DHM - 7 -
Hawa perlahan-lahan mendekati tubuh anak muda yang sedang leka menyusun kotak-kotak. Setapak demi setapak dia mara mendekati. Senyuman nakalnya terukir di bibir.
"Hariz!"
"Oh, mak Mamu kedai baru!" tanpa sedar Hariz terlepas latah. Kotak yang disusunnya juga terlepas. Nasib baik kotak itu kosong, kalau berisi, naya dia dimarahi Cik Milah lagi. Hariz mengurut dada lantas menoleh.
"Kak Hawa ni!" rungutnya kepada gadis yang setinggi paras telinganya itu.
Hawa ketawa mengekek. Senang hatinya dapat mengusik Hariz tadi.
Hariz mencerlung tajam ke arah gadis itu. Kecil saja di matanya tubuh Hawa. Senang hati pula gadis itu ketewa selepas mengenakan dirinya.
"Dahlah .., Hariz tak mahu kawan dengan Kak Hawa lagi." Hariz merajuk dan membawa kotak-kotak kosong ke belakang stor.
Hawa mengekori langah Hariz. Bukan dia tidak biasa dengan rajuk anak muda itu. Hawa memang suka berkawan dengan Hariz.
Oleh kerana adik beradiknya semua perempuan, terkadang Hawa merasa bosan kerena mereka tidak melayan karenah ganasnya. Dengan Hariz, Hawa lebih berani menjadi diri sendiri. Gurau sendanya Hariz akan layan. Kalau dengan kakak dan adiknya, mahunya mereka abaikan sahaja lawak tak kelakar itu. Lagi-lagi kedua-dua saudarinya itu telah bersuami. Buat malu sahaja kalau Hawa nak ajak bergurau.
"Kalau Hariz tak nak kawan, tak apa ... akak tak boleh kasi pinjam novel ni pada Hariz. Tapi sayang pula .., cerita ni baru lagi. Kak Hawa pun baru saja renew tarikh untuk pinjam. Cerita dia best gila! Kalah drama-drama dalam tv tu," provok Hawa. Novel berjudul Pergilah Air Mata itu sengaja diangkat.
Hariz menelan air liur. Seperti Hawa, dia juga seorang kaki novel dan ulat buku. Tetapi dia tidak dibenarkan mendaftar nama untuk meminjam buku di perpuskataan kampung itu. Hanya melalui Hawa sahaja dia dapat menyentuh buku-buku tersebut.
"Hariz nak buku atau tak nak kawan akak?" tanya Hawa sambil tersenyum sungging. Melihat Hariz berdiam, dia tahu Hariz akan mengalah dengannya.
"Okaylah .., Kak Hawa menang," Hariz mengalah lagi. Seperti biasa, Hariz akan mengalah kepada Hawa.
Hariz juga sangat selesa berkawan dengan Hawa. Selama ini, orang-orang di kampung banyak menghina dan mencerca dirinya. Hawa pula tidak pernah mengeluarkan kata makian terhadapnya. Layanan Hawa tiada beza kepada dirinya. Kerana itulah mereka sangat rapat. Adakalanya, Hariz juga berdoa supaya dia benar-benar memiliki kakak sebaik Hawa.
"Hariz, cuba kau cari stok tepung cap lilin tu. Ada lagi tak? Ni ada orang nak beli sekotak .., cepat sikit!" suara jeritan Cik Milah dari hadapan kedai mengejutkan keduanya.
"Haa, tu mak singa dah mengaum." Hawa ketawa mengelarkan Cik Milah dengan mak singa. Mana taknya, setiap kali dia datang berjumpa Hariz, setiap kali itulah juga dia mendengar Cik Milah menjerit memanggil nama Hariz. Mana pernah Cik Milah memanggil Hariz dengan nada yang lembut-lembut.
Hariz sekadar tersenyum. Dia lantas masuk ke dalam stor dan mencari-cari barang yang dimahukan pelanggan.
"Hariz, buku ni akak letak dekat basikal Hariz ya. Nanti dah habis baca bagitahu akak tau. Tarikh buku tu dua minggu. Hariz bacalah dulu," Hawa sempat berpesan. Buku novel yang dipinjamnya dimasukan ke dalam bakul plastik berwarna hitam. Kemudian disangkut pada pemegang basikal tua milik Hariz yang tersadai di tepi stor.
Hariz mengangguk dan tersenyum. Tidak dapat dia ingin berborak lama apabila Cik Milah sudah menjerit memanggil namanya. Dia terus sahaja ke hadapan bersama sekotak tepung yang dipesan.
Hawa sekadar memerhati. Entah kenapa hatinya terkadang terusik melihat Hariz. Anak muda itu tidak mahu melawan apabila dikasari. Berbeza dengan lelaki-lelaki yang lain di luar sana, Hariz lebih banyak memendam perasaan.
***
Hafiz menghentikan langkah kaki di sebuah kawasan lapang berhampiran bendang. Tapak itu diperhatikan lama bersama perasaan yang pilu. Lalang dan rumput sudah tumbuh meninggi. Hampir sama dengan ketinggian dirinya ketika itu.
"Abah, nanti kalau Hafiz dah dapat kerja elok dekat bandar tu .., kita binalah rumah di sini. Buat banglo ke," nyata Hafiz dengan teruja.
"Buat yang biasa sajalah. Cukup dan teguh untuk kita semua berteduh. Itu sudah memadai," balas Lathif, ayahnya.
Lathif meneruskan kerja menebas dan membersihkan kawasan tapak itu. Tanah berkeluasan dua setengah hektar itu dibersihkannya bersungguh-sungguh bersama Hafiz. Pokok kayu yang besar sudah mereka tebang dan jadikan kayu api. Lalang dan rumput juga telah dipotong kemudian diracun agar tidak tumbuh kembali dalam masa terdekat ini.
Apa yang membuatkan Lathif dan Hafiz bersemangat mengusahakan tanah itu ialah kerana, mereka telah mendapatkan kelulusan untuk memiliki geran tanah kampung. Pegawai daerah tempatan dan ketua kampung telah bersetuju untuk meluluskan permohonan mereka jika tanah terbiar itu diusahakan.
"Hafiz rasa nak cari kerja berkaitan bank lah. Kerja dia senang, kira duit .., lepas tu dalam air-cond," kata Hafiz sambil mengalihkan rumput-rumput kering yang sedia untuk dibakar.
"Mana-mana kerja sajalah Hafiz .., asalkan kerja yang halal, berkat rezeki," Lathif berpesan kepada anak sulungnya itu.
"Yelah .., tapi kalau boleh, Hafiz nak kerja yang boleh bagi gaji lumayan. Bolehlah Hafiz tolong abah buat rumah ni nanti, tolong ibu, tolong Hariz sekolah," tambah Hafiz lagi.
Lathif sekadar tersenyum. Peluh yang membasahi wajah dilapkan kering. Dia kemudian menghampiri Hafiz yang sedang menyalakan api.
"Abah tak minta balasan atas tanggungjawab abah kepada Hafiz. Apa saja kerja yang Hafiz akan dapat nanti, apa saja yang Hafiz mampu beri kepada kami nanti, abah terima. Yang penting berkerja tu biarlah ikhlas, kerja yang halal. Cabaran kerja di bandar ni banyak, begitu juga godaan-godaannya. Hafiz kena siap sedia dengan kesabaran yang mengunung, hati mesti seteguh karang. Dipukul ombak masih berpaut pada batu-batuan," ujar Lathif.
Hafiz mengangguk bersetuju. Harapannya ketika itu benar-benar membara. Sayang sekali selepas berbulan-bulan mencari pekerjaan, Hafiz tersungkur hampa. Puas sudah dia menghadiri pelbagai jenis temuduga, namun kecewa kerana status graduan segar. Alasan majikan mahukan calon yang telah mempunyai pengalaman kerja selama dua hingga tiga tahun, tetapi bagaimana mungkin graduan baru memiliki pengalaman kerja jika mereka tidak diberikan peluang?
Hafiz tiada pilihan. Walaupun memiliki segulung ijazah, dia terpaksa bekerja di gerai makan milik warga India Muslim. Semakin hari kerja semakin berat, dia juga semakin penat. Pelanggan bertubi-tubi datang berkunjung ke restoran itu, tetapi Hafiz hanya dibayar gaji yang murah. Sama seperti gaji pekerja-pekerja lain yang bukan dari kalangan warganegara. Lama-kelamaan Hafiz semakin bosan. Dia kembali mencari pekerjaan yang benar-benar menjamin hidupnya.
Puas menunggu dan puas memohon pekerjaan, Hafiz berputus asa. Dia semakin malu menumpang di sana sini demi bertahan hidup di bandar. Akhirnya Hafiz memutuskan untuk kembali ke kampung halaman dan membantu ayahnya bertani sahaja.
Hafiz melepas keluhan. Segala ingatan lalu cuba dipadamkan.
"Kalaulah aku terus balik kampung saja masa tu," penyesalan sudah tiada gunanya lagi.
*
1043
14 Januari 2019
11:44
*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro