Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

SENYUMAN koyak lebar pada bibirnya bila membaca e-mel yang diterima. Tiada kata yang mampu diucapkan melainkan rasa syukur yang tidak terhingga bila usaha pertamanya membuahkan hasil. Kertas kerjanya untuk ikut serta dalam program produk untuk pasaran ke jabatan kerajaan mendapat jawapan positif.

Surat persetujuan tersebut dicetak. Dia membacanya sekali lagi dan dah sedia untuk berjumpa dengan Aunty Suraya. Penat lelah bersengkang mata menyediakan kertas kerja ini benar-benar membuahkan hasil.

Dia baru sahaja mahu keluar dari bilik bila pintu biliknya diketuk. Johanees kuak pintu dan wajah Nenek Gayah tersembul dengan senyuman manis. Di tangannya ada sepasang pakaian berwarna putih elok dibalut plastik.

"Eh, apa ni, nenek?" soalnya terkejut.

"Kut ya pun, bagilah nenek masuk dulu." Nenek Gayah menjeling.

"Atau Puteri tengah buat projek rahsia tak nak nenek tahu ni? Sebab tu tak pelawa nenek masuk?" Nenek Gayah sengaja meredupkan pandangan.

Johanees ketawa. Kelakarlah nenek ni.

"Marilah masuk. Orang tanya aje. Rahsia apanya?"

Nenek Gayah masuk dan daun pintu ditutup rapat. Pakaian tadi dihulur pada Johanees.

"Puteri tanya kan... ini haaa, bakal suami Puteri hantar kejap tadi. Dia minta Puteri pakai ni esok untuk akad nikah."

"Eh, dia ada lagi ke tu?" Johanees dah sedia untuk berlari keluar bila Nenek Gayah menahan.

"Dah balik. Dia singgah sekejap aje. Tak boleh tinggal lama. Ramai tetamu rumah dia."

"Alaaa... Puteri baru nak jumpa dia." Bahu Johanees jatuh. Kecewa.

"Esok pagi dorang datang. Sabarlah."

"Puteri nak tengok dulu. Mana tahu dia tak ada hidung ke. Pendek ke. Gigi rongak ke." Saja Johanees nak mengusik Nenek Gayah.

"Haaa, kalau sebab tu aje, jangan dok risau. Sebab nenek dah tengok. Tinggi, segak, tegap, hidung mancung terletak, gigi putih tersusun rapi, rambut pendek kemas hitam berkilat. Senyuman menawan. Mata kuyu..."

"Hah? Mata kuyu?" soal Johanees teruja. Kedua-dua telapak tangan dilekap ke pipi dengan mata sengaja dibulatkan.

Nenek Gayah ketawa.

"Iya. Itu yang Puteri paling suka, kan? Lelaki mata kuyu?" perli Nenek Gayah.

Johanees ketawa lepas. Teringatkan jawapan Nenek Gayah, kemain pujiannya. Melambung.

"Selain mata kuyu tu, yang nenek cakap tu semua Puteri suka." Tawanya terus bersambung.

Jika benar bagai dikata, memang itu rezekinya. Tak apalah jika berusia daripadanya. Yang paling penting dia harap lelaki itu benar-benar baik seperti yang arwah ayah cakap.

"Cubalah..." suruh Nenek Gayah.

"Kejap..." Johanees berlari masuk ke almari. Tak lama, dia keluar dengan senyuman lebar.

"Nenek, macam mana dia tahu saiz Puteri?" Pakaian itu sedang elok dengan tubuhnya.

"Puan ada tanya nenek. Nenek beritahulah. Kiranya betullah dia alter terus saiz Puteri." Mata Nenek Gayah juga turut terpesona melihat keindahan makhluk di depan mata. Tak tahu kenapa, matanya tiba-tiba basah. Terlalu pantas masa berjalan.

Saat dia dapat berita yang bekas majikannya mengandung setelah melalui segala kesukaran, dia adalah yang paling gembira. Menjaga Johanees yang baru berusia sehari saat itu, cukup membawa bahagia. Anak ini dijaga sehingga dewasa dan kini, bakal menjadi milik orang.

Air matanya jatuh ke pipi. Tanpa sedar.

"Nenek?" Johanees memeluk tubuh tua Nenek Gayah.

"Jangan macam ni. Puteri rasa berat hati..."

"Nenek teringat masa Puteri bayi. Cepat betul masa berlalu. Rasa macam baru aje semalam nenek tukar lampin Puteri. Tak lama, panjang umur nenek kena tukar lampin anak Puteri pulak ni," gurau Nenek Gayah.

"Nenekkk..."

Nenek Gayah ketawa. Pelukan terlerai dan sekeping kertas dihulur pada Johanees.

"Apa ni?"

"Tunang Puteri suruh Puteri telefon dia tepat jam 12.00 tengah malam nanti."

"Eh, kenapa lewat sangat?"

"Manalah nenek tahu. Kut tengah malam baru feeling habis nak bercinta kut."

"Amboi nenek... Cakap atas dasar pengalaman nampaknya..."

"Mestilah. Nenek pernah mudalah. Sebelum Puteri bercinta, nenek bercinta dulu. Cuma masa tu, tak ada telefon. Main surat aje," balas Nenek Gayah bersahaja.

"Lepas tu letak bedak, kan?"

"Eh... Tak mainlah bedak. Kita calit minyak wangi, tau..." sela Nenek Gayah dengan wajah bangga lantas berlalu keluar dengan tawa.

Johanees menggeleng kecil. Dia pandang jam di dinding. Kenapa tiba-tiba rasa macam waktu itu lambat benar berlalu? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro