BAB 17
HANA memberhentikan kereta di tepi jalan raya.
"Kenapa?" Soal Naaz hairan.
"Beli buah sikit untuk auntie." Terang Hana ringkas sebelum melangkah keluar.
"Aku tak lama, kau duduk aje kat sini, eh." Pinta Hana sambil menutup pintu kereta. Melihat Hana sedang bertanyakan harga buah-buahan di gerai tepi jalan, Naaz mengambil tempat duduk Hana.
Enjin kereta di hidupkan dan Naaz terus membawa kereta tanpa menoleh ke belakang. Maaf, Hana. Aku langsung tak bersedia.
Hana yang mendengar bunyi keretannya menjauh pergi terus menoleh ke belakang. Serasa dia mahu menjerit kuat melihat Naaz memandu kereta tanpa menoleh ke arahnya langsung.
Kalau dia tahu begini jadinya memang dia tak ingin peduli dengan apapun jua yang Naaz mahu lakukan! Hana tertunduk kecewa. Di dalam hati dia berdoa agar satu hari nanti Naaz akan berubah menjadi insan yang punya rasa.
"Kau nak rosakkan Naim tapi aku harap Naim yang boleh betulkan langkah kau, Naaz!" Keluh Hana sambil memandang jalan yang baru saja dilalui oleh sahabatnya itu tadi. Gilakah dia kerana sampai berfikiran seperti itu? Kalau Naaz dengar kata-katanya tadi pasti Hana di
NAAZ meletakkan kereta milik Hana di tempat letak kereta yang telah disediakan. Kasihan Hana ditinggalkan begitu sahaja. Kalau dia jadi Hana sudah pasti dia akan merajuk dua minggu gara-gara perlakuan tidak sensitif temannya itu.
Naaz melangkah lambat-lambat memasuki bangunan berwarna putih di hadapan mata. Teringat sewaktu kecilnya dulu dia pernah bertanya kepada Puan Aisyah berkaitan dengan bangunan yang tersergam di depan matanya itu.
"Mama gila tu apa?"
"Gila? Kenapa Naaz tanya fasal gila tiba-tiba?"
"Ada kawan Naaz kata Naaz macam orang gila.."
Tergelak Puan Anisah mendengarnya. "Kenapa dia kata Naaz gila?"
"Sebab rambut Naaz keluar dari tudung, dia kata muka Naaz dah macam orang gila."
"Ish tak baiklah kawan Naaz tu."
"Dia baiklah mama. Dia suka kawan dengan Naaz." Bangkang Naaz lantang. Teringat dia wajah comel milik teman baharunya yang bernama Hana Nurain yang duduk di sisinya sewaktu berada di dalam kelas tadi. Hana Nurain berpindah ke tahun tiga di sini gara-gara mengikut keluarganya berpindah dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru..
"Okey-okey, kawan Naaz tu baik." Balas Puan Aisyah lembut.
"Tapi gila tu macam mana ya mama?"
"Gila tu penyakit, Naaz. Bila kita dah tak boleh berfikiran normal seperti orang biasa, kita akan dianggap gila. Contohnya suka bercakap sendirian, suka ketawa sendirian, macam-macam lagilah. Kalau Naaz jumpa orang macam ni jangan dekat-dekat tau?" Bimbang pula hati Puan Aisyah sekiranya anak kecilnya itu mendekati orang gila dek kerana sifat ingin tahu yang besar.
"Jadi orang gila ya mama?"
"Hmm..."
"Jadi Naaz ni gila ke mama?"
"Tak adalah Naaz! Boleh pula cakap macam tu." Marah Puan Aisyah. "Lagi satu janganlah sebut orang gila tak manis.. Nanti kalau dia orang dengar dikejarnya Naaz."
"Jadi Naaz nak panggil apa mama?"
"Emm, sakit jiwa ke, tapi tak boleh tau Naaz pergi cakap dengan kawan-kawan awak ni gila ke, awak ni sakit jiwa ke, tak boleh sama sekali!"
Naaz anggukkan kepala.
"Naaz nak jumpa orang sakit jiwa boleh?"
"Hai kenapalah Naaz nak jumpa orang macam tu? Jumpa orang biasa aje dah cukup, Naaz."
"Tapi Naaz nak tengoklah, mama. Naaz nak tahu apa yang dia fikir sampai jadi gila. Naaz nak tahu kat mana dia orang tinggal."
"Dia orang tinggal kat bangunan putih. Nanti kalau Naaz besar Naaz pergilah sendiri. Mama tak nak pergi situ, hiiii... Takut!" Berubah-ubah wajah Puan Aisyah mahu menakut-nakutkan Naazneen.
Mama, Naaz kat sini...
Air mata Naaz hampir-hampir sahaja mengalir ke pipi. Mama tak bagi Naaz datang ke sini, mama takut tinggal di sini tapi kenapa mama duduk kat sini? Kenapa tak bagi Naaz aje yang jaga mama dan kita hidup bersama sampai akhir hayat kita?
Jiwanya terasa rapuh serta-merta apabila terlihat sahaja seorang wanita yang duduk di atas kerusi antara beberapa orang yang sedang berkeliaran di ruang lapangan itu. Naaz lebih rela melihat wanita separuh abad itu di tepi pohon berjauhan dengan mereka yang lain daripada menunjukkan dirinya kepada Puan Aisyah. Jika dia menunjukkan mukanya di hadapan Puan Aisyah sudah pasti Naaz akan meraung kuat. Sudah pasti dia jadi jatuh kasihan pada dirinya sendiri dan sudah pasti dia menyalahkan kehidupannya kerana mama jadi begitu. Separuh wajah Puan Aisyah yang dulunya cantik sekarang sudah hancur kesan lecuran api 10 tahun yang lalu.
Dilihatnya seorang pekerja di situ mendekati Puan Aisyah apabila Puan Aisyah memasukkan jari-jemarinya ke dalam mulut. Sebak dadanya melihat air mata Puan Aisyah berjejeran ke pipi tiba-tiba.
Mama, mama tahu Naaz ada kat sini? Soal hati Naaz perih. Tetapi soalannya itu tidak mungkin akan berjawab walaupun orang yang mahu disoalnya ada di depan mata.
Naaz mengetap bibir menahan tangis. Cukuplah.. Cukuplah itu aje. Dia tak mampu untuk melawan rasa hibanya dan dia tidak mahu teringatkan semua kejadian kejam yang menimpa diri dan keluarganya.
Naaz memalingkan muka dan berjalan lemah ke arah tempat letak keretanya. Saat dia tertunduk melangkah tiba-tiba laluannya dihalang oleh seseorang. Naaz mendongakkan wajah dan dilihatnya Hana sedang memerhatikannyaa dengan seribu satu perasaan.
Air mata yang jatuh ke pipi cepat-cepat ditepis. Dia tidak mahu Hana melihat dirinya dalam keadaan sedih. Cukuplah 10 tahun dulu hampir setiap hari dia mengalirkan air mata pedih.
"Naaz..." seru Hana sebak. 10 tahun itu telah terlepas baru saat ini dia melihat Naazneen menzahirkan perasaannya. Jika diberi pilihan Hana mahu memilih Naaz yang ini daripada Naaz yang tidak punya perasaan.
"Aku balik dulu." Ucap Naaz tanpa memandang wajah Hana. Dia meneruskan langkahnya tanpa menoleh lagi. Hana hanya membiarkan Naaz kerana dia tahu Naaz memerlukan masa untuk pulih sendiri. Naaz sudah melihat keadaan Puan Aisyah agaknya. Agaknya ada tak Naaz berbual-bual dengan Puan Aisyah? Hati Hana tertanya-tanya.
"Cik Hana datang lagi?" Soalan pemuda berbaju putih mengembalikan Hana ke dalam dirinya semula. Matanya yang sudah merah digosok perlahan-lahan.
"Ya, Puan Aisyah ada?"
"Puan Aisyah hari ini keluar dari bilik sebab moodnya baik. Dia ada di belakang sana." Jelas pemuda itu lagi. "Saya lihat Cik Naaz tadi, saya ingat nak menegur tapi cepat pula dia pergi." Sambung pemuda itu lagi.
Hana mengangguk kecil. Alahai Naaz, Naaz. Dah datang sini tu tak boleh ke lama sikit duduk kat sini? Kononnya hati batu tapi bila datang ke sini sahaja langsung tidak pernah bertahan lebih dari 10 minit.
"Saya ke belakang teruslah kalau macam tu. Terima kasih bagi tahu saya kat mana Puan Aisyah, Encik Fathi.."
"Sama-sama. Saya masuk ke dalam dulu, ya."
Hana mengangguk kecil. Dipandangnya sahaja langkah pemuda dalam umur 30-an itu berlalu masuk ke dalam bangunan putih yang tersergam indah. Yang Hana tahu pemuda itu mula bekerja di sini sejak tiga tahun yang lepas. Dalam diam dia tersenyum kecil. Banyak pahala pemuda itu kerana berbuat baik dengan orang-orang yang memerlukan. Tapi sayangnya keluarga orang-orang di sini berapa orang sajalah yang prihatin. Contoh terdekat seperti Naaz sendiri, dalam setahun berapa kali sajalah temannya menunjukkan muka untuk melawat ibu sendiri. Hana mengeluh kecil sambil berjalan menuju ke laman belakang. Di lihatnya Puan Aisyah dipimpin untuk dibawa masuk oleh pekerja di situ.
"Nak bawa Puan Aisyah masuk, ke?"
"Ya, kak. Mood puan tiba-tiba aje berubah. Menangis-nangis tak berhenti."
"Oh, dia perasanlah tu anak dia datang ke sini." Ucap Hana dalam senyuman kecil. Di pandangnya Puan Aisyah yang sedang termenung seorang diri sebelum menarik tangannya dari genggaman juru rawat yang memegangnya.
"Masuk dulu, kak. Risau pula kalau mood Puan Aisyah berubah lagi." Ucap gadis itu lembut. Hana turut sama memegang tangan Puan Aisyah dan membantu memimpin wanita itu masuk ke biliknya. Sampai sahaja ke biliknya Puan Aisyah duduk di katil dan kekal termenung.
"Assalamualaikum, ibu. Ini Hana, kawan Naaz." Ucap Hana lembut. Puan Aisyah termangu-mangu tanpa kata.
"Ibu cepatlah baik, kasihan kat Naaz kan?" Soal Hana dengan air mata yang berlinangan. Tanpa diduga air mata Puan Aisyah kembali jatuh semula.
"Naaz..." rintih Puan Aisyah pelan.
"Naaz..." panggil wanita itu lagi. Hana teresak-esak kecil. Hatinya tersentuh dalam mendengar sepatah nama milik Naaz dilaungkan oleh Puan Aisyah.
"Akak, nanti Puan Aisyah mengamuk pula kalau tengok akak macam ni.." tegur jururawat yang masih katil Puan Aisyah. Bimbang pula dia mood Puan Aisyah menjadi bertambah buruk melihat gadis cantik di hadapannya itu menangis sedih.
Hana mengesat air matanya dengan tisu segera apabila dilihatnya mata Puan Aisyah kembali berkaca. Lambat-lambat dia menarik senyuman ke pipi untuk mengambil hati wanita separuh abad itu.
"Ibu nak buah tak? Hana kupaskan?"
Puan Aisyah menggeleng. Cerah mata Hana melihat Puan Aisyah seperti kembali normal. Kembang hatinya bila Puan Aisyah seakan-akan faham dengan kata-katanya tadi. Kalau betul Puan Aisyah kembali normal dialah orang pertama yang akan memeluk tubuh wanita itu dan membawa wanita itu kepada Naazneen serta-merta. Mahu sahaja dia menjerit kepada dunia untuk mengembalikan kebahagiaan di dalam hidup Naazneen dan Puan Aisyah yang selama ini bercahaya malap.
"Ibu nak apa? Bila Hana datang nanti Hana bawakan untuk ibu.."
Puan Aisyah diam. Tidak lama kemudian Puan Aisyah ketawa-tawa dan bercakap seorang diri. Hana memendam rasa terkilan di dada. Tidak mengapa, kalau bukan hari ini, esok dan lusa tentu Puan Aisyah yang lama kembali kepada mereka semula. Dia percaya Puan Aisyah boleh kembali normal semula walaupun doktor mengesahkan ada saraf Puan Aisyah yang terganggu sehingga menyebabkan wanita itu jadi tidak normal.
Sewaktu Hana tiba di rumah menjelang lewat petang, dilihatnya kereta miliknya tersadai elok di luar rumah. Cepat-cepat dia memasuki rumah sewa mereka berdua untuk bertemu dengan Naaz tetapi hampa kerana Naaz meninggalkan nota ringkas di atas meja tamu memberitahu bahawa dia telah terbang ke Sarawak pada petang itu.
Naaz, bilalah kau nak faham kasih-sayang tu tak akan datang bergolek kalau kau sendiri tak cari.. Hana berbisik geram.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro