
Bab 3
Aria mengintai dari cermin pandang belakang. Lelaki yang keluar dari kereta di belakang sedang menapak ke arahnya. Muka lelaki itu ketat semacam. Aria kecut perut. Dengan pantas, Aria memastikan yang pintu kereta berkunci semuanya.
Lelaki itu merapati kereta Aria. Dia mengetuk cermin pintu dengan ruas jari telunjuknya dan memberi isyarat agar Aria keluar. Tapi, Aria tidak berani keluar. Sebaliknya, dia menurunkan sedikit cermin kereta. Cukup sekadar untuk berbincang.
"Alihkan kereta ke tepi. Tengok tu, lampu dah tukar hijau. Orang dah beratur nak jalan." Lelaki itu memuncungkan bibir ke arah di belakang. Beberapa orang pemandu yang sudah hilang sabar membunyikan hon kereta.
Aria menoleh. Memang benar. Ada deretan kereta yang sedang menanti untuk bergerak. Dan bunyi hon yang bagai bersahut-sahutan itu membingitkan telinga.
"Okey. Tapi encik pun ke tepi juga. Jangan lari pula." Di dalam kepala Aria teringatkan kes langgar lari yang kononnya melibatkan keretanya. Kali ini dia pula yang kena langgar.
Lelaki itu hanya mempamerkan muka kelat dan melangkah meninggalkan Aria. Aria mengintai cermin pandang belakang dan memandu kereta ke tepi. Dia rasa lega apabila kereta lelaki itu mengekori dan memarkir di belakang keretanya. Lelaki itu keluar dari kereta dan melangkah panjang-panjang menghampiri kereta Aria.
"Kenapa awak buat emergency brake?" tanya lelaki itu dengan suara menuduh.
"Lampu dah merah. Encik yang salah tak berhenti. Lepas itu langgar belakang pula," jawab Aria melalui ruang kecil pada cermin tingkap.
Lelaki itu menjegilkan mata. Jelas mukanya penuh riak menyalahkan Aria di atas kemalangan itu.
"Lampu dah kuning lama. Sempat kalau awak berhenti." Lelaki itu menuduh lagi.
"Oh! Nampak pun lampu kuning. Kalau encik nampak lampu tu dah kuning, kenapa encik tak slow down?"
Mujurlah tingkap tidak terbuka dan pintu berkunci. Bolehlah Aria berlagak berani. Dia mendongakkan muka memandang wajah lelaki yang sedang berdiri di sebelah pintu keretanya itu. Hati Aria panas. Takkanlah lelaki ini tidak tahu undang-undang jalan raya?
Walau dalam apa situasi pun, yang melanggar belakang itu yang bersalah. Bukannya orang yang kena langgar.
"Saya ingatkan sempat." Muka lelaki yang berkulit cerah itu sudah berubah merah dek panas mentari dan panas hati.
"Saya pun ingat sempat! Saya kat depan, tau!"
"Tapi awak brek mengejut." Lelaki itu berdegil.
"Yalah! Lampu dah merah. Karang saya kena langgar pula dengan incoming traffic. Dan kalau saya kena langgar disebabkan saya langgar lampu merah, nanti jadi salah saya pula." Aria membantah sekeras-kerasnya.
Lelaki itu menarik nafas dalam. Perbualan ini tidak akan ke mana-mana. Gadis itu tidak mahu mengalah. Dalam hati lelaki itu akui, memang salah dia. Walau apa pun alasannya, dia bersalah kerana langgar belakang kereta orang.
"Awak tak nak keluar tengok kerosakan kereta awak ke?" Lelaki itu mempamerkan wajah jengkel. Dia rimas terpaksa bercakap melalui celah cermin tingkap sahaja.
Aria berbelah bahagi. Dia teringin sangat melihat tahap kerosakan kereta mereka. Tapi dia teringat juga pesanan yang dia pernah terima. Ibunya pernah berpesan. Ayahnya juga pernah berpesan. Malahan WhatsApp grupnya pun selalu ada pesanan agar berhati-hati apabila kereta dilanggar dari belakang. Terutama gadis sepertinya. Banyak terjadi kes gadis diculik melalui modus operandi langgar dari belakang.
Aria pantas berfikir. Ketika itu siang hari. Kes culik selalunya berlaku pada malam hari. Dia memandang sekeliling. Banyak kereta yang sedang lalu di situ. Kes culik selalunya berlaku di jalan yang sunyi. Dia menilik wajah lelaki itu. Kes culik selalunya dilakukan oleh lebih daripada seorang. Dia mengerling melalui cermin pandang belakang. Kereta lelaki itu kosong. Tiada rakan subahat yang sedang menanti di dalam kereta.
Dengan berat hati, Aria keluar. Udara panas menerpa mukanya. Memang nasibnya tidak baik. Tengah hari itu matahari memancar tanpa diselindung awan. Sinaran matahari memancar sehingga panasnya menembusi tudung yang dipakai. Dia memandang langit. Terkedip-kedip matanya dengan silau cahaya mentari. Peluh mula merintik di hidung.
"Mak datuk! Teruknya. Eee... Ini kereta baharu tau tak? Baru dua bulan. Yang awak pergi langgar tu kenapa? Buta ke? Eee... Apa saya nak cakap kalau ayah marah nanti? Ini semua awak punya pasal. Lesen kopi ke apa?" bebel Aria apabila terpandang kerosakan yang terdapat pada belakang keretanya.
Tadi dia sangkakan kerosakan sedikit sahaja. Apabila keretanya masih mampu bergerak, dia lega. Dia tidak menyangkakan kerosakannya begitu teruk sekali. Sehingga mencacatkan kereta baharunya. Kereta yang masih ada bau baru keluar kilang.
Aria memandang lelaki itu dengan mata yang mencerlung. Tangan dikepal-kepal. Terasa seperti mahu hempuk saja lelaki itu.
"Kereta saya lagi teruk. Semuanya salah awak brek macam jalan ni bapak awak punya!" kata lelaki itu sambil dia juga memeriksa keadaan keretanya. Dia mengambil gambar.
"Eh! Bapak-bapak jangan main, ya!" Aria membentak. Dia mengetap gigi dengan kuat. Lelaki itu tidak takut langsung dengan perangai samseng Aria. Dia merenung tajam.
Malas mahu main tenung-tenung, Aria mengeluarkan telefon bimbit dan mengambil gambar kerosakan keretanya. Sambil itu dia terfikir, memang dia tidak sepatutnya membuat brek mengejut. Bukannya dia tidak nampak lampu sudah bertukar kuning. Banyak masa untuk dia berhenti. Tapi salah lelaki itu juga kerana tidak memperlahankan kereta apabila ternampak lampu kuning.
Di dalam kepala Aria mencongak baki dalam bank. Tidak sampai seribu ringgit. Gaji lambat bulan ni. Kerosakan yang sedikit ini pun pasti akan menelan belanja ribu-ribu ringgit. Mana dia mahu dapatkan wang? Tiba-tiba dia mendapat satu idea.
"Saya kena buat report polis. Supaya saya boleh claim insurans." Aria rasa lega sedikit dengan apa yang terlintas di dalam kepalanya. Memang sudah terlanjur mahu ke balai polis pun. Jadi, bolehlah terus buat kedua-dua laporan polis, fikir Aria.
Muka lelaki itu berubah. Tiada lagi ketat seperti awal tadi. Malahan nada suara pun sudah berubah lembut.
"Saya minta maaf. Nama saya, Lutfi."
Aria terkejut dengan perubahan angin lelaki itu. Dia mengesat peluh yang semakin membasahi hidung. Dia perlu segera beredar dari situ. Panasnya terasa seperti kena panggang. Secara spontan dan mahu cepat, dia membalas kata-kata Lutfi.
"Saya Aria Natasha. Saya kena juga claim insurans. Sikit atau banyak, tetap juga kena keluar duit. Memang sepatutnya saya berhenti pada lampu kuning. Tapi awak pun tak sepatutnya ekor saya dekat sangat. Dan awak langgar belakang." Aria sengaja menekankan kesalahan Lutfi.
"Beginilah, Aria. Jangan report polis. Leceh." Lembut dan sopan tutur kata Lutfi buat hati Aria yang panas sedikit sejuk.
"Saya terpaksa buat report polis. Terus terang, saya tak ada duit nak repair kereta ni." Aria buat muka sedih. Memang benar pun. Mana dia ada duit untuk baiki kerosakan itu? Tapi takkanlah mahu dibiarkan saja kereta yang kemik itu? Kereta baharu pula!
"Eh! Janganlah. Saya mengaku, memang salah saya, Aria. Tak payahlah report polis. Panjang ceritanya. Awak hantar saja kereta awak ke bengkel kawan saya. Repair kat sana. Senang cerita. Saya boleh dapatkan harga kawan. Kecil saja kerosakannya ni."
Aria mengerutkan dahi. Pelik dengan perangai Lutfi. Kenapa melarangnya buat laporan polis? Dia meneliti keadaan keretanya semula. Kecil saja kata Lutfi?
Bumper kemik dan hujung sudah renggang. Mungkin juga akan jatuh bila-bila masa. Tapi bila difikirkan semula, selalunya orang buat laporan polis untuk kemalangan maut dan bagi tujuan menuntut insurans. Setakat bumper kemik, bukanlah kemalangan besar.
"Okeylah. Tapi awak janji akan bayar semua bil tau! Jangan lesap pula." Aria memberi amaran.
"Saya janji saya akan tanggung semua kos. Awak student lagi ke?"
"Tak. Saya dah kerja."
Sebelum ini Aria tidak perlu memiliki kereta kerana jarak antara tempat kerjanya dengan rumah sewa dekat sahaja. Lagipun dia tumpang kereta rakan serumah yang juga bekerja satu pejabat dengan dia. Apabila dia tukar kerja, ibu bapanya menyuruhnya kembali tinggal bersama keluarga. Tempat kerja baharu itu pun dekat dengan rumah keluarga.
"Oh! Saya ingatkan student lagi. Sebab rupa awak macam budak U."
Aria tersipu-sipu. Umurnya sudah hampir 30 tahun. Apabila dikatakan nampak macam budak universiti, tentulah dia rasa kembang. Mukanya rasa berbahang dan berona merah.
"Kalau macam itu, saya tanggung tambang awak pergi balik kerja. Sementara kereta awak belum siap repair."
Aria membeliakkan mata. Lutfi sudah gilakah? Mereka belum pun kenal rapat. Jangan kata teman tapi mesra, mahu panggil kawan pun belum lagi. Tapi kalau sehingga Lutfi sanggup tanggung tambang pergi baliknya, memang otak Lutfi sudah tidak betul. Mungkin terhentak semasa kemalangan tadi.
"Itu dah melampau sangat. Malulah saya."
"Salah saya, kan? Atau awak nak saya jemput dan hantar awak balik kerja?" Lutfi memberikan satu senyuman manis. Ada lesung pipit.
"Tak apa, Lutfi. Asalkan awak janji memang takkan lari, saya okey dah." Aria tidak dapat menyembunyikan rasa serba salah dengan tawaran Lutfi. Mula-mula mahu bayarkan duit tambang. Kemudian, sanggup menjadi pemandunya pula.
"Okeylah. Kalau kita dah settle, jom makan tengah hari." Tanpa segan silu, Lutfi mempelawa lagi.
"Sorry, terpaksa tolak kali ini. Saya lari keluar pejabat pun sebab nak buat report polis." Aria teringatkan niat asalnya berkenaan panggilan palsu itu.
"Eh! Bukan ke awak dah janji tak akan buat report polis?" Lutfi mengerutkan dahinya.
"Ini kes lain." Aria tidak mahu memperincikan tujuan asal dia mahu membuat laporan polis. Lutfi tidak perlu tahu kerana dia tidak ada kena-mengena dengan lelaki itu.
"Betul ni?" Lutfi meminta kepastian. Ada riak-riak tidak puas hati dan kurang percaya.
"Ya, betul. Kalau saya boleh percaya yang awak tak akan lari, awak pun patut percaya yang saya tak akan buat report polis tentang accident kita. Deal?"
Lutfi mengangguk. "Deal."
Setelah mereka bertukar-tukar nombor telefon dan menangkap gambar MyKad masing-masing, mereka bersurai. Aria meneruskan niat untuk membuat laporan polis ke atas kes panggilan palsunya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro