Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 31

"MACAM mana keadaan Hanim?" Shila merapati suaminya yang sedang berbaring.

"Entah. Abang tak tahu." Idzmir tarik selimut. Soalan isterinya sekadar diambil ringan.

"Abang tak nak lawat dia ke?"

Bantal di bawah kepalanya dibetulkan sedikit. Mencari sudut selesa untuk dia lelapkan mata. "Abang sibuk sehari dua ni. Belum ada masa lagi nak ziarah orang sakit. Lagipun Saiful cakap, lusa Hanim dah boleh keluar wad."

Shila menggeleng. Kenapalah teruk sangat suaminya. Buat tidak peduli saja soal kebajikan pembantu sendiri. "Abang tak bolehlah macam ni. Hanim kan, setiausaha abang. Dia bukannya orang lain. Kalau abang ambil berat sikit, tak boleh?"

Dia memandang Shila dengan satu perasaan aneh. Lenggok bahasa isterinya ketika membicarakan soal Hanim, bunyinya lain macam. "Perlu ke abang ambil berat pasal dia?"

"Mestilah. Dia kan, salah seorang staff syarikat. Sebagai majikan, abang kenalah bagi perhatian. Pergilah ziarah dia. Jangan lupa bawa buah tangan. Bunga ke..."

Kepalanya digaru. Entah apa istimewanya Hanim sampai dia perlu mengambil cakna hingga ke tahap itu? Bawa bunga? Barang kali isterinya sudah hilang akal.

Suasana jeda apabila Idzmir diam tidak membalas. Mata dipejam untuk tidak meneruskan perbualan dengan isterinya.

"Hanim tu... baik sangat. Lemah lembut aje orangnya." Shila meneruskan agenda. Dia sengaja mahu bercakap soal Hanim pada Idzmir.

Bicara isterinya makin pelik kedengaran. Dahinya berlapis dan keningnya turut terjongket. "Shila nak buat menantu ke? Kita bukan ada anak lelaki. Uyi pulak kecik lagi. Itu pun perempuan." Idzmir ketawa. Lucu dengan pujian isterinya terhadap Hanim.

Dia menoleh bersama senyum nipis. Bersedia menzahirkan apa yang terbuku di hati sejak mengenali Hanim. "Bukan nak buat menantu. Tapi, nak jadikan madu."

Idzmir terbelahak. "Ma... madu?"

Shila mengangguk. Ikhlas hatinya memberi jawapan. "Hanim sesuai dengan abang."

"Shila masih nak bincang perkara tu lagi?" Dia meninggi suara tiba-tiba. Sangat tidak senang apabila topik itu muncul semula.

"Shila rasa... Hanim adalah perempuan yang paling layak untuk abang jadikan isteri kedua." Suara tinggi suaminya tidak diendahkan. Dia tetap menyambung cadangan.

Laju Idzmir menggeleng tanda tidak setuju. "Abang tak nak."

"Shila yakin, Hanim boleh berikan anak yang ramai untuk abang. Tentu hidup abang lebih bahagia."

"Stop it, sayang. Kenapa sayang masih tak faham? Berapa kali abang perlu cakap, abang dah tak nak cari beban!" Suaranya kian tinggi. Kasar dia merengus. Hatinya sebal. Shila tidak menghormati keputusannya sebelum ini. Dia fikirkan, isterinya sudah lupa mengenai usul tidak masuk akal itu. Rupanya, ia masih ada.

Shila terdiam sambil tunduk bermain jari sendiri. Perasaan bersalah kerana menekan suaminya dengan cara begitu, tiba-tiba datang menghimpit. Bukan dia berniat tidak baik. Malah, hajatnya terlalu suci. Bukan calang-calang seorang isteri yang boleh buat keputusan sepertinya.

Tiada seorang isteri pun yang sanggup dimadukan. Tapi tidak baginya. Kalau sebelum ini dia mengutuk keras tindakan Idzmir berkahwin dengan Aiza di luar pengetahuannya, namun selepas dia jauh berfikir, daripada Idzmir terlibat dengan perkara yang tidak-tidak, lebih baik dia merelakan kalau Idzmir ingin berkahwin lagi. Asalkan, suaminya tidak melakukan maksiat, itu lebih memadai.

SUASANA nyaman pagi itu sedikit pun tidak memberi ketenangan pada hatinya. Cadangan Shila dua hari lepas banyak membangkitkan keresahan di jiwanya. Kenapalah Shila tidak faham. Dia kini sedang belajar untuk kembali setia. Kenapa Shila sanggup memperkecilkan usahanya?

"Abang, jom kita keluar lunch?" Shila muncul di muka pintu.

Idzmir tidak mengendahkan ajakan isterinya dan pura-pura sibuk dengan kerja.

Shila ketap bibir. Kehadirannya di situ seperti tidak dipedulikan. Lantas dia mendekat. Berdiri di hadapan meja kerja suaminya sambil memerhati.

"Kenapa abang senyap aje?"

Idzmir sekadar membisu. Hal itu sangat tidak menyenangkan Shila. Lalu, dia menghampiri Idzmir dan perlahan meletakkan sebelah tangan pada bahu suaminya itu.

Kerjanya yang tidak penting tetap diteruskan. Boleh saja kalau dia nak tinggalkan sekejap dan menyambut kedatangan isterinya. Tapi, dia pura-pura leka atau lebih tepat lagi, dia sedang menunjukkan kemarahan pada isterinya.

Dia tunduk memikirkan kenapa Idzmir bersikap dingin. Barang kali ada kaitan dengan usul yang dia buat sebelum ini. "Shila minta maaf kalau abang tak suka dengan perkara yang Shila cadang pada abang. Shila buat keputusan macam tu untuk kebaikan kita bersama. Bukan untuk abang seorang."

Pantas Idzmir mendongak lalu menentang renungan Shila yang berdiri di sebelah. "Kebaikan apa? Nak orang fikir Shila isteri yang baik sebab sanggup biarkan dirinya dimadukan? Dan... Shila nak orang anggap abang suami yang jahat sebab tergamak menduakan Shila? Macam tu ke niat Shila? Atau... Shila berdendam sebab abang dah banyak kali tipu Shila?" Idzmir bangun meninggalkan kerusi. Sanggup dia melontarkan andaian yang bukan-bukan. Kerjanya yang tidak penting tadi terus dilempar ke tepi meja hingga sehelai kertas jatuh ke permaidani.

"Ya Allah... abang merepek apa? Kenapa sampai ke situ abang fikir? Cuba matang sikit bila menjawab. Abang bukan budak-budak nak cakap macam tu. Tak ada niat sikit pun Shila nak berdendam dengan abang. Untuk apa Shila berdendam selepas abang insaf?" Dia menggeleng perlahan. Tidak dapat menerima kata-kata Idzmir padanya.

Idzmir membisu. Tiada jawapan kenapa dia buat tuduhan Shila berdendam padanya.

"Sampai hati abang tuduh Shila macam tu." Dia segera melangkah untuk beredar. Perasaannya sebak. Tak sangka Idzmir tergamak mengeluarkan kata-kata demikian. Dia berdendam? Apa, jahat sangatkah dia?

"Shila!" Idzmir memanggil tapi panggilannya tidak di endahkan. Isterinya langsung tidak menoleh apatah lagi untuk hentikan langkah yang diatur dengan laju.

Dia terduduk sambil melepaskan keluhan berat. Hatinya cuba ditenangkan dengan istighfar. Dahinya dipicit dan rambutnya dilurut ke belakang. Tubuh dihenyak ke kerusi lalu butang interkom ditekan. "Hanim, saya nak panadol."

"Okey, encik."

Kedua-dua tangan diletakkan di belakang kepala. renungannya terarah ke atas. Otaknya mula ligat berfikir cadangan berat yang diusulkan isterinya. Jika dia menolak, entah sampai bila Shila masih berpegang dengan keputusan itu. Dan, sampai bila hubungannya dengan Shila akan terus dingin seperti sekarang.

Hanim melangkah masuk. "Ini ubat yang encik nak." Segelas air suam bersama dua biji panadol diletakkan ke atas meja.

"Terima kasih." Ucap Idzmir perlahan. Duduknya dibetulkan lalu mencapai gelas dan ubat berkenaan.

"Ada apa-apa lagi yang Encik nak?" Hanim menunggu arahan.

"Tak ada."

"Kalau macam tu, saya keluar dulu." Hanim pusing tubuh, sedia beredar dari situ.

"Hanim." Dia berdiri lalu menuju ke arah pembantunya.

"Ada apa lagi, encik?"

Idzmir cuba tersenyum. Canggung rasanya saat menatap wajah si pembantu dalam tempoh yang agak lama. Dia sengaja merenung gadis itu untuk mencari sesuatu yang mustahil. Lebih tepat, mencari cinta.

Hanim adalah wanita yang dipilih isterinya. Entah apa yang istimewanya Hanim di mata Shila, dia sendiri tidak boleh meneka. Apa yang dia tahu, Hanim adalah pekerja yang baik dan rajin. Selama tempoh gadis itu jadi setiausaha, Hanim tidak pernah mengambil kesempatan ke atasnya. Gadis itu turut berpakaian sopan dan menutup aurat dengan sempurna.

Hanim tidak selesa lalu mengundur dua langkah. Entah kenapa majikannya tiba-tiba berperangai pelik. Takkan perangai kasanova Idzmir datang semula? Takkanlah berani sangat? Puan Shila sekarang bekerja satu bumbung, kut. Ish... "Kenapa encik tengok saya macam tu?"

Pertanyaan Hanim tidak dipedulikan. Malah, dia terus mengamati dalam-dalam ke wajah pembantunya agar membuahkan sesuatu hasil. Apa yang cuba dia lakukan adalah menggali perasaan cintanya pada Hanim. Tapi, perasaan itu amat payah menerobos ke ruangan hati jika sudah terukir cuma dua nama di situ. Nama isteri dan anak perempuannya saja.

Di saat Idzmir leka merenung Hanim, Shila melangkah masuk sambil membawa makanan.

Hanim panik lalu segera meminta diri. Idzmir tunduk seketika. Tersedar isterinya berada di muka pintu, dia mengeluh sesaat lalu menapak ke arah sofa.

Shila tersenyum nipis. Dia nampak apa yang suaminya lakukan pada Hanim. Namun, dia tidak tahu apa tujuan Idzmir buat begitu.

Perlahan-lahan dia letakkan plastik ke atas meja kopi. Di samping berkecil hati dengan tuduhan Idzmir, dia keluar sebentar tadi kerana membelikan makanan untuk suaminya. Dia boleh agak Idzmir tidak keluar makan tengah hari kerana merajuk dengannya.

"Abang buat apa kat Hanim?" Dia mengambil tempat di sebelah Idzmir.

"Macam apa yang Shila nak, itulah yang abang buat. Manalah tahu, kalau abang tengok muka Hanim lama-lama, abang boleh jatuh cinta. Tapi, abang gagal. Abang tak jumpa sebarang tanda yang abang sukakan dia. Jadi, abang tak boleh tunaikan hajat Shila."

Shila tersenyum menadah jawapan yang suaminya berikan. Rasa cemburu itu adalah sedikit tapi tidak terlalu menguasai. Serta-merta dia ingatkan dirinya, itu adalah usulnya juga. Dia yang mahu Idzmir rapat dengan Hanim. Jadi, cemburu itu mestilah dibuang jauh-jauh.

"Abang cubalah perlahan-lahan. Shila bagi contoh, abang ajak dia keluar. Okay tak?"

Idzmir lekas-lekas menggeleng. "Abang tak nak. Shila jangan paksa abang lagi. Cukup-cukuplah dengan apa yang abang buat selama ni. Abang dah serik lukakan hati Shila. Abang tak nak ulang lagi. " Dia ingin tunduk tapi tidak sempat melakukan begitu apabila Shila bertindak memegang kedua-dua pipinya.

"Shila percayakan abang. Shila yakin, abang betul-betul insaf. Kalau tak, takkanlah abang menolak macam ni. Jadi, abang tak payah risau kalau hati Shila terluka. Shila tahu abang boleh adil dan takkan lukakan Shila kali kedua. Cubalah rapat dengan Hanim. Insya-Allah, perasaan cinta tu akan ada untuk dia." Ujarnya bernada perlahan hingga suaminya hilang punca untuk membalas.

Sejurus Shila selesai berbicara, Idzmir terus mendakap erat isterinya itu. Dia melepaskan rasa terharu dengan kata-kata yang begitu ikhlas kedengaran. Cukup menyentuh relung hatinya yang kian berbelah bahagi antara pendirian sendiri dan kehendak isterinya. Shila membalas dakapan Idzmir dengan mata terpejam.

Kejujurannya memberi ruang pada Idzmir untuk mengenali Hanim dengan lebih jauh, kian mengetuk pintu hatinya. Dia benar-benar ikhlas kerana yakin Hanim adalah sebaik-baik perempuan untuk Idzmir jadikan isteri kedua.

"Petang nanti Shila balik dengan teksi. Abang hantar Hanim, ya. Shila bagi peluang pada abang." Putus Shila seikhlas hati.

Pelukan mereka terlerai.

"Sayang..." Idzmir tayang wajah simpati.

"Tolonglah, abang. Cubalah penuhi kehendak Shila walau cuma sekali. Shila tak pernah meminta sesuatu dengan abang selama tempoh kita berkahwin. Tapi untuk kali ni, please... tunaikan permintaan Shila." Dia bangkit dari sofa dan tidak lagi mengendahkan suaminya. Idzmir ditinggalkan sendirian. Biarlah suaminya berfikir apa kebaikannya dengan permintaan yang dia buat. Harap-haraplah suaminya dapat membuka mata.

DIA mengamati susuk tubuh seorang perempuan tinggi lampai dan bertudung yang berdiri di perhentian bas di hadapan bangunan pejabat. Itu dia Tengku Hanim yang disarankan isterinya untuk dihantar pulang petang ini. Dengan berat hati dia menekan pedal minyak dan memandu perlahan hingga rapat ke perhentian bas tersebut.

Tingkap cermin keretanya diturunkan. "Hanim nak balik?"

Hanim yang menyedari kenderaan majikannya berhenti di bahu jalan, tertunduk sedikit melihat Idzmir tersenyum di tempat duduk pemandu. "Ya, encik."

"Marilah saya hantar."

Lekas-lekas Hanim menggeleng dan akan menolak ajakan tersebut. Sengaja dia cari penyakit jika bersetuju dengan pelawaan Idzmir. Juga dia rasa pelik kenapa Shila tidak ada dengan Idzmir sekarang. Bukankah pagi tadi pasangan itu datang bersama? "Tak apalah. Rumah saya jauh. Nanti menyusahkan encik."

"It's okay. Saya boleh hantar." Idzmir memutuskan. Dia tidak mahu balik ke rumah nanti isterinya tarik wajah mencuka kerana dia gagal menghantar Hanim pulang.

Ah, kenapalah aneh-aneh saja permintaan Shila. Kalau disuruhnya mendaki Gunung Kinabalu, dia sanggup lagi. Ini disuruhnya mengurat Hanim. Kalau nak kata Shila tidak waras, macam tak logik pula.

Shila ada sebab yang kukuh kenapa mencadangkan perkara gila seperti itu. Bimbang sangat isterinya kalau dia 'terpesong' kali kedua dengan wanita yang tidak bermoral. Lalu, diletakkan Hanim sebagai 'sasaran'.

Hanim kelihatan serba salah. Baginya, tidak manis seorang gadis menumpang kenderaan lelaki yang tidak ditemani orang lain. Apatah lagi lelaki itu sudah beristeri.

Idzmir masih menunggu. Gadis itu dilihat teragak-agak mahu memasuki keretanya. Lantas, dia bertindak membuka pintu dari dalam.

Mahu atau tidak, Hanim terpaksa ringankan langkahnya. Dia masuk juga ke dalam kereta kerana Idzmir agak lama menanti.

Sejurus kereta bergerak di jalan raya, suasana di dalamnya sunyi sepi tanpa sebarang lagu dari corong speaker. Hanim membuang pandang ke sisi. Idzmir pula sibuk dengan pemanduan. Hanya sesekali dia melirik ke arah Hanim untuk mencari sesuatu yang boleh menarik minatnya pada gadis itu. Namun, hasilnya tetap gagal. Hanim hanya dilihat sebagai pembantunya saja. Tidak lebih dari itu.

"Hanim tinggal kat mana?"

"Ampang."

"Duduk dengan keluarga?"

"Saya menyewa dengan dua orang kawan. Keluarga saya tak ada kat sini. Diorang kat Kelantan."

"Oh... saya terlupa." Idzmir kehilangan buah fikiran untuk terus berbual dengan Hanim. Bicaranya mati setakat itu.

"Puan Shila mana? Dia tak balik dengan encik sekali?"

Idzmir melepas keluh kecil. Adakah ini masanya untuk dia berterus-terang dengan gadis itu? Dia menggeleng perlahan. Tidak sanggup rasanya mahu tebalkan muka untuk menceritakan kedudukan sebenar pada Hanim. Biarlah isterinya yang menjelaskan nanti.

"Dia ikut papa saya balik Sungai Buloh. Mama saya nak jumpa dia. Ada kerja sikit." Hanya dalih begitu yang terlintas dalam fikirannya sekarang.

Kereta meluncur perlahan memasuki sebuah taman perumahan selepas Hanim menunjukkan jalan. Apabila kereta diberhentikan, Hanim tidak terus turun. Ada perkara yang mahu disampaikan pada Idzmir. Di pejabat, dia sering terlupa.

"Terima kasih hantar saya. Dan... terima kasih juga sebab encik tolong saya hari tu. Kalau encik tak ada, tak tahulah apa jadi pada saya dalam lif." Ucapnya lirih.

"Sama-sama. Saya nak minta maaf sebab terpaksa sentuh Hanim tanpa izin."

Dia tersenyum ralat. Canggung mendengar kata-kata majikannya. Tapi dia faham, Idzmir terpaksa. Takkanlah dia hendak dibiarkan terbaring saja dalam lif tanpa sebarang bantuan? Takkanlah majikannya kejam sangat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro