Bab 32
"SAYA nak bincang satu perkara penting dengan Hanim, boleh?" Shila tarik kerusi lalu melabuhkan duduk di hadapan Tengku Hanim.
Hanim angkat muka. Wajah isteri majikannya tersenyum seperti biasa. "Perkara apa tu, puan?" Dia tidak lagi memberi tumpuan pada skrin komputer. Segera fokusnya beralih pada Shila yang dilihat serba salah hendak bersuara.
"Ini agak peribadi. Tapi, saya tak ada pilihan. Saya terpaksa luahkan pada Hanim. Lepas tu, kita bincang, ya."
Dia tidak keruan. Duduknya jadi tidak selesa. Dalam kepala dah fikir macam-macam. Dia bimbang jika Shila dapat tahu Idzmir menumpangkannya semalam. "Cakaplah, puan. Saya sedia mendengar..."
"Saya nak Hanim nikah dengan suami saya." Lancar lidahnya menyampaikan hajat. Ekspresi wajahnya tidak ubah seperti robot yang tiada perasaan. Dia ikhlas menuturkan hasratnya itu.
Hanim terpempan. Takkanlah disebabkan dia naik kereta Idzmir, cepat saja sampai ke pengetahuan Shila? Entah siapa pula yang jadi penyampai? Hanim resah memikirkan. Mungkin ada di antara pekerja syarikat yang ternampak lalu segera diberitahu pada Shila melalui telefon. Sekarang, sewenang-wenangnya pula Shila buat keputusan mengejutkan. Dia diminta berkahwin dengan majikannya sendiri? Dengan Idzmir yang pernah berpoligami itu? Laju dia menggeleng tidak setuju.
"Puan cakap apa ni?"
"Nikah dengan suami saya. Bos awak."
"Tapi..."
"Dengar dulu. Saya belum habis cakap." Lekas-lekas Shila memotong. Tidak sempat gadis itu hendak bersuara.
Nafasnya ditarik dalam-dalam. Bersedia meluahkan apa yang terpendam selepas Idzmir ditangkap curang dahulu. Tiada sesiapa yang tahu apa yang ada dalam hatinya. Ahli keluarganya sendiri juga tidak tahu. Hanim adalah orang pertama yang akan diluahkan semuanya. Walau pun baru kenal, tetapi dia sangat percayakan pembantu suaminya itu.
"Saya sayangkan rumah tangga saya. Kalau boleh, sikit pun saya tak nak ada cacat cela. Tapi dalam tempoh enam tahun saya kahwin, tiba-tiba suami saya curang dengan pekerja."
"Saya tak pasti siapa yang mulakan. Tapi saya percaya, suami saya takkan senang-senang tertarik kalau bukan perempuan tu yang cuba rapat dengannya terlebih dulu."
"Bila dah kantoi sekali, suami saya minta maaf. Tapi, berlaku lagi kali kedua dengan perempuan yang sama sampailah diorang nikah. Perkara ni tak ada siapa yang tahu kecuali saya. Keluarga kami pun tak tahu."
Hanim senyum tawar. Rasanya, dia mengenali perempuan yang dimaksudkan isteri majikannya. "Saya simpati dengan apa yang berlaku pada puan. Saya juga kenal perempuan tu."
Shila tegakkan badan. "Macam mana Hanim kenal dia?"
"Dia pernah serang saya. Dia sangka saya ada niat tak baik bila masuk bilik suami puan. Dia tuduh saya cuba nak goda Encik Idzmir padahal cuma saya sorang aje yang ada dalam bilik Encik Idzmir masa tu." Ringan mulutnya menceritakan.
Tersungging senyum sinis di bibir Shila. "Rupanya, dia takut dengan bayang-bayang sendiri." Senyum sinisnya bersambung. Hampir-hampir dia terlupa dengan tujuan asal.
"Berbalik pada perkara tadi... saya harap, Hanim boleh timbangkan permintaan saya."
"Tapi, kenapa puan minta sesuatu yang tak masuk akal macam ni dengan saya?" Hanim mempersoalkan niat suci isteri majikannya. Reaksi Shila yang bersungguh-sungguh menimbulkan rasa curiga di hatinya.
"Sebab... saya sayangkan suami saya. Saya tak nak dia terlibat lagi dengan perempuan yang bukan-bukan lepas berpisah dengan Aiza. Atau lebih tepat, saya tak nak dia terjerumus ke dalam dosa yang tak sepatutnya dia buat."
"Tak sangka, dalam pada dia selalu menipu saya, Allah tunjukkan kebenaran. Akhirnya suami saya dapat tahu, dia juga ditipu oleh perempuan yang kononnya mengandungkan anak dia. Padahal, perkara tu tak betul. Di samping suami saya cintakan dia, suami saya turut terperangkap. Saya tak boleh cerita apa yang perempuan tu buat. Biarlah... itu aib dia."
"Saya tahu niat suami saya baik. Dia nakkan anak lagi. Tapi, kami tak ada rezeki selepas anak pertama. Saya... selalu keguguran."
"Lepas tu saya terfikir. Mungkin selama ni saya terlalu pentingkan diri sedangkan dia adalah lelaki yang mempunyai hak untuk berkahwin lebih dari satu. Dan, hak itu selalu disekat-sekat oleh isteri yang tak rela dirinya dimadu. Yelah kan, mana ada seorang isteri yang sanggup berkongsi kasih, apatah lagi berkongsi suami. Tapi dalam keadaan tertentu, isteri macam saya perlulah berkorban demi kasihkan suami." Shila membiarkan isi hatinya tercurah di hadapan Hanim. Dia tidak lagi mampu memendam rasa terlalu lama.
Hanim diam mendengar. Tiap patah perkataan yang dilontarkan Shila, benar-benar buat dia kagum.
"Kali pertama saya tengok Hanim, hati saya terdetik, Hanim adalah perempuan paling layak untuk saya pilih sebagai isteri kedua suami saya. Keperibadian dan penampilan Hanim, buat saya yakin dan percaya Hanim adalah gadis yang baik." Terbit cahaya kejujuran di matanya tika memberi pandangan peribadi terhadap gadis berkulit hitam manis itu. Perlahan-lahan sebelah tangan Hanim digenggam. Dia seakan mengharap persetujuan serta-merta dari Hanim.
"Tapi puan.... saya tak nak." Hanim tunduk merenung permukaan meja. Dia tidak setuju dengan cadangan kurang waras isteri majikannya. Mana mungkin dia sanggup melukakan hati kaum Hawa sepertinya. Lebih-lebih lagi Shila pernah melalui fasa ditipu dan dilukakan oleh suami sendiri.
"Hanim fikir dulu, boleh? Saya akan bagi masa. Cuma Hanim sorang saja yang saya boleh harap. Please... jangan hampakan permintaan saya." Shila tidak berputus asa. Tangannya ditarik perlahan. Lalu dia bangkit meninggalkan tempat duduk.
Hanim terkebil-kebil. Belum sempat dia membuka mulut, Shila sudah berlalu.
"APA cerita anak, menantu dan cucu kita kat Kuala Lumpur tu kan, bang?" Mak Leha membuka persoalan.
"Entahlah, Leha. Mereka tu senyap saja. Sibuk agaknya." Pak Rahman pusing-pusingkan rokok daun di bibir sementara Suhaidi sibuk mengasah parang di tangga.
Mak Leha mencebik. Dia tidak dapat menerima jawapan begitu dari suaminya. "Alah... kalau sibuk pun, Idzmir sorang aje. Shila pulak dua puluh empat jam kat rumah. Apa salahnya balik sini sebulan sekali? Ini tak, kalau ada masalah, barulah nampak batang hidung. Bila hari raya, masa tulah baru nampak bayang." Dia mula hendak membebel.
Pak Rahman menoleh dengan dahi berlapis. Isterinya itu memang tidak tahu apa-apa berita. "Awak tak tahu ke anak kita dah kerja sekarang?"
Terjongket kening Mak Leha mendengar. Lekas-lekas dia mendekati suaminya. "Kerja?" Buntang matanya menyoal. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba Pak Rahman menyampaikan berita itu padanya. Hairan juga dia.
"Semalam dia telefon saya. Katanya dia kerja dengan tan sri."
Tersungging senyum lebar di bibir Mak Leha. Perlahan dia menepuk bahu kanan suaminya. "Baguslah macam tu, bang. Penat-penat kita hantar dia pergi belajar, takkanlah sikit pun kita tak boleh merasa hasilnya. Nak harapkan duit Idzmir aje, tak boleh jugak. Anak kita kenalah berdikari. Kalau jadi apa-apa nanti, senang."
Pak Rahman mengangguk. Dia mengerti maksud Mak Leha.
Sekali lagi bahu suaminya ditepuk. "Bang... saya rindu cucu sayalah. Apa kata kalau kita pergi sana jenguk mereka?"
Suhaidi yang mendengar cadangan ibunya, terus berhenti mengasah parang. "Saya pun sama macam mak. Teringat-ingat pulak kat anak saudara saya tu. Eloklah kita pergi ziarah diorang. Kita pun perlu tahu keadaan Shila dan Idzmir sekarang. Harap-haraplah adik ipar saya tu tak buat hal lagi. Kalau tak, hai... mengamuk lagilah Mak Leha." Usik Suhaidi lalu ketawa.
Terjuih bibir Mak Leha menyambut usikan anak lelakinya.
Pak Rahman angguk sekali. Cadangan isterinya akan diterima. "Telefonlah adik kamu tu, Suhaidi. Beritahu dia kita nak ke sana." Putus Pak Rahman lalu berdiri meninggalkan beranda rumah.
"MINGGU depan keluarga Shila nak datang. Kita jemput diorang kat perhentian bas, boleh?" Dia memandang Idzmir melalui pantulan cermin. Dilihat suaminya seperti tidak memberi tindak balas, perlahan-lahan dia bangkit meninggalkan kerusi meja solek.
"Abang dengar tak Shila cakap apa?" Peha suaminya ditepuk.
Idzmir yang sedang leka membaca majalah Building & Interior, kini memberi perhatian pada isterinya. Majalah yang menjadi bacaan diletakkan ke tepi.
"Okay. Kita ambil diorang nanti." Majalah tersebut dicapai kembali. Tiada mood hendak membalas panjang lebar.
Melihat sikap dingin suaminya, dia tarik wajah cemberut. "Abang ni kenapa? Macam nak tak nak aje cakap dengan Shila. Apa yang tak kena hari ni?" Di sebelah Idzmir dia mengambil tempat duduk lalu meluruskan kaki dan sedia merebahkan badan.
Idzmir mengeluh. Sejak melihat Shila berbual panjang dengan Hanim di pejabat siang tadi, hatinya dijemput rasa tidak senang. Dia syak isterinya sedang berbincang sesuatu dengan Hanim tanpa pengetahuannya. Sekali lagi dia meletakkan majalah ke tepi dan terus fokus pada Shila.
"Apa yang Shila cakap dengan Hanim?" Dia cuba menyoal siasat. Matanya tepat memanah ke wajah sang isteri yang terlalu berharap dia menikah lagi.
Belakang lehernya diusap berkali-kali. Barulah dia tahu kenapa Idzmir bersikap acuh tak acuh malam ini.
"Shila pujuk Hanim untuk kahwin dengan abang?" Idzmir menduga apabila Shila membatukan diri.
Tiada pilihan dan dia pula malas mengelak, terpaksa dia angguk lalu mengiakan pertanyaan Idzmir. "Erm... Shila dah cakap pada Hanim. Dia terkejut. Tapi, Shila bagi masa untuk dia fikir."
Dalam-dalam Idzmir menarik nafas. Dia cuba mengawal tahap kesabaran yang makin menghilang. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu memarahi Shila kerana mungkin akan berlaku pertengkaran yang tidak diingini.
"Shila tak fikir ke macam mana perasaan Hanim?"
"Shila yakin dia boleh terima abang."
"Itu abang tak nak dengar."
"Insya-Allah, Hanim akan terima abang."
"Shila!"
Terkejut dengan suara tinggi suaminya, dia tunduk perlahan-lahan. Biarlah kalau Idzmir marah. Biarlah kalau suaminya menengking. Dia tidak peduli. Azamnya untuk tidak melihat Idzmir terjerumus lagi dengan perempuan yang hanya tahu mengambil kesempatan, akan diteruskan hingga berjaya.
"Kalau Hanim terima abang, mungkin dia dah gila!" Idzmir membentak.
Saat itu mukanya diangkat lalu menatap wajah Idzmir yang kemerah-merahan. "Please, abang. Jangan cakap macam tu. Cubalah dekatkan diri dengan Hanim dan selami dulu hati budi dia. Shila dah bagi dia masa untuk fikir habis-habis. Sekarang, terpulang pada abang untuk bertindak macam mana." Tubuh Idzmir didakap dengan harapan yang tinggi. Dia menjatuhkan air mata dengan kesungguhannya untuk 'menyelamatkan' sang suami.
Dia tidak mahu Idzmir berdosa lagi. Juga tidak rela jika ada perempuan lain yang sanggup berbohong demi mencapai cita-cita sendiri dengan menjadikan suaminya sebagai mangsa seperti apa yang dilakukan Aiza dahulu.
Pelukan kemas Shila buat dirinya diselubungi rasa serba salah. Hendak diterima, hatinya tidak cinta. Hendak ditolak, pasti Shila akan terus mendesak.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro