Bab 8
MATA bening Johanees merenung skrin iPad di tangan. Membaca laporan kewangan syarikat yang dia minta secara senyap daripada Pak Cik Azam. Nampak gaya, banyak duit yang keluar tanpa tahu tujuan malah tidak dapat dikesan. Dia lepaskan keluhan. Hatinya berat mengatakan perkara ini berkait dengan ibu tirinya. Cuma, dia masih tak boleh nak buktikan apa-apa hanya dengan laporan ini sahaja.
Bila difikirkan, padanlah jika dia ditugaskan di bahagian pemasaran. Bekerja di bawah Maisara. Bukanlah tidak sudi nak ada ketua seperti Maisara, tapi itu bukan kepakarannya.
"Saya tak belajar marketing, aunty," bantahnya beberapa hari lepas semasa Suraya membuat keputusan meletakkannya di bahagian itu. Lebih teruk, di bawah pengawasan Maisara.
"Aunty tahu. Tapi, Sara bukan belajar marketing juga. Tak ada masalah pun semua tu. Aunty yakin Puteri boleh belajar. Puteri juga cakap akan belajar dari bawah? Betul tak?"
"Betul, aunty. Tapi, belajar dari bawah dalam bidang saya. Ini jauh sangat menyimpang. Saya nak bantu aunty dan syarikat ni dengan kemahiran saya. Saya harap sangat aunty ubah keputusan dan letak saya di bahagian akaun. Saya janji akan buat yang terbaik." Suaranya masih lembut. Memujuk. Harap sangat Aunty Suraya faham.
"Aunty faham. Tapi, eloklah kalau Johanees belajar dan timba pengalaman dekat semua bahagian. Siapa tahu, suatu hari nanti Johanees akan uruskan seluruh syarikat? Masa tu, Johanees dah tahu semua urusan di setiap bahagian yang ada. Pengalaman ni bagus untuk Johanees juga," ujar Suraya berdalih.
Johanees simpan senyum sinis. Dia pandang sekeliling ruang pejabat yang pernah ayah dan umi duduk. Sentuhannya sudah berbeza. Tiada lagi hasil hiasan arwah umi dan ayah. Dia sudah tidak kenal ruang pejabat ini.
Dia tahu, mustahil untuk Aunty Suraya kembalikan syarikat ini padanya seperti yang baru sahaja dikata. Namun, dia tetap pilih untuk tidak lagi membantah. Asalkan dapat membantu syarikat arwah ayah, tak kesahlah dari mana. Kerana dia pernah berjanji dengan ayah untuk membantu di syarikat setelah tamat pengajian.
IPad itu diletak di atas meja. Dia bersandar lemah. Otaknya ligat memikir. Apa yang dah jadi pada syarikat sepanjang ketiadaan dirinya? Dokumen juga banyak yang tidak lengkap. Jika ada pun, nampak seperti telah dipalsukan. Sejauh mana korupsi yang berlaku dalam syarikat itu?
Jika dahulu, dia tidak sedih kerana pembahagian harta itu. Kali ini berbeza. Biarpun syarikat ini bukan miliknya tapi ia dibangunkan oleh ayah dan umi. Hatinya sayu memikirkan kemungkinan syarikat ini akan gulung tikar. Ini hasil titik peluh dan jerih payah umi dan ayah.
Bagaimana jika syarikat ini benar-benar musnah begitu sahaja? Berat hati untuk terima dan sebelum perkara itu terjadi, dia tahu dia kena lakukan sesuatu. Tubuh diangkat. Johanees mahu berlalu ke katil bila daun pintu diketuk. Dia pantas rapat ke pintu dan wajah Suraya muncul di depan mata sebaik sahaja pintu dikuak.
"Aunty ganggu ke?"
"Taklah."
"Boleh aunty masuk?"
Pintu dilebarkan. Membiarkan Suraya masuk.
"Puteri buat apa tadi?" soal Suraya, lembut.
"Baring aje. Tak buat apa."
Suraya labuhkan duduk di kerusi arm-rest berwarna biru gelap itu. Johanees pula kembali duduk di atas kerusi di meja belajarnya.
"Aunty ada benda nak cakap dekat saya?" soal Johanees, sopan. Bila dia sekadar melihat Suraya yang nampak resah. Bagai ada perkara penting yang mahu dibicarakan.
"Hurm... Ada lah sikit. Tapi, betul ni aunty tak kacau Puteri?"
"Taklah. Saya memang tak buat apa. Baring-baring aje."
"Kalau gitu legalah aunty. Tapi, sebelum aunty cakap, boleh ke aunty tanya sesuatu?"
"Apa tu?"
"Macam mana kerja?" Senyuman tipis tergaris di atas bibir Suraya.
"Okey aje. Dah seminggu, kan? Banyak juga dah belajar. Tapi lebih banyak yang belum tahu. Saya akan terus berusaha," balas Johanees.
Saat ini, ringan mulutnya untuk bertanya tentang laporan tahunan syarikat yang dirasakan tidak tepat tapi mulutnya menjadi berat tiba-tiba. Sementelah, bukan urusannya di dalam syarikat itu. Jika ditanya, pasti Suraya dapat tahu yang Pak Cik Azam menyerahkan laporan sulit itu kepadanya. Dia tak nak bawa masalah kepada sesiapa. Terutama kepada Pak Cik Azam yang sudah sekian lama ada bersama ayah.
"Baguslah kalau macam tu. Aunty minta maaf kalau Puteri masih terasa hati sebab aunty letak Puteri bahagian pemasaran. Niat aunty baik. Aunty memang nak Puteri belajar di semua bahagian. Kutip pengalaman. Aunty harap Puteri faham niat baik aunty..."
"Jangan risau, aunty. Saya faham. Saya pun belum ada pengalaman. Saya selesa di tempat saya sekarang. Saya akan belajar dari bawah. Cari pengalaman dulu," balas Johanees, merendah diri.
"Fuh... Lega aunty dengar. Tapi, aunty datang ni bukan sebab kerja. Sebab lain."
"Macam penting aje." Johanees kerutkan dahi.
"Hurm... Ni pun tentang wasiat arwah ayah Puteri pada aunty."
"Ada lagi yang belum selesai? Saya ingat semua dah selesai?"
Wajah Suraya berubah seketika. Johanees hanya buat tidak nampak. Bukan niat nak menyindir tapi dia memang terkejut jika ada yang belum selesai.
"Ini yang arwah ayah Puteri pesan pada aunty setiap kali dia cakap tentang Puteri. Katanya, Puteri suka belajar. Beri Puteri belajar sampai tahap mana yang Puteri nak. Terus sokong. Cuma katanya, bila Puteri dah sampai usia dua puluh lima, ayah nak Puteri kahwin. Puteri dah ada calon?"
Johanees menggeleng laju. Dia terlalu sibuk dengan pengajian. Kawan tu ada tapi tiada yang istimewa. Hatinya belum terbuka.
"Saya belum sedia, aunty. Saya baru habis belajar dan baru start kerja."
"Itulah aunty nak cakap..." Suraya meraih tangan Johanees. Menatap mata bening anak ini.
"Aunty tahu Puteri akan tolak. Aunty cuma sampaikan pesanan arwah ayah Puteri. Jujurnya, dia dah ada calon untuk Puteri. Lelaki tu baik. Keluarganya juga baik. Rakan business kita juga..."
"Sekejap..." Dek rasa terkejut, Johanees pantas menarik tangannya dari genggaman Suraya. Sekali lagi, wajah wanita itu berubah.
"Ini tak betul." Johanees ketawa kecil. Bukan niatnya untuk sinis demikian tapi sungguh dia benar-benar terkejut.
"Macam mana ayah tak beritahu saya hal sepenting ni? Ini hidup saya. Bahagia saya. Nikah kahwin ni bukan macam main pondok-pondok."
"Mana ada mak ayah yang tak nak anak dia bahagia, Puteri? Sejak dulu, aunty tahu ayah Puteri beri Puteri semua benda. Puteri tak pernah susah..." Suraya katakan yang benar.
Itulah hakikatnya. Kulit mulus Johanees telah buktikan segalanya. Tidak seperti dia dan Maisara.
"Kali ini pun sama. Arwah ayah Puteri nak Puteri bahagia. Dia cari pasangan untuk Puteri yang baik daripada keluarga yang baik. Keluarga lelaki tu pun, memang berkenan dekat Puteri. Orang senang."
"Tapi, saya baru mula kerja..."
"Lepas kahwin pun boleh kerja. Dia tak akan halang dan aunty sendiri memang tunggu Puteri balik kerja dengan syarikat kita. Susah sangat ke Puteri nak tunaikan permintaan ayah Puteri?" Waktu ini, Suraya buat wajah sedih. Birai matanya juga berair.
"Masa dia cakap dekat aunty, aunty pun tak setuju tapi itu niat baik dia dan dia janji dengan nyawa yang lelaki itu baik..."
Johanees kelu seribu bahasa. Tak mampu berkata apa lagi. Dia pandang mata basah Suraya buat seketika sebelum bangkit dan membelakangi wanita itu.
"Aunty keluar dulu. Bagi saya fikir. Benda ni bukan main-main dan saya tak boleh nak hancurkan bahagia sendiri," ujarnya.
Suraya mengeluh berat. Bangkit dan berdiri di sisi Johanees.
"Aunty harap, ada berita baik daripada Puteri. Keluarga lelaki tu nak datang esok. Kalau Puteri tak berkenan, tak apa. Ayah Puteri pesan untuk tak paksa Puteri. Cuma, aunty nak cakap aunty dah kenal lama dengan keluarga pihak lelaki. Dia baik orangnya. Dah banyak bantu syarikat kita juga sejak sekian lama," ujarnya lantas berlalu keluar.
Sebaik sahaja daun pintu bilik dirapatkan, Johanees terduduk di birai katil. Terkejut. Benarkah itu pesanan daripada ayah? Tapi, dia masih ingat bila ayah mengatakan yang dia telah ada calon untuknya. Masa tu, dia masih di sekolah menengah. Jadi, dia buat tak endah. Apakah yang ini?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro