Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 2


MATANYA tidak dapat mengelak daripada mengerling ke arah si gadis yang sibuk menghidangkan makanan. Tekun sekali dia bekerja. Tergarit lagi senyuman di bibir Tareq. Tahu si gadis tekun bekerja sambil tekun menyekolahkan mata agar mengelak bertembung dengan matanya. Belum habis hilang lagi merah di pipi. Bukan merah dek palitan alat solek. Tapi merah dek malu terlajak cakap tadi. Semakin lebar senyuman sang teruna mengingatkan tingkah Emmalyn pabila tersedar yang tuan punya badan terdengar tuduhan sumbangnya.

Masih ada gadis yang tersipu-sipu malu di tanah Melayu ini rupa-rupanya. Tareq sendiri sudah tidak ingat bagaimana biasanya tingkah laku gadis Melayu. Maklumlah sudah hampir sembilan tahun tidak menjejakkan kaki ke tanah air. Kalau disebut gadis Melayu, yang terakhir sekali pernah dia rapat adalah Inessa. Dan kerana Inessalah dia tidak pulang ke kampung halaman sejak tamat belajar di U.K. enam tahun dulu. 'Sampai bila kau nak ingatkan Inessa, Tareq? She is history, why not focus on this blushing one?'

"Mana Si Melin ni?" tanya Hajah Khatijah yang sudah mengambil tempat duduk semeja dengan keluarga Tareq. 

"Melin! Melin! Sini!"

Semua mata tertumpu ke arah Emmalyn, semua bibir tersenyum simpul. Tersedar Tareq yang seisi keluarga besar Emmalyn sudah tahu usaha 'murni' Hajah Khatijah untuk memadankan Emmalyn dengannya. Semakin merah pipi gadis itu. Terbit pula rasa simpati Tareq kepada Emmalyn, juga rasa bersalah. Dek ibu sudah tidak tahan berjauhan dengannya, gadis ini dijadikan 'denak' untuk menjinakkannya pulang ke kandang.

Malu namanya dijerit berkali-kali oleh Hajah Khatijah yang bersuara lantang tanpa perlu menggunakan hailer, mahu tak mahu, Emmalyn melangkah ke meja keluarga Tareq. Matanya teguh mengelak bertembung dengan mata Tareq.

"Melin, ini meja Andak Asmah ni belum ada nasi. Tolong ambilkan," arah Hajah Khatijah. Tanpa kata, patuh Emmalyn mendapatkan semangkuk besar nasi, lalu disendukkan ke atas pinggan Andak Asmah suami isteri, Tareq dan Hajah Khatijah.

"Sendukkan pinggan kamu sekali, Melin." Hajah Khatijah mengarah lagi.

 "Duduk sekali di sini. Kamu ni, bukan selalu Andak Asmah datang, cubalah duduk bersogheh-sogheh dengan dia. Onyang andak ni sepancaran dengan onyang bapa kamu, tahu."

Disuruh sendukkan nasi, Emmalyn sendukkan. Disuruh duduk, dia duduk. Sebab dia tahu kalau dia tak ikut, 'hailer' Hajah Khatijah akan keluar. Tapi bab-bab bersogheh tentang susur galur keluarga besarnya, Emmalyn awal-awal lagi surrender. Selepas sekolah rendah, dia menyambung pelajaran ke sekolah menengah berasrama di Johor Bahru. Selepas SPM, sambung buat A-Levels di Rawang. Maka sejak berusia 12 tahun, dia cuma pulang ke Ipoh untuk bercuti.

"Melin kerja dengan Alang Usop ke?" tanya Hajah Asmah.

Oh! Sesi temu duga menantu sudah bermula, Emmalyn. Pay attention! Satu demi satu soalan dilontarkan kepada Emmalyn. Satu demi satu jugalah yang dijawabnya, tak kurang, tak lebih. Sekali-sekala Hajah Asmah menyelitkan maklumat mengenai Tareq, sekolah di mana, sambung belajar di mana dan sekarang bekerja di mana. Kiranya sesi berkenal-kenallah, tanpa Emmalyn atau Tareq yang bertanyakan soalan.

Sambil menjawab soalan-soalan Hajah Asmah, Emmalyn berkira-kira apa strategi yang patut dia ambil. Fikir punya fikir, dia buat keputusan tak perlu strategi apa-apa. Bukannya Tareq berminat dengan dia pun. Macam bapanya, Haji Abdul Aziz, Tareq hanya diam seribu bahasa, sekali-sekala menjawab bila ditanya ibunya. Maka, Emmalyn pun jawab sahaja soalan-soalan dengan hormat dan senyum. Lepas ini Hajah Asmah sekeluarga balik ke rumah, selesailah sesi telangkai Uda Jah ini. The end.

Usai makan, Emmalyn bersama-sama sepupu sepapatnya membantu mengemaskan meja. Nanti selepas zohor, pihak sebelah lelaki akan datang dan akan dihidangkan makan tengah hari selepas upacara pertunangan. Bila terdengar azan zohor, ahli keluarga lelaki terus mendirikan solat berjemaah di ruang tamu rumah bapa saudaranya. Kemudian, orang dapur sibuk menyiapkan pinggan mangkuk untuk tetamu, sementara ibu-ibu saudara termasuk Hajah Khatijah dan Hajah Asmah sibuk membantu dengan persediaan last minute hantaran.

Elok siap sahaja persediaan, rombongan pihak lelaki tiba dan disambut oleh ahli keluarga Emmalyn. Mereka dijemput masuk untuk upacara peminangan. Malas Emmalyn untuk turut masuk ke dalam. Nak buat apa? Nak buat sibuk-sibuk dengan barang hantaran? Nak sibuk-sibuk di dalam bilik anak dara? Sudah cukup ramai 'pakar' di dalam. Tambahan pula kalau nampak batang hidungnya, tentulah nanti ada komen-komen 'bernas'... Haaa... Hujung tahun giliran kamu pula, Melin! Ambil 'berkat', Melin! Hmph! Baik duduk di luar ini sahaja.

Punggungnya dilabuhkan dan telefon pintarnya dibelek. Aplikasi WhatsApp dibuka. Sembang kawankawan baiknya dibaca. Mereka sedang berdebat hendak ke Beijing atau hendak ke Tokyo tahun ini. Kawan-kawan baik Emmalyn; Nawwal Husna atau Una, Iman Fateha atau Faith Catherine Labunda atau Pet dan Mohd Tahir atau Atai, memang kaki merayau. Semasa belajar di Southampton, pantang cuti belajar, panjang sahaja langkah kaki mereka. Hampir seluruh Eropah dan Afrika Utara mereka sudah 'sukat tanah'.

Sedang asyik membelek telefon, ada pula yang menegur. 

"Tak masuk ke dalam?"

Kepala dipanggung. Oh! Jejaka Alpha Male dari tanah Arab. 

"Tak." Jawapan pendek seperti kebiasaan Emmalyn.

Kerusi berdekatan Emmalyn ditarik dan Tareq melabuhkan punggungnya di situ. Aik! Nak beramah mesra pula ke? Hairan Emmalyn.

"Kenapa tak masuk?" Tareq bertanya lagi.

"Dah cukup ramai kat dalam tu."

"Maaflah, kalau soalan-soalan umi saya merimaskan awak." Perlu juga Tareq membuka mulut tentang hal ini kerana memang panjang lebar sesi soal jawab Hajah Asmah tadi. Kagum juga Tareq melihat Emmalyn melayan soalan-soalan ibunya dengan penuh hormat dan sabar.

"Tak apa."

"Betul tak apa?" soal Tareq, bagai sedikit tidak percaya.

"No harm done," jawab Emmalyn ringkas. Tapi itu yang sebetulnya, kan? Orang tanya jawab sahajalah, habis cerita. Tak perlu emo-emo.

"Panjang lebar ibu saya bertanya tadi," balas Tareq bagai belum puas meminta maaf.

"Saudara-mara kita memang macam tu, kan? Itulah bersogheh namanya," jawab Emmalyn dengan senyuman kecil.

Terpesona Tareq seketika. Gadis di sebelahnya ini memang terlalu sederhana, tiada apa-apa yang istimewa tentangnya. Tetapi personalitinya agak menarik, humor pun ada.

"Bersogheh... Itu perkataan orang Perak ke? Saya tak pernah dengar sebelum ini." Bertanya soalan untuk memanjangkan sembang.

"Dah tentu bukan perkataan orang Arab, kan?" balas si gadis dengan senyuman kecil.

Ha! Tu ha! She has wit! Gadis ini buka mulut hanya untuk menjawab yang wajib tapi dengan ayat yang pendek pun terserlah kecerdasannya. Menghiburkan.

"That's for sure," jawab Tareq. Senyuman sudah lebar di bibir dan dibalas Emmalyn dengan senyuman yang semakin mesra.

"Tak cari kerja di KL?" Hmmm, ini sambungan sesi temu duga pilih menantukah?

"Tak."

Jawapannya sentiasa pendek, terpaksalah ditanya lagi. "Kenapa?"

"Nak duduk celah ketiak emak puas-puas."

Jawapan pendek Emmalyn itu disambut dengan ketawa kecil Tareq.

"Yalah, orang baru balik dari luar negara, tentulah nak berkepit dengan emak kan, nak melepaskan rindu," komen mengusik daripada Tareq.

"Awak habis belajar kat U.K. dulu terus bekerja di Qatar?"

Soalannya mudah sahaja, tapi sesak juga dada Tareq untuk menjawab. Chilllah, bro. Dia tanya soalan biasa saja. Bukan ada makna tersirat apa-apa. "Hmmm."

"No wonderlah Andak Mah nak suruh awak balik. Nak suruh awak duduk celah ketiak dia." Senyuman dikongsi lagi.

"Umi bimbang nanti saya jadi bujang terlajak."

Kali ini senyuman Tareq tidak disambut Emmalyn. Hanya renungan dengan kerutan kecil di dahi. Tareq menjongketkan kedua-dua belah keningnya. Dibalas Emmalyn dengan mengangkat kedua-dua belah bahunya, membikin Tareq ingin tahu apa dalam minda gadis di sebelahnya ini.

"Apa?" tanya Tareq, tidak dapat membendung rasa ingin tahunya.

"Itukan pilihan sendiri?" Soalan dijawab dengan soalan. Nak kahwin cari sajalah calon. Awak lelaki, apa susah?

"Yup, susah nak jumpa calon yang sesuai." Sekali lagi jawapan Tareq disambut dengan kerutan kecil di dahi Emmalyn.

"Apa?" tanya Tareq sekali lagi.

"Hard to believe."

"Apa yang hard to believe?" Hailah awek ni, cakap sekerat-sekerat, cubalah cakap habis satu-satu ayat.

"Dengan rupa awak, susahkah nak cari calon?" soal Emmalyn. Hah! Ambik kau, tanya lagi!

Wah! Dia ni direct habis. Timbul pula keinginan dalam hati Tareq untuk sama direct seperti Emmalyn.

"Entah, saya tak berkenan dengan wanita Arab." Berkerut lagi kening Emmalyn.

"Emmalyn, cakap sajalah apa awak nak cakap. Awak berkerut kening bukan saya faham," sambung Tareq.

"Pilihan awak terhad dengan wanita Arab sahajakah?"

Tersembur ketawa Tareq. Padan muka aku, dah suruh dia cakap sahaja, sekarang terima sajalah.

"Lebih mudah bagi orang lelaki. Kalau nak kahwin cari sahaja calonnya." Itulah Emmalyn, tiada berselindung-selindung, tiada berbelit-belit. Nak kahwin carilah calon. Settled!

"Kalau orang perempuan?" Ayat mencabar daripada Tareq kerana terasa diri tercabar.

"Masyarakat kita juga yang cipta pepatah perigi mencari timba." Keluar satu kenyataan selamba daripada gadis yang selamba.

"Sekarang kan dah ada pili air, pulas buka saja, kan?" Gotcha, bisik sang teruna.

"Pulas buka? Tak semudah itu," balas Emmalyn perlahan. Jawapan yang lemah, tapi itulah sebetulnya.

"Kan? Tak semudah itu." Suka juga hati Tareq bila dia berjaya mengalahkan wanita cerdas di hadapannya itu.

"Tapi tak juga susah, melainkan kalau diri sendiri yang buat jadi susah." Oh, tak mahu mengalah dia.

"Macam mana nak buat supaya tidak jadi susah?" cabar Tareq. Cakap senanglah, cik adik oi!

"Berkenalan dulu, kalau sesuai, take the next step. Kalau tak sesuai, stay as friends."

Amboi, cik adik... Ya ke senang macam tu? Belum puas mencabar, soalan ditanya, "Emmalyn, esok awak free?"

Oh my! Terkedu cik-adik-buat-bagi-senang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro