Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

DHM - 16 -

"Cepat, cepat, cepat!" tergesa-gesa kedua-dua mereka meredah hutan pohon getah itu. Mereka lantas meninggalkan sahaja apa yang dihajati sejak pagi tadi. Meskipun hari beransur gelap, tetapi operasi mereka gagal.

"Hoi, siapa tu hah? Nak mencuri keping getah aku lagi ke, hah?" Jamil menjerit ke arah desiran semak samun di hadapannya. Dia membawa sebilah pisau sabit ditangannya. Matanya meliar melihat kawasan semak samun itu. Mujur dia kembali semula ke kawasan toreh getahnya petang itu. Jika tidak, hasil titik peluhnya pagi ini menjadi sia-sia lagi.

Akhir-akhir ini kampung mereka menjadi riuh dengan kes kecurian. Apa sahaja benda yang boleh dijual, boleh dijadikan duit, dicuri. Meski dari dalam rumah, kedai atau pun hutan pohon getah semua menjadi mangsa. Jawatankuasa kampung juga telah melaksanakan operasi untuk membanteras sipelaku. Tetapi mereka belum dapat menangkap pesalah yang bertanggungjawab.

"Kalau aku dapat kau, siap kamu dua beradik!" Jamil merengus sambil meludah ke tanah.

***

Khaira mencebik bibir melihat dua lelaki di hadapan mereka ini. Bukan dia tidak kenal siapa, tetapi hubungan mereka sudah terputus kerana dendam.

"Terima kasih sebab sudi tolong bersihkan rumput-rumput ni," ucap Hawa. Perkakasan keperluan seperti parang dan mesin rumput dihulurkan.

"Sama-sama ..." balas Hafiz seraya senyum.

Hawa turut memberikan senyum. Nasib baiklah dia dapat meminta tolong kedua lelaki itu. Jika tidak, rumput-rumput di taska mereka jadi semakin meninggi dan membahayakan kanak-kanak.

"Dah tak ada orang lain ke, Hawa?" cebik Khaira lagi. Matanya menjengkil ke arah Hafiz dari atas ke bawah.

Hafiz buat tidak peduli pandangan maut sepupunya itu. Bukan dia takut pun. Terus sahaja dia bawa mesin rumput dan parang ke arah Hariz yang sedang menunggu di kawasan lapang taska.

"Orang lain tak ikhlas, bayar sikit ... sikitlah kerja yang diorang buat." balas Hawa. Dia lantas masuk ke dalam taska.

Khaira mengekori.

"Aku tengok kau rapat lain macam je dengan diorang tu, kau dah gila ke? Dia tu kan banduan. Dengan Raimi kau naik rimas pula," ujar Khaira. Dia mengerling ke arah Hawa yang memerhatikannya seakan tidak puas hati.

"Kau ni kan, nama jelah sepupu diorang tapi kau tak tahu pun diorang tu baik macam mana. Aku tahulah rekod jenayah lampau dia ... tapi, aku tak tahu pun dia boleh buat baik dengan orang yang tak pernah nak hargai kebaikan dia. Lagi satu, kau tak payah palitkan Hariz sekali, mereka bukan orang yang sama. Kalau aku palitkan kau sama dengan abang kau, mesti kau rasa tak adil, kan?" bebel Hawa panjang lebar.

"Amboi, kau ni dah lain macam! Aku dengan abang aku memanglah tak sama. Dia lelaki, aku perempuan, apa yang dia buat memang tak sama dengan apa yang aku buat. Itulah ... suka sangat bergaul dengan malaun. Perangai pun dah jadi pelik, tak boleh beza mana kaca, mana permata." ejek Khaira lagi.

"Suka hati kaulah nak cakap apa. Yang penting, aku cukup bersyukur dapat minta tolong diorang cantaskan rumput ni. Kalau tak, makin panjang ... ular pula datang nanti. Kalau kau tak suka diorang, kau carilah orang lain ... atau kau buatlah sendiri." Hawa lantas meninggalkan Khaira yang masih duduk bermasam muka. Dia lantas mengambil penyapu dan mop untuk membersihkan dalaman taska.

Khaira menjuihkan bibir melihat ke arah Hawa. Tidak puas hati kenapa rakan sekerjanya itu lebih membela sepupunya yang mempunyai rekod jenayah.

***

"Cis, tak guna! Dekat sini kau berasmara ya Hawa! Puas abang cari keliling kampung!" Raimi mara menghampiri Hawa, Hafiz dan Hariz yang sedang dalam perjalanan pulang. Kedua tangannya diletak di pinggang.

"Ish, dia datang lagi." Hawa menjengkil mata. Meluat dengan panggilan 'abang' yang dipakai Raimi itu.

"Hawa, kau balik rumah sekarang! Cepat." persis seorang suami, Raimi menjerit ke arah Hawa.

"Saya memang nak balik rumah pun. Dalam perjalanan ... tapi, dekat rumah saya tak ada suami, buat apa nak tergesa-gesa, kan?" balas Hawa dengan berani. Yalah ada Hafiz dan Hariz.

"Aku ni bakal suami kau, tau! Jangan melawan. Aku cakap balik ... sekarang juga kau balik!" marah Raimi lagi.

"Siapalah nak bersuamikan orang macam awak ni? Kasanova," kata Hawa lagi. Dia memang gemar membalas cakap lelaki itu.

Hafiz dan Hariz sama-sama menahan tawa mendengar balasan Hawa kepada lelaki itu.

"Kurang ajar. Kau nak malukan aku depan banduan ni? Kau tahu kan dia ni siapa?" mata Raimi membulat sambil menunjuk ke arah Hafiz.

"Hei, kau dengan masalah kau ... jangan libatkan aku pula." kata Hafiz.

"Kau ... berani kau nak cuba rampas Hawa daripada aku!" tuduh Raimi.

"Sejak bila aku merampas Hawa daripada kau? Kalau ya pun, Hawa bukan milik kau." balas Hafiz.

"Pui, kau memang datang membawa bala betullah! Celaka. Sejak kau muncul, macam-macam hal jadi. Kau yang cuba mencuri getah Pak Jamil hari tu, kan?" tuduh Raimi lagi. Dia mara mendabik dada dekat ke arah Hafiz dengan mata yang marak menyala.

"Hei, cakap jangan sembarangan. Tuduh pun jangan main lepas kata. Kalau tak mahu menyesal lebih baik kau tutup mulut!" marah Hafiz. Dia tidak mahu kalah kepada lelaki di hadapannya ini.

"Raimi, pergi baliklah ... jangan nak mulakan hal tak baik." Hawa cuba meleraikan ketegangan diantara kedua-dua lelaki itu.

Hariz yang turut ada di situ menarik lengan Hafiz. Dia takut jika abangnya mengunakan kekerasan ke arah Raimi.

"Abang,"

"Ceh, nasib baik aku boleh sabar. Kalau tak," Hafiz malas mahu meneruskan kata.

"Apa? Kau fikir aku takut? Cubalah. Aku panggil orang kampung nanti, nahas kau. Dasar banduan, kurang ajar ... datang balik kampung, nak mencuri pula hasil orang kampung. Nak merampas kekasih orang." balas Raimi. Dia masih mahu memburukan keadaan memandangkan ada modal.

"Sekali lagi kau buka mulut, aku tumbuk muka kau! Kau jangan ingat aku boleh sabar dengan perangai kau ni. Suka ganggu orang, suka menuduh." Hafiz membalas juga.

"Abang, dahlah ..." Hariz cuba memujuk Hafiz yang sedang mengenggam penumbuk.

"Raimi, baliklah! Saya tak sudi terima awak dengan perangai macam ni. Lebih baik awak pergi dari sini ... ada ramai lagi perempuan yang tergila-gilakan awak tu. Jangan kerana saya awak mulakan pergaduhan ni," Hawa turut mengusir lelaki itu darinya.

"Hawa, sekali lagi kau tolak pinangan aku ... aku akan pastikan kau tak akan jadi milik sesiapa pun. Termasuk banduan ni!" tunjuk Raimi tepat ke arah Hafiz yang merenungnya tajam.

"Saya nak kahwin dengan sesiapa itu pilihan saya. Awak tak berhak nak kata saya ni milik awak." marah Hawa.

"Hawa!" Raimi cuba melayangkan penamparnya ke arah pipi Hawa tetapi tangannya sempat di genggam kuat oleh Hafiz.

Hawa sempat menutup mata secara drastik. Takut jika benar-benar tangan lelaki itu sampai ke pipi mulusnya.

"Kalau cara macam nilah kau nak kahwin dengan perempuan, memang tak layak pun Hawa untuk kau." kata Hafiz.

Tangan Raimi digenggam kuat. Semakin dia cuba lepaskan, semakin kuat Hafiz genggam.

"S**llah! Lepas!" marah Raimi ke arah Hafiz.

"Lebih baik kau jangan ganggu Hawa atau sesiapa lagi lepas ni. Kalau tak, aku tak kan teragak-agak bagi penumbuk ni ke muka kau!" Hafiz memberi amaran.

Raimi merengus lantas mencerlung ke arah ketiga-tiga mereka.

*
1125

18 Januari 2019
0856
*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro