Bab 4
KELOPAK mata yang dirasakan melekap itu, dibuka juga. Berkali-kali dia memisat mata melihat sekeliling. Dia tidak lagi berada di kolej. Ini adalah biliknya. Sejak dulu, bilik ini tak pernah berubah. Hiasan dan kedudukan perabot sentiasa sama. Sepertimana yang arwah umi letak, dia kekalkan begitu.
Tiba-tiba sahaja bibirnya bergetar. Dia ingat kenapa dia tiba-tiba balik dengan tergesa-gesa. Dia ingat dia terima berita kematian ayah seperti tiada apa. Lebih luka, ayah telah meninggal dua hari lepas dan baru semalam diberitahu padanya.
Dadanya dihentak sebak. Air matanya mengalir lesu menuruni juring mata. Johanees tak mampu berbuat apa. Sekujur tubuhnya bagai kehilangan kekuatan. Tiada berkudrat. Tak apa umi pergi. Dia kuat. Dia diajar untuk reda dan terima segala ketentuan Tuhan. Siapalah dia sebagai hamba untuk menafi. Dia juga dididik, Tuhan akan hadirkan pengganti. Tak apalah tak sama. Kerana setiapnya pasti ada istimewa.
Sekarang, ayah pergi... Bukan dia tak reda sepertimana dia hadapi kepergian umi. Tapi, dia terasa ralat kerana dia tidak tahu tentang kesihatan ayah. Dia tak sempat tatap wajah kaku ayah buat terakhir kali.
Tangisan bisu itu, akhirnya berubah menjadi esakan yang kuat. Hinggakan Nenek Gayah muncul dengan riak risau. Tidak berkata apa, melainkan memanjat katil. Terus memujuk dan memeluknya seerat mungkin.
Petang itu, dia sudah sedia untuk menziarah pusara ayah bila seorang peguam muncul di rumah. Ada bersama ibu dan kakak tirinya.
"Johanees nak pergi mana? Mari duduk sini dulu. Ada benda penting ni," ujar Suraya. Suaranya mendatar dan lebih pada arahan. Tiada lagi kemesraan yang sebelum ini diberikan.
Johanees memandang Nenek Gayah di sisi.
"Pergilah dulu. Nenek tunggu dekat luar, ya?" Pipi anak itu diusap mesra.
Johanees angguk dan mendekati ruang tetamu. Duduk di kerusi di mana ayah selalu duduk di situ. Dia pandang lelaki yang segak berkot hitam. Nampak beberapa dokumen sudah sedia terbentang di atas meja.
"Okeylah, Tuan Zul. Semua dah ada ni. Bolehlah mulakan..." suruh Suraya. Bersandar tenang.
"Baiklah, Puan Suraya."
Johanees sempat mengerling Suraya. Air wajah Suraya tidak sama seperti air wajah ayah di mana awal kepergian umi. Tiada langsung riak sedih dan suram. Tidaklah dia harap Suraya meratap, namun dia harap dia dapat rasa keikhlasan wanita ini.
"Memandangkan tiga penama yang disebut dalam wasiat hibah ini ada bersama, saya akan bacakan pembahagian harta yang dibuat oleh arwah Encik Megat Johari bin Megat Johar. Penerima pertama adalah isteri arwah, Puan Suraya binti Borhan. Semua saham syarikat, rumah ini dan juga kilang dan lapan puluh peratus daripada semua simpanan tunai akan diserahkan kepada puan. Penerima kedua adalah Cik Maisara binti Samsol, akan menerima dua puluh peratus daripada semua simpanan tunai dan juga saham syarikat. Cik juga adalah diminta untuk membantu Puan Suraya dalam menguruskan syarikat bagi mendapatkan bahagian saham tersebut. Penerima ketiga dan yang terakhir adalah, Cik Puteri Johanees binti Megat Johari, akan menerima sepuluh peratus daripada jumlah simpanan tunai serta saham syarikat dan cik juga perlu bekerja di syarikat bagi melayakkan cik mendapat hak bahagian saham tersebut seperti yang termaktub di dalam wasiat arwah Encik Megat Johari bin Megat Johar. Walau bagaimanapun, Cik Puteri Johanees akan dibiayai sepenuhnya oleh Puan Suraya binti Samsol jika Cik Johanees memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya. Adakah semua jelas dengan apa yang telah dibaca?" Mata peguam itu bergerak dari sepasang mata ke sepasang mata.
Dua pasang mata itu bersinar galak. Tapi, tidak bila pandangannya singgah pada sepasang mata milik Johanees. Suram tidak berdaya. Tidak memberi sebarang reaksi.
"Kami faham, Tuan Zul," balas Suraya dan Maisara dengan senyuman lebar.
"Macam mana dengan kamu, Puteri?" soalnya pada Johanees.
"Saya faham..."
Suraya kekalkan senyuman hinggalah segala urusan pembahagian harta itu selesai. Seperti tadi, Johanees tidak banyak bersuara. Hanya mengucapkan terima kasih, mengangkat tubuh dan berlalu keluar.
Nenek Gayah yang mendengar urusan pembahagian harta, gamam tak terkata. Dadanya berdebar kencang mendengar setiap yang dibaca. Pewaris yang benar berhak, tidak diberikan seperti sepatutnya. Dalam keadaan sekarang, dia tahu Johanees tak boleh berfikir waras.
Malam itu, dia dekati Johanees yang sedang membaca di beranda bilik. Membawa segelas air untuk anak itu. Johanees terlalu banyak mengalirkan air mata. Sampaikan dia sendiri sudah tidak berdaya memujuk.
"Nenek tahu itu bukan hak nenek nak soal. Tapi, Puteri tahu kan... pembahagian itu tak adil?"
Johanees angguk. Mendongak ke langit yang kelam. Sekelam perasaannya saat ini.
"Kenapa Puteri tak bantah?"
"Itu keputusan ayah, nenek. Nenek sendiri tahu, Puteri tak pernah bantah keputusan ayah. Apa aje yang ayah buat selama ni untuk kebaikan Puteri dan Puteri tahu, ini pun pasti ada kebaikan yang tersembunyi," jawabnya perlahan.
"Tak betul tu, Puteri. Paling tidak, Puteri kena dapatkan hak Puteri. Puteri berhak. Puteri satu-satunya anak kandung arwah. Sedangkan anak tiri pun dapat lebih daripada Puteri."
"Tak apalah, nenek." Johanees toleh. Mengoyak senyum. Seperti memujuk lara di hati Nenek Gayah sedangkan hati juga terluka parah.
"Ayah dah tinggalkan banyak untuk Puteri. Ayah masih fikirkan kebajikan Puteri. Puteri pun akan sambung belajar lagi. Lepas tu, Puteri akan balik untuk kerja dengan aunty dalam syarikat ayah seperti yang ayah wasiatkan. Puteri akan bantu dalam syarikat tu. Nenek jangan risaukan Puteri. Puteri okey." Kali ini, jawapannya lebih pada memujuk.
Dia tahu Nenek Gayah rasa semua ini tidak adil. Dia juga merasakan yang sama. Tapi, tak mengapalah. Dah begitu keputusan ayah. Dia akur. Dia tahu dia mampu hidup sendiri. Usah direbut harta dan menyusahkan si mati.
"Umi dan ayah selalu cakap dekat Puteri, nek. Dalam dunia ni... tiada satu pun hak mutlak kita. Puteri reda..." ujar Johanees perlahan. Mendongak semula ke langit.
Air matanya mengalir lagi melalui juring mata. Bukan kerana harta yang tidak ditinggalkan untuknya. Tapi, kerana rasa rindu yang dia tahu... tiada lagi penawarnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro