Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

JODOH adalah sesuatu yang telah ditempa di syurga. Ketetapan yang Tuhan berikan pada setiap hamba. Jika tidak di dunia, pasti akan ada yang menanti di syurga. Yang dituntut semasa di dunia, adalah usaha dan kesabaran.

Taufiq tahu dan sentiasa yakin. Yang ditetapkan oleh Tuhan adalah yang terbaik untuknya. Bukan kerana dia tidak pernah merancang kerana itu adalah satu-satunya hak yang Tuhan berikan. Namun, rancangan itu kerap kali gagal. Rancangan untuk mencari seseorang yang dipanggil cinta hati.

Semua itu tidak mudah seperti membeli ikan di pasar. Kata mama, nak beli ikan pun, mesti pilih yang elok. Dia tidak mencari tapi pernah tertarik dengan seorang wanita. Wanita yang nyata bukan untuknya. Setelah itu, segalanya tertutup. Dia hanya fokuskan pada kerjaya, mama dan adik perempuannya.

Cinta? Mungkin ada untuknya. Mungkin juga tiada. Telah dia katakan. Jika ini ketentuan Tuhan, dia terima dengan senyuman lebar serta hati yang penuh reda.

Mempersoalkan? Tidak akan sesekali.

Namun, semuanya berbeza sekarang. Mama yang sekian lama sabar menanti, seperti sabar itu kian menipis. Hampir setiap kali suara mama menyapa, bicara tentang jodoh pasti tidak lekang dari mulut mama. Apatah lagi bila adik bertuahnya kerap kali menjadi nasi tambah.

Jawapan yang selalu diberikan... belum sampai jodoh.

Pada mulanya, mama terima. Tapi, tidak lagi sekarang.

Kata mama, "Fiq tu tak berusaha. Kalau cuti, banyak berkurung. Dah macam anak dara. Cubalah keluar..."

Taufiq hanya sengih mendengar omelan mama.

"Entah-entah abang ni masih suka Atai tak, mama?"

Telinganya pernah tersapa dengan telahan adiknya, Tiani. Tentang perasaan yang pernah wujud di hati. Hanya Tuhan yang tahu, perasaan istimewa itu telah lama mati. Yang berbaki ini, biarpun masih istimewa tapi sekadar kasih seorang abang pada adiknya. Kini, dia tak hanya punya seorang adik perempuan, tapi dua orang. Yang kedua itulah Teratai Nur. Suri hati sahabat baiknya, Ziyad.

Bertahun lalu, Nur dan Ziyad mengemudi kapal mereka yang hampir sahaja karam di tengah samudera yang mengganas. Syukurlah mereka sama-sama tabah dan berjaya ke tepian. Angin kencang itu kembali berpuput lembut. Amukan ombak juga mula jinak.

Suatu hari nanti, dia juga pasti temukan pasangan yang akan sama-sama bertahan demi cinta mereka. Suatu hari nanti. Itulah ayat yang kerap kali dia bisikkan pada diri sendiri.

"Fiq dengar tak apa mama cakap ni?"

"Hah?" Taufiq panggung kepala. Terpinga-pinga memandang mama yang merenung tajam padanya.

"Mama cakap dengan Fiq ke?" soalnya, polos. Tak bersalah langsung. Hanya tersengih sumbing.

"Mama cakap dengan Fiq lah. Dengan siapa lagi yang ada depan mama sekarang?" Mama melepaskan nafas berat. Budak bertuah ni. Sejak tadi kita bercakap sorang-sorang. Dah dua hari anak terunanya balik bercuti sebelum ikut satu operasi penting katanya. Yang dia sendiri tak jelas.

"Maaflah, mama. Fiq tiba-tiba teringat pada Nur..." Taufiq masih sengih.

"Nur?" Dahi mama berkerut. Lain macam dengan pengakuan Taufiq. Jangan-jangan... telahan Tiani selama ni...

"Fiq jangan cakap..."

"Eh, mama ni. Jangan cakap yang tu, ya?" tegahnya pantas.

"Itu gosip liar Tia. Fiq tak ada perasaan gitu pun pada Nur. Dia adalah adik Fiq. Mama sendiri tahu tu, kan?"

"Ya, mama tahu tu... cumanya..."

"Cumanya, mama mudah kena pengaruh rakan sebaya, kan?" perli Taufiq pada mamanya.

Mama ketawa. Suara Tiani kerap kali menghantui dirinya. Tentang perasaan Taufiq pada Teratai Nur suatu ketika dahulu yang boleh jadi masih ada. Padahal dia yakin perasaan Taufiq pada Nur sekarang adalah sebagai adik dan abang sahaja. Benarlah Kata Taufiq, mudah betul dia terpengaruh.

"Apa yang Fiq ingat pasal Nur?" Mama sengih.

"Ingat macam mana mula-mula kenal dia dulu. Lepas tu datang Ziyad dalam hidup dia. Macam ribut taufan. Tak lama, segalanya tenang," cerita Taufiq.

"Sekarang dah ribut balik..." tambah mama pula.

"Eh, Nur gaduh dengan Ziyad ke?" Riak Taufiq jelas risau. Rasanya jumpa Ziyad hari tu, elok aje tersengih-sengih. Macam orang gila.

"Ribut dengan anak pulaklah. Hari tu Nur ada balik. Ziyad hantar. Jenuh mama dengan Kak Mek melayan kerenah budak berdua tu. Mulutnya, petah sungguh. Tak macam Nur. Gamaknya menurun Ziyad kut, ya? Mulut manis. Pandai bercakap. Baru umur berapa, pandai ambik hati. Puji mama. Puji masakan Kak Mek. Tia memang sukalah kalau anak buah dia balik sini," cerita mama.

"Rugi Fiq tak boleh cuti masa tu..." Hari yang dikatakan adalah bila mama buat kenduri doa selamat sebaik sahaja mama mendapat anugerah Dato' dari istana, atas kejayaan mama membina empayar perniagaan yang banyak membantu rakyat tempatan juga ekonomi negeri. Cuma anehnya, mama tak lagi guna gelaran tu. Malu katanya.

"Fiq pun dah lama tak jumpa dorang. Gamaknya, dah besarlah kut..." Jujurnya, dia juga terlalu rindukan budak berdua tu.

Benar kata mama, memang anak-anak Teratai Nur langsung tak ikut raut si ibu. Semuanya seperti Ziyad. Harap tak jadi buaya macam Ziyad. Mana nak cari Teratai Nur lagi untuk betulkan perangai buaya tu?

"Tinggi dah. Tapi, memang comel. Mama rasa tak nak bagi dorang balik. Biarlah Nur balik KL sorang. Tinggal aje budak berdua tu dekat mama. Seronok betul mama melayan. Diorang pun jenis pandai bawak diri. Kecik-kecik pun dah bersopan."

"Mama tengoklah didikan siapa. Mak dia Teratai Nur. Cuba Ziyad yang didik..." Taufiq gelak sakan bila mengutuk Ziyad.

"Okey apa. Dua-dua ikut muka Ziyad. Besar nanti tu, mesti kacak macam ayah dia..."

"Ikut muka okeylah. Harap tak ikut perangai buaya Ziyad." Tawa Taufiq makin bersahut.

"Awak doakan anak-anak saudara awak tu, Taufiq..." Mama jegilkan mata.

Budak Taufiq ni, kalau mengenakan Ziyad, memang bagi dekat dialah. Dan, dia tahu... apa yang bakal keluar dari mulutnya ini akan membuatkan tawa Taufiq mati serta-merta.

"Alaaa... Fiq mengata Ziyad. Bukan mengata anak saudara Fiq. Mama ni la haiii..." Dah dia terpaksa pujuk rasa bersalah sendiri bila mama cakap macam tu. Mana ada dia doakan yang buruk-buruk untuk anak-anak saudaranya.

Mama senyum tipis. Berdeham kecil.

"Ini haaa... Mama nak tanya. Fiq bila lagi?"

"Bila apa, mama?" Wajah Taufiq nampak terkulat-kulat. Tak faham atau buat tak faham, tak pastilah. Nampak seperti buat tak faham.

"Bila lagi nak ada isteri? Bagi mama merasa ada cucu pulak..."

Seperti yang ditelah. Tawa Taufiq mati serta-merta. Senyumannya juga nampak pincang. Jarinya mengait tangkai cawan dan menghirup teh O suam itu perlahan.

"Fiq ingat mama tak nak sebut tentang ni dah?" soalnya bersahaja dalam senyuman tipis.

"Mama tak pernah lupa. Sebab nampak Fiq tak selesa, mama tak tanya lagi. Cuma sekarang, Fiq dah umur berapa? Mama sendiri dah makin tua. Sebelum mama mati, mama nak Fiq berkeluarga. Ada isteri ada anak. Yang jaga makan pakai..."

"Mamaaa..." Kata-kata mama membuatkan keluhan panjang lepas jauh dari dalam dada Taufiq.

"Selama ni, elok aje Fiq jaga diri sendiri. Tak ada yang kurang," jawabnya.

"Memanglah. Tapi, ada isteri ni lain. Fiq tak cemburu ke tengok Ziyad dengan Teratai Nur, Qadr dengan Lailatul? Bahagia, ada anak."

Cemburu? Sesekali timbul juga di permukaan hati. Tapi, tak lama. Hanya seketika. Taufiq senyum dengan soalan mama. Setelah sekian lama, perkara ini kembali diungkit.

"Belum ada jodoh, mama. Nak buat macam mana..." Jawapan yang sama juga diberikan.

"Fiq yang tak usaha cari. Mana nak datang jodohnya? Fiq bukan perempuan nak tunggu orang datang pinang," balas mama, jelas tak puas hati dengan jawapan Taufiq.

"Kalau macam tu, mama ajelah tolong carikan," suruh Taufiq dalam nada gurauan.

Mata mama bersinar galak. Belakangnya nampak tegak dan bibirnya mula menguntum senyum.

"Betul ni, Fiq nak mama carikan?"

"Ya..." Taufiq angguk.

Senyuman mama lebar.

"Tapi, ada syaratnya..." Giliran Taufiq pula sengih bila senyuman mama padam.

"Syaratnya, dalam masa seminggu Fiq cuti ni aje. Lebih daripada tu dan mama tak jumpa juga calonnya, mama tak boleh dah sebut pasal ni depan Fiq. Kita tak akan bincang lagi tentang jodoh Fiq ke depan hari. Setuju?"

"Eh, apa jenis syarat ni?" Dahi mama berkerut lebat. Nampaknya Taufiq sedang mempermainkan dia.

"Take it or leave it..." Taufiq jongketkan sebelah kening pada mama. Menghantar cabaran. Nampak gaya dia akan menang tanpa bertanding ni.

"Okay... Challenge accepted," balas mama dengan senyuman tajam tersungging pada hujung bibir sambil berpeluk tubuh.

Wow... Hebat. Kedua-dua belah keningnya diangkat pada mama yang nampak begitu yakin.

"Seminggu aje..." Taufiq sekali lagi mengingatkan.

"Mama tak perlu seminggu. Esok kita pergi rumah dia."

"Hah? Kenapa pulak esok?" Mata kuyu Taufiq membulat.

"Sebab mama dah ada calonnya." Mama sengih dan terus berlalu dengan gembira.

Taufiq tepuk dahi. Bukan dia game mama. Mama yang kenakan dia. Nampak gaya, mama dah lama rancang. Dia aje yang lalai. Taufiq garu kepala yang tak gatal. Aduhai...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro