Bab 2
SEBAGAI anak tunggal, dia dilayan bagaikan seorang puteri. Segalanya serba-serbi lengkap. Biarpun dia tak meminta, tapi ayah dan umi sediakan lebih. Dia tidak pernah susah dan sentiasa bahagia. Tidak juga lupa diri. Jauh sekali hendak berbangga lahir dalam keluarga yang berharta. Arwah umi sentiasa mengajarnya untuk menghargai, memberi dan berterima kasih untuk segalanya.
Namun, benarlah janji Tuhan. Segala yang ada di dunia hanyalah pinjaman. Sampai ketika, akan dituntut kembali oleh Sang Pemilik. Umi pergi bila dia hanya berusia sepuluh tahun. Segalanya kelam. Tapi, pesanan umi sentiasa melekap di dalam kepala. Redalah dengan segalanya. Yang patah akan tumbuh, yang hilang pasti berganti. Biarpun tidak serupa, setiapnya ada yang istimewa.
Dia dan ayah, bahagia dengan cara mereka biarpun umi tiada. Dia masih menjadi seorang puteri di dalam rumah besar ini. Biarpun ayah sibuk dengan perniagaan, ayah masih punya masa untuknya. Langsung tidak merasa diabaikan.
Kisah itu telah berlalu. Sekarang, biarpun dia masih lagi seorang puteri di dalam rumah besar ini dan masih bahagia, tapi makna bahagia itu sudah sedikit berbeza sebenarnya bila ayah temui pengganti setelah setahun umi pergi. Suasana di dalam rumah ini menjadi agak canggung. Banyak masa, dia berkurung di dalam bilik jika tidak turun berbual dengan pembantu rumahnya.
"Kenapa ayah nak kahwin lain? Kan umi baru meninggal setahun? Puteri rasa macam baru lagi umi pergi." Johanees masih ingat soalan yang dia tanya pada ayah.
Saat ini, apalah anak yang berusia sebelas tahun mengerti tentang sesuatu hubungan. Dia cuba untuk tidak terlalu meratap dengan kepergian umi kerana itulah pesanan umi sebelum umi mengucap syahadah. Malah, dia tidak mahu ayah terus bimbang akan dirinya jika dia terus bersedih. Sedih itu disimpan dan ada masanya diluah pada Nenek Gayah sahaja. Kerana dia sedar, jika dia begitu terasa dengan kepergian umi, ayah pastilah lebih lagi memandangkan ayah telah hidup dengan arwah umi lebih lama berbanding dengan dirinya.
"Kenapa Puteri tanya soalan tu?" Ayah menyoal kembali dengan nada yang cukup lembut. Bersulam senyum.
"Puteri nak tahu. Sebab tu, Puteri tanya..."
"Puteri budak-budak lagi. Puteri tak faham walaupun ayah cerita. Tapi, yang ayah boleh beritahu sekarang adalah, ayah tahu Puteri perlukan seorang ibu. Sebab tu ayah kahwin dengan mama Puteri sekarang."
"Tapi, dia bukan umi. Dia tak lahirkan Puteri," balas Johanees. Sedikit keras.
Megat Johari usap kepala anak perempuan kesayangannya itu kerana inilah satu-satunya zuriat yang dia ada. Dunia akhirat.
"Betul. Dia bukan umi. Dia tak lahirkan Puteri. Tapi, hubungan ni, sayang... bukan hanya sebab tu. Kasih sayang ni tak terbatas. Biarpun tiada pertalian darah, tapi kasih sayang itu akan menyambung silaturahim. Sejak dulu, ayah sibuk dengan kerja. Jarang-jarang dapat ada dengan Puteri. Ayah tahu, Puteri sunyi..."
"Puteri tak rasa macam tu. Ayah ada masa untuk Puteri," bantah Johanees.
Dia tahu itu. Dia sedar setiap kali ayah balik lewat malam ayah akan masuk ke biliknya. Menciumnya dan barulah ayah pergi. Setiap pagi juga, biarpun ayah dah sediakan pemandu untuk menghantarnya ke sekolah, ayah pilih untuk hantar dia ke sekolah dan kala itulah, dia akan bercerita tak henti. Ayah juga tak pernah gagal hadir ke sekolah untuk apa sahaja urusan.
Itu sudah lebih daripada cukup.
"Apa yang ayah buat selama ni, ayah tak rasa cukup. Ayah rasa bersalah sangat pada Puteri dan arwah umi. Ayah dah janji akan jaga Puteri. Korbankan segalanya untuk satu-satunya anak ayah. Tapi, ayah gagal. Paling tidak sekarang, Puteri ada kasih sayang ayah dan ibu. Ayah nak berikan keluarga lengkap untuk Puteri. Dan... rezeki Tuhan bagi, Puteri juga ada kakak sekarang. Adalah kawan bermain. Tak adalah Puteri kacau Nenek Gayah aje..."
"Puteri tak kacaulah. Nenek Gayah suka dekat Puteri," marah Johanees, manja. Dia dah lupa tentang tujuan asal perbualan mereka.
"Ya, ayah tahu. Puteri adalah yang paling disayangi, dimanjai dalam rumah ni. Puteri ayah dan umi. Jadinya, Puteri terima ya... Mama Suraya dan Kak Sara. Ingat ayah pesan. Hubungan darah menjadikan kita keluarga tapi tak ada pertalian darah juga, hubungan itu akan terbentuk dengan kasih sayang," pesan Megat Johari.
"Baik, ayah..." Johanees akhirnya akur. Dia senyum dan angguk lantas memeluk lengan ayah.
Dia tahu, esok ibu tiri dan kakak tirinya akan mula tinggal dengan mereka. Seingat dia, Sara lebih tua empat tahun daripada dia. Rasa bahagia menyelinap masuk ke dalam diri. Rasa tak selesa itu diganti dengan rasa teruja. Bila ayah katakan demikian, barulah dia sedar yang selama ini dia agak kesunyian. Selain Nenek Gayah, dia tiada kawan. Sekarang, dia ada seorang kakak yang boleh dijadikan kawan.
"Lepas ni, Puteri tak cara dah dekat ayah," bisik Johanees, mengusik.
"Wah... Ini dah jadi kacang lupakan kulit ni..." balas Megat Johari. Dia ketawa. Lega bila akhirnya, anak ini sudah senyum dan kembali ceria.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro