Bab 9
MALAM itu, aku menelefon Waida. Mahu mengadu kepadanya tentang jodoh yang tidak disangka-sangka datang bertandang.
"Helo, Waida. Kau tengah buat apa tu?"
"Assalamualaikum, Cik Auni Soraya Rashid. Saya sedang mengulang kaji pelajaran sekarang. Maklumlah, last paper saya lusa. Lainlah Cik Auni, tak payah mengulang kaji, exam dah habis."
Ceh, terkena aku!
"Waalaikumussalam, Cik Azwaida Aziz. Boleh saya mengganggu Cik Azwaida sekarang?" Di hujung talian aku sudah mendengar suara Waida yang terkekeh-kekeh ketawa.
"Weh, baru sekarang kau teringatkan aku? Bertuah sungguh kawan aku yang seorang ni." Waida mula membebel. Silap aku juga, sudah dua hari pulang ke kampung, sekali pun tidak pernah aku menghubungi Waida. Kepalaku yang sarat dengan masalah membuatkan aku lupa akan segalanya.
"Waida... Aku ada masalah la." Aku mengadu. Bersedia untuk meluahkan segalanya kepada Waida.
"Masalah apa lagi? Kau bergaduh lagi dengan Hisham? Itu bukan masalah, itu sampah! Kau tinggalkan aje dia, habis cerita." Mulut Waida seperti bertih goreng. Belum lagi sempat aku mengadu, dia sudah membuat andaian sendiri.
"Bukan itulah masalahnya! Masalah aku sekarang lagi besar dari tu."
"Masalah apa? Memang besar masalah ni nampak gayanya. Cepatlah cerita. Manalah tahu aku dapat tolong. Tak dapat tolong selesaikan, tolong dengar pun jadilah." Waida mula teruja mahu mendengar aku bercerita.
"Memang kau tak dapat tolong pun... Tapi aku perlukan kawan untuk dengar luahan hati aku ni. Aku sedih sangat sekarang ni tau, Waida."
Aku pun mula bercerita kepada Waida bermula dengan kedatangan tetamu-tetamu ayah, sehinggalah kepada persetujuan yang aku berikan kepada mereka pagi tadi.
"Habis tu, kau tak tahulah siapa bakal tunang kau? Nama pun kau tak tahu?" tanya Waida.
"Tak. Aku tak tahu apa-apa pun. Nama dia, kerja apa, rupanya bagaimana, langsung aku tak tahu. Aku pasrah sahaja sekarang, Waida. Kata putus dah diberi, aku reda sahaja dengan takdir aku." Ketika itu, aku mula rasa mahu menangis.
"Sabar, Auni. Orang tua biasanya pandai menilai. Mungkin betul ini jodoh yang terbaik untuk kau. Aku memanglah tak setuju kalau kau pilih Si Hisham tu, tapi aku tak boleh bagi komen apa-apa tentang bakal tunang kau. Kau sendiri pun tak kenal dia, inikan pula aku pandai-pandai nak bagi pendapat. Kau reda sahajalah, Auni. Insya-Allah, jodoh yang dipilih oleh ibu bapa ni lebih berkat," pujuk Waida.
"Entahlah, Waida... Aku berserah aje sekarang ni." Lemah sahaja suaraku sewaktu menuturkan kata-kata itu.
"Habis tu bila kau nak beritahu Hisham?"
"Itu lagi satu masalah. Aku pun tak tahu macam mana nak beritahu dia. Mesti dia terkejut gorila bila dengar tentang berita ni." Ah, bertambah kusut fikiranku bila memikirkan tentang Hisham.
"Kau ambil masa, bertenang dulu. Kemudian, barulah kau slow talk dengan dia. Auni, takkan bakal keluarga mentua kau tak tinggal gambar anak mereka untuk tatapan kau?" tanya Waida. Aku tergelak.
"Weh, tak kuasa aku nak menatap gambar dia kalau ada pun. Baik aku layan nengok Aaron Aziz tu."
"Kalau muka dia macam Aaron Aziz macam mana?"
"Untunglah aku. Tapi kalau muka dia macam Aaron Aziz kena panah petir, pengsanlah aku jawabnya."
Waida terkekeh-kekeh ketawa. Selepas berjanji untuk memberitahunya perkembangan ceritaku lagi, kami berpamitan seketika sebelum meletakkan telefon.
Terdengar ketukan pada pintu bilikku. Suara Tasnim kedengaran dari luar memintaku membuka pintu.
"Ada apa? Kak Auni mengantuklah." Aku memberikan alasan.
"Turun bawah sekarang. Arahan dari ibu. Cepatlah, Kak Auni..." gesa Tasnim supaya aku cepat-cepat mengikutnya turun ke tingkat bawah.
"HA, mari sini, Auni! Cuba tengok, kalau-kalau ada yang Auni berkenan. Nanti kalau ibu yang pilihkan takut tak kena pula dengan cita rasa Auni," panggil ibu sebaik sahaja aku tiba di ruang tamu.
Rupa-rupanya, ibu sedang membelek-belek album gambar pelamin dan hiasan majlis perkahwinan. Ah, sudah! Majlis pertunangan pun hendak berpelamin bagai. Sedangkan pelamin anganku sudah punah sama sekali.
"Kak Ayu yang hantar tadi. Ibu yang minta. Senang kalau kita cepat-cepat buat persediaan. Majlisnya pun dah tak lama lagi. Pejam celik, pejam celik dah dua minggu. Banyak lagi yang nak kita sediakan. Kanopinya dah tempah kan, bang?" tanya ibu kepada ayah.
"Sudah. Janganlah awak risau," ujar ayah sambil matanya tidak lepas dari menonton siaran berita di televisyen.
"Bukan apa, saya bimbang kalau-kalau majlis itu nanti ada cacat celanya. Kalau boleh, saya nak semua tetamu berpuas hati." Ibu tersenyum memandang ayah.
Riak kegembiraan dan teruja jelas terpancar pada wajah kedua ibu bapaku. Sewaktu majlis perkahwinan Abang Hakim pun mereka tidak seteruja ini seingatku. Gembira kerana aku bakal dikahwinkan dengan lelaki pilihan mereka agaknya.
"Kena pakai pelamin juga ke, ibu? Auni duduk dalam bilik sahaja tak boleh? Nanti kalau tiba masa nak sarungkan cincin, masuklah ke dalam bilik tu."
Ini baru bertunang. Kalau aku berkahwin nanti, agaknya ayah akan membina tandu untuk aku. Kemudian, aku akan diarak ke seluruh kampung. Kalau diarak dengan menggunakan tenaga manusia, boleh juga diterima. Buatnya ayah meminjam lembu Pak Man Teh yang penuh sekandang tu untuk menarik tandu, lagilah haru. Kemudian, terserempak pula dengan Kak Peah yang suka memakai baju berwarna merah tu. Hah! Mahu terpelanting aku dibuatnya kalau lembu Pak Man Teh tiba-tiba naik minyak mengejar Kak Peah keliling kampung.
"Pelamin tu kita buat di ruang tamu. Bukanlah ibu suruh Auni duduk atas pelamin tu dari awal sehingga tamat majlis. Waktu nak sarung cincin tu nanti barulah Auni turun ke bawah. Kan trend sekarang buat pelamin kecil waktu bertunang. Lagipun, puas hati saudara-mara yang datang dari jauh nak tengok Auni. Tak payahlah berasak-asak masuk ke bilik semata-mata nak tengok Auni."
Aku buat-buat membelek album yang dibawa oleh Kak Ayu. Satu pun aku tidak berkenan sebenarnya. Kalau hati sudah tidak suka, pelamin seperti singgahsana pun aku tidak mahu.
"Ha, yang ini cantik, Kak Auni! Simple aje. Tentu comel Kak Auni duduk atas buaian ni." Tasnim menunjukkan gambar pelamin yang dihias indah dan menggunakan buaian sebagai tempat duduk. Haziq turut sama menjengahkan kepala melihat contoh pelamin yang ditunjukkan Tasnim.
"Haah. Memang cantik. Lagi cantik kalau Umar naik atas pelamin, tolong ayunkan buaian tu. Dengan Kak Auni dan bakal mentua Kak Auni sekali terpelanting jatuh pelamin." Haziq sudah terbahak-bahak ketawa. Aku juga ikut ketawa sekali. Kalau perkara itu terjadi, pasti berbulan-bulan aku tidak keluar rumah. Sudahlah malu jatuh pelamin, ditimpa buaian pula. Tapi sememangnya perkara itu tidak mustahil berlaku. Umar anak saudaraku itu memang lasak budaknya.
"Yang ini? Benchnya cantiklah, Kak Auni. Pelamin pun comel aje," cadang Tasnim lagi sambil menunjukkan sekeping gambar. Mataku terarah kepada gambar yang ditunjukkan oleh Tasnim. Cantik! bisik hatiku.
"Bolehlah..." ujarku meleret. Sebenarnya hatiku sudah berkenan melihat pelamin itu, tetapi, takkanlah aku hendak menunjukkan keterujaanku sambil melompat-lompat di hadapan mereka pula.
"Cantik! Pandai Auni pilih," puji ibu. Lebih kepada mahu mengambil hati aku sebenarnya.
"Tasnim yang cadangkan. Kan Kak Auni?" Huh, mahu masuk saham juga adikku yang seorang ni.
"Ibu, siapa bakal abang ipar kami ni? Kami kenal ke orangnya?" tanya Tasnim tiba-tiba. Waktu ini aku rasa mahu memeluk Tasnim erat-erat kerana bertanyakan soalan itu. Kalau harapkan aku yang membuka mulut mahu bertanya, jangan diharap. Walaupun aku bersetuju, tetapi dalam pada itu, aku masih ingin menunjukkan protes secara halus.
"Hmmm... Kamu tak kenal. Bukan orang sini pun. Orang KL. Tapi dah lama tinggal di luar negara. Baru saja balik bekerja di sini dalam setahun dua ni. Jurutera cari gali minyak. Dulu dia bekerja dengan syarikat minyak di luar negara."
Oh, orang minyak rupanya. Jangan-jangan rupanya seperti P. Ramlee sewaktu menjadi orang minyak dalam filem Sumpahan Orang Minyak tu. Eee... Mintak dijauhkanlah! Buatnya bekalan elektrik terputus, mau menangis aku nak mencari dia. Hahaha.
"Siapa namanya?" tanya Tasnim lagi.
"Fahim. Ahmad Fahim Tajuddin," jawab ibu sambil menjeling ke arahku. Aku buat-buat sibuk membelek-belek album gambar sedangkan rasanya sudah hampir enam kali aku mengulang melihat gambar yang sama.
"Kak Auni nak pakai baju apa masa bertunang nanti?" Aku tersentak mendengar suara Tasnim. Isy minah ni, volume tu kalau tak sekampung dengar, tak sah.
"Nak pakai apa lagi? Pakai baju kurunglah. Baju kurung berlambak dalam almari tu. Tinggal pilih saja," jawabku acuh tak acuh.
"Ha, lupa pula ibu. Nasib baik Tasnim ingatkan. Umi ada belikan kain untuk Auni pakai masa bertunang nanti. Nanti ibu ambilkan." Ibu bangun lalu masuk ke dalam bilik.
"Wah, untungnya Kak Auni, belum apa-apa dah panggil umi. Betul-betul mentua sayang ni," ujar Tasnim sambil mengangkat-angkatkan keningnya kepadaku. Perlilah tu.
Ibu keluar dari bilik dengan membawa sebuah beg kertas berlogokan sebuah gedung kain terkemuka lalu menunjukkannya kepadaku. Aku menarik keluar sepasang kain yang berwarna ungu lembut. Melihat sahaja kain itu, aku sudah dapat meneka, tentu sekali bukan murah harganya. Tidak mengapalah, mereka kan orang berduit, setakat belikan aku sepasang kain tidak akan menjadikan mereka miskin pun. Aku menggumam dalam hati. Kainnya dihiasi dengan butir-butir permata yang tidak terlalu sarat. Cantik! Memang menepati cita rasaku. Pandai umi memilihnya.
"Cantiknya Kak Auni, mesti mahal ni."
Aku biarkan sahaja kata-kata Tasnim itu. Malas aku mahu membalasnya.
"Auni nak buat baju kurung atau kebaya? Atau Auni ada cadangan lain?" tanya ibu.
"Suka hati ibulah. Auni ikut sahaja," jawabku.
"Ibu ke yang nak bertunang? Semuanya ikut ibu. Pelik Kak Auni ni. Orang lain nak bertunang bukan main seronok buat persiapan. Ini Kak Auni macam kena kahwin paksa aje." Tasnim mengomel. Wajah ibu serta-merta berubah mendengar kata-kata Tasnim.
"Isy, mana ada! Pandai-pandai aje Tasnim ni. Kak Auni mana pandai dalam perkara-perkara macam ni. Baik Kak Auni serahkan aje pada ibu. Ibu tentulah lebih arif, kan?" Aku menafikan. Namun dalam hati sebenarnya ingin sahaja aku katakan, memang aku kena paksa kahwin pun... Tapi tak tergamak pula aku hendak berkata begitu di hadapan ayah dan ibu. Biarlah realiti sebenarnya hanya kami bertiga yang tahu.
Pukul sebelas malam aku masuk ke dalam bilik semula. Aku mencapai telefon bimbit yang sengaja aku tinggalkan. Ada 17 panggilan tidak berjawab dan ada beberapa pesanan teks, kesemuanya dari Hisham. Aku membaca mesej yang dikirimkan Hisham.
# Awak... Kenapa tak angkat bila saya telefon?
# Janganlah buat saya macam ni. Saya tahu saya dah berkasar dengan awak semalam.
# Maafkanlah saya. Saya tak boleh buat apa-apa kerja pun. Asyik teringatkan awak saja.
# Awak... Janganlah senyap macam ni. Saya terseksa bila awak diam begini. Saya betul-betul minta maaf.
# Saya memang tak layak dimaafkan. Selalu berjanji, tapi selalu mungkir. Awak pukullah saya bila kita jumpa nanti. Tapi janganlah tak mahu bercakap dengan saya.
# Auni, tolonglah balas mesej saya kalau awak tak mahu bercakap dengan saya sekali pun...
Fikiranku menjadi kosong selepas membaca kiriman-kiriman mesej daripada Hisham. Aku membuat keputusan untuk tidak membalas mesej mahupun panggilannya. Aku tidak tahu apa yang harus aku tulis atau katakan.
Jadi, lebih baik kalau aku berdiam diri saja buat masa sekarang dan memikirkan cara terbaik untuk memberitahunya tentang majlis pertunanganku yang bakal diadakan nanti. Aku harap Hisham dapat menerima berita tersebut dengan tenang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro