Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

DC - 07

AKU memandang cincin pemberian Furqan pada hari semasa kami pertama kali dating. Cincin itu aku belek-belek dan aku main pusing-pusing di jari.

Aku memandang Furqan yang memandang hadapan. Aku tak duduk sebelah dia, disebabkan Kak Nisa’ tak percayakan dia. Pelik tapi... apa yang perlu aku kata? Senyap sajalah.

Aku membuang pandangan aku ke luar tingkap. Kegelapan malam saja menemani kami pada malam ini. Mata aku masih lagi mengintip setiap gerak-geri Furqan.

“Ermm... Furqan.”

“Ya? Kenapa tu? Awak nak tidur?”

“Eh tak, saya Cuma nak tanya. Awak okey ke memandu malam-malam?”

“Okey je. Awak jangan risau.”

Senyap lagi. Aku memandang beg Furqan dan beg aku yang berada di sebelah kanan kereta. Rasa serba salah pula cerita dekat dia orang yang aku kena kacau petang semalam. Tapi, tak bagitahu mahu kena gertak. Kak Nisa’ kalau dia risau, dia memang risau.

“Maaf, susahkan awak.”

“Takpa. Saya patut minta maaf sebab saya sibuk dengan kerja saya sampai awak kena kacau pun saya orang terakhir yang tahu dalam rumah saya. Saya tak nak benda tu berulang. Saya nak tahu hal awak dari A to Z dan saya nak jadi orang pertama yang sentiasa tahu fasal awak.”

Kenapa... dia punya ayat macam... cemburu?

“Saya okey je.”

“Okey? Sampai menangis macam tu awak kata okey?”

Aku terasa ditampar apabila diri aku kini tertempias dengan aura tegas milik Furqan. Aku hanya menunduk. Dia mungkin terlalu risau. Aku dan dia terdiam tidak berkutik.

“Sorry. Saya risau. Risau sangat.”

“Takpa, saya faham.”

Beberapa minit, kereta yang dipandu Furqan masuk ke perkarangan rumah. Aku memandang rumah yang sudah gelap. Aku menggagau beg yang berada di riba dan membuka telefon. Pukul 11 malam.

Waktu ini mak baru saja ingin melayar bahtera. Terus saja aku keluar dari perut kereta lalu mengetuk pintu rumah sebanyak tiga kali berturut-turut.

“Assalamualaikum, mak...”

“Woi, kau cari apa tu?”

Aku menoleh ke arah Mak Biyah yang menyapa aku dari jauh. Orang tua ini memang begitu. Tak pernah belajar sivik agaknya di sekolah. Maklumlah, sekolah pun tak habis. Malam-malam jagalah laki kat rumah. Ni merayap aje.

Disebabkan dia jugalah mak dengan arwah abah dulu berhenti menabur benih. Kalau tidak sudah tentu sekarang aku ada adik dan tidak jadi anak tunggal. Katanya, ‘Buat apa buat anak kalau tak pandai nak jaga?’ Sebabnya, aku ini bukanlah orang yang behave dulu.

“Saya cari mak.”

“Mak kau kat rumah nenek kau. Tu la kau, belajar kat bandar tak bertanya-tanya mak kau sihat ke tidak, dah makan ke belum. Hah, ni jantan mana kau bawa ni Aya? Kau ni macam-macamlah Aya. Menyusahkan mak kau je kerjanya.”

“Mak Biyah marah sangat ni dah kenapa?”

“Mana aku tak marah? Mak kau kat rumah nenek kau tu terbaring tau. Sakit dia. Kau tak tahu.”

Aku terpempan. Aku melihat Mak Biyah terkumat-kamit seperti menyumpah seranah aku lalu beredar dari situ.

Mak sakit? Kenapa dia tak bagitahu langsung? Aku bukan tak call dia pun tanya khabar. Aku tanya, dia kata dia okey je.

Ni la yang aku geram dengan mak. Suka menyusahkan diri sampai lupa hati aku yang tercalar. Aku terus berlari ke arah kereta lalu terus menembusi kereta dan duduk di bahagian sebelah pemandu.

“Okey tak ni?”

“Boleh tolong hantar saya dekat rumah nenek?”

“Mana rumah nenek?”

“Saya tunjuk nanti.”

Apabila mata aku sudah disapa sebuah rumah kayu usang, aku menyuruh Furqan untuk masuk ke perkarangan rumah itu. Furqan yang dari tadi memandu hanya menurut saja apa kehendakku.

Sungguh hati ini risau apabila mendengar sebaris kata dari Mak Biyah sebentar tadi. Kaki aku keluar mengejar masa yang ada. Tidak mahu berlambat-lambat. Pintu rumah usang itu aku ketuk beberapa kali.

“Mak... nenek. Cik Jusoh...”

Semua nama penduduk rumah usang itu aku sebut. Aku tetap tidak kisah dengan nyamuk dan serangga yang mengacau. Asalkan aku jumpa dengan mak itu dah cukup memadai. Minta redanya. Minta halalnya.

Pintu terbuka.

Kini mata aku disapa wajah kendur yang agak muram. Tiada seri di wajah wanita yang sudah berkhidmat atas muka bumi ini selama 7 dekad. Nenek tercinta. Tanpa berkata apa, tangan kedut seribunya aku capai dan aku kucup lembut.

“Nenek, mana mak?”

“Mak kau tengah rehat. Jangan kacau dia. Masuk je dulu.”

Aku memandang Furqan yang sudah keluar dari perut kereta. Nenek memandang ke arah figura lelaki itu yang hanya menayang senyuman manisnya. Kemudian, matanya memandang aku pula.

“Oh, nenek. Itu nama dia Furqan. Aya dah pernah cerita dekat mak sebelum ni tentang dia.”

Matanya memandang semula ke arah susuk tubuh tegap itu. Furqan melangkah di atas batuan-batuan kasar itu. Kasutnya dicabut terlebih dahulu sebelum melangkah  naik ke beranda.

“Assalamualaikum, nenek. Saya Furqan.”

“Jemput masuk. Aya, kau bawalah dia ke bilik kau. Biar kau tidur sama nenek.”

“Kalau tidur dengan mak, boleh?”

“Asalkan kau tak menggatal tidur sama dia.”

Ternaik kedua kening Furqan apabila jari telunjuk yang sudah separuh abad itu menunjuk ke arahnya. Aku hanya tersenyum pada nenek lalu menggeleng perlahan menafikan apa yang dibayang oleh nenek tadi.

Aku pun marah kalau Furqan dekat-dekat dengan aku kalau nak ke mana-mana. Takkan tiba-tiba nak terlanjur pula, kan?

“Aya nak ambil barang kejap, nek.”

“Ambillah, kau nak suruh siapa angkut? Cik Jusoh kau? Cik Jusoh kau tu ke mana entah.”

“Takpalah, Aya angkat sendiri. Barang tak banyak pun, nek.”

“Heh, kau tak payah. Kau punya kata barang tak berat kau tu satu tan aku rasa. Furqan, kau tolong dia angkat barang dia sekali.”

“Eh, kenapa suruh dia pula, nek? Dia kan tetamu kita.”

“Sebab kau perempuan. Perempuan tak boleh bawak barang berat sangat. Jatuh peranakan kau nanti.”

“Tapi nek...”

Terhenti percakapan aku apabila Furqan tergelak kecil. Aku memandang wajah dia yang dari tadi murah dengan senyuman.

“Takpa, awak masuklah. Saya bawa barang awak masuk sekali nanti. Barang awak dan saya sikit je.”

Furqan menyarungkan semula kasut lalu menuju ke arah kereta. Terasa tangan aku ditarik. Mata aku memandang nenek yang perlahan menarik aku masuk ke dalam rumah. Papan usang rumah nenek itu bergoyang apabila kaki menginjak lantai. Rumah nenek separuh kayu, separuh batu.

Nenek tidak sampai hati nak buat sepenuhnya batu sebab berdirinya rumah ini walaupun tanpa paku, hasil buatan anak kesayangan mereka yang sulung. Dikira Pak Long la. Tapi, meninggal dunia akibat penyakit jantung.

Hasil tangannya yang sangat unik tanpa menggunakan paku membuatkan aku kagum pada dia. Tak sempat aku bersua muka, dia sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sesampainya di pintu bilik, di mata aku kini disapa satu tubuh yang sedang enak dibuai mimpi. Aku masuk ke dalam dengan berhati-hati. Wajah pucat mak aku sentuh dengan hujung jari. Dadanya bagai payah menyedut angin.

“Dia... sakit apa nek?”

“Entah. Aku tak faham juga dengan klinik tu. Dia kata cuma sakit perut. Dia bagi ubat tahan sakit.”

“Sampai bila nak makan tu? Kenapa tak hantar pergi hospital?”

“Cik Jusoh kau dah takda kereta.”

“Aya...”

Aku memandang mak yang menggenggam tangan aku. Melihat keadaannya membuatkan aku rasa serba salah nak balik semula ke bandar. Tangannya naik menggenggam lengan aku. Berusaha tubuh itu bangun dari pembaringan. Aku menolong serba sedikit.

Macam ni sakit perut?

“Mak, mak sakit apa?”

“Mak okey je sayang. Macam mana kamu boleh balik ni?”

“Saja. Nak melawat mak.”

Tak akan aku nak bagitahu tentang kes aku hampir diculik hari tu?
Hujung jari aku yang hampir beku kerana angin malam dia sentuh. Tersalur rasa hangat kasih seorang ibu di situ. Aku jadi serba salah lagi nak bercerita hal sebenar. Aku menunduk cuba menahan gelodak rasa. Tubuh aku dipeluk erat dan aku membalas perbuatannya.

Tidak tertahan dek perasaan yang mula membelenggu. Akhirnya, tumpas juga. Aku kalah lagi dengan emosi dan air mata. Aku memeluk tubuh itu erat. Bagai tidak mahu lepas rasanya. Aku melepaskan pelukan.

“Assalamualaikum.”

“Furqan? Kamu ada sini juga?”

“Ya, mak. Saya teman Chahaya balik sebab...”

“Aya rindu mak. Erm... Aya nak tunjukkan Furqan bilik. Dia mesti penat. Sekejap ya mak.”

Aku memotong percakapan mereka. Aku mengangkat punggung. Aku jalan melepasi Furqan. Baju kemejanya aku tarik beberapa kali supaya dia sedar aku sedang berkomunikasi dengannya. Seperti dia dapat tangkap apa yang aku maksudkan, terus dia meminta diri untuk beredar.

“Chahaya, kenapa ni?”

“Saya... saya tak sedia lagi nak bagitahu mak yang saya hampir kena culik tu.”

“Takkan nak biar?”

“Hmm... takpa. Biar saya yang bagitahu nanti.”

Aku mengambil beg Furqan lalu aku menunjukkan di mana bilik aku. Begnya aku letak di pintu.

“Awak tidur la sini. Saya tidur dengan mak. Rehatlah cukup-cukup. Awak mesti penat.”

“Okey. Bilik air kat mana?”

“Dekat bawah, pintu zink.”

“Oh, okey. Thanks.”

Aku hanya tersenyum ke arahnya. Kehidupan aku kini dibelenggu rasa serba salah. Serba salah dengan Furqan, serba salah dengan mak.
Macam mana aku nak bagitahu mak pasal tu? Dengan Furqan pula, dia banyak sangat tolong. Mata aku kini jatuh pada cincin yang tersarung elok di jari manis aku.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro