Bab 6
SAKIT kepalanya menjadi-jadi. Memikirkan masalah yang sedang berlalu. Dia masih tak temui jalan penyelesaiannya. Nak diharapkan anak perempuannya, Maisara seperti tidak tahu apa-apa. Lebih banyak menyusahkan daripada membantu. Jika tidak diselesaikan, dia akan hadapi tuntutan dan saman di mahkamah. Silap hari bulan, syarikat ini akan gulung tikar.
Dia tak boleh lagi hidup dalam kesusahan. Dipandang hina oleh masyarakat. Nak menukar pakaian baru setahun sekali pun susah. Bila dia berjaya berkahwin dengan Megat Johari, barulah hidupnya berubah. Masyarakat mula memandang tinggi padanya. Dia tak perlu mengira syiling untuk membeli keperluan. Kehidupan inilah yang mahu dikekalkan. Dia yakin dirinya akan bahagia dengan lelaki itu namun semua itu hanyalah harapannya sahaja.
Dia terlalu cepat menggantung harapan pada dahan yang cukup rapuh.
"Puteri satu-satunya anak ayah. Waris ayah. Cinta ayah pada umi tak akan pernah mati. Setiap kali lihat Puteri, hilang rindu ayah pada arwah umi. Ayah kahwin dengan Mama Suraya sebab nak bantu dia. Dia sendirian besarkan anak. Susah. Ayah juga nak beri Puteri seorang ibu. Tempat umi dalam hati ayah sangat istimewa dan Mama Suraya juga ada tempat tersendiri dalam diri ayah."
Bicara Megat Johari dan Johanees hanya baru dua hari dia masuk ke rumah besar itu, cukup membuatkan hatinya retak. Terngiang-ngiang hingga ke hari ini. Air matanya jatuh ke pipi. Tidaklah dia bersedih. Tapi, perasaan marah dan bencinya membara dan tidak lagi terpadamkan. Suami pertamanya meninggalkannya tanpa membiarkan dia mendapatkan satu sen pun harta. Dia tak akan benarkan Megat Johari juga lakukan hal yang sama. Jika benar demikian, jujurnya dia sendiri tak harapkan kasih sayang lelaki. Yang dia mahukan adalah kesenangan dan dia akan pastikan, itu semua ada bersamanya biarpun setelah Megat Johari pergi.
Dia tahu, di hati Megat Johari hanya ada arwah isterinya. Pada Megat Johari, hanya Johanees satu-satunya waris dan dia perlu melakukan sesuatu. Demi dirinya dan Maisara. Dia... tak akan sekali lagi ditinggalkan dan jatuh ke lembah kesusahan lantas dipandang hina. Tak akan!
Hari ini, dia berdepan dengan kesusahan. Sejak beberapa bulan lalu, ramai pekerja syarikat yang dibuang hanya kerana aliran tunai syarikat berada dalam keadaan tenat. Kini pula, dia mendapat surat peringatan dari syarikat usaha sama mereka.
Dia tahu, Dato' Talhah begitu baik orangnya. Namun, wanita ini juga digeruni kerana sikap tegasnya. Suraya terus memicit kepala bila pintu pejabatnya dibuka orang. Dia tahu siapakah gerangannya. Hanya Maisara seorang yang berani masuk begitu sahaja.
"Sara pergi mana? Sejak pagi mama cari," soal Suraya, tidak senang.
"Sorry, mama. Sara semalam ada buat photoshoot sikit. Tapi, ada masalah. Membawa ke pagi. Sara tak sedar. Penat sangat."
"Mama dah pesan. Tak payahlah jadi model. Elok dah kerja dekat sini dengan mama. Berapa sangat yang dapat jadi model tu?"
"Ala... Itu kan minat Sara sejak dulu..." Maisara mula hendak membentak. Tapi tak jadi, bila dia lihat mama seperti tak sihat.
"Mama okey ke ni?" Dia pantas mendekati Suraya. Memegang dahinya tapi suhu biasa aje.
"Mama sakit sikit sini..." Suraya tepuk dadanya.
Dahi Maisara berkerut.
"Sara tahu tak syarikat kita ni bakal gulung tikar sebab perangai Sara yang tak bertanggungjawab tu?"
"Eh, apa pulak salah Sara?" Tak senang bila dituduh demikian.
"Apa salah Sara? Boleh Sara tanya mama lepas dah berapa banyak mama terpaksa guna duit syarikat untuk penuhi apa yang Sara nak? Lepas tu, sales merosot teruk sejak Sara ambil alih. Mama letak Sara dekat situ sebagai ketua sebab Sara anak mama dan Sara janji nak berusaha. Dah dekat dua tahun. Sara tak dapat buktikan apa-apa lagi. Sekarang, semua orang dok desak mama pecat Sara..."
"Haaa... Apa lagi? Pecat ajelah." Maisara julingkan mata ke atas. Sejak bila mama jadi annoying macam ni entah.
"Sara masuk ofis ni sebab nak kan share milik Sara aje. Bukan sebab Sara minat semua ni. Mama sendiri memang dah tahu tentang ni, kan? Jadinya, mama tak boleh nak salahkan Sara kalau Sara tak perform. Sara dah buat yang terbaik." Suara Maisara melengking.
"Sara ingat semudah tu?" selar Suraya. Menjerkah.
"Memang mama dah tahu tapi setidak-tidaknya boleh tak Sara buat yang terbaik selama ada dalam syarikat ni? Orang pandang tahu tak? Diorang semua memang tahu sejak awal yang Sara memang tak boleh tapi mama letak juga Sara kerja sebagai ketua pemasaran sebab Sara anak mama. Lepas apa yang mama buat dan usahakan untuk Sara, macam mana Sara boleh cakap macam tu dengan mama?" Sungguh... kecewanya tak terkata dengan Maisara. Namun, kerana Maisara adalah anak kandungnya, dia tak akan sesekali buang anak ini.
Mata Maisara terkebil-kebil. Pertama kali dia dengar mama menjerit padanya. Dia boleh nampak dengan jelas kekecewaan mama.
"Mama sendiri akan ke penjara tahu tak kalau diorang jumpa ke mana aliran tunai syarikat ni pergi sampaikan kita hampir muflis? Sara nak mama masuk penjara ke?" marah Suraya lagi.
Bibir Maisara bergetar. Terkejut. Dia dekati Suraya dan memeluknya erat.
"Mama... Sara minta maaf. Sara tak tahu."
"Sehari dua lagi, Puteri akan masuk kerja dekat sini. Sara tahu kan, dia memang pakar bidang akaun. Sekelip mata aje dia boleh tangkap semua tu. Macam mana lagi mama nak sorok?" Kali ini, suara Suraya lebih pada keluhan.
"Mama!" Tubuh Maisara tegak.
"Sebut pasal Puteri, dia ada dekat luar tadi. Dah sampai. Katanya, nak jumpa mama di rumah. Dia saja datang ziarah pekerja lama ayah dia. Mama rasa..." Wajah Maisara cuak.
Suraya juga terdiam. Berfikir dan terus berfikir. Tubuhnya juga tegak tiba-tiba bila teringat khabar angin tentang Dato' Talhah. Dia tahu, wanita itu satu-satunya yang dapat menolong syarikatnya sekarang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro