Bab 14
MUNGKIN kerana bunga di hati berkembang mekar semalam, Johanees hampir tak dapat lelapkan mata. Membayangkan kehadiran lelaki asing itu dalam hidupnya. Dan dalam sekelip mata akan menjadi peneman hidupnya. Pagi ini, dia akan menjadi seorang isteri. Tak mengapalah jika dia perlu berpindah keluar. Rumah ini bukan lagi untuknya. Daripada terus merasa tidak selesa, mungkin ini adalah yang terbaik. Walaupun berat hati mahu meninggalkan segala kenangan dan juga Nenek Gayah yang ada sebelum kewujudannya di atas muka bumi ini.
Pintu bilik diketuk. Saat ini, Johanees baru sahaja siap merapikan selendang yang membalut kepalanya. Tanpa dibantu sesiapa. Kerana majlis mereka juga agak sederhana walaupun di bawah sana, terpasang empat buah kanopi.
"Puteri dah siap?" soal Nenek Gayah lembut.
"Dah."
Nenek Gayah merenung anak asuhannya dengan pandangan kabur. Waktu ini benar-benar tiba. Merenung wajah ini, tak puas mata tuanya memandang keindahan di depan mata. Tak dapat dia bayangkan bila pandangan mata kuyu milik anak teruna itu jatuh pada seraut wajah ini.
"Cantik cucu nenek yang nenek jaga sejak bayi," puji Nenek Gayah seraya mengusap pipi Johanees.
Johanees senyum menahan sebak.
"Lepas ni, Puteri akan keluar ikut suami. Rasanya, dah sampai masa juga untuk nenek berehat. Nenek ada dalam rumah ni sebab ingat pesanan arwah puan dan tuan. Minta temankan Puteri selagi Puteri ada dalam rumah ni," luah Nenek Gayah jujur.
Pengakuan Nenek Gayah membuatkan Johanees terdiam. Tak mampu nak berkata apa kerana dia tahu hakikat ini sejak sekian lama. Nenek Gayah bertahan hanya kerananya. Aunty Suraya tak pernah sukakan Nenek Gayah. Wanita tua ini juga tidak selesa.
"Kat mana pun nenek ada nanti, Puteri akan pergi cari nenek. Jangan risau. Walaupun bukan dalam rumah ni, kita akan jumpa. Nenek sendiri pun tahu, ini bukan rumah Puteri lagi. Puteri berat hati, tapi tak apalah. Puteri terima semuanya," ujar Johanees dengan suara lembut memujuk.
"Dah... dah. Tak nak sedih-sedih hari bahagia ni. Puteri dah sedia belum ni?" Suara Nenek Gayah berubah ceria lepas seketika.
"Haaa... Nak kata sedia tu, sedia juga. Nak kata tak, ada juga. Eh... Puteri pun keliru..." Johanees ketawa.
"Dah pulak?" Nenek Gayah sengaja menajamkan renungan.
Seketika, tawa mereka berpadu. Pelukan bertaut seketika dan Johanees dapat dengar esakan halus Nenek Gayah yang terlepas walau bagaimana ditahan.
"Rombongan dah dalam perjalanan. Puteri rehat dulu. Nanti nenek naik panggil."
"Yalah. Aunty Suraya ada dekat bilik dia ke? Puteri ingat nak jumpa dia kejap. Urusan kerja." Dia jujurnya hampir lupa tentang kontrak yang baru dia dapat.
"Haih... Kerja apa lagi?" Nenek Gayah menepuk bahu Johanees lembut.
"Sikit aje. Patut Puteri cakap beberapa hari lepas. Puteri lupalah." Johanees menyeringai.
"Ada kut. Pergilah. Nenek turun dulu."
Nenek Gayah berlalu. Johanees hampir ke meja belajarnya dan mencapai sampul surat berwarna putih itu dan terus menuju ke bilik ibu tirinya. Dia dapat lihat Maisara masuk ke bilik Aunty Suraya. Tahulah dia, dua beranak itu ada dalam bilik itu. Elok juga. Maisara juga perlu tahu tentang ini. Sementelah, Maisara yang beri arahan ini padanya.
Telinganya dapat menangkap bunyi riuh-rendah di bawah. Sejak semalam, masih tak berhenti. Yang dikatakan sederhana itu, rasanya tidaklah seperti yang dirancang. Nampak meriah. Tapi, apa nak dikata. Dah tentu Aunty Suraya akan jemput ramai tetamu.
Dia terus melangkah hingga tiba di depan pintu bilik Aunty Suraya. Bilik tamu yang diubah suai menjadi bilik utama. Tak tahulah kenapa, arwah ayah berpindah ke bilik ini beberapa hari sebelum menikahi Aunty Suraya. Ayah hanya biarkan bilik yang menjadi peraduan bersama arwah umi tanpa diganggu. Sebahagian hati merasa lega dan sebahagian lagi pula agak tidak selesa dengan keputusan ayah. Dah pasti akan menggores hati Aunty Suraya. Cuma, dia pilih untuk tidak campur tangan urusan ayah dan Aunty Suraya.
Tangan Johanees ringan nak mengetuk pintu yang tidak ditutup rapat namun tingkahnya mati bila terdengar suara gelak tawa Maisara. Dahinya berkerut seketika. Terdetik di hati untuk tahu apakah yang benar-benar mencuit hati Maisara. Apakah kerana dia akan keluar dari rumah ini atau kerana berita baik lain?
Tubuhnya kaku di situ. Berkira-kira untuk berlalu. Tidak mahu mengganggu bahagia dua beranak itu. Sementelah, hal kerja ini boleh ditangguh dahulu. Paling tidak selepas majlis.
"Padanlah muka Puteri tu, mama!" Maisara mencebik. Puterilah sangat. Meluat dia dengan cara semua orang memanjakan Puteri.
Johanees tidak jadi melangkah mendengar namanya diseru dalam sebaris ayat ringkas yang cukup menyesakkan dada. Apa makna sumpahan Maisara padanya?
"Dia tahu tak mama jual dia dekat keluarga tu?"
Mendengarkan soalan Maisara yang dia kira memang untuk Aunty Suraya, nafas Johanees terasa sesak.
"Dia mana tahu. Kalau dia tahu, memang dia tak nak. Tapi, sebab budak tu kan jenis dengar kata. Mudah percaya kalau guna nama ayah dia. Itu yang buat mama lega sangat. Mulanya mama risau dia tolak. Yalah, dia kan bercita-cita nak kerja dengan syarikat ayah dia. Tak sangkalah macam tu aje dia setuju bila mama suruh kahwin."
Kali ini, Johanees dapat dengar pula suara Suraya. Biarpun tidak kuat tapi masih jelas. Nafasnya mula terasa sesak. Johanees menggenggam penumbuk. Kertas di tangan mula renyuk.
"Mama dah letak syarat untuk dorang pump cash-flow syarikat dengan balasan Puteri kahwin dengan anak lelaki dia yang dah tua tu katanya..."
"Tua sangat ke?" soal Maisara ingin tahu.
"Mama pun tak pasti." Suraya jongket bahu. Terus dioles pemerah pipi pada kedua-dua belah pipinya.
"Uncle Johari tak pernah cerita ke?"
"Memanglah dia ada beritahu. Dia berkenan dekat seorang lelaki ni tapi dia taklah paksa Puteri. Dia nak Puteri bina hidup sendiri dulu. Soal kahwin ni, dia tak akan jadikan diri dia sebab untuk Puteri kahwin. Bila budak tu bersedia dan dengan siapa aje, dia akan restu. Mama sendiri tak pernah jumpa anak Dato' tu. Sebab dia kerja jauh. Mama ingat nak jodohkan dengan Sara tapi bila mama dengar umur dia dah dekat lima puluh, eh tak naklah mama. Tak kesahlah anak orang kaya ke apa. Mama tak nak anak mama kahwin dengan lelaki tua. Tak kuasalah..."
"Eee... Sara pun tak naklah. Tua sangat tu." Maisara buat muka geli.
"Tapi kan, mama... Kiranya memang Puteri tak tahulah, ya... pasal bakal suami dia tu lelaki tua? Satu lagi, banyak ke mama mintak hantaran?" soal Maisara, teruja.
"Dia tak tahu. Sara sendiri tahu... Puteri tu mudah sangat kena pujuk bila guna nama ayah dia." Suraya senyum sinis.
"Banyak ke Dato' bagi?"
"Mestilah. Boleh selesaikan cash-flow kita dan Dato' sudi bantu business juga. Haaa... Sara tu tolonglah serius sikit. Tak minat pun, tolong tunjuk serius," bebel Suraya.
"Alaaa... Mama ni."
Suraya jegilkan mata mendengar bantahan anaknya.
"Yalah. Sara serius." Maisara julingkan mata ke atas.
Kala ini, Johanees sudah tidak dapat dengar dengan jelas perbualan seterusnya. Dia hanya tahu, dirinya dijual dalam satu urusan yang dibayangi perkahwinan. Dengan seorang lelaki tua yang dia kira sikit sahaja beza dengan arwah ayah.
Kenapa Aunty Suraya sanggup memperlakukannya demikian? Sedangkan dia sentiasa menghormati wanita itu? Dia sentiasa menganggap wanita ini adalah sebahagian keluarganya. Apatah lagi setelah ayah pergi. Dia sudah tidak punya sesiapa melainkan Aunty Suraya dan Maisara. Hubungan kekeluargaan padanya, adalah tidak sekadar darah daging semata-mata.
Air mata Johanees menitis tanpa dia sedar. Teringat perbualan dengan lelaki yang bakal menjadi suaminya malam tadi. Janjinya. Harapan yang diberikan. Apakah dia begitu mudah berharap hinggakan hatinya dihentak kecewa hingga lebur menjadi debu?
Bagaimana lelaki yang katanya begitu yakin dengan ketentuan sanggup membeli dirinya dengan harga demikian?
Sungguh. Dia benar-benar terkejut hingga tak mampu menzahirkan biarpun sepatah kata. Semangatnya terbang pergi begitu sahaja. Johanees membawa tubuh yang longlai berlalu semula ke biliknya. Seketika, dia duduk di birai katil. Entah apa yang perlu dilakukan? Dia mahu menyelamatkan syarikat ayah. Mahu menjadi sebahagian daripadanya. Dia mahu pertahanankan hasil usaha umi dan ayah. Nampaknya, keadaan memaksa untuk dia melepaskan segalanya.
Air mata Johanees mengalir lagi. Dia hampir teresak-esak pada saat pintu bilik diketuk dan suara Aunty Suraya kedengaran menyerunya. Mujurlah dia dapat mengawal suara yang serak.
"Keluarga pengantin lelaki dah nak sampai. Puteri dah siap?" Suara Suraya lembut menyoal.
"Tengah bersiap."
"Okey. Kejap lagi, Sara datang panggil Puteri, ya? Aunty turun layan tetamu dulu." Tak lama, dia tahu Suraya berlalu pergi.
Johanees termangu sendiri. Merenung kosong. Segalanya musnah dan apakah dia sanggup untuk membiarkan hidupnya juga dimusnahkan oleh Aunty Suraya? Jika segala harta milik arwah ayah dan umi tidak mampu diselamatkan, dia masih punya satu-satunya harta milik arwah ayah dan umi.
Johanees merenung dirinya di dalam cermin. Ya. Dirinya adalah tinggalan arwah ayah dan umi. Dia tak mampu selamatkan yang lain. Tapi, dia akan selamatkan dirinya. Aunty Suraya mampu ambil segala harta. Tapi, dia bukanlah harta yang boleh dijual atau dicagar.
Kerana itu, dia nekad.
Saat ini, ketukan di muka pintu kedengaran sekali lagi. Bila dia dengar suara Nenek Gayah, barulah Johanees buka pintu. Melihat Nenek Gayah dengan mata merah. Saat ini, Nenek Gayah tahu sesuatu telah berlalu. Apatah lagi, melihat pakaian Johanees sudah berganti. Persalinan pengantin itu sudah terdampar di atas katil. Malah, ada beg galas sudah tersedia.
"Nenek tak nak cakap apa-apa? Halang Puteri mungkin?" Kolam mata Johanees sekali lagi melimpah.
Nenek Gayah menggeleng.
"Puteri mesti ada sebab sendiri," balas Nenek Gayah.
"Puteri akan susahkan nenek."
"Tak," nafi Nenek Gayah.
"Sebab nenek tahu, Puteri lebih berhak tentukan bahagia sendiri. Orang lain tak boleh tetapkan untuk Puteri."
"Puteri akan jelaskan pada nenek suatu hari nanti."
"Nenek tahu. Dan Puteri tahu mana nak cari nenek. Tentang rumah ni, jangan risaulah. Tahulah nenek uruskan. Puan tak akan dapat apa-apakan nenek," pujuk Nenek Gayah, cuba menenangkan emosi Johanees yang nampak sedang merusuh.
"Minta maaf, nenek." Dia kucup tangan wanita itu buat kali terakhir.
"Pergilah sekarang. Masa semua orang tengah sibuk ni," suruh Nenek Gayah. Membiarkan Johanees berlalu ikut tangga beranda yang sejak sekian lama tak digunakan malah dikunci sejak arwah majikannya meninggal dunia.
Seperti yang ditelah. Pernikahan Johanees pastilah berdasarkan niat buruk orang. Dia juga tak sanggup melihat yatim piatu ini terus dirampas bahagianya setelah semua hak dirampas begitu sahaja.
Johanees menoleh sekali. Sebelum merendahkan hoodie dan berlalu bersama air mata yang tersangat pilu. Memikirkan janji seorang lelaki biasa yang mahu menyelamatkan Cinderellanya. Siapa sangka, lelaki itu juga memperhargakan sebuah bahagia. Dan, jika sebaliknya juga, dia tak akan biarkan Suraya terus mempergunakan lelaki itu demi kepentingan diri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro