buat police report, buatlah dua-dua sekali."

"Lutfi tak bagi. Katanya leceh."

Tiba-tiba, Faiz yang duduk setentang dengan Farah mencelah.

"Dia tak nak kena samanlah tu. Dia langgar belakang kau kan, Aria? Memang dia salah. Denda RM300 tau! Lagipun, dia tak nak kehilangan NCD. Cerdik dia." Faiz menunjuk-nunjuk dengan jari telunjuknya yang lentik.

"Faiz, kau curi dengar, ya?" Farah memarahi Faiz, lelaki yang berperwatakan lembut itu.

"Eleh, tak payah curi dengarlah. Ini open office la, cik kak oi. Kau orang bisik-bisik pun aku boleh dengar," balas Faiz. Semakin serak bunyi suaranya.

"Eh! Apa pasal panggil aku cik kak? Aku sama baya dengan kaulah. Perasan muda!" Farah mencemuh Faiz.

"NCD itu apa, Faiz?" tanya Aria.

Cukuplah fikirannya berserabut memikirkan hal kereta dan gaji lambat. Dia tidak mahu menambahkan pening kepala mendengar Faiz dan Farah bertekak. Kadang-kadang, mereka berdua memang seperti anjing dengan kucing. Tidak pernah sefahaman.

Faiz mencapai botol air mineral. Dia membuka penutup dan meneguk air. Dengan pantas Farah bangun dan menghampiri Faiz. Farah mencapai sebatang pen dan mengetuk kelengkeng Faiz.

"Berapa kali mau cakap, bila minum, kelengkeng ni jangan lentik." Farah membuat muka meluat.

Faiz menjeling Farah. Tapi dia turunkan juga kelengkengnya. Itu bukanlah kali pertama Farah mengetuk kelengkengnya. Minum dengan kelengkeng lentik memang sudah jadi kebiasaannya. Susah mahu ubah.

Farah kembali duduk. Tapi matanya masih fokus kepada kelengkeng Faiz. Kalau naik lagi, dia akan ketuk lagi kelengkeng itu.

"NCD ialah diskaun insurans kalau dia tak pernah tuntut. Setiap tahun, premium insurans makin kurang. Tapi bila ada tuntutan, insurans itu akan naik semula. Silap hari bulan, premium insurans dia kembali 100%," terang Faiz.

"Kalau kau buat tuntutan insurans, kau kena hantar kereta kau ke bengkel yang disenaraikan oleh syarikat insurans itu. Kos baiki di bengkel-bengkel panel lebih mahal. Lebih baik dia hantar repair kereta dia kat bengkel Ah Seng yang terletak kat ceruk mana-mana itu. Entah-entah dia ada kawan yang ada bengkel. Entah-entah kawan dia boleh bagi murah. Entah-entah free. Entah-entah dia boleh repair sendiri." Faiz menerangkan dengan panjang lebar.

"Entahlah, Faiz." Aria pula sudah berjangkit penyakit entah Si Faiz.

"Tapi, memang dia cadangkan hantar ke bengkel kawan dia," tambah Aria.

"Dah agak dah. Ada dia bagi nama dan alamat bengkel?" tanya Faiz dengan suaranya yang serak-serak basah itu.

"Tak ada pula. Tak sempat pun tadi. Aku tergesa-gesa nak buat police report tentang scam call."

"Kau percaya dia akan bayar ke, Aria? Kalau dia larikan diri, macam mana?" tanya Farah.

"Shhh! Encik Shahdan datang." Tiba-tiba Aida memberi amaran.

Faiz, Farah dan Aria menyibukkan diri melakukan tugas masing-masing. Namun, kepala Aria ligat berfikir. Apa yang dia akan lakukan sekiranya Lutfi tidak mengotakan janji?

Sebaik sahaja Encik Shahdan berlalu pergi, mereka berbual semua. Farah berdeham untuk mengambil perhatian Aria.

"Aria, di antara Lutfi dan abang polis, yang mana satu kau lebih berkenan?" bisik Farah dengan agak kuat.

"Eh! Kau ni Farah. Aku tak terfikir pun sampai ke situ. Buat masa sekarang, aku lebih risaukan tentang kereta aku."

"Kau kena rembat dia cepat-cepat. Jangan sampai terlepas."

"Siapa?" Aria membuat muka pelik dengan nasihat Farah. Sahabatnya ini tidak faham dengan apa yang dia cakapkan tadi, atau buat-buat tidak faham yang dia sedang memikirkan hal kereta?

"Yang langgar kaulah. Dan abang polis kau tu."

"Mana kau belajar suruh rembat sekali ramai-ramai ni?"

"Dari buku inilah. Anekdot Pikat Cara Pukal." Farah menuding kepada skrin komputer.

"Kau baca manuskrip yang kita nak print, Farah?" Aria menjegilkan mata.

"Ala... Sambil-sambil aje." Farah menjeling.

"Sambil-sambil? Dari semalam aku tengok kau asyik menghadap manuskrip itu. Macam nak baca sampai khatam. Patutlah Encik Shahdan bising. Dia kata kau buat kerja lambat siap. Lepas itu aku kena cover kerja kau," omel Aria dengan suara berbisik yang bernada keras.

"Farah! Jangan buang masa baca manuskrip yang kita nak print. Penulisnya dah membebel nak cepat!" jerit Encik Shahdan.

Terkejut Aria dan Farah kerana mereka fikirkan Encik Shahdan sudah turun ke kilang. Rupa-rupanya, bos mereka itu masih berlegar-legar di kawasan pejabat.

"Kan dah kena!" bisik Aria dengan gigi yang terketap.

"Yalah. Yalah. Tapi buku ni best la, Encik Shahdan," jawab Farah sambil menyengih kepada bos mereka.

"Best pun tak jadi best kalau lambat print. Cepat sikit buat arrangement untuk dummy book," leter Encik Shahdan. Dia berpaling dan meninggalkan pejabat. Aria dan Farah berdoa agar kali ini Encik Shahdan benar-benar turun ke kilang.

"Penulis buku ini kata, kita kena keluar dengan ramai orang. Barulah kita jumpa calon suami yang tepat." Farah menyambung bacaan manuskrip yang terpampang pada skrin komputer.

"Apa punya nasihat tu? Nak kena pelangkung dengan ayah aku?" bantah Aria. Dia teringatkan ketegasan ayahnya tentang berpacaran. Farah tidak mengendahkan bantahan Aria. Dia terus membaca.

"Buku ni kata, bila kita keluar dengan ramai orang, barulah kita ada keyakinan berdamping dengan orang. Bila kita ada keyakinan diri, barulah kita nampak menonjol."

Aria memandang ke dadanya. Dia geleng. Faiz ketawa terbahak-bahak. Farah menjeling Faiz.

"Dia bukan maksudkan menonjol kat situlah. Dia maksudkan nampak menyerlah. Menarik dalam kalangan ramai gadis-gadis yang belum berkahwin yang melambak sekarang ini. Termasuk aku." Farah membetulkan tanggapan Aria.

"Uewww... Apakah? Aku suka hubungan yang tak mengetepikan keluarga. Aku suka kalau dia cuba kenal keluarga aku dulu. Kemudian, aku cuba kenal keluarga dia. Kalau ada persefahaman dua-dua keluarga, barulah on."

Aria mengatakan cara mencari jodoh yang dia suka. Dia memandang Farah sejenak. Menanti kalau-kalau Farah akan membidas cara pemikirannya.

"Kenal keluarga pun ada juga penulis ini sebut. Tapi katanya, proses itu akan memakan masa yang lama. Kalau kena dengan keluarga cerewet, bertambah halangan nak kahwin. Kalau nak cepat, skip saja proses perkenalan keluarga."

"Aih! Macam mana kita boleh setuju terbitkan buku macam ini, eh?" Aria menyendengkan tubuhnya untuk mengintai skrin komputer Farah.

"Kita bukan penerbit. Kita printer. Orang bagi job, kita print." Faiz menyampuk. Dia mencebik kepada Farah yang sedang membuat muka kepadanya.

"Penulis itu lelaki atau perempuan?" Aria mengintai lagi skrin komputer Farah. Dia menggeleng melihat perangai Faiz dan Farah yang tidak ubah seperti budak-budak. Suka sangat bertekak.

"Nama penulisnya, Mai Pen Aa. Tak tahulah lelaki atau perempuan." Muka Farah berkerut-kerut. Dia mencari muka surat yang mungkin ada gambar penulis.

"Tak kesahlah lelaki atau perempuan. Yang baik, kita ambil. Yang tak... Apa nama... Tak patuh syariah, kita tak usahlah ikut," tambah Farah apabila dia tidak terjumpa langsung ruangan biodata penulis.

"Farah! Bila nak stop baca buku tu?" Tiba-tiba terdengar suara Encik Shahdan bertempik.

"Datang lagi orang tua ni!" omel Farah.

"Padan muka kau. Dahlah. Jom buat kerja. Nanti malam kita calling-calling," bisik Aria sambil melemparkan senyum kepada Encik Shahdan yang sedang memantau pekerja-pekerjanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro