Part 58 - Tengah hutan
Malam telah larut, langit pun berselimut kabut. Bulan bersembunyi di balik awan hitam, bintang-bintang pun enggan bersinar.
Gemersik dedaun pokok yang meliang liuk, bergesel antara satu sama lain apabila diterpa bayu menghasilkan irama yang mengundang damai di jiwa. Berbagai bagai bunyi dari rimba yang dia dengar dalam keadaan malam yang sepi itu.
Bagai dipukau, kakinya melangkah perlahan, satu persatu mengikut pergerakan suara yang memanggilnya. Suara itu kedengaran seperti milik Zuhairie. Mendayu-dayu meminta tolong. Tanpa sedar, dia sudah sampai ke tengah hutan. Kelam dan gelap. Dia langsung tidak nampak apa-apa. Walau sekelip cahaya sekalipun.
Ain rasa seperti ada orang menjentik jari di hadapannya. Lantas dia tersedar. Kepala digeleng perlahan bersama kerutan di dahi. Apa yang terjadi?
Matanya meliar melihat sekeliling yang dipenuhi dengan pokok-pokok besar. Di mana aku? Ya Allah! Rasanya tadi dia sedang berkemas di luar rumah. Dan dia nampak sepasang mata merah. Dia yakin itu bukan Zuhairie. Tapi, suara seseorang memanggil tadi tak ubah seperti Zuhairie ! Suara itu membuatkan dia leka mendengar hingga tidak sedar yang dia sudah jauh ke tengah hutan.
Perasaan takut mula menyelubunyi Ain. Pelbagai perkara bermain di mindanya. Sudah la dia trauma berada dalam hutan. Kes kena gigit dengan serigala hari tu. Ditambah lagi dengan kegelapan yang amat menyeramkan. Cahaya rembulan pada malam itu juga tidak cerah seperti selalu.
Namun, ada satu cahaya putih yang meneranginya. Cahaya apa itu? Hanya cahaya itu sahaja yang dia nampak. Yang lain semua hitam.
Kilauan putih datang dari rantai leher yang dia pakai. Terang seperti sedang melindungi dirinya. Ain teringat akan kata-kata suaminya perihal rantai ini. Adakah benar rantai ini akan melindungi dirinya? Tapi, bagaimana caranya?
Tiba tiba, ada satu angin melalui belakangnya. Kuat dan laju. Tubuhnya terumbang ambing, nyaris jatuh menyembah bumi. Tangan memegang perut. Risau jika berlaku apa-apa pada kandungannya.
Satu kepulan asap hitam seperti memyelubunyi tempat dia berdiri. Kabus tebal hitam pekat. Bergerak perlahan mendekati Ain. Dia hendak lari tetapi kaki bagaikan digam pada bumi. Dia tidak dapat bergerak walau seinci pun. Tiada lain yang ada dalam fikirannya kini selain Zuhairie. Kalimah suci tak pernah kering meniti di bibir.
Ingin sahaja dia menjerit nama suaminya, namun suara bagai terlekat di kerongkong. Dia takut. Sangat takut. Berseorangan di dalam hutan yang gelap dan sunyi. Hutan tebal yang penuh dengan misteri dan haiwan liar dan ganas.
Cecair panas mula bertakung di tubir mata. Tangan Ain terketar-ketar menutup mulut. Sungguh dia takut. Kabus hitam tadi bagaikan mahu menyerangnya. Tetapi, cahaya pantas dari rantai yang dipakai bagaikan perisai melindungi dirinya.
Zappp
Entah bagaimana, ada bayangan hitam yang laju seperti kilat menyambar rantai leher itu. Bunyi detingan pada batu menandakan rantai itu sudah tertanggal dari lehernya. Kini, dia telah tiada pelindung.
Gelap --
Langsung tiada cahaya yang menerangi.
Ain rasa seperti ada tangan yang menyentap kakinya kasar. Sakit yang dia rasa hanya Tuhan yang tahu saat tubuh menghempap, jatuh ke tanah. Tidak putus dia berdoa agar diselamatkan anak dalam kandungan ini meskipun nyawanya tergadai.
"Abang..." Sebut Ain perlahan.
Dalam keadaan gelap itu, dia tidak berdaya untuk bangun. Pinggang Ain terasa amat sakit. Rasa seperti mahu patah. Ketika dia berbaring menunggu nasib itu, ada tangan berkuku tajam mencekik lehernya. Dia tidak mampu melawan. Nafasnya berat cuba mencari oksigen.
"Ya Allah ..."
•••••
"Andrea!!" Panggil Zuhairie kuat dari luar rumah. Bergema kawasan rumah itu dengan suara Zuhairie.
Bayangan Ain di bawah rimbunan pohon tidak menjengah mata membuatkan dia risau. Pada mulanya dia mahu panggil Ain masuk ke rumah memandangkan hari semakin senja. Azan maghrib sudah lama berkumandang.
Kerja pejabat yang menimbun membuatkan dia tidak sempat meluangkan masa bersama isteri tercinta. Hari-harinya hanya dihabiskan di dalam bilik bawah tanah.
Andrea yang sedang menuruni anak tangga memandang pelik abangnya. Dah kenapa dengan abang aku ni? Kena sampuk dengan hantu ke?
Selepas keluar dari tandas, dia terus mengerjakan solat maghrib. Dia tidak mahu melengahkan solat.
"Rea! Ain mana?" Soal Zuhairie lantang hingga timbul urat di sekitar leher. Rambutnya dicengkam kuat. Otaknya berserabut apatah lagi tatkala memikirkan keadaan isterinya yang sedang sarat mengandung. Kemana saja perginya isterinya itu.
Andrea tersentak. Dia lihat luar rumah. Langit kelam dan gelap, langsung tidak nampak apa-apa. Kedengaran bunyi burung hantu bersahutan. Dia ingatkan Ain sudah masuk ke dalam rumah kerana dia sudah berpesan kepada gadis itu. Liur ditelan kesat apatah lagi melihat wajah menyinga si abang.
"Mana Ain?! Jangan main-main Andrea. Dah malam ni" mahu pecah dada Zuhairie tatkala ini. Dia tidak mahu perkara sama yang terjadi pada arwah Puan Marina berulang. Dan dia yakin, mangsa seterusnya ialah Ain Amani.
Andrea dan Zuhairie saling berpandangan sebelum pandangan Andrea jatuh pada hutan tebal di hadapan rumah.
Dada Zuhairie mula berpalu kencang. Hatinya kuat mengatakan ada perkara yang tidak kena berlaku. Di saat ini, dia rasa dunianya menjadi gelap dan kelam.
Bingkas matanya menoleh ke arah hutan tebal yang gelap itu. Mukanya juga bertukar pucat. Zuhairie rasa seperti mahu menangis. YaAllah, dia tak mahu perkara buruk terjadi kepada Ain Amani.
Hari sudah malam. Ditambah pula ketika ini waktu maghrib. Pasti kuasa lelaki itu semakin bertambah kuat.
Tanpa membuang masa, langkah laju diatur menuju ke hutan. Sempat dia berpesan pada Andrea untuk mengunci pintu. Zuhairie berlari menelusuri belukar yang semakin tebal, semakin lama semakin jauh masuk ke dalam hutan. Dia tidak dapat berfikir dengan panjang. Dia tidak nampak apa yang ada di hadapannya kini. Yang dia tahu, dia mahu melihat Ain dalam keadaan selamat. Semak samun yang menghalang laluannya dirempuh dengan mudah sekali.
Ke mana wanita itu pergi? Ya Allah selamatkanlah isteriku. Aku tak mampu hidup tanpanya.
Zuhairie berlari pantas bagai tiupan angin kencang membelah dalam kesamaran malam. Kelam keadaan sekeliling tidak menjadi halangan buat diri Zuhairie untuk terus mencari gadis kesayangannya.
Calar-balar yang terlakar pada lengannya dek merunduk denai-denai tajam tidak dia hiraukan. Bebola matanya meliar ke sekitar belantara yang kelihatan sunyi tanpa kelibat manusia. Siapa sajalah yang hendak berkeliaran di dalam hutan belantara yang tebal macam ni? Mahu cari nahas!
Lariannya semakin lemah --
Nafasnya semakin pendek --
Zuhairie tercungap-cungap kepenatan. Langkahnya diperlahankan dan dia memandang sekeliling. Zuhairie memegang dadanya yang terasa ketat dan sendat. Nafas kencang turun naik, menjadi tidak keruan. Mahu menarik nafas pun dia rasa tak mampu. Tubuh dan lututnya mula menggigil tak keruan. Cemas dan kalut.
Terketar-ketar tangannya meraup rambut. Peluh dingin mula membasahi baju yang dipakai. Tekaknya terasa perit dan kering. Sekarang dia sudah berada di tengah hutan. Namun, bayang isterinya masih belum dijumpai.
Satu kilauan cahaya di atas tanah menarik perhatian Zuhairie. Pantas dia menghampiri benda itu.
Rantai ?! Jantungnya berhenti berdegup. Rantai pusaka yang dipakai oleh isterinya tertanggal. Tanpa rantai ini, nyawa isterinya dalam bahaya. Ya Allah ! Janganlah apa-apa terjadi pada Ain Amani. Selamatkanlah isteri dan anakku.
Bunyi derapan yang memijak dedaun kering dari belakang menjengah pendengarannya. Zuhairie terus menoleh. Di hadapannya kini, seekor serigala besar sedang menghampiri. Ya ! Dia tahu itu Ries.
Rantai yang berada di dalam pegangannya dibawa ke hidung serigala betina itu. Seketika, Ries umpama menghidu bau Ain yang melekat pada rantai itu.
"Find her now!" arah Zuhairie tegas. Namun, Ries masih diam seperti patung. Terkebil-kebil mata memandang wajah Zuhairie.
"NOW RIES!!" Jerkah Zuhairie kuat. Merah matanya menahan geram di hati. Kali ini baru Ries bergerak dan menghilang di sebalik pokok-pokok hutan. Menghilang di dalam kegelapan.
Zuhairie menggenggam rantai itu erat. Berharap sangat agar Ain berjaya dijumpai. Hutan ini bukan sebarang hutan. Semua jenis hidupan liar ada di sini. Sempat di mencium rantai itu sebelum bergerak mengikut langkah Ries.
•••••
Sorry lambat update gais....
Hohohoho
Korang dah mengundi? Ahahaha baru nak tanya *mata ke atas*
Sempena PRU, sis update hari ni. Bukan senang 5 tahun sekali baru ada.
Kalau esok cuti, sis update satu lagi esok. Kalau sekolah, sis mintak maaf sangat-sangat. Dua tiga hari lagi baru sis update.
Hahahha
Okay bye
Oh yaaaa..... Thanks sekali lagi Exolexi sebab bantu buat part ni... Muah
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro