Bab 13
Kereta Farah laju membelah lebuh raya. Dia menoleh ke kiri. Dia lihat Aria diam sahaja semenjak dia menjemput sahabat baiknya itu dari rumah. Dia tertanya-tanya, entah apa yang difikirkan oleh Aria. Apabila perasaan ingin tahunya tidak dapat dibendung lagi, Farah memulakan perbualan.
"Sejak kau rapat dengan Lutfi, kau dah jarang keluar dengan kami," kata Farah. Dia menjeling kepada Aida melalui cermin pandang belakang. Aida mengangguk tanda dia setuju dengan kata-kata Farah itu.
"Mana ada jarang? Tiap hari aku menghadap muka kau orang kat kilang, kan?" Aria menjawab disertai dengan satu keluhan.
Aria teringatkan ibu dan bapanya. Sedang mereka bertungkus lumus melakukan ibadat haji, anak mereka sudah pandai berpacaran. Ketika mereka giat mendekatkan diri dengan Allah, anak mereka sedang mendekatkan diri dengan maksiat. Ketika mereka beriktikaf di Masjidil Haram, anak mereka berjanji temu dengan lelaki bukan mahram.
"Kau kenapa, Aria? Macam ada masalah aje aku tengok. Kau gaduh dengan Lutfi ke?" tanya Aida dari belakang. Dia memandang biasan mata Farah yang sedang memandang padanya. Farah seolah-olah mengangguk tanda setuju dengan soalan Aida itu.
"Taklah. Aku dengan dia okey saja. Cuma aku rindu pada mama dan ayah. Dah tiga minggu mereka di sana." Aria cuba memberi alasan.
"Macam mana mereka kat sana, Aria?" Farah pula bertanya. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang Aria masih sembunyikan.
"Mereka sihat-sihat saja. Setiap malam mereka mesej dari sana. Kadang-kadang hantar gambar," kata Aria. Dia tersenyum hambar.
"Kalau mereka sihat, kau dan Lutfi okey, kenapa kau macam tak happy? Cuba cerita dengan kami. Mungkin kami boleh bantu."
Aria membungkam. Dia rasa tidak ada gunanya dia ceritakan rasa bersalahnya kepada Farah dan Aida. Farah yang menggalakkan dia berpacaran. Sudah tentulah Farah akan mengatakan apa yang dia lakukan selama ini tidak salah. Aida? Aida memang tidak cakap banyak.
Dia menggosok lengan untuk menghilangkan rasa kurang senangnya itu. Tiba-tiba dia teringat cengkaman tangan Hadid. Itu seorang lagi. Selalu benar mereka terserempak. Akibat pertemuan di hadapan tandas tempoh hari, dia sering teringatkan Hadid dan apa yang Hadid telah lakukan terhadapnya.
Aria memicit kedua-dua lengannya. Cengkaman Hadid pada lengannya itu seperti masih terasa. Cengkaman yang tidak menimbulkan kesakitan. Cuma perasaan lain macam yang sukar untuk Aria terangkan. Perasaan yang membuat dia keliru.
"Tak apalah kalau kau tak nak cerita pada kami, Aria. Mungkin lepas kita panjat bukit belakang rumah mak aku, kau akan lebih ceria. Mungkin kau perlu udara segar. Asyik terperuk atas kilang kita tu, kan?"
Aria melemparkan senyum. Dia angguk. Ketika Farah mengajaknya ikut pulang ke kampung, tanpa berfikir dua kali, Aria terus setuju. Mungkin inilah masanya dia berjauhan dengan Lutfi. Kurang sikit dosanya.
Ketika kereta Farah masuk ke selekoh kawasan kampungnya, mereka berselisih dengan sebuah kereta berwarna putih. Aria merenung kereta yang bercermin gelap itu. Seperti kereta Lutfi. Takkanlah Lutfi turuti dia hingga ke situ? Dia menoleh apabila mereka melepasi kereta itu. Aria memandang nombor plat. Lega! Bukan kereta Lutfi.
Aria membungkam. Mungkin angaunya sudah teruk. Sehinggakan semua kereta mewah berwarna putih disangkakan milik Lutfi.
"Kereta siapa pula tu?" Farah mengomel dan memandang kereta putih itu melalui cermin pandang belakang.
"Kau tak kenal kereta siapa?" tanya Aida.
"Aku tak pernah tengok kereta mewah yang macam itu. Jiran baharu kot," kata Farah sambil meneruskan pemanduannya. Sebentar kemudian, Farah memarkirkan kereta di hadapan sebuah rumah kampung.
Laman rumah keluarga Farah luas dipenuhi dengan pokok bunga kertas pelbagai warna. Di satu sudut laman, terdapat sebatang pokok mangga yang sedang berbunga. Di tepi pula ada dua batang pokok rambutan yang sedang berbuah lebat. Satu rambutan merah dan satu lagi rambutan kuning.
"Nanti kita petik buah rambutan. Kalau kau suka, boleh juga panjat pokok rambutan. Makan atas pokok, syok tau," kata Farah. Dia keluar dari kereta. Aria dan Aida mengikut saja.
"Belakang rumah ada banyak lagi pokok. Pokok lengkuas, halia, serai, daun kari, pandan dan entah apa-apa lagi pokok herba yang mak aku tanam. Pokok limau berjenis-jenis," becok mulut Farah bercerita. Dia membuka bonet kereta. Mereka mengeluarkan beg pakaian masing-masing.
Farah berjalan ke pintu dan melaungkan salam dengan kuat. Seorang pemuda berjalan terdengkot-dengkot membuka pintu.
"Ah!" Pemuda itu menuruni tangga dan memeluk Farah.
"Inilah adik aku yang aku cerita tu. Hamdan namanya. Kami panggil Medan."
Aria memandang kepada Medan. Farah pernah menceritakan tentang adiknya yang cacat ketika dilahirkan itu. Kaki kiri Medan pendek dan terlipat di lutut. Tangan kirinya pula terlipat tidak boleh diluruskan. Medan juga terencat akal dan tidak boleh bertutur.
Sejenak kemudian, ibu Farah pula muncul. Mereka masuk dan meletakkan beg di dalam bilik Farah.
"Mak, tadi Farah nampak ada kereta putih keluar dari kawasan ini. Tak pernah tengok pun kereta tu. Ada jiran kita menang loteri ke? Sampai beli kereta mewah macam tu?"
"Aish! Main loteri tu haram," sergah ibu Farah.
Terkulat-kulat Farah mendengar ayat laser ibunya. Aria dan Aida menahan tawa melihat muka Farah.
"Itulah kereta Izham. Orang kaya yang baru pindah sini."
Mendengarkan perkataan kaya, terus bersinar mata Farah.
"Macam mana orangnya, mak?"
Farah membayangkan seorang lelaki yang mungkin dalam lingkungan umur ibunya. Atau mungkin lebih muda sedikit kerana ibunya membahasakan jiran baharu itu sebagai Izham sahaja. Tiada encik atau pak.
"Orangnya muda. Dalam 20 lebih. Atau awal 30..."
"Dah kahwin ke belum, mak?" Belum sempat ibunya menghabiskan ayat, Farah sudah memotong. Aria dan Aida terkekek-kekek ketawa melihat ibu Farah yang sudah menjegilkan mata.
"Mak dengar, belum. Baik orangnya. Selalu bantu orang kampung. Kalau dia datang, mesti dia derma ke tabung surau. Budak-budak pun suka main di rumah dia. Ada buaian dan gelongsor."
"Tak kahwin. Tak ada anak. Tapi ada buaian dan gelongsor di rumah. Buat apa tu, mak? Dia main juga ke?" Farah menggosok-gosok dagunya seolah-olah ada janggut yang baru tumbuh yang boleh membantunya mendapatkan jawapan.
"Dia suka ajak budak-budak main di situ. Katanya budak-budak pembawa rezeki."
Farah mengulum lidah. Dia teringat kepada Michael Jackson. Artis itu pun ada membina taman tema kanak-kanak seperti Disneyland di rumahnya.
"Hmmm, agaknya duit dia dah terlebih. Tak tahu apa nak buat dengan duit dia tu, dia buatlah taman permainan. Orang kaya memang pelik-pelik. Kan, Aria?" Farah menyakat Aria yang membisu sejak tadi.
Aria mencebir dan menjongket bibir. Dia tahu Farah maksudkan Lutfi. Tapi setahunya, Lutfi tidak membeli barang-barang pelik. Hadiah yang diberikan oleh Lutfi semuanya apa yang dia mahu. Asalkan dia kata suka sahaja, tentu Lutfi akan membelikannya barang itu.
"Dia selalu datang sini, mak?"
"Sesekali aje. Dengarnya dia ada rumah lain merata kat Malaysia ni. Dia business import eksport."
"Ooo..." Bulat mulut Farah.
Aria membayangkan perniagaan Lutfi. Lutfi sekadar peniaga online sahaja pun sudah mampu berkereta mewah. Kalau perniagaan import eksport tentulah lebih kaya. Patutlah Izham ada banyak rumah seluruh Malaysia.
"Hei, Kak Shila!" Tiba-tiba suara laungan dari luar mengganggu minum petang mereka. Mendengarkan namanya dipanggil, ibu Farah bangun dan menjenguk keluar. Aria dan Aida pun turut menoleh ke luar.
"Hei, Kak Shila! Kak keluar sekarang!"
"Siapa tu, mak?" Farah bertanya dengan perasaan jengkel. Dia terjenguk-jenguk memandang ke luar, mahu melihat siapakah gerangan si pemanggil yang kasar dan biadab itu.
"Rina, maknya Si Qalisya," jawab ibu Farah sambil membuka pintu.
"Hah, Rina. Kenapa kau terjerit-jerit ni? Apa hal?" Ibu Farah menuruni tangga dan mendapatkan ibu Qalisya yang sudah berdiri beberapa kaki dari tangga.
"Hei, Kak Shila. Kak jaga anak kak Si Medan tu. Jangan bagi dia merayau-rayau tak tentu hala. Dah lama orang kampung suruh kak kurung anak kak tu. Tapi kak biar lepas." Ibu Qalisya berkata dengan suara yang berapi-api.
"Apa Medan dah buat, Rina?"
"Kak tanya apa dia dah buat? Dia buka seluar. Kemudian dia kencing depan Isya. Dia tu lelaki. Anak saya ni perempuan! Terkejutlah anak saya ni. Berlari-lari balik rumah mengadu pada saya."
"Betul ni, Isya?" tanya ibu Farah dengan lembut. Dia memandang Qalisya.
Farah keluar mendapatkan ibunya. Aria dan Aida menjadi tukang sibuk di muka pintu. Aria memandang Qalisya. Cantik budaknya. Dia menganggarkan Qalisya dalam lingkungan usia 12 tahun.
Qalisya mengangguk perlahan. Takut-takut.
"Bila Si Medan buat macam tu, Isya?" tanya ibu Farah lagi kepada Qalisya.
"Masa Isya nak keluar main buaian kat rumah Uncle Izham." Perlahan saja suara Qalisya.
"Terus Isya tak jadi main luar. Termenung kat dalam rumah. Mana tak terkejutnya. Isya tak ada adik-beradik lelaki. Si Medan tu dah dewasa," sampuk ibu Qalisya.
"Aku minta maaflah, Rina. Engkau pun tahu Si Medan tu tak betul otaknya. Dia tak maksudkan apa-apa tu."
"Itulah, kak. Kak asyik menangkan anak kak tu. Kak tahu dia tak betul, kak biarkan dia. Dia tu, elok kena kurunglah, kak. Supaya dia tak menakut-nakutkan budak-budak kampung ni. Tak pun, kak hantar dia ke hospital orang gila. Kak senang. Orang kampung pun senang."
Tidak terkeluar kata-kata balasan dari bibir ibu Farah. Matanya berair. Hati ibu yang mana tidak sebak apabila anak kandungnya dikecam dan dihina sebegitu rupa. Apa yang ibu Farah boleh lakukan hanyalah meminta maaf sekali lagi bagi pihak Medan. Qalisya dan ibunya berlalu pergi. Ibu Farah mengesat air matanya dan naik semula ke dalam rumah.
"Eee, jahatnya perempuan tu!" rengus Farah dengan kuat.
Ibu Farah terjenguk-jenguk keluar. Pastinya sedang mencari kelibat Medan. Pandai pula Medan menghilangkan diri mengikut pintu belakang ketika dia terdengar ibu Qalisya mengamuk di hadapan.
"Mak, dah lama Si Medan tak buat perangai. Kenapa tiba-tiba dia buat perangai tak betul dia tu?" Farah duduk semula dan menyambung minum petang. Aria dan Aida sudah hilang selera.
"Entahlah, Farah. Sejak Izham masuk kampung ni. Makin lama makin menjadi-jadi perangai tak betul Medan. Agaknya dia cemburu budak-budak tak main dengan dia lagi," keluh ibu Farah.
Kata Farah, bukit itu tidak tinggi. Apabila dilihat dari dapur rumah Farah pun kelihatan rendah sahaja. Tetapi apabila mereka mendakinya, barulah tahu rendah atau tinggi. Sekerat jalan, mereka sudah termengah-mengah. Padahal, lorong yang mereka lalui itu berturap tar.
"Jauh lagi ke, Farah?" tanya Aida. Tubuhnya yang sedikit gempal sudah terbongkok-bongkok dek singkat nafas.
"Sikit saja lagi. Come on!"
"Sekejaplah, Farah. Aku nak ambil nafas ni." Aida menghenyakkan punggungnya di atas lorong. Kemudian, dia melunjurkan kaki. Seluarnya kotor pun, kotorlah. Dia sudah tidak larat. Dia menarik nafas dalam beberapa kali sambil matanya melilau memandang sekeliling.
"Eh, Farah. Aku nampak macam ada rumah." Dari kedudukan Aida, dia boleh lihat bayangan sebuah rumah melalui celah-celah daun dan dahan.
"Haah. Memang ada rumah dalam belukar tu. Rumah agam yang dah usang."
"Rumah berhantu ke, Farah?" Aida bingkas bangun. Kalau rumah berhantu, dia tidak jadi daki bukit itu. Lebih baik dia pulang saja.
Ketika itu, Aria terdengar bunyi pelik. Dia tidak pernah dengar bunyi seperti itu. Bunyi itu menimbulkan rasa seram. Bunyi manusia atau binatang?
"Bunyi apa tu?" tanya Aria, sambil memandang sekeliling.
"Haish! Kau ni. Orang tua-tua kata, jangan tegur apa-apa kalau dengar bunyi pelik dalam hutan." Aida memarahi Aria.
"Habis tu yang kau tanya pasal rumah tu berhantu atau tidak, itu tak apa pula? Itu lagi direct." Aria membantah.
"Adoilah kawan-kawan aku orang bandar ni." Farah menepuk dahi. Dia memandang Aria.
"Aria, bunyi yang kau dengar tu bunyi burung hutan. Aku tak tahulah spesies apa. Sebab aku bukan kerja di Jabatan Perhilitan. Aku tak simpan nama binatang dalam hutan ni." Farah menepuk bahu Aria. Kemudian dia berpaling kepada Aida. Dia tersengih.
"Aida, dulu-dulu, orang kampung kata rumah tu memang ada hantu. Adik aku pun pernah cakap dia kena sorok dek hantu kat rumah tu."
"Eh, Medan pernah kena sorok hantu? Hantu apa?" tanya Aida dengan suara yang kuat. Dia terlupa pantang larang masuk hutan yang diajarkan oleh neneknya.
"Shhh!" Aria meletakkan jari di mulut.
"Hantu apa, Farah?" Aida mengulangi soalannya dengan suara yang berbisik.
"Hantu tetek," bisik Farah. Kemudian dia tersengih. Diikuti dengan satu tawa yang mengilai-ngilai.
"Engkau biar betul, Farah? Dahlah kau cakap pasal hantu. Kau mengilai pula. Jomlah kita balik!" Aida berpatah balik. Dia tidak jadi meneruskan mendaki bukit.
"Aku pun nak balik." Aria mengekori Aida. Dia juga tidak sanggup mendaki bukit itu sambil melayan perangai Aida. Dia pun takut juga sebenarnya.
Hendak tak hendak, Farah terpaksa menemani mereka balik ke rumahnya. Mereka melangkah dengan laju. Satu, kerana mahu segera meninggalkan kawasan rumah yang dikatakan berhantu itu. Kedua, kerana jalan turun bukit lebih mudah.
Apabila sudah sampai di kaki bukit, barulah Farah membuka mulut.
"Aku ketawa tadi, sebab aku rasa kelakar. Dalam banyak-banyak hantu, adik aku kena sorok dengan hantu tetek. Lawak ke lucah tu?" Farah ketawa lagi. Kali ini dia tidak mengilai. Sekadar geli hati melihat mulut rakan-rakannya yang melopong.
"Mana kau tahu dia kena sorok dengan hantu tetek? Adik kau kan tak pandai bercakap?" Aida mempertikai cerita Farah. Dia menganggap Farah sengaja mahu mengenakan dia.
"Dulu adik aku tu, taklah gila sangat. Seingat aku, dia boleh bercakap. Satu hari, dia hilang. Beberapa hari juga kami cari dia. Sehinggalah, kami terjumpa dia dalam ketakutan. Dekat dengan rumah agam tulah. Dia takut sangat sampai dia tak boleh bercakap. Sejak itulah dia jadi macam sekarang."
Farah berjalan semula. Sambil itu dia menyambung cerita.
"Tapi adik aku boleh melukis. Lukisan kanak-kanak. Lukis orang lidi. Bila kami tanya apa terjadi, dia lukis hantu. Dari lukisannya kami dapat agak itu hantu tetek. Lawak betul. Memanglah susah nak percaya. Mungkin betul, mungkin juga halusinasi adik aku yang tak makan dan tak minum semasa hilang beberapa hari, kan?" Farah menjongketkan bahu.
Farah menamatkan ceritanya sebaik sahaja mereka sampai di belakang rumahnya. Ibu Farah sedang memetik beberapa biji limau kasturi.
"Mak cik nak masak apa?" tegur Aria. Sejak semalam dia menikmati masakan ala kampung mak Farah. Memang sedap. Makan bertambah-tambah.
"Mak cik nak buat sambal belacan. Aria pandai masak?" tanya ibu Farah berbasa-basi.
Aria menyengih. "Tak berapa pandai, mak cik."
"Cara nak pikat hati lelaki melalui perutnya," kata ibu Farah. Dia memandang Aria dan mengukir senyum. Aria merasa malu. Selama ini, ibunya yang menguasai bidang masak-memasak di rumah. Dia sekadar tolong sahaja. Itupun kadang-kadang dia mengelat dan cari alasan tidak mahu membantu.
"Ya, mak cik. Mak saya pun cakap benda yang sama." Aida menoleh kepada Aria. "Tengoklah betapa bahagianya perkahwinan mak bapak kita."
Aria menjelir lidah kepada Aida apabila ibu Farah tidak melihat. Dia tahu Aida sindir dia. Tapi apa boleh buat? Takkanlah dia mahu masakkan untuk Lutfi. Kalau sudah jadi suami, pandai-pandailah dia masak nanti. Lagipun, Lutfi asyik ajak makan luar sahaja.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro