Bab 7
DUA kali panggilannya tak berjawab. Taufiq mengeluh kecewa. Pada saat dia memerlukan, dua orang sahabat baiknya sudah tidak mampu untuk ada bersama. Masing-masing punya tanggungjawab yang lebih penting dan dia faham tentang tu. Cumanya, kali ini dia rasa sangat memerlukan. Biasanya, dia tak mengganggu pun.
Dia masukkan telefon ke dalam poket seluar. Mahu berlalu masuk semula ke bilik. Angin malam sudah semakin galak berhembus. Dada yang hanya ditutup dengan sehelai baju T nipis terasa sedikit dingin. Tapi, hanya dua langkah dia menapak, telefonnya bergetar. Taufiq pantas menarik keluar. Bibirnya koyak dengan senyuman tipis bila nama Qadr muncul terlebih dahulu pada skrinnya.
Dia mengambil tempat di kerusi yang sedia ada di beranda biliknya. Menjawab panggilan video Qadr.
"Kenapa sampai video call?" soalnya.
"Aku risau sebab kau telefon aku dua kali. Biasanya kau telefon sekali aje. Bila lebih daripada satu ni, aku beranggapan kau dalam kecemasan. Kau okey, kan?" Suara Qadr jelas risau. Riak wajahnya juga sama.
Taufiq senyum tipis dan menggeleng perlahan. Seketika tadi, dia rasakan dua sahabat baiknya telah begitu jauh. Siapa sangka, mereka masih ada. Tak pernah pergi. Boleh jadi, dia yang lebih banyak memencilkan diri. Seperti yang mama cakap. Berkurung bagaikan anak dara.
"Fiq?" seru Qadr dengan suara yang sedikit menekan. Dia tadi baru nak tidurkan anak. Itu yang tak sempat nak jawab panggilan Taufiq. Ingatkan sekali, tapi bila kali kedua panggilan itu masuk, dia sudah tidak betah.
"Lai mana?" soal Taufiq. Masih belum sedia membuka mulut tentang apa yang mahu dia katakan.
"Tidurkan budak-budak."
"Kau dah habis kursus?"
"Dah. Dua hari lepas. Kau cakap cuti seminggu. Ada di kampung ke sekarang?" Giliran Qadr pula menyoal.
"Hurm. Semalam aku sampai."
"Marilah jumpa aku esok. Aku tak boleh keluar. Ada banyak report nak kena siapkan."
"Esok tak bolehlah. Aku ada urusan penting."
"Aik... Sejak bila kau tolak bila aku ajak jumpa? Bukan biasa kau ke yang bersungguh nak jumpa aku?" Qadr kerut dahi. Perkara penting apalah yang dimaksudkan ni? Gamaknya, perkara penting inilah yang membuatkan Taufiq menelefonnya hingga dua kali.
"Perkara penting kau tu... penting sangat ke? Urusan hidup mati?" usik Qadr. Dia langsung tak menduga.
Senyuman Taufiq terus koyak melihat air wajah Qadr yang jelas mengusik. Senyuman yang cariknya tidaklah lurus mana. Lebih kepada senyuman pasrah.
"Lain macam senyum kau, Fiq?" Nada Qadr berubah serius. Rasa bersalah pula mengusik Taufiq.
Jarang sangat Taufiq macam ni. Sahabat ini adalah setenang-tenang manusia. Tidak pernah melatah, jauh sekali mempertikai apa sahaja kejadian.
"Care to share?" soal Qadr lagi.
Mereka saling merenung buat seketika. Taufiq tunduk dan meraup wajah. Membetulkan kedudukan telefon agar wajah Qadr lebih jelas.
"Aku pergi jumpa kau esok. Esok aku ada hal penting dan sebelum aku pergi, aku nak sembang dulu dengan kawan-kawan aku..."
"Sembang atau tanya?" Qadr menduga.
Sepertinya dia dapat rasa, dari riak Taufiq... lelaki ini lebih mahukan pandangan dan kata-kata semangat. Tapi, dia akan hormati apa sahaja kata-kata Taufiq.
"Dua-dua kut," sela Taufiq.
"Okey. Cakaplah."
"Mama aku dah ada calon untuk aku."
"Calon bini ke?" Entah bila Ziyad terima panggilan video mereka dan menjerit dengan begitu kuat.
"Nur susah-susah tidurkan anak, abang jerit pulak."
Taufiq senyum bila dengar suara Nur di belakang. Tidaklah kasar, tapi lebih pada letih.
"Sorry, sayang. Abang sembang dekat luar." Wajah Ziyad hilang seketika di dada skrin. Tak lama, muncul kembali.
"Kenapa Nur tu?" soal Taufiq. Rindu juga nak berbual dengan Nur.
"Budak-budak demam. Merengek nak dengan dia. Mana nak dengan aku. Langsung tak nak bila aku ambik. Penatlah tu..."
"Kata sayang bini. Kau tak cuti ke anak sakit?" bebel Qadr.
"Aku cutilah ni. Kan aku dah cakap, anak-anak tak nak dengan aku. Nak berkepit dengan mak dia aje. Aku nak buat macam mana? Aku temankan mak dia ajelah," jawab Ziyad dengan ketawa gatal.
"Dasarnya perangai kau ni, Yad," selar Taufiq.
"Entah. Belum ada bini... miang. Dah ada bini... gatal. Dasar anak buluh betung," kutuk Qadr bersama tawa.
"Anak-anak kau pun ikut perangai kau. Nak berkepit aje dengan Nur dua puluh empat jam," tambah Taufiq lagi.
Ziyad ketawa. Langsung tak ambik hati sebab dia tahu itulah gurauan biasa dua orang kawan baiknya ini. Tapi, dia tidak akan nafi kerana itulah kenyataannya.
"Apa nak kata... susah nak dapat. Kau belum lalu lagi. Kau tahulah. Perasaan kau tu rasa nak dia ada aje dekat dengan kau. Betul tak, Qadr?" Ziyad mencari sokongan dan Qadr laju angguk.
"Betul-betul. Yang rare ni... macam tu lah. Kan, Yad?" Tawanya dan Ziyad bersabung.
Taufiq julingkan mata ke atas. Menyampahnya.
"Haaa... Tapi ini bukan soal kami, Fiq. Tapi kau. Sedang elok aku masuk tadi, kau mengaku mama kau dah ada calon. Esok tu nak pergi merisik ke, meminang ke... apa ke?" Ziyad berubah serius.
"Tak pastilah, Yad. Tengok gaya mama tu, macam nak nikah terus. Cara dia senyum tu, boleh nampaklah dia berkenan sangat dah. Itu mama kat bawah, tengah sibuk dengan Kak Mek dan Tiani siapkan apa nak bawak esok. Mula-mula aku rasa mama main-main. Tapi, sungguhlah. Dia tak main-main." Memikirkan cara mama, ngeri juga.
Dengan seseorang yang langsung dia tak kenal. Mampukah hatinya terima?
"Kiranya, kau risau apa akan jadi esok ke?" Qadr bertanya lanjut.
"Hurm. Jujurnya, aku bukan risau tapi lebih pada takut. Aku tak kenal siapa. Aku tanya nama pun, mama aku tak cakap. Rupa jangan cakaplah. Aku tanya gambar, mama aku cakap... tak payah gambar. Tengok sendiri. Dia cuma janjikan, tak kalah dengan Nur dan Lai."
"Dari segi rupa atau sikap?" soal Qadr dan Ziyad hampir serentak.
Taufiq ketawa. Betullah laki orang dua ketul ni.
"Dua-dua."
"Habis tu, apa nak takut? Itu dah terbaik dah tu. Percayalah dekat pilihan mama, Fiq. Ada masa, mata ibu ni... lain sikit cara dia pandang. Atau kau takut, kau tak boleh nak jatuh cinta pada dia?" Qadr jujur bertanya.
"Salah satunya."
"Cinta boleh dibentuk, Fiq. Nak acuan macam mana? Semua boleh. Jangan risaulah. Paling tidak, kau bukan jumpa dia macam aku jumpa Lai. Itu dah lebih dari baik," pujuk Qadr.
"Betul, Fiq. Aku setuju dengan Qadr. Tidak juga sama dengan aku dan Nur. Jangan takut sangat. Ikut aje mama kau. Dia mesti nak kau bahagia dan dia tak akan cari seseorang yang tak baik untuk kau. Paling penting aku nak tanya. Kau dah sedia ke?"
Taufiq dapat lihat sebelah kening Ziyad terjongket.
"Jawapan jujur ke jawapan menyedapkan telinga?" gurau Taufiq.
"Mestilah yang jujur," jawab Qadr pantas.
"Yang jujurnya... aku belum sedia sebab tiba-tiba aje. Cumanya, perkara yang tak terduga tu sering terjadi dalam hidup kita, kan? Jadi, aku berserah ajelah pada Tuhan."
"Yeah... Macam inilah kawan baik kami." Suara Qadr dan Ziyad berpadu.
"Bila Tuhan dah kata kau dan dia adalah jodoh, susah macam mana pun, Fiq... dia tetap akan jadi seseorang yang Tuhan ciptakan untuk kau," pujuk Qadr.
"Aku tahu."
"Apapun jadi, Fiq... Andai dia adalah yang ditakdirkan untuk kau... Tuhan akan buka hati masing-masing untuk terima baik dan buruknya," ujar Ziyad pula.
Taufiq senyum dan angguk. Mengerti. Kali ini, dadanya yang sejak siang tadi sendat, mula terasa lapang. Jika wanita inilah yang telah takdir berikan sebagai seseorang untuknya, dia akan terima dengan segala cinta yang mampu dizahirkan oleh jiwa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro