Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Part 8 - Rumah atas bukit

Ain Amani memandang luar tingkap kereta dengan rasa teruja. Sepanjang perjalanan ke rumah Andrea, kiri dan kanannya hanya dipenuhi dengan hutan dan belukar sahaja. Tiada langsung rumah atau penempatan di situ. Tidak sangka pula rumah Andrea terletak betul- betul di atas bukit. Suasana sejuk pokok- pokok di situ menghasilkan kabus putih memandangkan baru sahaja hujan turun.

Kereta Honda yang dipandu oleh pemandu peribadi Andrea berhenti betul- betul di hadapan sebuah banglo putih. Rumah yang berkonsepkan english dan moden kelihatan agak menyeramkan dari luar. Mata Ain terpaku pada menara tinggi yang menggabungkan rumah itu.

Andrea melangkah keluar dari kereta meninggalkan Ain seorang diri. Lupa terus akan kawannya itu apabila bertemu dengan ibunya. Puan Marina hanya menggeleng melihat sikap anaknya.

"Assalamualaikum ibu.." Andrea memberi salam kepada ibunya yang berada di muka pintu. Tangan wanita itu dikucup penuh kasih.

"Waalaikumsalam. Anak ibu dah balik. Mana kawan yang Rea cerita semalam?" soal Puan Marina. Terjenguk -jenguk matanya melihat cermin kereta gelap yang hanya memantulkan dirinya sahaja.

Puan Marina tersenyum melihat seorang gadis yang sebaya dengan Andrea keluar dari perut kereta.

"Saya Ain Amani, kawan Andrea kat sekolah. Apa khabar makcik?" Tangan ibu Andrea disalam dengan hormat. Sempat Ain menjeling tajam Andrea yang tersengih seperti kambing.

"Sihat jer" jawab Puan Marina sambil tersenyum manis. Kepala Ain Amani diusap perlahan.

"Ha sebelum lupa, Mama saya kirim salam" Ain menyampaikan pesanan mamanya kepada Puan Marina.

" 'Alaiki wa 'alaihas salam. Jemput la masuk. Jangan malu jangan segan. Buat macam rumah sendiri" kata Puan Marina setelah menjawab salam yang dikirimkan.

"Terima kasih" Ain menundukkan sedikit kepalanya sambil tersenyum. Dia memandang Puan Marina yang menghilang di sebalik pintu besar itu.

"Rea... Aku segan la" tangan Andrea yang ingin berlalu ditarik pantas. Hampir tersadung kawannya itu.

"Tak payah acah segan. Tahu perangai gila kau tu" perli Andrea. Tangannya ditarik dari pegangan Ain kemudian dia berlalu masuk untuk ke bilik.

"Hey.. mana ada perangai gila la" bentak Ain geram sambil mengekori Andrea. Terlopong dia seketika melihat ruang tamu rumah itu. Sekeliling dalam rumah itu diperhati. Perghhh mewah gila rumah walaupun dari luar nampak biasa je. Hampir tersadung kakinya di anak tangga kerana terlalu teruja melihat isi rumah Andrea.

•••••

"Rea... Ingat apa yang ibu pesan semalam?" soal Puan Marina kepada anak gadisnya. Dia sedang menyiapkan minum petang untuk tetamu yang datang.

"Ingat ibu" kata Andrea sambil mengangguk kepala.

"Jangan bagi Ain pergi kat tangga tu. Dan ingat, jangan biarkan Ain keluar dari bilik waktu malam" sekali lagi Puan Marina mengingatkan Andrea. Hanya anak- anaknya yang menjadi penyeri setelah suami tersayang pergi menghadap Yang Maha Esa 10 tahun yang lalu.

•••••

Ain baru sahaja selesai membersihkan diri. Rambut yang basah dilap dengan tuala. Dalam rumah ini dia tidak perlu susah- susah menjaga aurat memandangkan hanya Andrea dan ibunya sahaja yang ada. Tapi, dia tidak tahu pula sama ada gadis itu mempunyai abang atau adik lelaki. Ingin ditanya pada Andrea sendiri, tetapi gadis itu sudah menghilang ke dalam bilik air.

Ain berjalan mengelilingi bilik Andrea. Agak luas dengan tingkap besar yang ditutupi dengan tirai menghadap ke hutan. Mungkin agak besar dari biliknya. Dia tidak berani membuka tirai memandangkan senja baru sahaja menjelma. Takut jika ternampak 'benda' lain. Boleh terkena histeria seminggu dia dibuatnya.

Dia kemudiannya mendekati meja yang dipenuhi dengan gambar Andrea dan keluarganya. Dia tersenyum sendiri. Tiba- tiba matanya tertancap pada sebuah gambar seorang kanak- kanak perempuan bergelak tawa di sisi seorang budak lelaki. Kanak- kanak perempuan itu seperti Andrea dan budak lelaki itu mungkin abang Andrea kerana wajahnya sebijik seperti Andrea. Jika diperhatikan betul- betul kedua- dua budak itu mempunyai gigi taring. Tetapi, taring kepunyaan budak lelaki itu lebih jelas berbanding budak perempuan dalam gambar.

Matanya memandang dalam- dalam raut kacukan inggeris budak lelaki itu. Andrea lebih mengikut genetik ibunya berbanding ayahnya. Mungkin ni abang Andrea tak? Kalau betul, muka dia memang sebijik macam orang putih. Mungkin lebih ke arah si ayah, fikir Ain.

Tangannya ingin menyentuh gambar itu tetapi bunyi yang agak kuat dari luar bilik mengejutkan Ain Amani. Jam dinding dikerling. Dah nak masuk maghrib. Mungkin bunyi kucing atas bumbung. Ain enggan memikirkan tentang bunyi itu.

Bumm !!

Sekali lagi bunyi itu bergema. Dia tarik nafas. Jika difikirkan balik, mustahil kucing yang melakukan bunyi itu kerana bunyi yang terhasil sangat kuat. Lagipun, mustahil bunyi itu datang dari bumbung. Mana ada kucing yang berani naik ke atas bumbung banglow tiga tingkat. Lain la kalau kucing yang ada kuasa superman.

Ain memberanikan diri untuk menjenguk ke luar bilik. Keadaan dalam rumah yang suram membuatkan bulu roma Ain mencanak naik. Dia rasa seram tiba- tiba. Bunyi kuat itu berdentum lagi. Ain mengalihkan pandangan pada tangga ke tingkat atas. Matanya terpaku pada satu objek di hadapan tangga yang gelap gelita. Tangga itu mungkin jalan menuju ke menara yang dia nampak petang tadi.

Matanya cuba difokuskan untuk mengamati objek aneh itu. Maklumlah rabun... Langkahnya perlahan diaturkan ke arah itu.

"Ain... Kau buat apa tu?" Suara Andrea dari belakang mengejutkan Ain. Dadanya diurut perlahan. Nasib la jantung ni tak tercampak keluar. Dia memandang geram gadis yang berada di belakangnya.

"Tadi, aku nampak ada..." Ain mengalihkan kembali pada tangga itu. Objek yang dia lihat tadi sudah tiada. Aik... Pelik! Tadi ada kat situ sekarang dah tak ada? Matanya meliar sekeliling, cuba mencari objek aneh itu.

"Ada apa? Kan tadi aku dah pesan. Jangan keluar dari bilik aku waktu malam macam ni. Kau ni degil la" marah Andrea. Pesanan Puan Marina bermain di telinganya.

"Okey la. Aku minta maaf" Ain mengakui kesilapannya. Baru sahaja tadi Andrea memberi amaran. Sekarang dia telah melanggarnya. Tadi, Puan Marina yang kata buat macam rumah sendiri. So dia buat la macam rumah sendiri. Kat rumah sememangnya dia suka berjalan berbanding terperap di dalam bilik.

"Dah jom masuk bilik. Malam ni aku denda kau buat latihan addmath 50 soalan. No excuses" tangan Ain ditarik kuat menuju ke bilik tidurnya. Boleh tahan berat jugak minah ni.

"Ala... Baru ingat nak tidur awal" Ain mencebik. Lansung tidak mencurigai apa yang berlaku. Di fikirannya hanya mahu tidur. Kakinya melangkah mengikut tarikan yang membawanya ke hadapan.

"Takde- takde. Jom buat latihan" potong Andrea. Pintu bilik ditutup rapat dan dikunci setelah mereka selamat sampai di dalam bilik. Nasib baik la dia cepat. Kalau tidak, entah apa yang akan terjadi.

Di sebalik dinding tangga, ada mata hazel yang memerhati mereka berdua. Pek darah yang tinggal sedikit digenggam kuat. Bibir merahnya tersenyum sinis. Darah manis terlepas sudah...

•••••

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro