Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

MALAM itu, aku menghubungi Hisham.

"Assalamualaikum. Awak, saya dah ada kat kampung ni." Aku memulakan bicara dengan berhati-hati. Angin Hisham bukan boleh diduga.

"Waalaikumussalam. Ya, saya tahu. Saya tunggu jugalah orang tu call beritahu dah sampai kampung semalam. Hari ni baru teringatkan saya?"

Aku memang betul-betul terlupa untuk menghubunginya semalam. Tambahan pula badan terasa amat letih selepas menempuhi perjalanan selama hampir enam jam.

"Awak... Janganlah marah. Saya penat sangat-sangat semalam. Lepas makan, saya terus lena sampai ke pagi. Saya minta maaf ya, awak." Aku menggunakan kepakaranku untuk memujuk Hisham.

"Hmmm... Apa boleh buat, orang dah lupakan saya bila jumpa keluarga."

"Awak... Takkanlah saya boleh lupakan awak? Saya tak call awak kalau saya tak ingat pada awak tau. Awak janganlah marah lagi, ya? Saya minta maaf. Memang salah saya." Aku masih cuba memujuk Hisham. Tapi aku bertekad, kalau dia masih mahu merajuk lagi, aku akan biarkan sahaja. Malas aku mahu memujuknya lagi. Nanti bila hatinya dah sejuk, pasti dia akan menghubungiku semula.

"Yalah. Awak buat apa hari ni?" Aik, macam tahu-tahu saja apa yang aku sedang fikirkan. Tahu pula dia aku dah letih mahu memujuknya.

"Tak buat apa pun. Tolong ibu masak, kemas rumah, tidur."

"Kawan saya kata ada nampak awak keluar hari ni?" tanya Hisham.

"Oh, pagi tadi saya bawa ibu pergi pasar beli barang-barang basah," jawabku.

"Kalau saya tak tanya, awak takkan cerita, kan? Entah apa lagi agaknya yang awak sembunyikan daripada saya, ya?"

"Laaa... Setakat bawa ibu pergi pasar. Tak ada apa yang penting pun..." Pelik sungguh aku dengan Hisham. Takkanlah setakat bawa ibu ke pasar pun hendak buat laporan panjang berjela?

"Tapi saya tak suka. Awak nak ke mana-mana, tolong beritahu saya. Dan saya tak izinkan awak selalu keluar dari rumah, walaupun dengan ibu awak. Nampak macam perempuan yang nak menjual muka sahaja di bandar tu. Saya tak suka nak dengar kawan-kawan saya bercerita macam-macam tentang awak."

Walahwei, ini sudah lebih! Takkanlah nak keluar dengan ibu sendiri pun tak boleh? Agak-agaklah kalau nak cemburu pun!

"Awak ni kenapa? Saya bukan keluar dengan orang lain pun, saya keluar dengan ibu saya. Apa masalahnya? Kawan-kawan awak nak cerita apa pun, saya tak kesah. Bukan saya buat perkara tak elok pun."

Aku berkata dengan nada geram. Suka-suka hati sahaja hendak mengawal hidup aku. Sedangkan aku tidak pernah pun mengongkong dia. Asalkan dia tahu menjaga diri dan hatinya, itu sudah cukup bagi aku. Yang penting bagiku dalam sesebuah perhubungan adalah kejujuran dan kepercayaan.

"Masalahnya, semua orang pun awak senyum, awak layan. Saya tak nak awak jadi perempuan murah. Peramah tak bertempat!" Dia menghamburkan kemarahannya kepadaku. Aku juga sudah mula hilang sabar. Apatah lagi setelah mendengar ayat-ayat yang begitu 'indah' keluar dari mulut Hisham.

"Habis tu, awak nak saya tampal plaster ke kat mulut saya? Atau pakai topeng setiap kali keluar rumah?" Tiba-tiba aku teringat akan kata-kata Waida dulu. Dengan perangai Hisham yang begini, tidak mustahil kata-kata Waida bakal menjadi kenyataan.

"Susah bercakap dengan orang terlebih pandai ni. Berlagak tak habis-habis!" Hisham menempelak. Hatiku semakin panas.

"Baiklah, kalau macam tu, tak usahlah bercakap dengan saya lagi." Terus sahaja aku mematikan telefon selepas itu. Geram sungguh hatiku mengenangkan kata-kata Hisham. Hajat dalam hati mahu menjernihkan keadaan yang keruh sejak hari Isnin lepas, dia pula makin menambahkan sakit yang ada.

Aku berbaring di atas katil dengan hati yang berbuku. Aku tertanya-tanya sendiri, perlakuan yang mana yang membuatkan aku kelihatan terlebih peramah atau macam perempuan gatal seperti yang dituduh Hisham?

Takkanlah senyum dan mengucapkan terima kasih kepada penjual ayam semasa dia memulangkan wang baki kepadaku boleh dianggap sebagai perempuan gatal? Takkanlah aku hendak buat muka seperti ketua kongsi gelap yang terkena buasir pula bila orang memulangkan wang baki tadi? Tak faham sungguh aku dengan perangai Hisham ni. Pedulikanlah! Lebih baik aku layan baca novel daripada memikirkan perkara-perkara yang menyakitkan hati itu.

Baru sahaja aku berkira-kira untuk mengambil novel yang terletak di rak, terdengar bunyi ketukan pada pintu bilik.

"Auni, turun bawah sekejap!" Suara ibu kedengaran di sebalik daun pintu.

"Okey, ibu. Bagi Auni lima minit. Sekejap lagi Auni turun." Aku mengambil sikat lalu menyikat rambut yang kelihatan agak kusut sebelum mengikatnya dengan getah pengikat rambut. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, cepat-cepat aku turun ke tingkat bawah.

"Ada apa, ayah? Macam ada hal penting aje." Seriau pula melihat wajah ayah yang kelihatan serius saja.

"Kalau ya pun, duduklah dulu, Auni. Takkanlah nak bercakap sambil berdiri?"

Aku cepat-cepat melabuhkan punggung di atas sofa yang bertentangan dengan ayah.

"Ayah harap, apa juga yang ayah sampaikan ini, Auni terima dengan hati yang terbuka. Jangan sesekali Auni fikir ibu dan ayah hendak mengatur hidup Auni. Kami cuma mahukan yang terbaik untuk Auni."

Aku terpinga-pinga mendengar kata-kata ayah. Sesungguhnya, mindaku masih belum dapat mencerna apa yang cuba disampaikan oleh ayah.

"Ada apa ni ibu, ayah? Cakaplah terus-terang. Auni tak fahamlah."

Ayah menarik nafas panjang sebelum menghembusnya perlahan.

"Begini, tetamu yang datang petang tadi tu bukanlah orang lain sebenarnya. Pak Cik Tajuddin tu sebenarnya abang angkat ayah. Arwah ayah dan ibunya yang besarkan ayah dulu. Tapi kami dah lebih dua puluh tahun tak berjumpa kerana selama ini dia tinggal di luar negara, bekerja di sana. Baru dua tahun ni dia balik ke Malaysia selepas bersara dan buka perniagaan sendiri di KL," terang ayah kepadaku.

Fuh! Aku menghela nafas lega. Terus-terang, sebenarnya aku ingatkan ayah hendak memberitahu yang aku ini merupakan anak angkat dan tetamu yang datang itu sebenarnya ibu bapa kandung aku. Ayah ni buat saspens aku sahaja.

"Auni, mereka datang tadi sebenarnya membawa hajat."

Aku terkedu. Rupanya masih ada lagi kejutan.

"Hajat apa?" Hatiku mula berasa tidak enak. Sepertinya apa yang bakal ibu katakan nanti adalah sesuatu perkara yang tidak mahu aku dengar.

"Mereka datang meminang Auni untuk anak mereka."

Kan, betul seperti yang aku duga. Aku terasa seperti mahu melompat. Bukan kerana terlalu seronok dipinang orang, tetapi dek terlalu terkejut. Tidak ada angin, tidak ada ribut, aku dipinang orang?

"Auni tak mahu kahwin lagi. Umur Auni masih muda, Auni nak kerja puas-puas dulu. Auni tak kenal pun anak mereka, macam mana nak kahwin dengan dia? Entah-entah anak mereka pun tak tahu tentang ni."

Aku terasa mahu menangis. Aku berharap sangat agar ibu dan ayah menolak pinangan mereka. Aku masih belum bersedia untuk bergelar isteri!

"Auni, ibu dan ayah tak pernah minta apa-apa pun daripada Auni. Untuk sekali ini sahaja, janganlah hampakan permintaan ibu dan ayah ni, ya? Kami dah terima pinangan mereka. Kami yakin, anak mereka dapat bahagiakan Auni. Sayang kalau ditolak. Mereka datang dari keluarga yang baik-baik, ibu dan ayah hanya nak lihat Auni bahagia, sayang."

Walaupun ibu berkata dengan lembut, aku terasa seperti seketul batu yang besar telah menghempap kepalaku. Pandanganku kabur. Air mata mula mengalir. Aku terbayang wajah Hisham. Sudah pasti dia kecewa mendengar berita ini.

"Ibu, tak boleh ke kita tolak sahaja pinangan mereka? Bukannya Auni minta kita putuskan hubungan dengan mereka pun, Auni cuma tak mahu kahwin dengan anak mereka. Itu saja. Tolonglah ibu, ayah." Aku merayu.

"Ayah dah buat keputusan. Ayah harap Auni tak akan malukan kami. Tarikh pertunangan pun ayah dah tetapkan. Dua minggu dari sekarang."

Dunia seolah-olah berhenti berputar sebaik sahaja ayah menghabiskan ayatnya. Memanglah, ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak, tapi aku tidak sesekali mahukan jodoh yang diaturkan keluarga. Aku mahu berkahwin dengan orang yang aku cintai. Bagaimana aku mahu hidup dengan orang yang tidak pernah aku kenali? Aku tidak sangka ibu dan ayah akan menetapkan jodoh untukku sedangkan aku sudah berangan-angan mahu berkahwin atas dasar cinta.

Hatiku bertambah rusuh bila memikirkan bagaimana caranya hendak dikhabarkan berita ini kepada Hisham. Sudah tentu dia akan kecewa. Walaupun kelakuannya kebelakangan ini menyakitkan hatiku, sekurang-kurangnya, aku mengenali dia sudah lama. Aku yakin dia tentu akan berubah setelah kami bernikah kelak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #romance