DHM - 11 -
"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."
(Al-Insyirah, ayat 5&6)
Suara riuh rendah di dalam surau menjadikan suasana semakin hangat dan bingit. Imam Musa dan Ustaz Azman cepat-cepat meleraikan pergaduhan yang tercetus itu. Seorang demi seorang mereka cuba disabarkan.
"Astagfirullah al azim .., bawa bersabar semua!" Imam Musa cuba meleraikan ketegangan.
Hafiz menyapu darah yang terkeluar daripada hidung dan mulutnya. Tidak dia sangka dia akan menerima hukuman sebegitu pedih ketika dia cuba untuk turut solat jumaat bersama-sama jemaah kampung. Nafasnya cuba diatur semula.
"Celaka kau! Berani kau nak tunjuk muka kau di sini, ya?" Bakri naik berang setiap kali melihat wajah Hafiz. Terus sahaja dia mara dan mengerjakan anak saudaranya itu.
Mazli juga turut sama jadi batu api. Dia pun sama-sama menyertai Bakri untuk membelasah Hafiz.
"Ish, aku belum puas hati lagi ni!"
"Sudah, sudah!" Kali ini Ustaz Azman meninggikan suara pula.
"Apa dah jadi dengan kamu semua ni? Yang dua orang sibuk nak kerjakan orang dalam surau ... yang lain, bersorak bagai tengok gusti. Ini rumah Allah, tempat beribadat. Bukannya tempat bersorak-sorak!" marah Imam Musa.
Jemaah surau terdiam mendengar kemarahan lelaki berusia itu. Ada yang mencebik muka. Ada juga yang terkulat-kulat buat tidak tahu.
Ustaz Azman membantu Hafiz berdiri. Dibawanya pemuda itu ke arah bilik kecil yang tersedia di surau itu.
"Tok Imam tak patut benarkan dia datang sini! Saya paling benci tengok muka dia di sini, saya benci tau tak!" bentak Bakri.
"Kamu benci dia sebab perkara yang lalu tu? Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w pun mengampunkan umatnya. Apalagi kita sebagai hamba dan manusia biasa, ni?" ujar Imam Musa dengan nada lembut tetapi masih tegas.
Bakri melepaskan tangannya yang dipegang oleh orang yang cuba menyabarkannya tadi. Matanya dijeling tajam. Panas hati pula dia mendengar nasihat tok imam itu.
"Sudahlah! Kalau tok imam nak ampunkan dia sangat, suka hatilah. Tapi nanti, jangan nak menyesal bila dia conteng arang ke muka tok imam pula." kata Mazli dengan yakin.
"Kamu pun sama! Suka nak menjadi batu api. Kamu tahu ke ... orang yang suka jadi batu api ni tak kan masuk syurga.
Diriwayatkan hadith daripada Ibrahim hadith daripada Hamam hadith daripada Khuzaifah r.a. berkata:
"La yahkhulul jannata qattatun."
Yang bermaksud: Tidak akan masuk syurga orang-orang yang menjadi batu api ... yakni, mengapi-apikan dikalangan manusia supaya timbul pertengkaran dan perselisihan faham dan perbalahan atau bermusuh-musuhan antara mereka.
Ingat tu! Dia datang ke surau hendak bersolat jemaah. Bukannya nak buat apa-apa pun! Kamu semua ni dah buta hati agaknya. Kesalahan kecil dibesar-besarkan." nasihat Imam Musa panjang berjela.
Mazli dan Bakri mendengus kasar. Nafas cepat cuba diatur agar kembali tenang. Pendengar yang lain turut sama mengaru kepala mendengar biacara tok imam itu.
"Sudah, lebih baik kamu semua ambil wuduk semula. Kemudian duduk. Eloknya hari ni saya akan bacakan khutbah tentang kemaafan .., ketenangan hati. Kamu semua dengar dan hayati apa yang bakal saya bacakan nanti. Jangan pula masih ada yang nak mengasap diluar." kata Imam Musa lagi.
Ustaz Azman mengambil bebola kapas kemudian disapukan ke muka Hafiz.
"Ssst," Hafiz menahan sakit apabila ubat antiseptik itu mengenai kulitnya yang terluka.
"Kamu dah tahu mereka akan cuba kenakan kamu ... kenapa kamu datang awal sangat?" tanya Ustaz Azman lembut.
"Heh, saja nak tengok muka diorang," Hafiz tersenyum hambar.
"Lain kali jangan dicuba jolok sarang tebuan .., ni yang sakit ni badan siapa juga?"
"Tak adalah sakit mana pun ... ini sikit saja."
"Dah kamu cakap macam tu, saya jadi takut pula ..." Ustaz Azman cuba tersenyum.
"Apalah ustaz ni .., saya tak akan apa-apakan orang kampung ni. Lagipun saya bukannya terlibat lagi dengan perkara tu." jawab Hafiz. Keluhan halus turut sama terluah. Menyesal pun sudah tiada guna.
"Sudahlah .., kalau kamu betul-betul dah bertaubat, Alhamdulillah. Semoga Allah kurniakan istiqamah kepada kamu." Ustaz Azman menghabiskan sesi rawatannya. Dia dan Hafiz bersama-sama menuju ke luar.
Rata-rata jemaah masih mengerling tajam ke arah Hafiz yang turut bersama duduk di sebelah Ustaz Azman. Ada yang mencebik muka. Ada yang pandang seperti kasihan. Hafiz sekadar tersenyum. Dia cuba kuatkan hati demi mencari apa yang ingin dicapai.
***
"Apa yang kecoh-kecoh sebelum jumaat tadi tu?" tanya Ishak, ketua kampung di situ. Dia yang terlewat menuju ke Masjid bertanyakan Mazli ketika mereka sedang duduk di Warung Pak Dir.
Mazli tidak menyahut. Dia sekadar jongket bahu. Bakri pula yang duduk sama di situ sekadar mendengus.
"Ni ... banduan tu datang surau. Pak Bakri naik anginlah," balas Raimi, anaknya.
"Banduan ... anak saudara kamu tu ke?" Ishak bertanya lagi.
Bakri menjeling tajam. Fakta tersebut membuatkan hatinya bertambah marah.
"Aku tak mengaku dia anak saudara. Sejak dia buat Khairil masuk pusat pemulihan, sejak dia buat hal sampai masuk penjara ... sejak tu aku dah tak ada hubungan keluarga dengan dia!" marah Bakri masih bersisa.
Ishak tersenyum sinis. Begitu juga yang lain.
"Jadi ... betulah dia dah keluar ya?" ujar Ishak lagi.
"Tulah, ayah tak percaya. Raimi dah cakap, apa yang Mazli bagitahu tu betul!" kata Raimi.
"Dah keluar, bawa bala apa lagi entah. Syaiton betul!" Mazli mencemuh sesuka hati.
Bakri turut merengus. Panas hatinya apabila tidak dapat membalas perbuatan Hafiz dengan kekerasan. Kalau boleh, dia mahu hentam Hafiz sampai anak saudaranya itu tidak boleh bangun lagi. Malangnya tempat itu sangat tidak sesuai. Imam Musa dan Ustaz Azman sempat meleraikannya sebelum selesai dia melangsaikan amarah.
"Tak apa ... hari ni dia selamat. Lain hari aku nampak lagi dia, nahas aku kerjakan!" ungkap Bakri dengan penumbuk dilepaskan di atas meja.
Kesemua pelangan yang duduk di Warung Pak Dir lantas terkejut. Masing-masing berbisik melihat wajah bengis lelaki itu.
***
Suriati menghulurkan air sejuk kepada anaknya itu. Hampir gugur jantung melihat wajah Hafiz yang berbekas pulang dari solat jumaat.
"Siapa yang mulakan? Hafiz ke?" tanyanya lembut. Risau di hati sudah tidak tertahan lagi.
"Mana ada ... Hafiz nak buat apa pukul orang ke surau?" Hafiz mengeluh. Air sejuk ditegus pantas.
"Itulah ... ibu dah cakap, tak payahlah tunjuk muka pada diorang. Biar je diorang anggap Hafiz dalam penjara lagi. Ibu tak sanggup tengok Hafiz jadi macam ni." Suriati menepis air mata.
"Ibu .., hati ni dah lama terpenjara. Makin dikurung makin sakit. Hafiz tahu semua salah Hafiz. Biarlah Hafiz tempuhi semua ni, Hafiz pun nak belajar jadi redha ..," ujar Hafiz lantas berdiri menuju ke biliknya.
*
1043
16 Januari 2019
09:18
*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro