Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

HANYA kerana berita mengejut yang Taufiq sampaikan, Ziyad tidak dapat tidak memohon cuti kecemasan untuk sehari demi hadir ke majlis teman baiknya. Boleh dikatakan kini, sebagai seorang abang kepada isterinya. Kiranya, abang ipar dialah. Gila tak balik kawan baik plus abang ipar nak kahwin. Tak sabar nak tengok teruna tua itu menjadi suami.

"Gila betul keputusan kau, Fiq..." komen Ziyad.

"Bukan aku." Taufiq menafi penuh ketenangan.

"Habis tu? Mama?"

"Bukan juga," nafi Taufiq.

"Dah tu... siapa? Takkanlah belah perempuan?" duga Qadr pula.

"Haaa... Itulah. Keluarga perempuan. Kau bayangkan macam mana mama aku buat persiapan dalam dua minggu ni. Aku sendiri kelam-kabut balik ofis minta izin macam-macam. Kau tak gila kalau aku main kahwin aje. Mahu kena tatatertib..."

Bila memikirkan perkara ini, Taufiq sendiri terkejut. Dia membantah. Mama pada mulanya mahu menolak, namun mama akur dengan permintaan keluarga perempuan.

"Nak kata pernah jumpa, tak pernah jumpa lagi, kan?" soal Ziyad, penuh keliru.

"Kau buat dia mengandung ke, Fiq?" Qadr bertanya dengan wajah polos. Nadanya juga serius. Tidak main-main langsung. Pandangannya juga agak tajam.

"Hoi... Gila!" Suara Taufiq dan Ziyad berpadu.

"Apa pulak marah aku? Aku tanya aje. Dah kalut sangat nak kahwin macam dah mengandung enam bulan," balas Qadr, masih mempertahankan telahannya.

"Kau ingat Fiq gila macam aku ke, Qadr?" tanya Ziyad pula.

Kalau dia satu waktu dulu, boleh jadilah. Tapi, dia sendiri pun tak buat perangai tak semenggah. Macam mana lelaki Melayu terakhir atas muka bumi seperti Taufiq ni nak buat perkara macam tu? Tapi, bila fikirkan, mereka bertiga dah sama-sama menjengah ke usia tiga puluh enam. Siapa tahu kut Taufiq dah tak boleh kawal diri.

Ziyad toleh pada Taufiq dengan pandangan penuh syak.

"Fiq, jangan-jangan..."

"Haaa... Ini lagi sekor mudah kena pengaruh rakan sebaya..." Taufiq julingkan mata ke atas. Apalah dosanya sampaikan dikurniakan kawan gila macam ni? Hadui...

"Kan dah cakap tadi, jumpa pun belum. Nama pun aku tak tahu. Macam mana rupa dia pun tak pernah tengok lagi. Macam mana aku nak buat dia mengandung? Bila masa aku nak pergi buat? Aku ni baru balik daripada tugas, tahu tak? Ini bulan depan nak kena pergi lagi..."

Qadr dan Ziyad sama-sama sengih garu kepala.

"Maaflah, Fiq. Janganlah marah. Kami terkejut. Itu yang tiba-tiba muncul tanggapan liar. Betul tak, Yad?" Qadr menyiku Ziyad. Awal-awal mengaku silap sendiri.

"Itulah. Tiba-tiba aje. Jarang tu kahwin dalam masa dua minggu. Dengan tak kenal rupanya. Tak pernah bercakap sepatah. Nama penuh tak tahu. Qadr yang kena tangkap khalwat dulu pun kahwin ambik masa juga. Kau ni lain macam..." komen Ziyad dengan gelengan kecil.

"Dah kenapa nak ungkit cerita pedih tu pulak?" tegur Qadr bila Ziyad ungkit tentang bagaimana dia bertemu dengan Lailatul, isterinya sekarang.

Memanglah permulaan mereka tak indah dan derita Lailatul ada dalam keluarganya satu ketika dahulu, benar-benar menyiksa jiwa. Tapi sekarang, mereka bahagia bersama dua orang cahaya mata.

"Tapi, bila ingat balik aku suka aje masa tu. Dah cara tu Tuhan hantar seseorang untuk aku. Aku terima ajelah," ujar Qadr belum sempat Ziyad dan Taufiq bersuara. Mereka saling tak kenal. Mereka diperangkap oleh orang.

"Haaa kan... Itu takdir untuk kau. Terima ajelah. Dan..." Ziyad letak telapak tangan di atas bahu sasa Taufiq.

"...ini takdir untuk kau, Fiq. Aku harap kau terima ajelah. Adalah tu kebaikannya depan hari. Percaya pada hikmah Tuhan, sahabat..." Bahu Taufiq dicengkam kemas.

"Aku terima, Yad... Tapi, hati aku rasa tak lapang. Aku ni ada operasi bulan depan. Macam mana aku nak tinggalkan dia lepas baru aje kahwin? Dengan tak kenalnya. Baru kahwin, terus kena tinggal. Aku rasa bersalah, tahu tak?"

"Tu aku cakap... suruh kau mintak duk bawah pembangunan aje. Macam aku."

"Itu kau. Ini aku," sela Taufiq.

"Jangan fikir pasal itulah, Fiq. Aku dulu tinggal jugak Lailatul lepas aku nikah dengan dia. Paling tidak, mama kau suka bakal isteri kau. Dia tak akan menderita macam bini aku dulu. Nanti cubalah mintak dok bahagian pembangunan lepas habis operasi ni," pujuk Qadr pula.

"Tapi, berapa lama kali ni?"

"Enam bulan kut..."

"Masakkk..." Qadr dan Ziyad mengeluh serentak.

Taufiq ketawa. Lega juga bila dapat berbual dan meluah dengan dua orang brides-mennya. Yang menjadi persoalan, apakah gadis itu akan terima seadanya dia? Yang bekerja tidak tentu hala. Banyak masa berada di atas lautan biru.

Dadanya berdetak kencang. Sesekali, dia tersenyum sendiri. Biarpun mama sengaja tak bagi dia tengok gambar gadis itu, dia dapat rasakan sesuatu. Usah kata wajah, malah segalanya tentang bakal isterinya itu pasti mampu menggoncang ketenangan. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro