BAB 1
"Nak tumpang solat, kat mana, ya?"
"Eh, solat apa pukul 11 tengah hari ni?" Belum sempat tapis, soalan sudah tersembul.
"Solat duha."
"Oh." Respons automatik daripada Emil, bibir sudah tersenyum lebar. Tanpa berlengah dia mengajak lelaki berbadan tegap itu naik ke tingkat atas rumah ayah ngahnya dan dibawa masuk ke dalam bilik anak bongsu ayah ngah.
"Bilik air kat situ." Tangan digawang ke arah pintu bilik air, kemudian diambilnya sejadah lalu ditebarkan ke atas lantai.
"Terima kasih." Ucapan bersama huluran tangan untuk bersalam.
"Sama-sama," jawab Emil. Salam disambut lalu melangkah keluar.
Sambil merapatkan pintu bilik tidur Ikmal, dia teringatkan Emmalyn. "Hehehe... Kali ini kau dapat Pak Arab Ya Habibi, rajin solat pulak tu, nak tolak jugak ke? Mat motor besar, kau tak berkenan. Anak manja mak, kau tak ngam. Ini saudagar minyak, badan tough, muka macam pelakon drama... Kalau kau tolak juga, adik oi, kena bawa pergi periksa matalah nampaknya."
Sengih belum habis, sudah kena sergah dengan kakak sepupu. "Emet, kau pergi mana? Mak lang cari, nak minta kau pergi ambil talam kat rumah Olong Besah."
"Ler, Melin kan ada, suruh ajelah dia pergi, semuanya aku. Kalau gini tiap kali sepupu bertunang, aku yang patah pinggang!"
"Isy, usah kacau Melin. Hari ni dia kena jadi perempuan Melayu terakhir. Kan Uda Jah nak kenalkan dia dengan anak best friend dia? Udah sampai orang itu, Melin sibuk melayan tu."
"Mati kejung ler Melin, kena berlakon ayu!" Selamba Emil mengutuk adik sendiri.
"Kau ni, Met, mengutuk Melin aje kerjanya. Bukan nak bagi moral support," marah Rukayyah, si kakak sepupu.
"Moral support ke apa, Kak Yah. Lepas satu, satu, dia tolak. Aku yang nengok pun penat."
"Habis tu kalau tak berkenan, takkan nak terima jugak kut?" Rukayyah cuba menyokong Emmalyn.
"Tak apa, Kak Yah. Aku rasa kali ni dia berkenan," kata Emil separa berbisik. Bibir sudah tersengih-sengih.
"Napa? Hemsem ke?" tanya Rukayyah, perkataan handsome disebut 'hemsem' gaya opah dulu.
"Isy, lebih dari hemsem, Kak Yah. Akak belum tengok ke?" Seronok Emil melihat kakak sepupunya sudah teruja.
"Belum, akak ada kat dapur tadi masa deme sampai."
"Ada kat atas, kak. Kat bilik Ikmal, tengah solat duha."
"Ooo, solat duha... Berganda-ganda naik saham ni," balas Rukayyah, sudah terhinggut-hinggut ketawa bersama Emil.
"Kak, aku bet jadi kali ni, kak." Yakin Emil buat pernyataan sambil menjongket-jongketkan kening.
"Melangkah bendullah Si Melin," usik Rukayyah.
"Dengan rela hati, kak. Tapi nanti aku dapat cincin, kan?"
"Ceh!" Hinggap penampar sedas ke bahu Emil. "Cincin ke hapa, Met... Kamu tu jantan, bukan orang perempuan!"
Terhinggut-hinggut Emil ketawa. "Aku nak juga, kak. Kalau tak dapat, jangan harap dia nak dapat adik aku."
"LAAA... Di sini rupanya kamu, Melin? Jenuh uda mencari! Kan uda suruh kamu tengok-tengokkan kawan uda tu, yang kamu menyorok di sini apa ke halnya?"
Aiseh, sampai ke atas ni uda datang mencari aku? Bukan dia sakit lututkah? Larat pulak panjat tangga naik ke atas ni?
"Melin pergi bilik air, uda." Bohong sunat, walhal dari tadi dia duduk melepak diam-diam di ruang keluarga di tingkat atas rumah ayah ngah. Menyorok dari Uda Jah dan kawan baiknya.
"Udah tu, turunlah. Deme tu datang nak tengok kamu!"
Astaga, Uda Jah ni... Kenapa tak ambil saja hailer mak ngah dan buat saja pengumuman? Biar satu taman ni dengar. Hajah Asmah datang nak recce Si Melin, nak buat menantu! Haish!
"Panaslah kat bawah khemah tu, uda. Melin nak duduk bawah kipas ni kejap." Bohong sunat lagi.
"Alah... Tahanlah panas kejap. Bukannya boleh pengsan. Kamu ni tak reti ke nak mengambil hati best friend uda tu, untung-untung jadi mak mentua kamu!"
Untung-untung? Ke rugi-rugi? Tanya dalam hati sajalah. Mana boleh tanya pada uda, kecil hati mak saudara kesayangannya nanti.
"Uda ni... Seganlah!"
"Lerrr... Segan kenapa? Nak dirikan masjid, bukannya buat maksiat!"
Tu dia! Kuatnya suara uda. Memang tak payah pakai hailer sekolah mak ngah. Nasib baiklah semua orang sibuk di tingkat bawah. Kalau tidak buat malu sahaja.
Melihat Emmalyn tidak menjawab, Hajah Khatijah menyambung, "Kamu tak tengokkah Melin, segak budak Tareq tu. Kalah Zul Ariffin..."
Emmalyn berpura-pura menggaru hidungnya, nak tutup mulutnya yang tersengih mendengar mak saudara menyebut nama pelakon terkenal itu. Uda Jah, pelakon-pelakon di Malaysia semuanya dia ingat, pelakonpelakon luar negara pun dia ingat. Sejak Uda Tamrin meninggal lapan tahun dahulu, dan kerana tiada zuriat, hidup ibu saudaranya itu kesepian. Lalu segala drama di TV dihadapnya.
"Betul tak uda kata? Lagi segak dia dari Zul Ariffin, kan?" Nak juga Hajah Khatijah mendengar jawapan Si Emmalyn.
"Haah, uda," jawab Emmalyn dengan patuh. Di dalam kepalanya terbayang wajah Tareq yang sempat dijelingnya sekejap tadi.
Lebar senyuman Hajah Khatijah. "Ha... Uda kalau nak cari calon untuk kamu, tentu yang bagusbagus, kan? Kamu tu aje Melin, memilih sangat!"
Bagus-bagus? Laju ingatannya hinggap kepada Rudy, si mamat motor besar, calon pertama yang dikenalkan Uda Jah dua minggu selepas dia balik dari Southampton. Nak bertenggek di belakang motor besar yang berdesup 210 kilometer sejam di atas lebuh raya? Eee, baiklah aku sayangkan nyawa aku sendiri. Dahlah awal-awal lagi mamat tu dah sound, naik motor seeloknya jangan pakai seluar baggy sebab nanti seluar tersepit di celah tayar motor. Haish! Nak pakai seluar ketat-ketat, tayang buntut kat semua orang atas highway tu? Eee... Idak ler aku desperate benor nak cari laki!
Calon kedua, Hafizi, si anak manja mak. Nak buat apa pun kena tanya mak dulu. Tak apalah kalau dia nak jadi anak yang soleh, go ahead. Tapi masalahnya dengan Emmalyn pun kena ikut telunjuk maknya.
"Melin, tak elok panjat-panjat gunung ni. Mak saya tak berkenan... Entah jin apa, puaka apa, buat tersampuk nanti kang."
Yang ini maknya tak berkenan, yang itu maknya tak berkenan. Kalau kahwin nanti, sah aku jadi menantu hantu.
"Melin!" Pahanya ditampar. "Kau dengar tak uda cakap ni?!"
"Ha?"
"Lerrr... Berbuih mulut uda bercakap, kamu dengar ke idak ni?"
"Dengar." Bohong sunat lagi.
"Yalah tu! Kalau kamu dengar, cuba cakap dengan uda, Si Tareq tu berapa umurnya?"
Aik, uda ni buat pop quiz la pula. Ingatkan masa belajar dulu sahaja yang ada pop quiz.
"Dua puluh tujuh," tembak Emmalyn.
"Tiga puluh satu!" pintas Hajah Khatijah.
Mak aih, uda. Tua bebenor...
"Tiga puluh satu, uda? Apasal tak kahwin lagi? Gaykah?" Dek terkejut, terlepas pula kutukan sedas.
Di belakang pintu bilik Ikmal, jejaka yang menjadi topik bualan tidak dapat menahan senyuman. Baru dia hendak melangkah keluar tadi bila terdengar namanya disebut-sebut. Segan pula hendak menunjukkan muka, lalu dia berdiri sahaja di belakang pintu.
"Astaghfirullahalazimmm! Tak baik kamu ni menuduh tak tentu hala. Dengar kat tuan punya badan, kecil hati dia! Takkanlah badan serupa jantan gitu, songsang pula jadinya?" Kan dah membebel Hajah Khatijah. Melin rasa macam nak gigit saja lidahnya yang terlepas sebut tadi.
"Yalah, dah tua-tua tak nikah apa hal, uda?" Tanya juga sebab hairan.
"Tareq tu udah seronok kerja kat Arab sana, gaji besar. Sampai udah tak teringat nak balik, itu yang Andak Asmah nak carikan menantu, bolehlah Tareq cari kerja kat sini. Kan ada Petronas, Shell semua?"
Ooo... Aku ni nak dijadikan gula untuk tarik Si Tareq balik ke Malaysia! Tarik Si Tareq? Hehe... Lucu juga. Amende makna nama mamat ni? Tareq? Itulah taruk nama Tareq, macam nama Arab, langsung tak nak balik ke tanah Melayu ni.
Anyway... Aku ni sesuai ke jadi gula? Kalau Wawa Zainal ke, Neelofa ke nak dijadikan gula nak 'tarik Si Tareq' balik ke tanah Melayu barulah masuk akal. Ini aku... Emmalyn Mohd Ehsan? Mousy wallflower? Uda Jah ni memang betul sudah over estimate kemampuan anak saudaranya.
"Dah, dah! Moh turun ke bawah. Deme dah nak hidang nasi tu. Kita orang rumah, makan dulu. Kalau idak nanti, nak nunggu makan dengan rombongan belah sana, lapar kita nanti karang. Moh pergi tolong berhidang..." Sambil bercakap Hajah Khatijah sudah mengangkat buntut.
"Yalah, uda. Yalah." Di mulut, tapi buntut masih melekap di sofa. Berat benar hati Emmalyn mahu turun ke bawah, macam berat buntutnya terparkir di sofa. Tapi berapa lama hendak menyorok di atas ini? Saudara-mara sibuk di bawah, takkan dia hendak buat berat tulang.
Mahu tak mahu, Emmalyn bangun juga. Tarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan. You can do it, Melin! Senyum dan hidang saja makanan. Bukannya nak kena kahwin pun dengan Tareq tu. Takkan dia terpikat dengan kau pun. Mamat Alpha Male cenggitu nak dipadankan dengan aku, si mousy wallflower, heh!
Bangun, pusing nak menghala ke tangga, panggung kepala. Lah!!! Siapa lagi kalau bukan Si Tareq, jejaka idaman Malaya yang diuar-uarkan oleh Uda Jah, sedang bersandar di jenang pintu bilik Ikmal!
Mak aih! Sudah berapa lama dia berdiri di situ? Apa dia buat dalam bilik Ikmal, mengendap aku dan Uda Jah? Memasang telinga? Soalan demi soalan menerpa ke kepala Emmalyn. Malu tak usah cakaplah!
Melihat muka Emmalyn yang sudah merahmerah dek malu, tak tahan Tareq hendak mengusik. "Emmalyn, saya ni bukan gay."
Mak!!! Boleh tak aku nak lari balik ke Southampton sekarang?!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro