Bab 13
DADA Taufiq berdetak kencang. Semakin hampir detik waktu, semakin rancak degup dalam dada. Ikut hati, dia nak berjumpa dengan wanita itu biarpun hanya seketika. Namun, mama telah berpesan untuk tidak bertemu terlebih dahulu. Dia akur kerana waktu untuk mereka bertentang mata, kian hampir. Wanita yang dipandang itu akan menjadi isterinya.
Matanya sejak tadi tak lepas memandang jam di dinding. Anak matanya mengikut sahaja gerakan jarum jam. Sebaik sahaja jarum menunjukkan tepat jam dua belas, telefonnya bergetar.
Taufiq telan liur berkali-kali. Berdeham kecil sebelum menjawab panggilan.
Talian sepi. Hening.
"Errr..." Mulutnya berat untuk bersuara. Suasana kembali hening hinggakan dia dengar suara yang cukup halus dan lembut, memberi salam.
Tubuh yang kejang, mula tenang.
"Kenapa diam?" soal Taufiq seusai menjawab salam.
"Saya tunggu awak cakap dulu..."
"Bukan yang masuk rumah orang tu ke, patut sapa tuan rumah dulu?" soal Taufiq semula dengan senyuman kecil.
Johanees berdeham kecil. Malu pulak dia. Terasa seperti disindir. Tapi, suara parau ini benar-benar mampu menyentak tenang. Hinggakan dia senyum sendiri.
"Maaf," ucap Johanees perlahan.
"Maaf diterima." Taufiq ketawa kecil.
Mendengarkan tawa itu, Johanees kemam bibir sekuat hati. Tak tahulah kenapa, kedengaran merdu pulak tawa suara parau ni.
"Lepas ni, nak masuk rumah orang bagi salam terus, tau. Saya pun esok, masuk dalam dunia awak... saya akan bagi salam dan masuk dengan sopan," tambah Taufiq.
Wajah Johanees terasa bahang tiba-tiba. Hinggakan dia terpaksa lekapkan telapak tangan ke pipi sendiri. Dia tahu, seraut wajahnya sedang bertukar ke warna merah. Dia kehilangan kata mendengarkan bicara lelaki ini yang dia sendiri belum tahu namanya.
Anehnya. Tak bersua empat mata tapi hatinya mampu berdebar kencang begini hanya dengan kata-kata lelaki ini?
"Awak ada lagi tak ni?" soal Taufiq. Risau pulak dibuatnya bila talian kembali sepi.
"Hurm... Ada."
"Diam aje," sela Taufiq.
"Saya banyak nak tanya tapi tak tahu nak mula mana. Tapi, untuk sekarang saya cuma nak tanya sikit aje."
"Silakan tanya," pelawa Taufiq.
"Awak tahu kan saya baru habis belajar?"
"Eh, ya ke?"
Johanees kerut dahi. Cara lelaki ini membalas nampak sangatlah mereka saling tak tahu tentang diri masing-masing. Tapi, apa nak kata, segalanya berlaku begitu pantas.
"Ya, saya baru habis belajar dan baru aje mula kerja. Boleh ke saya terus bekerja lepas kahwin?"
"Oh, mestilah boleh. Saya tak akan halang kerjaya isteri saya."
Wajah Johanees terasa bahang dengan panggilan itu. Dia berdeham kecil.
"Terima kasih hantarkan baju," ucap Johanees. Jika tak ada persalinan baharu ni, dia ingat nak aje pakai baju arwah umi. Rasanya masih lagi cantik.
"Sama-sama. Okey tak? Berkenan tak?"
"Cantik. Saya suka dan sedang elok."
Talian kembali sepi. Terasa benar-benar hening. Johanees punya seribu satu soalan yang mahu diaju tapi entah apa yang patut ditanya terlebih dahulu? Rasa takut dan teruja bercampur baur hinggakan dia tidak dapat menyusun segala soalan dengan baik.
"Ehem... Ni saya nak tanya. Kenapa minta saya call jam 12.00 tengah malam? Awak ni Cinderella ke?" Johanees sekadar mahu mengurangkan rasa tegang dalam dirinya sendiri.
Tawa Taufiq meletus kuat bila soalan Johanees menyapa pendengaran. Hadoi... Kelakarlah bakal isteri aku ni.
"Cinderella tu perempuan, kan?"
"Apa salahnya. Cinderella hanyalah satu kisah dongeng. Boleh aje diguna pakai untuk lelaki," balas Johanees pula.
"Macam tu pulak, ya?" Tawa Taufiq masih tersisa.
"Yalah. Dah suruh telefon tepat jam 12.00 tengah malam. Ini jam dah berdenting. Kasut kaca awak tercabut tak tu?" soal Johanees perlahan.
Seperti tadi juga, Taufiq ketawa juga. Hatinya benar-benar tercuit. Jarang betul jumpa perempuan yang boleh buat dia ketawa ni. Rasanya hampir tak ada. Buatkan tak sabar dia nak jumpa depan-depan. Apakah bakal isterinya ini masih mampu berkata-kata begini?
"Mestilah saya bukan Cinderella," nafi Taufiq dalam senyuman.
"Saya tak hidup dengan mak tiri dan adik-beradik tiri. Saya ada adik tapi adik kandung yang manja. Ibu pun ibu kandung yang sangat penyayang. Saya dikelilingi oleh keluarga yang penyayang," nafi Taufiq.
"Saja minta telefon tengah malam sebab rumah saya ramai tetamu. Tak selesa nak tinggal diorang semua tadi. Ataupun awak sebenarnya Cinderella?"
Buat seketika, Johanees diam. Kata-kata dan soalan lelaki ini sedikit sebanyak membuatkan dia tersentak. Senyuman pahit koyak pada bibir yang merah bagai delima. Dia ialah seorang Puteri yang mana hidupnya tak ubah seperti Cinderella.
Sejak awal, dia tahu... dia tidak pernah dianggap sebagai seorang anak oleh Aunty Suraya. Sekarang juga, peninggalan ayah tiada apa yang berbaki untuknya. Hakikat yang dia sendiri tahu, dia sedang menumpang di dalam rumah yang menjadi tempatnya membesar selama ini.
Mungkin, pernikahan ini juga adalah cara halus untuk Aunty Suraya menghalaunya keluar. Hatinya kuat mengatakan demikian, namun prasangka baik yang umi tanam sejak dulu, menafi sehabis daya.
"Kalau saya kata saya Cinderella, awak nak buat apa?" tanya Johanees dalam suara yang datar. Saat ini, kerinduan pada arwah umi dan ayah bagai tak terbendung.
"Saya akan datang esok dan bawa awak pergi dari situ. Saya akan pastikan awak bahagia selama-lamanya walaupun saya bukan seorang putera dan tak ada istana. Tapi, saya akan jadi bakal suami awak yang memakai pakaian putih dengan sebuah kereta putih," jawab Taufiq, yakin.
Dia kerling uniform yang tergantung kemas di depan mata. Yang telah rapi. Uniform rasmi bagi majlis rasminya ketika bertugas.
Kala ini, air mata Johanees mengalir tanpa dia pinta. Dikesat perlahan. Bahagia yang ayah janjikan. Apakah benar, lelaki ini akan menyayangi dan membahagiakannya sepertimana arwah ayah dan umi?
"Macam mana awak boleh berjanji dan terima orang yang belum pernah awak jumpa? Awak tak tahu perangai saya macam mana? Entah-entah saya jahat ke?" Johanees sekadar menduga.
"Saya percaya pada pilihan mama saya dan saya percaya pada jodoh yang Tuhan tetapkan untuk saya. Saya sentiasa berdoa jika ada jodoh untuk saya di dunia, biarlah wanita itu wanita yang baik. Saya tidaklah jahat tapi saya masih harap isteri saya seorang yang baik untuk bantu saya jadi lebih baik. Saya percaya pada ketentuan," jawab Taufiq, perlahan. Suaranya kali ini, kedengaran seperti bisikan. Lembut dan menusuk.
Johanees gigit bibir bawah. Mengangguk perlahan. Dia juga perlu yakin sepertimana bakal suaminya ini. Ayah pasti pilih seorang lelaki yang baik agar dia menjadi lebih baik.
"Awak tak menyesal sebab tak kenal dan bercinta dulu?" Tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul. Johanees menepuk mulut sendiri.
Taufiq senyum. Seperti dapat lihat apa yang bakal isterinya sedang lakukan kerana terlanjur menyoal.
"Lepas esok, kita ada masa seumur hidup untuk bercinta. Saya tak rushing. Awak rushing ke? Cepat-cepat... nak ke mana?" soal Taufiq bersahaja.
Jawapan itu, mengundang senyum manis pada bibir Johanees.
"Awak tak nak tanya saya apa-apa?" soal Johanees lagi. Tak menjawab soalan tadi.
"Tadi dah tanya."
"Apa?" Dahi Johanees berkerut.
"Baju yang saya hantar okey ke tak?"
"Itu aje?" Johanees menceberkan bibir. Takkanlah tak ada soalan langsung.
Sekali lagi, Taufiq ketawa. Tak tahulah kenapa. Dia dapat rasa orang di sana sedang buat muka pada dia.
"Saya akan tanya satu per satu selepas esok," jawabnya perlahan.
Johanees kemam bibir menahan senyum.
"Boleh saya pegang janji awak?" soalnya lagi.
"Janji mana?" Taufiq garu kepala. Rasa macam banyak pulak dia berjanji, ya? Bahaya ni. Risau tak tertunaikan. Dah bukan jadi Taufiq tapi munafik.
"Cepatnya awak lupa?" sindir Johanees.
Taufiq senyum tipis. Mustahillah dia lupa.
"Untuk bawa Cinderella saya pergi?" soal Taufiq lebih pada kenyataan.
Johanees diam. Sangkanya lelaki ini begitu mudah melupakan.
"Saya hanya janji sekali. Tapi, terpakai untuk selamanya," balas Taufiq pula.
Dia tahu... dia akan sentiasa merindui suara lembut ini. Suara yang telah terpahat dalam ingatan dan hatinya tanpa dia pinta. Jika inilah cinta dan bahagia yang mama katakan, yang Tuhan ciptakan untuknya, dia terima kehadiran wanita ini dengan penuh reda. Mereka akan bahagia. Itu janjinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro