Bab 10
SEJAK tadi, dia tak dapat nak tumpukan perhatian pada kerja. Satunya dia bersyukur sebab kertas kerjanya diterima dan syarikat baharu itu akan bekerjasama untuk memasarkan produk mereka ke negara jiran. Dia harap kerjasama ini membuahkan hasil. Tapi, hal ni tak sempat lagi dia nak bincang dengan Aunty Suraya. Wanita itu terlalu teruja dengan pertunangannya.
Sekarang ini, Johanees hanya memerhatikan dua bentuk cincin yang ada di depan mata. Dia tiba di rumah hari itu sudah agak lewat. Pada mulanya dia bimbang jika Aunty Suraya mengamuk. Tapi, sebaliknya berlaku. Dia dapat lihat senyuman lebar Aunty Suraya. Seperti mustahil wanita itu bergembira atas pinangan ini. Kegembiraan yang dipamer itu benar-benar nampak mencurigakan.
"Nenek?" panggil Johanees pada Nenek Gayah yang sedang menyiapkan barang untuk kegunaan hari pernikahannya.
Nak dikira, dia terkejut. Sudahlah bertunang mengejut. Bernikah juga mengejut. Sungguh... Dia tak mampu nak bantah. Walaupun berat hati.
"Hurm... Cakaplah. Dia panggil kita, dah dia pulak termenung," tegur Nenek Gayah.
Johanees terus meniarap. Meletakkan dagu di atas belakang tangan. Memerhatikan Nenek Gayah menyiapkan barang. Nak membantu, ditegah pula.
"Kenapa mesti sampai dua bentuk cincin diorang bagi? Puteri tak sukalah pakai cincin banyak-banyak."
"Itu kan adat. Satu kira cincin merisik. Cincin tanda. Satu lagi, untuk tanda dah bertunang."
"Kira satu ajelah. Kan dah jimat," selanya sambil menatap dua bentuk cincin yang disangkut pada jari telunjuknya.
"Mana boleh. Kita hidup ni adat disanjung, agama dijunjung. Nampaklah tertibnya kat situ. Haaa... Cuba pakai cincin tu elok-elok. Yang dilambung buat main tu, kenapa? Tak cantik ke? Tak berkenan?"
"Hurm... Besar sangat," jawab Johanees.
"Ini bukan taste Puteri. Macam menyerlah sangat," tambahnya.
"Eh, orang dulu suka cincin besar ni..."
"Itu dulu. Nenek juga kata, jangan banding dulu dan sekarang. Zaman sekarang ni, orang suka yang biasa-biasa aje. Bentuk ni, dah macam apa dah..." Johanees buat muka geli. Tapi, memang tak berkenanlah nak pakai.
"Macam-macam betul budak bertuah ni. Pakai ajelah. Tak nak pakai dua, pakai satu."
"Yalah..." Johanees akur. Terus disarung yang reka bentuk belah rotan itu ke jari manisnya.
Selain ada cap nombor 999 yang menandakan emas tulen, ada juga huruf T yang diukir di tengahnya. Tak pastilah kenapa. Boleh jadi sebab jenama kut. Atau kerana reka bentuk? Entah. Dia bukan pakar emas. Johanees senyum. Nampak sesuai berada di situ. Yang satu lagi, dia letak di dalam laci dulu. Pakai bila dah terbuka hati nanti.
"Tapi kan, nek... Aunty tak bantah ke bila keluarga lelaki mintak adakan dalam tempoh dua minggu? Tergesa-gesa sangat..."
"Itulah. Tapi, nenek tak campurlah. Lagipun, itu permintaan keluarga lelaki. Sebelum anaknya sambung kerja semula. Katanya susah nak nak dapat cuti. Ada tu, setahun belum tentu cuti lagi."
"Eh, teruknya..." Johanees nampak terkejut. Dia angkat tubuh. Melorot turun dari katil dan duduk dekat dengan Nenek Gayah.
"Kerja apa sampai macam tu sekali?" Ngeri pula memikirkan. Dah kahwin nanti, macam mana nak pergi bercuti sama-sama?
"Entahlah. Nenek tak lama dekat depan. Nenek sibuk dekat dapur." Tak sampai hati dia nak cerita yang dirinya menerima jelingan tajam Suraya kerana tak diberitahu Johanees keluar hari tu.
"Macam mana orangnya?" Johanees sengih. Lebar.
"Haaa... Di sinilah nenek rasa korang berdua memang jodoh."
"Eh, kenapa pulak?" Johanees kerut dahi melihat Nenek Gayah ketawa.
"Sebab lelaki tu pun tak datang. Wakil dia aje. Katanya banyak urusan nak selesai sebelum kahwin..."
"Haaa... Kan Puteri dah cakap. Nak buat cepat ni semua terkejar-kejar. Nanti orang fikir apa pulak pasal Puteri." Risau dia dibuatnya. Kalau menjadi bahan umpatan orang sebab kahwin dengan tergesa-gesa.
"Tak apalah. Buat biasa-biasa aje. Sempat ni. Nenek doakan moga Tuhan permudahkan. Puteri jangan risau. Dah sampai masa ada orang yang boleh temankan Puteri. Yang jaga Puteri lebih baik daripada sesiapa aje yang pernah jaga Puteri." Kala ini, mata Nenek Gayah berair.
Johanees terus peluk pinggang itu dan dilabuhkan kepalanya pada bahu Nenek Gayah.
"Nenek sayang Puteri apa. Arwah umi dan ayah pun sama. Rasanya, tak ada dah yang akan sayang Puteri macam tu..." Dia juga mula terasa sayu.
"Siapa cakap? Ini, arwah ayah dah cari yang akan sayang Puteri lebih baik." Kening Nenek Gayah terjongket.
Johanees senyum. Menegakkan duduk.
"Nenek tahu Puteri akan bahagia. Walaupun mungkin bahagia tu datang lambat sikit." Pipi mulus Johanees dielus mesra. Air matanya menitis juga ke pipi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro