Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

SENYUMAN pada bibir Johanees koyak lebar. Bila teringatkan kenangan indah bersama ayah. Kenangan yang telah begitu jauh ditinggalkan. Kerana yang jauh itu adalah masa lalu. Betapa dia mahu menggapainya pun, dia tidak akan pernah mampu.

Dia hidup adalah untuk hari ini. Hari yang begitu berbeza sekarang. Punya ibu dan kakak, tapi dia sebenarnya sebatang kara. Di dalam rumah ini, dia masih bertahan hanya kerana Nenek Gayah sahaja. Setelah ayah pergi semasa dia sedang hadapi peperiksaan tahun akhir pengajiannya, semuanya telah berbeza.

Dia ibarat tetamu tak diundang di dalam rumah sendiri dan dia masih ingat dengan jelas saat di mana dia hadapi berita pemergian ayah.

"Kenapa lepas dua hari, aunty? Tak boleh ke mama WhatsApp aje saya? Saya akan terus balik," ujar Johanees dengan tangisan yang tinggi.

Remuk-redam hatinya. Lebur jiwa. Hancur perasaannya. Sampai hati mama mengambil tindakan demikian.

"Ayah Puteri sendiri pesan jangan ganggu. Puteri tengah periksa. Dia tak nak Puteri terganggu..."

"Tapi, ini urusan hidup mati. Saya tahu kita tak boleh sekat ajal tapi saya nak tatap wajah ayah buat kali terakhir. Kenapa aunty buat macam tu?"

"Sebab aunty tak nak biarkan jenazah ayah Puteri lama-lama di situ. Nak tunggu Puteri balik berapa lama baru sampai? Dia dah pesan segerakan semuanya. Tak kan aunty nak terus tunggu Puteri?"

"Saya tahu tu. Tapi, saya boleh naik flight, kan?"

"Kau tengah periksa!" jerkah Suraya. Penat melayan bantahan demi bantahan yang terbit dari celah bibir Johanees. Apa yang susah sangat nak faham?

"Saya tak peduli semua tu! Yang saya peduli adalah ayah saya!" Johanees turut sama menjerit.

Pertama kali dalam hidup suaranya nyaring dan membawa gema di seluruh ruang rumah. Hinggakan Nenek Gayah dan dua orang lagi pembantu rumah mereka keluar menjengah.

"Kenapa aunty buat keputusan kejam macam tu? Saya anak kandung dia. Saya berhak uruskan jenazah ayah!" Johanees terus mengamuk.

Bukan dia tidak reda kerana dia tahu, syarat mati itu hanya hidup. Tiada yang berkecuali. Namun, kepergian ayah tiba-tiba dan dia tidak tahu selama ini ayah dah beberapa bulan sakit, cukup membuatkan luka di hati parah.

Hampir setiap hari dia membuat panggilan video dengan ayah. Dia hanya bercerita tentang dirinya sahaja. Kehidupan seharian di kampus. Tentang apa yang dimakan, apa yang diminum dan apa yang dia buat. Dia langsung tak perhatikan air wajah ayah. Anak jenis apalah dia ini sedangkan ayah telah berikan segalanya untuk dirinya.

"Puteri minta ampun, ayah..." Johanees mengongoi tanpa henti. Tubuhnya jatuh melorot di atas marmar putih itu. Lemah selemahnya.

Dia tidak sedar bila Nenek Gayah mendekati dan memeluknya. Dia hanya sedar bila tangan tua itu mengesat air matanya. Mengusap rambutnya yang panjang.

"Nenekkk..." panggil Johanees dengan suara merengek.

"Kenapa semua ni mesti jadi pada Puteri, nek?" soalnya dalam tangisan yang kian panjang.

"Sabarlah, nak. Dah itu perjanjian Tuhan dengan hamba-Nya. Tiada hak kita nak pertikai. Puteri kena sabar. Akan ada yang baik Tuhan hantarkan untuk Puteri nanti. Sabar, ya nak?" Tubuh halus yang sedang menggigil itu, dipeluk erat.

Nenek Gayah mengerling pada isteri majikannya. Suraya dan anaknya, Maisara sedang berdiri melihat Johanees tanpa rasa simpati. Dia tahu sejak dulu, wanita itu tidak pernah menyayangi Johanees. Semasa kematian majikannya, dia juga sedang bercuti. Berita ini disampaikan padanya baru semalam. Dia bergegas balik ke sini dan pagi ini, Johanees muncul dengan mata bengkak.

Hati anak mana yang tidak walang bila mengetahui berita kematian sang ayah hanya selepas dua hari kepergiannya? Johanees terlalu manja dengan arwah Encik Megat Johari. Terlalu manja. Apatah lagi setelah arwah Puan Khaleeda pergi.

Kini, bila Megat Johari juga pergi... Johanees nampak begitu terpukul.

"Puteri rindu ayah, nenek..." adunya dengan tangisan sayu.

"Ya, nenek tahu. Sabar, ya? Mari nenek teman masuk bilik dulu. Puteri baru sampai ni. Penat. Mari naik. Rehat dulu. Nanti kita ajak atuk ziarah pusara ayah, ya?" pujuknya lembut.

Dengan kudrat tuanya, dia berjaya juga angkat Johanees bangkit. Dipimpin ke atas. Anak itu akhirnya lena dalam sendu. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro