Bab 1
Jam menunjukkan pukul 2.01 pagi. Seramai 127 migran warganegara Sri Lanka telah dapat diselamatkan daripada diseludup ke New Zealand. Turut ditahan ialah 9 orang warganegara Malaysia, 4 orang warganegara Sri Lanka dan 5 orang warganegara Indonesia yang menguruskan penyeludupan migran itu.
Sindiket yang mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, Australia, New Zealand, Indonesia dan Malaysia itu sudah memulakan operasi awal tahun lalu.
Awal pagi itu, dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Peguam Negara, satu sindiket pemerdagangan manusia telah berjaya dilumpuhkan.
Sebuah kapal tangki yang diubah suai telah berjaya dipintas oleh APMM ketika kapal itu bergerak ke perairan antarabangsa dari kawasan perairan Tanjung Gemuk, Sedili, Kota Tinggi, Johor. Sebuah bot nelayan warga tempatan yang digunakan untuk memindahkan migran dari darat ke kapal tangki itu juga turut ditahan.
Dalam kalangan 127 mangsa itu, terdapat 4 orang kanak-kanak lelaki dan 5 orang kanak-kanak perempuan. ASP Hadid memerhati seorang demi seorang yang diturunkan dari kapal APMM itu.
"Syabas, tuan," puji seorang anggota polis yang sama-sama membuat penangkapan.
Hadid senyum separuh hati. Walaupun ini merupakan kejayaan besar kerana berjaya melumpuhkan sindiket sebesar itu, namun ada sekelumit rasa terkilan.
Hadid tercari-cari Emelia, kanak-kanak 5 tahun yang dilaporkan hilang itu. Tapi wajah polos kanak-kanak itu tidak dijumpai. Di mana Emelia?
Hadid teringat laporan polis yang telah dibuat oleh ibu Emelia dua hari lepas. Emelia telah hilang selepas keluar bermain di padang berhampiran rumah. Menurut keterangan di dalam laporan itu, memang setiap petang Emelia keluar bermain di situ.
Padang yang terletak lebih kurang 100 meter dari rumah difikirkan selamat kerana berada dalam kawasan perumahan. Selalunya, Emelia keluar ditemani abangnya, Emil, atau bersama anak jiran. Tetapi pada hari kejadian, Emil tidak dapat menemani kerana banyak kerja sekolah yang perlu disiapkan. Emelia telah keluar bersama anak jiran, Irwan.
Senja itu, Irwan pulang seorang diri. Dia sangkakan Emelia telah pulang awal. Menurutnya, dia ternampak Emelia dipimpin oleh seorang lelaki dewasa. Gayanya seperti kenalan keluarga. Setelah 24 jam Emelia tidak pulang, ibunya membuat laporan akan kehilangannya.
Rahang Hadid bergerak-gerak. Jika anaknya masih hidup, tentu usianya sebaya dengan Emelia. Dia mengimbau pada hari kejadian, enam tahun lalu...
"Did, saya pregnant." Nadia yang sedang mengenakan butang uniform menoleh kepada suaminya. Dia mengukir sebuah senyuman teruja. Ketawa riang meletus dari bibirnya apabila Hadid merapati sambil merenungnya dengan wajah seperti orang tidak percaya.
"Betul ni?" Hadid menyentuh perut Nadia. Lembut dan mesra.
Nadia mengangguk. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.
"Bila awak dapat tahu?"
"Pagi tadi saya buat ujian guna test kit sendiri. Beli dekat farmasi." Senyuman Nadia semakin melebar.
"Esok pagi kita pergi klinik. Buat ujian dengan doktor."
Hadid memerhati Nadia yang sedang bersiap itu. Malam ini, Nadia ada operasi menyerbu sarang pelacuran. Sebagai inspektor dalam D11 Bahagian Seksual dan Kanak-Kanak, memang itulah sebahagian daripada tugas isterinya.
"Awak tak payah pergi serbu malam ini. Minta Syafika ganti." Hadid memandang Nadia dengan air muka serius bercampur risau. Entah kenapa, berita tentang kehamilan isterinya menambahkan rasa tidak sedap hati yang dirasainya sejak semalam.
"Mana boleh macam itu, Did. Ini kes saya. Dah lama kami perhati bapak ayam itu."
"Saya rasa tak sedap hatilah." Hadid masih merenung isterinya.
"Tak ada apa-apa. Bukannya ini kali pertama saya buat serbuan. Awak rasa tak sedap hati sebab berita saya pregnant kot?" Nadia mengusik.
"Mungkinlah. Mungkin sebab saya rasa malam ni kita sepatutnya sama-sama raikan berita baik ini."
"Esok lepas kita dapatkan pengesahan doktor, kita celebrate. Okey?" Nadia menyentuh pipi Hadid. Kemudian, dia mencapai tangan Hadid dan mengucupnya.
"Hati-hati, ya," pesan Hadid dengan wajah yang masih dibayangi kerisauan.
Nadia angguk dan berlalu meninggalkan kuarters kediaman mereka.
Dua jam kemudian, Hadid menerima panggilan telefon. Nadia dilaporkan telah ditembak semasa Ops Nona itu. Tanpa sempat menukar baju, Hadid terus berkejar ke tempat kejadian. Dalam perjalanan, dia menerima panggilan telefon memberitahu yang Nadia sudah tiada dan dia diperlukan untuk mengenal pasti mayat isterinya. Dia melencong ke hospital.
Di dalam bilik mayat, dia menggenggam tangan Nadia. Tangan Nadia sejuk, sama sejuk seperti bilik mayat itu. Di dalam kedinginan itu, tergigil-gigil dirinya menahan tangis.
"Itulah awak. Kalau awak dengar cakap saya, mungkin tak akan jadi macam ini." Hadid meletakkan tangan Nadia di pipinya. Sejuknya terasa menggigit.
"Sampai hati awak tinggalkan saya," rintih Hadid, perlahan. Cukup untuk pendengarannya sahaja. Dia tahu Nadia tidak akan dapat mendengar lagi. Mungkin roh Nadia sedang memerhati. Entahlah! Dia tidak tahu sangat tentang hal ghaib. Tangan diletak di atas perut arwah. Hadid menangisi pemergian dua insan tersayang. Isteri yang dicintai dan anak yang belum sempat dia kenali.
Setelah sekian lama merenung wajah tidak bernyawa Nadia, Hadid keluar dari bilik mayat dengan hati yang membeku.
Sejak malam itu, begitulah keadaan Hadid sehingga ke hari ini. Hidupnya hanya kerja. Siang malam dia bekerja untuk melupakan kenangan pahit itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro