Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

Aria memandang wajahnya di cermin. Hatinya berdebar-debar. Dia sudah hafal semua pesanan Farah. Cara berpakaian. Cara bercakap. Cara makan. Dan cara melayan Lutfi semasa janji temu nanti.

Telefonnya berbunyi. Ada mesej masuk. Dia membaca mesej daripada Lutfi.

Saya dah dekat nak sampai.

Aria menarik nafas untuk menghilangkan debarannya. Ini bukanlah kali pertama dia berdua dengan Lutfi. Sudah dua minggu dia dijemput dan dihantar oleh Lutfi ke tempat kerja. Tapi inilah kali pertama mereka keluar makan malam berdua.

Setelah dua tiga kali menarik nafas, debaran Aria masih tidak mahu hilang. Dia rasa bersalah. Kalau ibu dan bapanya ada, tentu mereka melarangnya keluar dengan lelaki bukan mahram. Tapi sudah terlewat untuk membatalkan janji temu itu. Lutfi sudah pun berada di hadapan rumahnya.

Aria membuka pintu dan keluar. Dia memandang kiri dan kanan. Risau kalau-kalau ada jiran nampak aktiviti terlarang itu. Kalau mereka laporkan kepada ibu dan bapanya kelak, matilah dia.

Dengan pantas dia membuka pagar dan melangkah masuk ke dalam kereta Lutfi.

"You look nice, Aria," puji Lutfi. Dia memandang Aria dari atas ke bawah. Kemudian dia senyum.

Aria menjadi tidak selesa dipandang sebegitu. Terasa seperti Lutfi menelanjanginya dengan renungan meleret itu. Padahal, dia berpakaian lengkap hari ini. Skirt labuh dan blaus berserta tudung dua muka. Tidak lupa stoking warna hitam agar nampak elegan.

"Terima kasih kerana sudi keluar dengan saya." Lutfi menekan pedal minyak. Kereta meluncur meninggalkan kawasan perumahan itu.

Aria angguk dan senyum. Kenapa tiba-tiba dia rasa kekok? Padahal setiap hari dia naik kereta itu berdua dengan Lutfi. Tapi sebaik sahaja dipanggil janji temu, suasananya berubah. Jadi lain macam. Seperti dia buat salah.

Mereka sampai di restoran itu tidak berapa lama kemudian. Restoran biasa sahaja. Pilihan Aria. Kalau ikut kehendak Lutfi, lelaki itu mahu membawanya ke Restoran Berputar Menara Kuala Lumpur. Tempat itu tentu terlalu eksklusif, fikir Aria. Dia tidak selesa berada di tempat seperti itu. Jadi Aria pilih sebuah restoran di mana orang biasa-biasa pun mampu pergi sekali sekala. Kurang eksklusifnya. Juga supaya Lutfi tidak berbuat yang pelik-pelik kelak.

Lutfi menarik kerusi untuk diduduki oleh Aria. Aria memandang kiri dan kanan. Perbuatan itu buat dia rasa canggung. Kalau itu dilakukan di restoran mewah, memang biasa. Tapi orang tak tarikkan kerusi untuk wanita di restoran biasa-biasa seperti di situ.

"Selesa?" Lutfi membongkokkan dirinya di sebelah Aria yang sudah duduk. Suaranya diperlahankan. Cukup sekadar pendengaran Aria di celah-celah bingit pengunjung lain yang sedang berborak.

Aria angguk.

Padan muka kau, Aria. Orang nak bawa kau makan kat restoran 5 bintang, kau tak mahu. Sekarang dia buat perangai 5 bintang depan orang ramai, kau yang malu. Aria menyumpah dirinya sendiri.

Dia teringat pesan Farah. Act natural. Aria mencapai menu yang dihulurkan oleh pelayan. Dia meneliti senarai makanan. Tiada apa yang menarik minatnya. Perutnya bergelora.

"Saya tak tahu apa nak oder."

"Kalau macam tu, biar saya oderkan untuk awak?" Lutfi memandang Aria meminta persetujuan.

Aria angguk.

"Western atau Melayu?" tanya Lutfi.

"Apa-apa pun boleh."

"Chicken chop untuk dia dan grilled lamb untuk saya." Lutfi menyatakan pesanannya kepada pelayan yang sedang berdiri di sebelah.

"Air, tuan?" tanya pelayan.

"Apa minuman spesial restoran ni?" Lutfi memandang pelayan.

"Kami ada three layer tea dan teh tarik kaw. Teh C pun spesial juga."

"Tiga-tiga tu sama." Lutfi ketawa. Dia memandang Aria. Aria turut senyum dengan lawak Lutfi. Memang three layer tea itu sebenarnya teh tarik, juga teh C. Cuma rupa pada permulaannya saja berlainan. Apabila dikacau, rasa dan rupanya menjadi sama.

"Okeylah, three layer tea untuk si cantik manis ini dan cappuccino untuk saya." Lutfi memandang Aria.

"Aria, nak apa-apa yang lain? Side dish? Desert?"

Aria menggeleng. Dia sudah tersipu-sipu dengan pujian 'si cantik manis' itu. Berona merah mukanya.

"Itu saja." Lutfi hanya memandang sekilas kepada pelayan sebelum dia tumpukan perhatian kepada Aria. Aria melarikan matanya. Dia memandang ke sekeliling. Di sebelahnya ada sebuah keluarga sedang makan. Di hadapannya ada satu pasangan yang sudah berumur. Perbuatan Lutfi merenungnya itu membuat dia tidak selesa. Seperti berada di tempat yang salah pada waktu yang salah.

"Aria, boleh saya tangkap gambar awak?"

Aria terkejut dengan permintaan Lutfi. Dia memandang sekeliling lagi. Si ibu di sebelah sedang menyuap anak yang kecil makan. Si ayah pula sedang memastikan anak yang sulung tidak bermain dengan makanan. Ini restoran keluarga. Bukan restoran untuk dating.

"Tak maulah." Muka Aria bertukar merah jambu.

"Why are you blushing?" tanya Lutfi dengan lembut. Dia meredupkan mata.

"Saya malulah, Lutfi." Bagai tidak terkeluar suara Aria.

"Oh, come on. Satu gambar aje. Untuk saya. Saya janji takkan jual gambar awak online." Lutfi mengusik. Siap dengan mengangkat tangan seolah-olah sedang berikrar.

Aria ketawa melihat gaya Lutfi.

"Saya tak suka tangkap gambar. Tangkap gambar untuk orang cantik saja. Tapi bukan untuk saya yang biasa-biasa ini." Tawa Aria bertukar menjadi senyum.

"Awak cantik, Aria." Lutfi menjamah wajah Aria dengan kerlingan matanya.

"Really?" Inilah kali pertama seorang lelaki memujinya cantik. Ayahnya selalu memujinya cantik. Tetapi pujian seorang ayah tidak boleh diambil kira. Kerana seorang anak perempuan sentiasa cantik di mata seorang ayah. Kalau menurut Zaidi dan Rudi, dia bukan taste mereka. Dia masih memegang kata-kata dua orang lelaki itu.

"Beauty is in the eyes of the beholder. Lo and behold! You are so beautiful in my eyes."

Amboi! Boleh tahan Lutfi mengayat. Ketika itu Aria sudah tidak tahu mana mahu pandang. Dia melempar fokus matanya jauh ke belakang sebelah kanan Lutfi. Ketika itulah, dia ternampak Hadid di meja makan tidak jauh dari situ. Hadid sedang merenungnya.

Aria tahu Hadid mengenalinya kerana dia nampak Hadid mengecilkan mata. Entah berapa lama Hadid sudah merenungnya. Dia tidak perasan pun kehadiran Hadid sebelum ini. Dia juga tidak perasan sama ada meja itu kosong atau sudah diisi ketika dia sampai dengan Lutfi. Mungkin Hadid sudah berada di situ terlebih dahulu. Dan mungkin Hadid sudah lama merenungnya.

Aria nampak Hadid mengeluarkan telefon bimbit dari poket. Dia juga memerhati Hadid sedang membelek skrin telefon seperti mencari sesuatu. Beberapa ketika kemudian, Hadid mengangkat muka dan merenung Aria kembali. Kali ini dengan renungan yang lebih tajam.

Hmph! Tenung aku macam tu. Tu baru tahu yang dia kena block la tu. Padan muka. Bagi lagi aku bluetick. Aria mengutuk Hadid dalam hati. Dia mengetap gigi agar bibirnya tidak mencebik seiring dengan kata-kata mengejeknya itu.

Renungan Hadid begitu tajam sehingga Aria terasa seperti tembus ke dalam otaknya. Dia takut Hadid akan dapat membaca apa yang sedang difikirkannya. Sambil melarikan matanya, dia sengaja menyengetkan tubuh ke meja seolah-olah cuba lebih rapat dengan Lutfi.

"Tadi, awak nak tangkap gambar, kan? Jom kita selfie berdua," cadang Aria.

Lutfi senyum gembira. Dia mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja. Dengan pantas dia membuka aplikasi kamera. Dia memanjangkan tangannya ke hadapan untuk mengambil swafoto.

"Jauh sangat." Lutfi bangun dan beralih tempat ke kerusi sebelah Aria. Dia mendekatkan dirinya. Sekali lagi dia memanjangkan tangan di hadapan mereka. Aria memberikan satu senyuman yang paling manis di hadapan kamera.

Padan muka! Biar dia sangka Lutfi ini pakwe aku.

Dalam senyum, Aria mengutuk Hadid lagi. Dia curi-curi pandang ke meja Hadid. Hadid sudah tidak memandangnya. Sebaliknya, Hadid sedang rancak berborak dengan teman sekerjanya. Sesekali, mereka bergelak tawa seolah-olah sedang meraikan sesuatu. Tiba-tiba Aria terasa malu. Entah-entah dia saja yang perasan Hadid masih ingat siapa dirinya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro