Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

MATA kuyunya terus menatap sekujur tubuh sendiri dalam cermin besar. Nampak segak dan kemas dengan baju Melayu cekak musang berwarna putih. Senyuman tipis terjongket pada hujung bibir. Macam tak percaya dia akan menjadi seorang suami sekejap aje lagi. Siapa sangka, perancangan Tuhan padanya. Dan siapa pula dirinya untuk menyangkal. Jika telah dijentik hatinya untuk akur dengan pilihan mama, ini juga kerana kehendak Ilahi.

Seketika, dia pejamkan mata. Mengingati bicara mereka. Biarpun untuk seketika, segalanya cukup membawa makna.

"Ehem... Ehem..."

Taufiq menoleh ke pintu bila terdengar suara. Seperti biasa, budak bertuah ini pasti akan datang untuk mengusiknya.

"Oh, maaf... Saya salah masuk bilik." Tiani buat muka cuak.

"Salah bilik apa?" Taufiq tak faham.

"Maaf-maaf, encik. Kami cari abang kami. Nampak gaya salah bilik ni..." Giliran Teratai Nur pula bersuara.

"Korang berdua ni..." Taufiq cekak pinggang.

"...nak kena tibai ke apa?" Matanya dicelik.

Tawa Teratai Nur dan Tiani bergabung. Mereka berdua menapak masuk. Duduk di atas kerusi.

"Segak betul Abang Fiq hari ni. Rasa macam tak berkelip Nur tengok abang," puji Teratai Nur.

"Kan... abang pun terkejut." Taufiq membalas bersahaja. Memandang cermin dan membetulkan rambutnya.

Dari cermin, dia dapat lihat Tiani buat muka geli. Tapi, dia masih dengan wajah meyakinkan.

"Bukan abang tak pernah pakai baju putih. Uniform abang putih apa. Bila pakai baju Melayu ni, lain macam pulak kekacakan abang terserlah. Tapi, itulah kan. Orang kacak ni, pakai apa pun memang tetap kacak. Ular ni, macam mana menyusur akar pun, bisa tu tak akan hilang," seloroh Taufiq, memuji diri.

"Atai... mari kita keluar. Ini aku malas nak dengar ni." Tiani julingkan mata ke atas.

"Alaaa... Betullah, Tia. Cuba kau perhati. Tak puas aku tengok." Teratai Nur masih galak memuji kerana itulah kenyataannya.

"Mesti Nur rasa menyesal kahwin dengan Ziyad, kan? Patut pilih abang. Betul tak?"

"Betul-betul," sahut Teratai Nur dengan tawa mengekek kerana dia tahu, Taufiq hanya bergurau.

"Haaa... Gelaklah kuat-kuat. Dengar dek Ziyad nanti, lebam mata abang," cantas Tiani.

"Alaaa... Bosanlah Tia. Tak boleh bergurau langsung. Apalah dosa abang ada adik macam Tia. Nasib baik Tuhan bagi seorang lagi adik macam Teratai Nur. Kurang sikit rasa sedih abang."

Sekali lagi, tawa Taufiq dan Teratai Nur bersabung bila melihat Tiani tarik muncung. Kemudian, Tiani juga ketawa. Dia dekati abangnya. Memeluk lengan sasa itu erat.

"Dah kahwin nanti, jangan lupa abang ada dua orang adik perempuan, ya? Kami tak puas lagi nak mengada-ada dengan abang."

"Eh, mana boleh lupa. Dia isteri. Korang berdua adik," balas Taufiq. Memeluk Tiani erat. Matanya pula memandang Teratai Nur dengan senyuman mesra.

"Tapi, Abang Fiq betul okey ke ni?" Jujurnya, Teratai Nur agak risau bila mendengar cerita daripada Kak Mek dan Puan Talhah sendiri.

"Okey aje. Mama dah berkenan sangat. Abang Fiq ikut aje."

"Kalau macam tu, tak apalah. Atai doakan Abang Fiq bahagia selamanya."

"Tia doakan abang juga. Kalau isteri abang buli abang, beritahu kami. Tahulah kami ajar dia..."

"Mana boleh dia buli abang. Abang tak akan benarkan dia buli abang. Tapi, abang rasa abang yang akan buli dia," gurau Taufiq pula lantas ketawa.

Tiani buat muka. Teratai Nur juga.

"Mama suruh kami naik panggil abang. Nak bertolak dah. Takut jalan sesak. Sampai lambat nanti..."

"Yalah. Abang turun kejap lagi. Tia dengan Atai turun dulu."

Akur dengan permintaan Taufiq, Teratai Nur dan Tiani keluar terlebih dahulu. Taufiq sekali lagi menatap dirinya di dalam cermin. Tangannya mencapai songkok dan diletak di atas kepala. Melengkapkan gaya bakal pengantin. Dia menoleh mahu keluar bila dua orang sahabatnya muncul di muka pintu.

"Dah bersedia?" Ziyad dan Qadr sengih lebar.

"Aku dah lebih daripada bersedia," balas Taufiq pula.

Kerana dia tahu, dalam hidup ini terlalu banyak perkara yang tak terduga terjadi tiba-tiba. Sebagai manusia, dia hanya perlu sentiasa bersedia untuk terima segala apa kemungkinan.

Kali ini adalah tentang jodoh. Tidak mencari namun dibawa ke depan mata.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro