Bab 5
TAK lama setelah ayah pergi, dia buat keputusan untuk menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana. Menyibukkan diri dengan kuliah, sedikit sebanyak otaknya tidak terbeban dengan kerinduan pada ayah dan umi. Kerana dia tahu, semuanya benar-benar berubah. Wanita itu bukan lagi mama untuknya. Wanita itu melarang dia untuk memanggil mama sejak awal. Dengan alasan terasa janggal. Dia juga tidak kesah.
Kini, hampir tiga tahun berlalu. Dia tamatkan pengajian dengan jaya. Bersedia untuk membantu di dalam syarikat ayah. Tidak kesahlah bermula dari mana. Dia hanya mahu ada dan menjadi sebahagian dalam syarikat yang telah ayah dan umi bangunkan dengan susah payah. Berada di tempat yang mana pernah menjadi taman permainan semasa dia masih kecil. Berlari ke sana sini.
Pertama kali menjejakkan kaki di dalam syarikat, suasananya sudah berbeza. Tapi, dia masih tersenyum bila melihat sebuah pasu lama yang pernah pecah dan digam oleh pekerja ayah kerana dia merayu. Bimbang dimarahi. Nampaknya, pasu itu masih utuh di situ.
Perlahan-lahan, dia mendekati dan mengusap pasu itu. Berhabuk.
"Maaf, cik ni nak jumpa siapa, ya?" tegur seseorang.
Johanees menoleh. Lelaki itu merenungnya lama. Johanees senyum. Dia cam wajah ini. Pak cik Azam. Orang kanan ayah.
"Apa khabar, pak cik? Ini saya... Puteri."
Mata lelaki itu membulat. Terkejut.
"Bila balik? Pak cik dengar kata Puteri sambung master, kan?"
"Dah habis dalam dua minggu. Saja datang sini nak tengok kawasan dulu sebelum masuk kerja. Ada kerja kosong tak untuk saya?" soal Johanees, mesra.
"Eh, mesti ada. Arwah ayah Puteri dah sediakan satu tempat khusus untuk Puteri. Tapi, Puteri tahu kan... semua dah tak macam dulu. Boleh jadi tempat tu masih ada, boleh jadi juga dah tak ada," ujar Pak Cik Azam dengan nada sayu. Senyumannya juga pincang.
"Saya faham, pak cik," balas Johanees. Faham dengan apa yang disampaikan.
"Saya percaya pada rezeki. Jika ada tempat untuk saya di sini, adalah. Kalau tak ada, pun tak apa. Saya akan cari di tempat lain. Ayah selalu pesan, Tuhan tak akan kecewakan hamba yang berusaha dan bersabar," tambahnya lagi.
Pak Cik Azam senyum tipis. Lega mendengar jawapan itu tapi sebahagian besar hatinya merasa cukup simpati dengan pewaris empayar gergasi ini yang patutnya tidak perlu berusaha banyak.
"Ini kira dah sedia nak masuk kerjalah, ya?"
"Ya, pak cik. Saya akan jumpa Aunty Suraya dulu..."
"Aunty?" Pak Cik Azam kerut kening buat seketika sebelum dia berdeham sekali.
"Boleh-boleh. Mana-mana aje Puteri diletakkan, pak cik akan bantu."
Johanees senyum dan mengangguk. Harapnya, Aunty Suraya hargai kelulusannya dalam bidang pengurusan akaun dan meletakkannya di tempat di mana dia boleh gunakan pengetahuannya sebaik mungkin biarpun sebagai pembantu.
Dia ralit bersembang dengan Pak Cik Azam tentang kisah lalu bila dia dengar bunyi tumit kasut mendekati.
"Eh, Johanees?"
Johanees menoleh. Maisara mendekati. Dengan senyuman yang nyata tidak tulus. Kut ya tak sukakan dia, tak perlulah tunjuk sangat. Tapi, apa yang dilihat sekarang adalah, Maisara benar-benar telah berubah. Tiada lagi tudung yang menutup kepala. Malah, pakaiannya agak mencolok mata.
"Bila kau balik?"
"Baru sampai. Terus datang sini."
"Nak jumpa mama?"
"Taklah. Tak nak kacau Aunty Su. Dia tengah sibuk tu. Saja datang ziarah. Nanti aku jumpa Aunty Su dekat rumah aje."
Sebelah kening Maisara terjongket melihat Johanees atas bawah.
"Kalau macam tu, okeylah. Aku masuk jumpa mama kejap. Ada hal penting..." Maisara menyelak rambutnya hingga terkena wajah Johanees.
Dahi Johanees berkerut dan dia pandang Pak Cik Azam yang menggeleng tak puas hati.
"Apa kerja dia dekat sini, pak cik?" Setahunya, Maisara graduan bidang MassComm.
"Sales... tapi makin hari makin teruk sejak dia jadi bos dekat bahagian jualan. Budak-budak ramai kompelin."
Johanees diam. Aunty Su tak pernah cakap apa-apa tentang keadaan syarikat.
"Sejak bila dia berubah?"
"Tak lama lepas ayah Puteri tak ada dan tak lama lepas Puteri pergi belajar. Macam itulah dia..." Pak Cik Azam senyum tawar.
"Perubahan ni adalah sesuatu yang dituntut oleh agama kita. Tapi, perubahan itu biarlah ke arah kebaikan. Sikit demi sedikit tak apa. Rugilah jika seseorang tu berubah tapi perubahan itu ke arah sebaliknya," ujar Pak Azam lagi.
Johanees hanya mendengar. Tidak berkata apa. Jurang antara mereka telah terlalu jauh. Wanita itu pernah dia panggil kakak suatu ketika dahulu tapi sekarang, tidak lagi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro